Monday, April 11, 2016

Khabar angin politik yang seronok didengar

SELOKA PAGI

Berbagai-bagai khabar angin politik bertiup dan ditiupkan sehingga mengusik minda orang politik. Orang politik yang tidak ada pengetahuan dan cetek penilaian mengenai perang saraf politik akan mudah tersentuh dengan khabar-khabar angin politik itu. Sebaliknya bagi mereka yang sudah masak dengan sepak terajang politik akan membiarkan sahaja khabar angin itu berlalu atau mendengar pomimeknya dari jauh.

Ia dianggap tidak lebih daripada gimik murahan politik.

Ada macam-macam khabar angin yang tersebar dan diperkatakan saat ini. Paling baharu ialah kononnya bekas ketua Angkatan Muda PKR, (lupa nama) akan membuat come back untuk menyertai semula PKR. Satu perbincangan antara bekas ketua yang juga pelopor sumpah pemuda itu, kemudian dilanggarinya, telah diadakan dengan presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Mungkin bagi mereka yang tidak pernah membaca sejarah hidup bekas pegawai Anwar Ibrahim itu akan mempercayainya dan respons kepada khabar berkenaan. Tetapi bagi orang yang menuruti jejak politik pemaling tadah itu hanya akan tersenyum. Apa lagi bagi mereka yang pernah mendengar ceramahnya di pinggir sungai Sarawak tahun 2011, akan menerima khabar angin politik itu sebagai cerita lucu yang tidak ada plot sahaja.

Apa yang pernah dituturkan oleh bekas ketua pemuda terhadap Dr Wan Azizah lima tahun lalu boleh menyebabkan Azizah akan "berdendam" dengannya lebih teruk dariapda dendam dan kebenciannya kepada Dr Mahathir Mohamad kerana memusanahkan kerjaya politik lakinya.

Selain dari itu ada pula khabar angin politik di Kelantan, kononnya 10 orang Adun akan meninggalkan Pas sekiranya bekas Naib Presiden Pas Husam Musa yang peta politiknya kini tidak menentu dipecat daripada parti itu.

Itu juga khabar angin politik yang tidak ada plot yang jelas. Saya menganggap mereka yang menjual cerita itu sebagai orang yang ingin berniaga tetapi tidak cukup modal. Maka modal dicari untuk membuka kedai bagi menarik pelanggan. Modalnya dengan menjaja berita kononnya ada Adun akan berpaling tadah.

Khabar angin politik yang juga hangat diperkatakan ialah kononnya MB negeri di Selatan tanah air sedang diusahakan untuk disingkirkan. Kononya ada gerakan penyingkiran MB itu yang dilakukan oleh seorang timbalan menteri yang digambarkan berminat unuk menjadi MB negeri itu. Kini isu itu sudah riuh randah sehinggakan ketenangan air di selatan berhampirannya terganggu.

Itu juga khabar atau angin politik yang disebarkan begitu rupa. Berbanding dengan dua khabar angin politik di atas tadi, khabar angin ini ada sedikit asasnya. Tetapi statusnya tidak jauh berbreza.

Khabar angin politik seterusnya dan ini paling menarik dan dinanti-nanti oleh setengah orang, ialah yang melibatkan dua tokoh politik. Khabar ini lebih menarik dan merujakan perasaan orang mendengarnya. Satu kononnya Tengku Razaleigh Hamzah akan mengganti Najib Razak dalam beberapa bulan ini. Tempoh yang disebut secara spesifik ialah selepas Raya Aidifitri.

Asas kukuhnya tidak ada, tetapi dibina dengan persepsi tertentu demikian rupa. Ceritanya tetap sama dengan versi cerita-cerita Tengku Razaleigh akan mejelma menjadi PM sebelum ini. Secara ajaib?

Kononnya pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah itu atas kehendak Yang di-Pertuan Agong. Khabar angin ini berlegaran secara senyap dari mulut ke mulut sahaja. Ketidakhadiran Tengku Razaleigh di Kongres Rakyat dan penandatangan deklarasi Umno Kelantan sokong Najib dijadikan alasan dan pegangan?

Kononnya Tengku Razaleigh meralatkan kehadirannya bersama Dr Mahathir untuk mengelombangkan gerakan menyingkirkan Najib kerana ahli parlimen itu telah dibisikkan sesuatu yang melunakkan gelinganya oleh Najib. Benarkah begitu? Masakan Tengku Razaleigh mudah tertidur dengan bisikan itu?

Satu lagi khabar angin politik juga berhubung jawatan PM. Kali ini terbabit dengan Anwar Ibrahim. Kononnya perundingan sedang dilakukan. Anwar akan dibebaskan awal bagi membolehkan dia worm-up untuk mengambil alih jawatan PM. Termasuk dalam agenda itu juga beliau akan diberi pengampunan atau pun tahanan kediaman seperti Khir Toyo.

Selepas Anwar sihat dan pulih seperti sedia kala beliau akan diberikan jawatan itu. Zahid Hamidi yang masih keteloran Jawa bila bercakap Inggeris tidak berkeupayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai PM. Kononnya juga perundingan telah diadakan. Isteri Anwar sudah beberapa kali berjumpa dan berunding dengan Zahid Hamidi?

Itu pun khabar angin politik yang menarik juga. Setengah qaul dalam PKR mempercayai dan menyakini akan berlaku proses berkenaan. Kepercayaan ini juga seperti digambarkan oleh Dr Wan Azizah. Keengganan Dr Wan Azizah untuk tidak bersama Dr Mahathir memberi gambaran itu bahawa beliau lebih percaya kepada Zahid daripada Mahathir. [wm.kl.10:42 am 11/04/16]
Post a Comment