SESUDAH SUBUH
Pemimpin Hindraf Waytha Moorthy yang dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai hadiah atas sokongan Ngo Hindu itu kepada UBN dalam pilihan raya lalu mungkin sudah mengenal cara-cara Umno berpolitik dan hati budi pemimpinnya. Apa yang berlaku adalah pengajaran buatnya.
Belum sampai setahun berada di dalam kabinet Najib Razak, kini pemimpin Hindarf itu sudah dapat merasai bagai mana veto Umno sebagai sebuah parti menjadi tulang belakang kepada BN. Hendaknya beliau tidak menyesal dengan apa yang berlaku dan itu adalah hukum karma ke atasnya. Waytha Moorthy kini berdepan dengan kecaman dan cemuhan anggota kabinet Melayu. Beliau diminta melepas jawatan dan keluar dari kerajaan.
Setakat ini dua menteri Melayu yang 'menghalau' Moorthy kerana tidak berpuas hati dengan cara Moorty mempertikaikan insiden lima orang samseng India ditembak mati di Pulau Pinang baru-baru ini. Zahid Hamidi kesal dengan sikap Moorthy yang dianggap tidak wajar mempertikaikan kenyataan polis.
Hanya kerana itu Zahid telah menghalau Moorty keluar dari kabinet dan memimpin semula Ngo - Hindraf. Hamuan Zahid itu disokong oleh Hishamuddin Hussein, Menteri Pertahanan yang kini merupakan rakan kongsi erat Zahid Hamidi dalam kabinet Najib.
Sokongan padi Hishamuddin itu dilihat sengaja dibuat untuk memberi peluang kepada Najib memikirkan tindakan ke atas Moorthy. Dalam masa sama juga cemuhan ke atas Moorthy itu dilihat sebagai satu tektik disengajakan untuk memecat Moorthy sekaligus menyelamatkan maruah Najib.
Najib dikecam hebat oleh Ngo Melayu yang merupakan puak redikal apabila melantik pemimpin Hindraf menyertai anggota kabinet. Tindakan Najib itu disifatkan memberi muka kepada orang India. Sebuah Ngo yang bercabuk dengan kepentingan Melayu, melahirkan rasa kesal dan protes dengan perlantikan Moorthy yang disifatkan tindakan tidak bijak dan mencabar Ngo berkenaan yang sebelum ini 'bagaikan nak rak' membantu Umno.
Saya menyimpulkan apa dilakukan Zahid kemudian disokong Hishamuddin itu, keduanya Naib Presiden Umno merupakan proses awal untuk membuang Moorthy dalam agenda menyelamatkan Najib. Najib ada alasan untuk bertindak dengan tindakan Zahid dan Hishamuddin itu. Ini semua dilakukan untuk mengelakkan Najib dari disembur dalam perhimpunan agung nanti lantaran melantik pemimpin Hindraf itu.
Mungkin selepas ini ada seorang dua menteri atau timbalan menteri akan membuat protes sama untuk memperlihatkan kuatnya bangkangan terhadap Moorthy. Dengan apa yang berlaku ia memberi pengajaran kepada pemimpin puak memperjuangkan kepentingan India itu mengenai seluk beluk politik Umno yang mana bersikap membuang tongkat setelah menyeberangi jambatan. Apakah selepas dihalau oleh Umno nanti Moorthy dan Hindraf akan terhegeh-hegeh untuk menyokong Pakatan Rakyat kembali? [wm.kl.6:49 am 26/08/13]
No comments:
Post a Comment