Perkhidmatan lima orang Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dilantik selepas pilihan raya umum lalu sudah sampai 100 hari. Masing-masing sudah selamat melewati tempoh masa yang dianggap sebagai 'dalam pantang' itu. Mereka ialah Ahmad Yakob (Kelantan), Mukhriz Mahathir (Kedah), Idris Harun (Melaka), Khalid Nordin (Johor) dan lupa nama (Perlis).
Mukhriz Mahathir |
Elok juga dalam ruang terhad ini kita meninjau keupayaan mereka, atau mengintip apakah, apa-apa yang mereka telah berbuat bagi mencerminkan kebolehan dan kemampuan mereka menjadi CEO di sebuah kerajaan negeri.
Secara umum kalau diperhatikan kepada kelima-lima ketua kerajaan negeri baru itu, jelas Mukhriz Mahatahir nampaknya lebih kerap bercakap mengemukakan idea dan cadangan-cadangan baru untuk Kedah. Mukhriz menunjukkan political will yang tinggi di Kedah. Dalam kata lain Mukhriz dilihat ke hadapan dan menerima cabaran sebagai MB berbanding dengan empat rakannya lain yang agak dingin.
Beberapa langkah atau cadangan drastik telah diambil dalam tempoh 100 hari yang meletakkan beliau seorang MB yang ada idea serta menyerlahkan bakat dan wibawanya. Beberapa kenyataan berupa cadangannya menarik untuk direnungi dan diperhatikan hasilnya. Misalnya tumpuannya untuk menyelesai dan membenteraskan isu Syiah yang dikatakan menonjol negeri Jelapang Padi itu.
Mukhirz mencadangkan agar satu tindakan tegas diambil bagi menghalang penyebaran fahaman berkenaan. Walaupun cadangan Mukhriz itu dilihat cadangan lebih bermerit politik dan bukan dalam kerangka ilmunya, tetapi cadangan itu meletakkan dirinya sebagai seorang MB yang prihatin dan pantas dalam tindakan (alert).
Kenapa saya mengatakan isu Syiah bukan dalam kerangka ilmunya kerana Mukhriz bukan dikenali sebagai seorang pengikut agama yang hebat serta tinggi ilmu agamanya. Dia juga bukan seorang pejuang mana-mana mazhab termasuk Sunni yang begitu sensitif serta 'seteru mak anak' dengan isu Syiah?
Ada beberapa cadangan lain yang dibuat Mukhriz menyerlahkan kebertanggungjawaban beliau sebagai MB. Misalnya awal-awal beliau menyusun semula dasar pembalakan di negeri berkenaan. Selepas itu beliau juga (menerusi Mufti Kedah) mengeluarkan fatwa mengharamkan 'shisha' di negeri berkenaan. Pengharaman shisha itu melambangkan Mukhriz mementingkan kesihatan rakyat Kedah.
Dalam bidang ekonomi dan perdagangan juga beliau membuat beberapa cadangan menyerlahkan akan kemampuannya membangun ekonomi Kedah. Tampaknya beliau yang pernah menjadi timbalan menteri MITI dimanfaatkan pengalaman itu.
Bagaimana pula di Kelantan. Apakah yang Ahmad Yakob lakukan dalam tempoh 100 hari? Seawal memegang jawatan MB, Ahmad telah mengumumkan penubuhan institusi pemikiran Tokguru Nik Aziz. Penubuhan ini bukan sesuatu yang besar untuk negeri melainkan untuk menghormati Nik Aziz. Bagi saya ia bukan satu perubahan atau tindakan menggambarkan dayafikir seorang MB sebenarnya.
Kalau pun yang boleh dianggap sebagai menarik ialah pengumuman dasar perumahan untuk rakyat. Beliau mahu pastikan rakyat Kelantan memiliki rumah. Justeru pembinaan rumah awam untuk rakyat diperbanyakan. Dalam bidang ekonomi lain seperti pertanian, pelombongan dan pelancongan yang merupakan paksi utama pendapatan Kelantan masih belum disebut Ahmad secara tuntas. Belum ada pengumuman dasar mengenai bidang itu yang menarik.
Juga belum ada unjuran mengenai pendapatan Kelantan untuk masa depan menerusi cadangan apa-apa projek atau langkah mengawal perbelanjaan atau menambah pendapatan kerana belum ada apa-apa perubahan besar dalam penjanaan ekonomi dilakukan. Kalau pun ada ialah perulangan untuk meneruskan dasar-dasar sebelum ini agar ia lebih kemas lagi.
