Wednesday, November 18, 2015

Kalau lagu ni mampos Pas...


LAPORAN LEWAT

Orang ramai mengikut dialog Husam menerusi kelir.
Semasa berlangsung majlis dialog Husam Musa "Demo Tanya Ambo Jawab" di Bandar Kota Bharu saya sengaja tidak masuk ke dalam dewan berkenaan. Kebetulan dalam dewan penuh "pepak" jadi saya berada di luar guna untuk melihat dan meninjau orang ramai.

Di perkarangan bangunan Kelab Suara Muda tempat berlangsung dialog itu juga "penuh penar" sehingga hampir menutupi jalan raya berkenaan.


Suasana himpunan malam itu persis suasana di Dataran Ilmu tempat Allahyarham Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajar dan memberi kuliyah minggunya setiap Jumaat. Melihat keadaan itu teringat kepada Tokguru.

Saya menganggarkan hadirin malam itu lebih 2,500 orang seramai seramai yang mendengar kuliyah Tokguru. Jumlah itu dikira memuaskan kalau dibandingkan dengan suasana hari ini. Menurut pemerhati jumlah itu adalah teramai setakat ini berbanding dengan majlis-majlis politik lain, baik yang dianjurkan oleh Pas Kelantan maupun Amanah yang mengadakan road show di beberapa jajahan di Kelantan.

Orang ramai memenuhi sepanjang jalan.
Husam sudah menjadi satu fenomena di Kelantan sejak ke belakangan ini dan penampilannya di khalayak ramai ditunggu-tunggu. Perkara ini perlu disedari oleh Pas dan juga mereka yang mendendaminya.

Sanggup berdiri untuk dengar dialog Husam.
Apabila majlis berlangsung kira-kira 2 jam itu selesai, saya beredar sambil membuntuti sekelompok hadirin yang berjalan pulang. Kumpulan pertama yang saya turuti itu bercampur antara mereka berusia lebih seabad dan anak muda. Sambil berjalan mereka mengulas majlis berkenaan.

"Kalau lagu ni mampos Pas Kelantan," kata salah seorang dari kumpulan berkenaan. Saya percaya dia merujuk kepada sambutan majlis berkenaan yang luar biasa.

"Kawan rasa gitu juga," jawab yang seorang lain bersetuju dengan pandangan kawannya itu.
Dalam dewan penuh sesak melimpah ke luar.
Saya mendengar dan mengikuti dari belakang penuh minat.

"Kalau Husam round Malaysia, rasanya teruk Pas," kata yang pertama tadi dengan membawa pandangan sedikit ke luar Kelantan. Dia dapat mengagak apa akan menimpa Pas dengan suasana malam itu.

"Kawan tengok budak-budak muda yang ramai tadi," balas yang seorang lagi.

"Memang orang muda minat Husam," balas pulak yang seorang lagi sambil menambah, kalau tidak dia (Husam) sapa lagi yang diharap. Dialah yang dikira memahami kehendak orang mudah."

Saya setuju dengan pendapat itu. Memang kebanyakan yang hadirin ialah anak-anak muda. Lebih separuh orang muda, manakala yang veteran pula semacam orang pencen sahaja atau kalangan cerdik pandai. Kehadiran kaum wanita juga boleh kira ramai juga.

Beberapa anak muda yang berani menyapa saya menjelaskan suasana itu. Dua tiga orang yang datang bersalam dan menyedari kehadiran saya mengakui akan perkara itu.

Misalnya dua anak muda di Tanah Merah, mengakui dia tidak aktif dalama parti tetapi minat dengan Husam. Baginya Husam adalah idola anak muda di Kelantan. Begitu juga dengan seorang anak muda dari Kuala Krai. Katanya dia sanggup datang kerana ingin memberi sokongan kepada Husam. "Saya percaya apa yang Husam dedahkan benar berlaku," jelasnya. Dan yang paling jauh datangnya dari Sungai Petani Kedah, mereka sanggup bekereta semata-mata untuk mendengar dialog Husam.

Berbalik kepada kumpulan tadi, ketika mereka membelok ke jalan menuju ke Bulatan Tuan Padang, manakala saya pula mengambil ke jalan sebelah kiri saya terdengar seorang dari mereka berkata; Datuk Mat Yakob dan Datuk Nik Amar kena jawab. Kalau tak jawab... teruk Pas." Saya faham kata-kata itu berkenaan dengan beberapa dakwaah Husam mengenai kelemahan dan salah guna kuasa dalam kerajaan seperti isu pembalasakan dan juga Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK).

Ertinya beberapa isu yang dibangkitkan Husam sudah mula ditelan oleh rakyat Kelantan. Mereka bersetuju dengan Husam. Ini semua kerana mereka mengenali akan kemampuan Husam dan juga wibawanya sebagai pemimpin. Mereka menjadi lebih percaya lagi kerana mengenangkan Husam pernah duduk dalam kerajaan. Lagi pun Husam tidak akan bercakap sesuatu yang beliau tidak tahu. Husam dikenali sebagai seorang pentadbir dan perancang politik dan ekonomi khususnya di Kelantan.

