Friday, June 20, 2014

Tiada pengumuman Muhyiddin lepas jawatan

ULASAN PETANG                                                                           

Ternyata tidak ada pengumuman atau laporan Muhyiddin Yassin telah meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini. Semalam Muhyiddin menafikan desas desus mengatakan beliau akan meletak jawatan dan mengakui dia masih bersama Najib.

Hari ini pula Najib telah memberi tahu umum yang berita Muhyiddin akan meletak jawatan hanya rekaan di laman-laman sosial semata-mata.

Semalam saya menolak spekulasi berkenaan atas beberapa sebab. Pertamanya tidak ada petanda zahir yang Muhyiddin akan meletak jawatan. Jawatan TPM bukan senang untuk diperolehi. Bagi mereka yang menjadikan jawatan sebagai tempat cari makan dan meraih glamour, tidak sesekali akan melepaskan jawatan itu begitu sahaja, kecuali dipecat.

Dalam hal ini tidak ada sebab untuk Najib pecat Muhyiddin apa lagi diganti dengan sepupunya Hishamuddin Hussein. Mengarut. Berbuat demikian memendekkan nafas Najib sebagai perdana menteri. Najib cukup fahaman akan bahanannya sekiranya beliau menuruti nasihat itu, pecat Muhyiddin ambil Hishamuddin.

Bagaimana pun tidak boleh dinafikan kalau mereka berdua ada masalah sehingga memungkinkan itu. Ini adalah perkara biasa dua pemimpin bertelagah pendapat. Tetapi dalam keadaan politik hari ini dimana Umno tidak sekuat dulu mereka tidak akan mudah untuk bergaduh. Pergaduhan akan "membekahkah" lagi guni Umno yang kian menerik.

Cuma apabila Najib mengatakan desas desus itu sebagai rekaan semata-mata ia menarik untuk difikirkan. Kenapakah ada ilham untuk mereka-reka berita berkenaan? Tentu ia sebab dan asas sendiri? Boleh jadi juga ia untuk memberi isyarat kepada Najib sekiranya beliau terus berbuat keputusan tanpa berbincang dengan Muhyiddin, menyebabkan Muhyiddin akan membuat tindakan ganjil. Manusia bila sudah sampai ke satu peringkat kesabarannya boleh hilang.

Apakah isyarat atau syarat yang diberikan Muhyiddin kepada Najib? Apakah ianya ada kaitan dengan ura-ura Najib untuk melantik pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam jemaah Kabinet? Najib telah berjanji malahan telah pun rezab satu jawatan untuk MCA dan akan membentuk satu lagu jawatan untuk Gerakan.

Muhyiddin sudah diketahui tidak berapa senang dengan cara Najib yang begitu mengambil hati kepada MCA dan Gerakan. Bagi Muhyiddin perbuatan Najib itu tidak banyak memberi keuntungan kepada BN, kerana orang-orang Cina tidak akan mudah beralih sokongan mereka kepada BN hanya dengan memberi jawatan kepada MCA dan Gerakan. Sokongan masyarakat Cina kepada DAP dan Pakatan Rakyat dilihat sebagai satu perubahan politik dalam kalangan orang Cina.

Dalam usaha mengukuh politik Umno, Muhyiddin lebih yakin dan percaya kalau Umno mengambil formula berbaik dengan Pas. Kunjungan Muhyiddin ke Pulau Melaka tidak lama dahulu adalah merintis persefahaman berkenaan? Sebelum ke Pulau Melaka Muhyiddin sudah bertemu sekurang-kurang tiga kali dengan beberapa pemimpin Pas.

Boleh jadi juga Muhjyiddin tidak senang dengan cara Najib yang bermurah hati dengan MCA kerana MCA sebelum ini telah beriya-iya untuk tidak menyertai kabinet Najib disebabkan kalah teruk dalam pilihan raya. Bagi Muhyiddin pendirian itu sebagai satu janji yang perlu ditepati oleh MCA sehinggalah parti itu mendapat kemenangan dalam pilihan raya.

Tidak ada sebab untuk Najib melayani MCA untuk diberikan jawatan kabinet hanya apabila parti itu sudah bertukar pemimpin. Pengisian jawatan kabinet itu boleh menjejaskan peluang dan kedudukan orang Melayu.

Tanpa MCA itu juga membolehkan Melayu mendapat kerusi lebih dalam kabinet. Selain itu Muhyiddin juga kurang bersetuju dengan cara Najib memberi budi yang banyak kepada rakan BN di Sabah dan Sarawak. Bagi Muhyiddin cara Najib bermain politik semacam sedia menggadaikan bodi kerana mengharapkan kuasa.

Boleh jadi kalau Muhyiddin tidak senang dengan Najib disebabkan kurang seronok dengan cara orang Cina khususnya MCA bermain politik. Muhyiddin, boleh jadi juga cukup sedar bahawa politik MCA tidak jauh dan tidak beza dengan politik orang Cina di dalam DAP. Maka itu kalau beliau kurang senang dan kurang bersetuju dengan pendekatan Najib.

Tetapi kalau sampai hendak berundur dan memberi tumpuan kepada parti, saya tidak fikir ia dibuat Muhyiddin kerana tindakan itu meletaklan beliau seperti di tubir gaung yang dalam. Kedudukan itu akan menggolekkan beliau jatuh ke bawah dan tidak menguntungkannya. Cara paling baik bagi Muhyiddin ialah menahan sabar dan beliau tidak perlu bimbang kepada tindakan Najib meemcatnya kerana PM itu tidak akan berani berbuat demikian.

Cerita Muhyiddin dan Najib bermasalah adalah reakaan yang boleh menjadi kenyataan. Tetapi tidak dalam masa sehari dua ini. [wm.kl.6:02 pm 20/06/14]
Post a Comment