Monday, August 26, 2013

Mawar Boleh Bertindak Jadi Perunding dan Badan Penasihat Parti

PANDANGAN                                                                                     

Cadangan untuk diwujudkan persatuan atau kelab bekas wakil rakyat dan tokoh veteran Pas Kelantan seperti mana diluahkan oleh bekas Ahli Parlimen Kota Bharu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah merupakan satu cadangan yang baik dan perlu disegerakan.

Wan Rahim, Fatah, Ab Halim tokoh veteran Pas Kelantan..
Badan itu boleh bertindak menjadi 'penasihat' atau penyelia kepada kerajaan negeri atau memberi pandangan kedua berhubung sesuatu isu yang berkaitan dengan polisi atau pendekatan baru diambil kerajaan. Kelab itu juga boleh membantu menjadi pendamai dan jambatan bagi menghubungkan mana-mana pihak yang bertelagah di dalam Pas sekiranya ada lantaran salah faham dan terlebih emos terhadap sesuatu perkara.

Dengan pengalaman yang ada kepada mereka sudah pasti mereka mampu memberi pandangan sihat dan ianya akan dihormati semua pihak baik termasuk generasi muda. Hubungan mesra Wan Rahim dengan kalangan penyokong Pas menerusi sosial media juga menjadi satu aset mendekatkan mereka dengan Pas.

Kebetulan juga mereka adalah veteran Pas yang pernah memegang jawatan penting di dalam kerajaan dan parti, terutamanya sejak Pas mula membentuk kerajaan kali kedua tahun 1990. Jadi mereka ini orang yang matang dan sangat arif mengenai seluk beluk politik Pas.

Antara veteran Pas yang pernah menduduki jawatan penting di dalam Pas dan menjadi pendokong utama kepada kerajaan pimpinan Nik Abdul Aziz yang masih ada, selain Wan Rahim sendiri yang pernah menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan beliau juga merupakan Setiausaha Politik pertama Nik Abdul Aziz dan bekas ahli parlimen Kota Bharu; mereka ialah Abdul Halim Abdul Rahman merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas dan juga bekas Timbalan Menteri Besar.

Abdul Halim juga bekas ahli parlimen Pengkalan Chepa. Beliau adalah antara veteran yang berperanan besar dalam Pas di Kelantan tokoh yang dilahirkan pada zaman Mohd Asri Muda, pernah juga menjadi Ketua Pemuda serta memegang beberapa jawatan penting peringkat pusat.

Yang lain, Omar Mohamad yang pernah menjadi Setiausaha Kerja Pas, Timbalan Pesuruhjaya manakala dalam kerajaan menjadi Exco Pertanian. Seorang lagi Abdul Fatah Haron yang pernah menjadi Ketua Penerangan dan mengepalai Urussetia Kerajaan Negeri sebagai Pengarah, juga bekas ahli Parlimen Rantau Panjang dua penggal dan bekas Adun Bukit Tuku dua penggal.

Seorang lagi tokoh veteran Pas Kelantan ialah Hashim Haji Omar. Beliau merupakan bekas Wakil Rakyat Pas kawasan Pasir Mas, pernah menjadi Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kelantan. Hashim juga antara pendokong utama kepada kepimpinan Tokguru Nik Aziz.

Tenaga dan fikiran mereka ini masih boleh digunakan. Yang penting pengalaman yang ada kepada mereka boleh diadaptasikan dengan politik Pas sekarang. Mungkin mereka tidak ke depan dalam soal merancang dari segi pembangunan ekonomi, tetapi mereka adalah sesuai untuk dianggap sebagai cemin atau pemberi pandangan dari segi sejarah dan bingkai politik Pas. Mereka atau kelab yang bakal ditubuhkan nanti boleh menjadi pemangking kepada kerajaan.

Dalam suasana hari ini sangat elok kalau mereka memain peranan demi menjaga masa depan Pas. Mereka yang ada pengalaman melalui zaman perit dan jaya Pas sudah pasti ada buah fikiran tersendiri untuk memberi panduan dan nasihat agar Pas senantiasa utuh. Formula yang pernah digunakan pakai untuk menghadapi serangan dan adu domba Umno di kala Pas di zaman kritikal sangat berguna.

Apa lagi kebelakangan ini timbul sedikit susana kurang enak di Kelantan bila mana ada pergeseren di antara tokoh tertentu disebabkan persepsi. Sebenarnya pergeseran ini berlaku di kalangan penyokong tokoh berkenaan yang tidak berpuas hati dengan penyusunan kerajaan Kelantan selepas pilihan raya umum ke-13 lalu. Walaupun pergeseran ini perkara biasa, kata orang ribut didalam cawan kedai kopi tetapi ia perlu ditangani agar tidak merebak ke luar sehinggakan membasahi meja.

Sehubunagn itu kritikan demi kritikan yang dilemparkan kepada tokoh tertentu juga dilihat satu perkara yang tidak lendik dan boleh menganggu pentadbiran kerajaan Pas selepas Tokguru Nik Aziz ini terutamanya kosentrasi Ustaz Ahmad Yakub selaku MB.

Dengan adanya kelab atau kesediaan ikhlas bekas-bekas pemimpin Pas khasnya yang pernah menjadi wakil rakyat diharap suasana yang sedikit ribut ini akan tenang. Mereka juga akan senantisa memberi pandangan dan nasihat agar sebarang desas desus yang tidak baik itu akan lenyap begitu saja.

Difahamkan kelab yang bakal wujud itu dinamakan kelab Mantan Wakil Rakyat Kelantan (Mawar). Sangay sesuai nama itu kerana mawar adalah sejenis bunga yang cantik dan indah menyamankan mati dan jiwa sesiapa melihatnya. Dengan durinya yang tertusuk yang boleh digunakan bagi mengajar mana-mana yang degil. Sudah tentu yang akan berhimpun di dalam Mawar ini bukan saja beberapa tokoh itu tetapi termasuklah bekas-bekas wakil rakyat Kelantan yang masih ada.

Antara mereka bekas Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat, bekas Adun Semerak Wan Hasan Wan Ibrahim, bekas Adun Demit Mohamad Mustafa, Mohamad Iraq, bekas Adun Pasir Mas Ismail Noh dan lain-lain.

Khabarnya pernubuhan Mawar ini akan segera dibincangkan. Kelab ini juga bercadang akan mengadakan pertemuan dengan MB atau Exco sekerap yang boleh bagi memberi pandangan dan nasihat demi kestabilan Kerajaan dan politik Pas Kelantan. Adakah diharap Mawar juga akan bertindak menjadi pemangkin kepada kepaduan Pas Kelantan seluruhnya. [wm.kl.4:53 pm 26/08/13]
Post a Comment