Selepas itu saya tidak dengar lagi apakah dialog mereka. Dari perbualan anak muda itu saya menyimpulkan mereka berpuas hati dengan jawaban yang diberikan Husam. Berpuas hati apabila Husam menjelaskan kenapa dia menegur kerajaan Kelantan. Berpuas hati apabila Husam mengatakan dia berbuat begitu kerana sayangkan kerajaan Kelantan dan bukan untuk dirinya.

"Saya tegur kerana saya hendak selamatkan hak rakyat, saya sayang kepada negeri ini," begitu laung Husam penuh emosi.

Dan apa yang sangat memuaskan hati mereka dan segenap yang hadir malam itu apabila Husam mengatakan dia sedia bersumpah atas apa-apa yang didedahkan itu termasuk juga rancangan untuk menyatukan Pas dengan Umno jika diminta berbuat demikian. Kesediaan Huam ini disambut dengan laungan takbir Allahuakbar.

Saya ada pandangan tersendiri mengenai majlis malam itu. Saya ingin rumuskan di sini, tindakan Husam itu mendapat sambutan rakyat dan menjadi satu masalah besar kepada kerajaan Kelantan. Keberaniannya tanpa mempedulikan keselamatan dirinya, menyebabkan rakyat Kelantan menunggu-nunggu apakah pendedahan beliau seterusnya. Apakah yang menanti itu orang Pas atau Umno, tetapi itu adalah hakikatnya.

Paling gembira dengan tindakan Husam tentulah Umno. Cara Husam itu memberi peluru hidup kepada Umno. Ada juga yang menyifatkan Husam sebagai sepak bola ke dalam gol sendiri. Umno tidak perlu bersyarah atau membuat propaganda lagi untuk melawan Pas, cukup dengan apa yang Husam lakukan. Makanya Pas Kelantan perlu berbuat sesuatu membendung tindakan Husam seterusnya. Ahmad Yakob terutama perlu memikir sesuatu dan tidak membiarkan Husam bebas mendedahkan apa-apa yang diketahui.

(Dan orang yang mengatakan Husam menendang bola ke dalam pintu gol sendiri juga harus membuat kajian dengan penuh adil dan terbuka kenapa Husam tersalah sepak bola itu. Jangan hanya tahu menuduh tetapi tidak mahu mengetahui sebab musababnya. Kalau hendak menjadi seorang pengulas biarlah adil dan saksama serta profesional).

Saya yakin apabila Husam sudah sedia melakukan "harakiri" dia akan mendedahkan perkara lebih besar dari itu. Jadi sebelum ia "memborak" eloklah dibendung. Semua pihak juga perlu sedar bahawa apa yang bekas Naib Presiden Pas itu lakukan bukan untuk kepentingan dirinya, tetapi untuk Kelantan. Jadi kalau dia membuat teguran untuk maslahat bersama, kenapa tidak mahu menerimanya?

Sebaiknya Ahmad Yakob panggil Husam dan adakan pertemuan secara anak beranak. Saya jamin Husam sedia untuk hadir asalkan niatnya baik. Isu yang dibangkitkan oleh Husam dan masalah Husam hanya boleh diselesaikan di Kelantan tidak perlu dibawa ke Kuala Lumpur. Ahmad dan pimpinan Pas Kelantan kena menerima masalah dibawa Husam adalah masa personal Pas Kelantan yang tidak perlu dicampuri oleh Pas luar yang sangat tidak memahami hati naluri orang Kelantan. Politik Kelantan sangat unit dan difficulty.

Ingatan saya, jangan hendaknya Husam terus dicabar kerana kalau dicabar beliau akan menyambutnya dan keadaan menjadi lebih parah lagi. Bagi Husam kalau dia melakukan tindakan lebih teruk daripada apa dilakukan sekarang dia tidak kerugian apa-apa sebaliknya mungkin Pas Kelantan akan menanggung masalah besar.

Saya sangat bimbang ketidakpedulian kepada Husam dan serangan balik terhadapnya, akhirnya menyebabkan rakyat akan bersimpati dengannya. Sejarah lampau yang berlaku ke atas Pas Kelantan terhadap apa yang berlaku dizaman Mohamad Nasir hendaklah diingati. Mohamad Nasir dilempar oleh Pas, tetapi beliau diterima sebagai wira oleh rakyat Kelantan. Dan dengan keperwiraan Mohamad Nasir itu akhirnya menyebabkan kerajaan Pas jatuh.

Lainlah kalau Pas sudah berkira untuk berkerja sama dengan Umno, Pas boleh lupakan begitu sahaja Husam tanpa merawatnya. [wm.kl.9:36 am 18/11/15]

No comments: