Bila ditanya kepada saya apakah perlu Husam Musa bersemuka alias berdebat dengan Mustapa Ali, saya dengan pantas menjawab tidak perlu. Husam khasnya tidak payah layan cadangan Mustapa itu. Bagi saya perdebatan untuk apa sekali pun menerusi pentas politik ia tidak memberi kebaikan, sebaliknya membawa banyak keburukan. Perdebatan di khalayak dalam dunia politik tidak pernah mencapai hasil yang baik. Perhatilah kepada sejarahnya.
Mustapa Ali |
Husam Musa |
Dari segi usia dia bertaraf abang kepada Husam. Kenapa beliau tidak menggunakan status itu untuk mengajar dan mendidik adiknya yang kalau sudah boleh dianggap telanjur. Mustapa harus bertindak sebagai abang bukan peguam bela kepada Hadi.
Takiyuddin Hassan |
Apakah perlu bagi Mustapa berbuat begitu. Kalau dia berhajat hendak membela Abdul Hadi dan menjaga aib presiden Pas itu, sebenarnya tidak payah untuk berdepan dengan Husam dengan mengajaknya bersoaljawab. Cukup beliau membuat penafian menerusi media massa sahaja atau paling baik mendiamkan sahaja. Habis cerita tutup riwayat. Tetapi kenapa harus bersemuka, berdebat di pentas? Apakah Mustapa sudah kempunan untuk naik pentas kerana sudah lama tidak diundang naik pentas?
Mungkin Mustapa mengira naik pentas bersama Husam akan mendapat khalayak, pendengar dan penonton yang ramai. Begitukah? Jadi Mustapa hendak berdebat kerana nak dia diingati atau perlepas angin?
Kalau itulah tujuannya, tidak payah. Dangkal sangat cara Mustapa berpolitik. Dan tidak perlu juga untuk Husam menyahut cabaran Mustapa itu. Husam tidak akan dilihat penakut kalau pun beliau tidak berdebat mempertahankan hujah-hujahnya. Seperti mana yang Husam jelaskan dalam kenyataannya, sanggup bersumpah bagi mempertahankan hujahnya, tetapi dengan syarat Hadi juga berbuat begitu. Husam tidak mahu kalau dia bergusti bersendirian.
Husam bukan seorang yang bodoh untuk menumbuk bayang-bayang.
Sudah cukup jawaban itu. Saya tidak mengira Abdul Hadi akan bersedia untuk berdebat, bukan kerana dia sudah terperangkap dan takut, tetapi kalau keputusan itu diambil dengan berhemah, keputusan mendimakan diri adalah keputusan bijak, dan bersikap sebagai seorang ayah. Dalam soal ini baik Husam maupun Hadi perlu meletakkan untung rugi parti lebih utama daripada mencari glamour. Bertindaklah secara bijaksana.
Khabarnya Pas sudah melarang mereka berdua berdebat. Larangan itu tepat dan betul. Alasan keduanya mereka adalah ahli Pas. Tahniah Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan kerana berani membuat tindakan dan larangan tepat dan adil. Takiyuddin nampak apa baik dan buruknya kalau Mustapa dan Husam dilepaskan ke tengah gelanggang. Sakit dan malunya bukan sahaja kepada Pas kepada Husam juga. Ibrabat orang bergocoh, kedua akan kena (sakit), kalau tidak berat pasti ringan. Tidak ada dalam pergocohan hanya seorang yang sakit dan yang lain tidak.
Larangan dibuat Takiyuddin itu adalah untuk kebaikan kedua pihak, terutamanya kepada Pas. Kalau Husam kata larangan itu bagi mengelakkan terbongkar banyak perkara, betul juga. Eloklah apa-apa yang bakal dibongkar menerusi debat itu dibendung demi menjaga maruah parti agama itu. Dan Pas kena akui dengan tanggapan Husam itu dan terus tetap menerima larangan Takiyuddin itu.
Tugas Setiausaha Agung memang begitu, menjaga keutuhan dan kepaduan dalam parti. Dalam hal ini saya secara peribadi menganggap keputusan dibuat Takiyuddin itu sebagai bijak, berpandangan jauh. Uusah peduli dengan definasi negatif mana-mana pihak dengan larangan itu, ia tetap sebagai satu tindakan yang first class. Seharusnya lebih ramai dalam Pas orang berfikir seperti Takiyuddin.
Dan kalau Pas ingin juga mendapat penjelasan Husam, berhubung dakwaan beliau itu, baik terhadap Abdul Hadi maupun mengenai kerajaan Kelantan, panggil dan hadap beliau ke dalam Dewan Harian. Saya yakin Husam sedia untuk hadir. Nah ketika itu soal dan tanyalah Husam sampai terberak. Kalau pun bertengkar, bergaduh dan menangis, hanya dalam dewan harian sahaja, ia tidak sampai ke telinga musuh. Rahsia parti harus dijaga itulah orang panggil fatanah.
Saya ingin ulang sekali lagi, Pas jangan pandang remeh kepada Husam. Terimalah teguran Husam dengan terbuka sebagai satu islah bukan satu pengkhiatan kepada Pas. Tegurannya tetap ada hikmah kepada Pas dan pemimpinnya. Manakala para pencacai Pas pula harus bijak dalam politik. Baik juga bagi Pas untuk menyelidiki apakah mereka yang sengaja melaga-lagakan pimpinan sesama sendiri sebenarnya penerima upah daripada musuh Pas?
Musuh dalam selimut bagi Pas bukan mereka yang mengkritik untuk kebaikan tetapi orang yang memuji dan mengampu secara senyap.
Di sini saya ingin bertanya kepada timbalan presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, apakah peranan dan tanggungjawab Tuan? Masalah dalam parti bukan boleh diatasi dengan berdoa sahaja. Bertindak dan jadilah mediator yang baik dan jujur, anda layak dan memang diharapkan untuk berbuat begitu. Sia-sialah anda berada di situ kalau setakat menjadi penglipura lara semata-mata. [wm.kl.4:51 pm 20/11/15]
No comments:
Post a Comment