Friday, June 13, 2014

Pas jangan terlena dengan dodoian Islam Umno

PANDANGAN                                                                                  

Surat jemputan agar hadir forum.
Malam ini akan berlangsung satu forum dakwah di Balai Islam Lundang, Kota Bharu yang menampilkan tiga ahli panel, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah, Menterid di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Bahrom dan MT Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Forum itu katanya sempena dengan Karnival Hijrah yang menjaluri program dakwah negara. Kabur, siapakah penganjurnya, apakah kerajaan negeri Kelantan atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau pun anjuran bersama?

Sememangnya Islam menggalakan diadakan forum atau wacana ataupun muzakarah bagi mencari idea untuk mengembang serta memperhebatkan dakwah Islamiah. Justeru kewujudan forum berkenaan wajar dalam konteks kemaslahatan agama. Apa lagi menjadi kebiasaan umat Islam, menjelang Ramdhan pelbagai kegiatan dan aktiviti agama diadakan, bagi menyemarakkan sambutan Ramadhan al Mubarak. Kueh mueh juga akan banyak pada bulan Ramadhan.

Dengan berlangsungnya forum dakwah di Balai Islam Lundang itu malam ini, bermakna sudah dua program bersama antara kerajaan Kelantan dan kerajaan Persekutuan (Jakim), atau dalam erti kata lain antara Pas dengan Umno diadakan.

Sebelum ini majlis tilawah membaca al Quran peringkat kebangsaan diadakan di tempat berkenaan yang merupakan julung-julung kali kerajaan Kelantan terlibat dalam tempoh lebih 50 tahun. Kerjasama itu memberi kesan sosiopolitik kepada rakyat Kelantan.

Kita yakin selepas ini akan banyak lagi program bersama antara kedua pihak akan diadakan demi kemajuan Islam dan kepentingan bersama. Diharap ia bukan sahaja mencakupi skop Islam tetapi dalam aspek-aspek lain juga yang lebih pintar.

Cuma apa yang menjadi sedikit kemusykilan, apakah dalam situasi sekarang dan Kelantan telah lama disebut sebagai Serambi Makkah, forum-forum dakwah seperti itu masih perlu diutamakan berbanding dengan forum-forum keilmuan dalam bidang lain; politik, pentadbiran, perniagaan, strategi dan sebagainya? Apakah sesudah berdekad menjadi kerajaan, pemimpin masih cetek dengan ilmu dakwah dan pendidikan dan 'berbolot' dengan idea yang stereotype?

Mengenai forum malam ianya seperti mendapat restu besar daripada Pas Kelantan apabila Badan Perhubungan Pas Kelantan sendiri telah membuat jemputan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Pas di dalam semua peringkat agar hadir ke forum berkenaan. Cara jemputan itu mencerminkan forum malam ini sungguh penting sekali. Mungkin surat jemputan seperti itu tidak dikeluarkan semasa majlis tilawah membaca al Quran dahulu? Surat jemputan berkenaan telah tersebar luas di internet.

Forum malam ini seperti disediakan khas untuk kepimpinan Pas bukan untuk orang awam atau agensi-agensi separuh kerajaan dan sebagainya.

Cara jemputan itu dibuat dengan notis singkat menyerlahkan ia penting bagi menjamin forum itu mendapat sambutan. Di sini bukan hendak mempertikai tujuan dan prejudis dengan forum berkenaan, kalau ia berniat baik, alhamdulilah, tetapi apakah jemputan sama juga berlaku dipihak kerajaan Persekutuan (Jakim) terhadap para pemimpin Umno Kelantan. Apakah semua lapisan kepimpinan Umno diundang sama atau ianya hanya berlaku kepada Pas sahaja?

Sekiranya forum itu ditumpukan kepada ahli-ahli dan pimpinan Pas, sudah tentu ia membawa motif tertentu yang mungkin jika diterjemahkan di sini boleh menimbulkan keadaan yang tidak baik. Sepatutnya dalam hal ehwal dakwah ini ahli dan penyokong Umno yang patut diberikan penerangan lebih luas berbanding dengan orang Pas. Yang lebih wajar menjadi ahli panelnya pula ustaz-ustaz haraki dan seleberiti Pas bukan pemimpin Umno.

Apabila ia meletakkan dua panelis dari Umno sudah tentulah prinsip dan konsep dakwah yang diframekan oleh Umno banyak didedahkan. Secara halus juga forum itu akan diselit dengan pendekatan-pendekatan (uslub) dakwah dan politik Umno. Elemen-elemen sebegini perlu diberi perhatian untuk tidak memerangkapkan ahli Pas atau mereka akan menjadi terkeliru apabila ianya bertentangan dengan prinsip dan uslub (pendekatan) dakwah yang diterima selama ini.

Dalam pada itu difahamkan dalam forum tersebut isu hudud tidak dibenarkan ditimbulkan sama sekali. Kenapa? Bukankah hudud menjadi isu yang laris, popular dan masih menjadi persoalan umum mengenai untung nasibnya. Tidak sepatutnya kalau isu hudud dihalang untuk diwacanakan malam ini.

Jika isu utama itu dibekukan kerana alasan ia telah diserah kepada Jawatankuasa Teknikal, jadi apakah mauduk besar penganjur disebalik forum berkenaan? Apakah yang hendak dibincang dan dijelaskan? Saya tidak mahu membuat predicition di sini, cuma kalau forum itu setakat untuk memberi penjelasan kepada umum khasnya kalangan pemimpin Pas yang hadir betapa umat Islam disuruh bersatu padu, memperatkan talisilaturahim, rasa perkara itu sudah menjadi macam, peraih etak di tepi-tepi jalan sahaja. Ia adalah pandangan dan pendapat tradisi yang sudah lunyah untuk disebut.

Dengan bersangka baik terhadap forum malam ini, adalah diharapkan kerjasama menerusi forum sebegitu antara Pas dan Umno perlu juga diperluaskan kepada aspek lain yang disebut di atas tadi. Bahkan aspek itu lebih diperlukan dalam konteks pembangunan sosiol ekonomi dan politik di Kelantan hari ini. Wacana politik baru yang menampilkan Musa Hitam dengan Husam Musa tempoh hari misalnya perlu lebih diperbanyakkan kerana ia menyuntik ilmu dan pengetahuan politik kepada generasi baru.

Selepas ini hendaknya akan ada ada pula forum mengenai royaliti minyak, forum lebuh raya, atau forum perumahan rakyat, forum mengenai kelestarian alam sekitar, forum pencegahan jenayah dan pil kuda serta lain-lain forum lagi yang mencakupi bidang lebih luas dan utama dari berkisar di dalam jerumu dakwah yang bersifat tradisi dan konvensional.

Rakyat Kelantan akan lebih merasakan ada faedah dan manfaatnya menyertai forum-forum sedemikian berbanding dengan forum dakwah tradisi atau syarahan agama ala-ala raja lawak. [wm.kl.12:12 pm 13/06/14]

2 comments:

Alparok Minyok said...

Pelanduk PAS mulai mendekati JERAT UMNO..kerana TG Nik Aziz dah tak ada GIGI...

rmj said...

Insya Allah..Kelantan akan kembali pada Umno(BN) pada PRU 14 nanti..