Dalam erti kata lain belum ada sesuatu pengumuman yang dibuat Ahmad yang mengejutkan membolehkan orang beranggapan beliau seorang MB berkemampuan dan kompeten. Apa yang mungkin menjadi sebutan pengumuman beliau memberi cuti peristiwa sempena Aidifitri lalu adalah satu-satu pengumuman penting. Tetapi itu adalah terlalu kecil sebenarnya.
Ahmad mungkin belum hendak melakukan perubahan, mungkin juga sudah ada dalam pemikirannya hanya menunggu masa untuk diumumkan. Boleh jadi sebulan dua lagi selepas kedudukan syarikat kerajaan GLC dan anak-anak syarikatnya disusunkemaskan barulah Ahmad akan tampil membuat pengumuman penting. Bagaimana pun diingatkan jangan menunggu terlalu lama kerana penantian itu sesuatu yang membosankan.
Manakala peristiwa (event) yang memberi signifiken kepada beliau dalam tempoh 100 hari ialah penganjuran majlis tilawah membaca al Quran peringkat kebangsaan di mana Kelantan pertama kali menjadi tuan rumah bersama. Majlis itu boleh dianggap majlis mempublisiti dan memperkenalkan wajahnya kepada ke seluruh negara kerana ianya dipancar secara langsung. Ahmad berucap pada majlis berkenaan. Majlis itu berlangsung di Balai Islam Lundang.
Selain itu belum ada, sebaliknya hal-hal yang mungkin tidak wajar diseret dalam skop pentadbiran Ahmad misalmya kejadian jenayah di Kelantan yang melibatkan pembunuhan melibatkan senjata (pistol) akhir-akhir ini.
Langkah-langkah mengenai pencegahan jenayah belum diumumkan. Apakah Ahmad mengguna pakai standard atau piawai pemikiran sebelum ini dimana mengira jenayah dan mengawal sempadan adalah tanggungjawab kerajaan Pusat maka kerajaan Kelantan tidak perlu berbuat apa-apa? Begitukah. Hendaknya standard atau piawai ini tidak dipakai lagi. Kerajaan Kelantan juga harus bertanggungjawab sama dalam menjaga keamanan negeri.
Bagaimana pula dengan tiga lagi ketua kerajaan baru, Idris Harun (Melaka), Khalid Nordin (Johor) dan entah nama apa di Perlis itu. Idris juga belum membuat apa-apa tindakan atau strategi baru di Melaka yang boleh membayangkan akan kemampuannya. Apa boleh dicatat yang dilakukan Idris ialah cuba menutup kawasan perniagaan Cina di bandar Melaka. Ura-ura ini telah menjadi hebuh memaksa Idris tampil menafikan dengan memberi jaminan tindakan itu hanya sementara sahaja.
Dasar perumahan terutamanya pemilikkan hartanah di Melaka oleh warga asing seperti Singapura belum disebut apa-apa oleh Idris mungkin beliau senang dengan dasar dan polisi yang diamalkan sebelum ini. Salah satu peristiwa dilakukan Idris yang boleh disebut ialah sebaik masuk pejabat selaku KM beliau telah mengadakan lawatan sulung ke Majlis Agama Islam Melaka.
Begitu juga di Johor tidak kedengaran apa-apa pengumuman pendekatan baru dibuat oleh Khalid Nordin. Apakah ianya dalam perancangan dan pemikiran Khalid atau pun beliau tidak mampu untuk melakukan apa-apa dalam tempoh itu. Harus diingat Khalid seorang pendiam dan bekerja dalam diam. Mungkin beliau mengamalkan rasmi penyu yang tidak riuh selaut walaupun bertelor seribu dalam merangka pembangunan ekonomi Johor dan penyusunan semula Johor dengan memastikan orang Melayu Johor mampu memiliki kekayaan.
Paling sedih ialah kedudukan MB Perlis yang baru. Belum kedengaran apa-apa kenyataan menarik di negeri Indra Kayangan itu. Pembisuan MB itu juga menyebabkan mungkin ramai yang belum tahu yang Perlis mempunyai MB baru selepas pilihan raya lalu. Namanya juga masih tidak diketahui, dan saya sendiri turut tidak mengingati apakah nama MB itu. Atau pun beliau sudah pun bersuara tetapi ia ditenggelami oleh suara 'poyo' bekas MB Perlis Shahidan Kassim di parlimen yang kini sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Kesimpulannya daripada kelima-lima MB dan KM itu tampaknya Mukhriz telah berjaya meletakkan dirinya sebagai MB baru yang berpotensi. Seorang MB yang mempunyai idea dan sedia melakukan perubahan mengikut olak pemikirannya. Apakah keberanian Mukhriz ini khasnya mengenai isu Syiah kerana ianya didampingi oleh bapaknya? [wm.kl.8:16 am 15/08/13]
No comments:
Post a Comment