Tuesday, June 3, 2014

Kekalahan di Teluk Intan jangan jadi faktor keretakan Pakatan Rakyat

REAKSI                                                                                             

UBN disamping bergembira kerana berjaya merampas semula kerusi Teluk Intan, mereka juga suka kalau kemenangan tipis itu memberi masalah kepada Pakatan Rakyat. Umno khasnya mahu melihat Pakatan Rakyat "berkucah" dengan kekalahan itu seterusnya boleh meretakkan kepaduan dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Walhal UBN sendiri tidak begitu berpuas hati dengan kemenangan itu, tetapi mereka berasa terubat apabila Pakatan Rakyat "berseliheng" - tidak sekata dengan analisa atau dapatan keputusan yang tidak memihak kepadanya itu. Kini ada beberapa kenyataan keluar dari mulut sesetengah pemimpin PR khasnya DAP yang kurang manis dan boleh mengilankan hati pihak lain.

Misalnya kenyataan Gobin Singh Deo, yang membuat kenyataan, faktor kekalahan Dyana Saofya itu disebabkan kerana isu hudud yang dibawa oleh Pas. 25% kemerosotan undi Cina kepada DAP itu beliau meletakkan kepada kesungguhan kerajaan Pas Kelantan hendak melaksanakan hudud.



Sudah tentu pandangan Gobin Singh Deo itu tidak disenangi oleh orang Pas. Kenyataan Gobin itu terlalu cepat tanpa meneliti sebab-sebab lain, dan seperti tergesa-gesa meletakkan kepada masalah hudud. Cara kurang bijaksana Gobin itu menyebabkan dia akan dilihat seperti memcemuh Pas. Seakan Gobind Singh Deo bergaduh dengan hudud dan mahu menyambungkan kerja gemulah ayahnya yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi mengenai hudud.

Dalam PR memerlukan semangat yang kuat dan persefahaman tinggi serta mengenali sesuatu masalah itu dengan baik untuk berdepan dengan BN, sepatutnya Gobin tidak seterus terang itu menyalahkan Pas. Kalau pun dia yakin puncanya kerana hudud tetapi dia harus juga mengemukakan punca lain yang menjadi penyebab utamanya.

Dengan mengambil kira undi Melayu untuk DAP bertambah 2% ia memberi petanda baik bahawa kehadiran calon Melayu (Dyana Sofya) mendapat sokongan Melayu. Adapun kenapa ia tidak besar adalah sebab-sebab lain yang DAP sendiri harus menyelidiki dan mengakui kelemahan mereka.

Saya sudah bilang suasana pilihan raya di Teluk Intan berbeza dengan pilihan raya kecil di Kajang ataupun Bukit Gelugur. Kedua pilihan raya itu berlangsung dalam negeri yang dikuasai Pakatan, manakala sebaliknya di Teluk Intan. Sudah tentu ia juga akan memberi natijah berbeza. Tetapi hal itu nampaknya dikesampingkan kerana terlalu confident dengan kemenangan besar calon DAP sebelum ini dengan majoriti lebih 7,000.

Satu segi keputusan DAP meletakkan Dyana Sofya sudah kira betul dan tepat dalam usaha parti berkenaan untuk menarik perhatian orang Melayu kepada parti berkenaan dan menjadikan DAP merentasi garisan tegaknya selama ini. Tetapi ia bukan cukup setakat Dyana itu saja kerana masih ada kekurngan-kekurangan lain. Usia muda, kurang pengalaman Dyana serta dia bukan anak tempatan juga faktor kekalahan. Kalau Dyana merupakan tokoh hebat dan sudah ada jasa politiknya seperti Lim Kit Siang mungkin masalah anak tempatan atau tidak, itu tidak menjadi faktor.

Beberapa perbezaan dan kelebihan yang ada kepada Mah Siew Keong seperti mana disebut Ahmad Maslan itu walaupun ia sifir budak-budak, tetapi ia diterima oleh pengundi lama. Pengundi veteran Cina sukar untuk pejam mata menindakkan Mah. Hal itu juga harus dilihat dan turut sama dijadikan bahan kajian oleh DAP untuk masa akan datang.

Adalah dibimbangkan sekiranya hudud dijadikan faktor kekalahan Dyana ia boleh menimbulkan rasa tidak senang dipihak Pas. Pas walaupun harus memikul risiko kekalahan itu, tetapi ia bukan bahu utama. Janganlah Pakatan Rakyat bergaduh dan berpecah kerana hudud. Saya tetap berpendirian hudud bukan menjadi faktor besar kepada kekurangan undi kepada Pakatan Rakyat, kerana hudud adalah isu politik yang dilihat sebagai isu agama yang menakutkan. Apa juga isu agama yang dipolitikkan sudah difahami oleh rakyat. Jadi ia bukan menjadi halangan utama. Tugas di sini menyedarkan pengundi memahami isu-isu seperti itu.

Justeru kalangan pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya dari DAP hendaklah melihat dengan penuh rasional mengenai isu hukum hudud agar orang ramai tidak tersimpul dalam jerat UBN menggunakan tali hudud untuk mengelirukan rakyat dan juga pimpinan Pakatan sendiri. Tugas ini yang penting daripada menolak hudud secara gasan. Di sini, tindakannya ialah turut memberi penerangan. Jangan menyalahkan Pas kerana ia membawa isu itu. Pas tidak boleh mendiamkan kerana ia juga tuntutan dan menjadi modal politiknya.

Kalau Gobin Singh Deo atau mana-mana pemimpin DAP mahukan Pas meninggalkan hudud sebagai isu politiknya, samalah seperti menyuruh orang-orang Pas menanggalkan serban dan mencukur janggut, mereka tidak akan berbuat kerana status sunnah itu samalah dengan turban yang dipakai sesetengah orang Sikh. Adalah malang kalau kekalahan DAP di Teluk Intan itu ditala ke arah Pas gara-gara hudud kandati ianya ada memberi sumbangan kecil ke arah itu.

Mengenai hudud ini yang menjadi masalahnya, kedua-dua pihak membesarkan sesuatu itu yang tidak perlu dibesarkan sebaliknya isu seperti hudud itu perlu difahami, bukan dipersoalkan. Kalau sikap ini dapat diambil apa yang dibimbangkan (dakwa) Gobin Singh Deo itu tidak akan berlaku. [wm.kl.7:48 pm 03/06/14]
Post a Comment