Saturday, June 28, 2014

Khalid Ibrahim sudah menurun Mahathir

SUARA MALAM                                                                             

Sebelum ini Dr Mahathir Mohamad dikenali sebagai politician yang "rohok" untuk melepaskan kuasa dan meninggalkan kerusi perdana menteri. Seakan habis ikhtiar dilakukan oleh mereka yang tidak sebulu dengannya berusaha agar beliau meninggalkan Putrajaya, tetapi tidak berhasil. Mahathir tetap juga bekeras dan kekal dengan jawatannya sehinggalah takdir yang tak dapat ditadbirkan berlaku.

Mahathir menggunakan apa sahaja helah dan makenisme untuk mempertahankan kedudukan dan kekuasaanya. Setiap seteru politiknya atau orang yang ditakuti akan mencabarnya juga diambil tindakan. Satu demi satu dikehel dan dilempar jauh tanpa mengira untung dan rugi kepada perjuangan bangsa.



Beliau juga beliau tidak segan silu menggunakan agensi dan aparat kerajaan bagi mempertahakan dirinya. Paling busuk ialah apabila Mahathir menggunakan mahkamah bagi menyelamatkan dirinya di samping berselindung disebalik sokongan rakyat yang didakwa bersamanya. Mahathir sanggup melakukan sesuatu yang orang lain tidak sanggup dan terfikir melakukannya. Dia berani.

Apa yang dilakukan Mahathir itu adalah antara sifat dan rona buruk orang politik. Mahathir telah meletakkan brand atau memberi ilmu kepada orang politik dan sekaligus menganjurkan agar jangan mudah menurut desakan. Jawatan hendaklah dipertahankan dengan apa cara sekali pun, sama ada ia bermoral atau tidak. Kehendak nafsu perlu dipenuhi terlebih dahulu. Jangan peduli soal caci maki dan maruah diri, yang penting kuasa dapat ditegakkan empayar boleh diperlebarkan gelodak nafsu dapat dilayan.

Bagi Mahathir nama perlu dicatat bukan saja kerana menjulang kemuliaan, kejahatan juga dianggap sebagai satu sejarah.

Perangai Mahathir itu nampaknya kini sudah berjangkit kepada Abdul Khalid Ibrahim, MB Selangor. Khalid sudah menurun Mahathir. Dan Mahathir sudah ada anak murid dalam darjah politik animalnya. Hari ini Khalid membuat kenyataan terbuka yang dia tidak akan meletakkan jawatan sebagai MB Selangor walaupun dia kalah dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden Keadilan.

Kenyataan Khalid itu memberi gambaran sebenar siapa dia Khalid Ibrahim. Khalid sebenarnya seorang bernafsu besar dan tidak tahu menghormati suara demokrasi serta membaca singal-singal kebencian kepadanya. Dia sudah kehilangan radar untuk mengesan segala masalah itu.

Samalah dengan Mahathir walaupun sudah kalah dalam pertandingan merebutan jawatan presiden tahun 1987 ditangan Tengku Razaleigh Hamzah, tetapi dia tetap mengatakan dia menang. Kekalahan itu dinafikan dengan teknikal yang cukup melucukan. Mahathir menerusi instrumen dan kuasa yang ada kepadanya telah menggunakan proses pengiraan undi sebagai bahtera penyelamatnya.

Khalid juga seorang yang tidak ada air muka dan tidak akan peduli kepada mesej-mesej politik. Soal moral dan integriti bukan menjadi hitungan lagi. Apa yang penting dia tegak dengan kuasa dan masih boleh menerima sorakan dan pujaan orang ramai.

Beliau bukan bodoh sebenarnya untuk memahami signal politik, tetapi sengaja mendiamkan diri bagaikan tenggiling untuk menyelamatkan diri. Apa beliau tidak tahu senario yang berlaku dalam Keadilan hari ini, termasuk keriuhan dalam pemilihan, perbalahan dan sebagainya kerana kedegilan beliau untuk memahami mesej politik.

Kelembaban akal politiknya menterjemahkan kebencian orang kepadanya menimbulkan masalah kepada Keadilan. Masalah Keadilan kini memuasat kepada Khalid. Tanpa disedari Khalid sudah menjadi duri dalam daging kepada Keadilan dan buaya tembaga dalam kolam parti berlambang mata itu.

Tidak kena gaya Khalid akan mencatat sejarah parah buat dirinya dan Keadilan. Sekiranya dia terus beperangai persis Mahathir masih mahu menjadi MB Selangor walaupun didesak dan diasak oleh parti, tidak mustahil dirinya akan dikenang sebagai watak-watak Mandalir atau Patih Kerma Wijaya dalam sejarah lampau, dimana orang yang meletakkan kepentingan diri melebihi kepentingan rakyat dan negeri.

Khalid kata dia jadi MB kerana hendak perbaiki sesuatu agar jadi baik? Janganlah beliau berhelah, ulah dan sikapnya di Selangor kini sudah merosakkan keharmonian Keadilan dan juga Pakatan Rakyat. Khalid bukan lagi protogonis tetapi antoginis. Firasat saya Khalid akhirnya akan berpaling tadah dan bakal menganugerahkan sebuah kekalahan buat Keadilan khasnya dan Pakatan Rakyat amnya. [wm.kl.10:06 am 28/06/14]
Post a Comment