Monday, June 30, 2014

Pecat Dr Redzuan Umno tidak yakin diri

SUSUPAN T HARI                                                                                

Hari ini kita dikejutkan dengan laporan mengatakan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) yang juga Pengarah UMcedel Dr Redzuan Othman akan meninggalkan UM? Berita awal menyebut Redhuan telah melepas jawatan itu atas arahan Kementerian Pendidikan.

Dr Redzuan Othman
Kontraknya sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial yang tamat hari ini juga tidak disambung.

Kalau berita ini benar satu kemalangan buat dunia akademik di negara ini kerana kehilangan seorang tokoh yang berkhidmat penuh profesionalisme.  Dr Redzuan menerusi UMcedel sebuah badan kajian awam sosial politik telah banyak membuat kajian dalam isu sosial dan politik dimana dapatannya memberi faedah kepada banyak pihak.

Bagaimana pun dapatan dan kajian UMcedel itu tidak disenang Kementerian Pendidikan apabila dapatan dalam kajian tidak memihak kepada kerajaan.


Alasan itu sebenarnya dangkal dan tidak mencerminkan sebuah kementerian yang mengutamakan integriti, ketinggian ilmu, tatabudi dan rasional. Walaupun hasil kajian dibuat oleh UMcedel tidak memihak sepatutnya ia diterima dengan baik dan dijadikan indikator atau panduan untuk membaikkan keadaan kerajaan.

Kerajaan nampaknya mahu menjadikan UMcedel seperti Kemas ataupun badan kajian (propaganda) Umno yang menyediakan kajian menunjukkan prestasi Umno baik sepanjang masa. Sudah tentu sebagai badan kajian dikendali oleh akademis ia tidak boleh berbohong atau membuat kajian berpihak kerana ia boleh menjejaskan maruah pusat pengajian itu.

Bertindak atas alasan itu menggambarkan pihak kerajaan bersikap anti akademik, suka dibodek dan para pemimpinnya berbuat tidak serupa yang dicakap. Kepada khalayak, kerajaan melaung-laungkan keadilan, kebebasan bersuara, tetapi dalam masa lain menutup rapat pintu kebebasan, bahkan orang yang cuba memperjuangkan kebebasan dan bersuara secara rasional dikenakan tindakan dan tekanan.

Nasib yang diterima oleh Dr Redzuan Othman itu sudah tentu menimbulkan kemarahan kalangan orang merindui kebebasan. Dunia akademik juga akan bergelora dengan apa yang berlaku itu dan ia akan disifatkan satu lagi bentuk pengengkengan ke atas dunia akademi.

Sebelum ini bekas pensyarah Kuliyah Undang-undang UIA Dr Abdul Aziz Bari mengambil tindakan sama apabila beliau ditekan dan kebebasannya bersuara menurut kepakarannya tidak disenangi oleh majikannya. Kerana menghormati kepada prinsip, akhirnya Aziz bertindak meletak jawatan dan keluar dari UIA.

Tindakan diambil Dr Aziz itu menyebabkan UIA kehilangan seorang profesor yang handal dalam bidang undang-undang dan perlembagaan negara.

Apa yang berlaku ke atas Dr Redzuan itu adalah kesenimbungan apa yang dilakukan ke atas Dr Aziz Bari. Tindakan-tindakan sebegini menunjukkan akan kesempitan pemikiran kerajaan dalam politik dan cuba menghapuskan kebabasan bersuara semaksimanya. Tindakan ini menampakkan pihak kerajaan terutamanya Najib Razak tidak yakin dengan kemampuan diri yang ada, lantaran itu kena menggunakan berbagai prosuder sebagai senjata mempertahankan diri.

Ternyata tekanan ke atas Dr Redzuan sehinggakan beliau meletak jawatan tidak disenangi golongan akademik dan mereka yang cintakan kebebasan. Felow penyelidikan UM, Saifuddin Abdullah yang juga bekas Timbala Menteri Pengajian Tinggi telah meletakkan jawatannya sebagai protes ke atas tindakan terhadap Dr Redzuan itu.

Dipercayai selepas ini dunia akan akademik yang sudah lama ditekanan dan "dibirokrasikan" oleh kerajaan tetapi masih tenang, akan mula bergolak. Badan-badan akademik dan persatuan kakitangan universiti akan memerhati apa yang berlaku dengan penuh minat. Kalaupun persatuan akademik dan kakitangan universiti tidak berani berdada, tetapi setidak-tidaknya dalam hati mereka mengutuk terhadap apa yang berlaku.

Tekanan kepada Dr Redzuan itu dilihat satu lagi cara macam mana kerajaan UBN menerusi Kementerian Pendidikan ingin "memondakan" golongan pelajar di negara ini. [wm.kl.1:07 pm 30/06/14]
Post a Comment