Saturday, April 9, 2016

Rafizi cerita polis yang suruh dia letak tangan di belakang

KENYATAAN

Wira muda negara Rafizi Ramli telah mengeluarkan kenyataan khas berhubung "kontroversi" kononnya beliau berlakon tangannya digari semasa diiringi sekawan pegawai polis. Beliau dituduh cuba meraih simpati dengan perbuatan itu dan digambarkan sebagai seorang pembohong.

Beliau juga mencabar Khalid Abu Bakar agar membuat kenyataan dia berbohong sekali lagi membolehkan beliau mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang kepada Ketua Polis Negara itu.

Berikut adalah adalah kenyataan penuh Rafizi yang dihantar ke email saya.

9 APRIL 2016
PEGAWAI POLIS WAJAR DIBERI KEBEBASAN MEMBUAT KEPUTUSAN MENGENDALIKAN TAHANAN TANPA CAMPUR TANGAN PIHAK ATASAN ATAU PIHAK LAIN

Saya merujuk kepada kenyataan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara yang dilaporkan oleh Malaysiakini ( http://www.malaysiakini.com/news/337038 ) serta pelbagai komen dan tuduhan yang dibuat kononnya saya “berlakon” digari untuk cuba meraih simpati dari rakyat.

Saya dimaklumkan oleh pegawai-pegawai bertugas dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) yang ditugaskan menyiasat kes saya bahawa saya dikehendaki meletakkan tangan di belakang dan akan dipegang oleh pegawai-pegawai polis yang mengiringi saya ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada hari Rabu, 6 April 2016.

Perbincangan ini berlaku sekitar jam 1130 pagi di Bilik Persidangan JSJK di Menara 238, Jalan Tun Razak dengan kehadiran peguam saya Saudara Mohd Faizal Abdul Rahman.

Saya memberi pendapat adalah lebih baik saya digari untuk mengelakkan pegawai-pegawai polis yang mengendalikan saya dikecam oleh pihak Umno dan pegawai tertinggi polis kerana ia pernah berlaku sebelum ini sekiranya dilihat ada kelonggaran diberikan kepada saya. Peguam saya pula memaklumkan bahawa oleh kerana keputusan menggari itu adalah budi bicara pegawai polis yang bertugas, beliau mengesyorkan supaya saya tidak digari.

Akhirnya kami bersetuju bahawa saya meletakkan tangan di belakang tanpa digari mengikut arahan yang diberikan pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan mengendalikan saya.

Saya ingin melahirkan rasa kecewa apabila soal sama ada saya digari atau tidak telah dipolitikkan lsewenang-wenangnya sedangkan isu yang lebih besar iaitu penyelewengan 1MDB, salahguna Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk melindungi penyelewengan dan kelewatan pembayaran caruman LTAT pesara tentera cuba ditenggelamkan oleh isu ini. Malah ada yang memfitnah saya kononnya saya berlakon digari untuk meraih simpati rakyat.

Saya yakin saya tidak perlu berlakon untuk meraih simpati rakyat kerana sebahagian besar rakyat adalah bersama-sama saya selagi pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak berterusan menekan rakyat.

Saya juga ingin menyeru semua pihak (baik Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, baik rakyat atau pegawai tertinggi PDRM) supaya berhenti mempolitikkan layanan terhadap seorang ahli politik apabila beliau ditahan oleh PDRM atau mana-mana pihak berkuasa.

Pandangan peribadi saya ialah seorang ahli politik perlu diberi layanan yang sama seperti rakyat biasa yang lain – tidak lebih dan tidak kurang. Malah, pegawai-pegawai polis yang diberi tanggungjawab mempunyai budi bicara untuk menentukan sama ada seorang ahli politik itu digari atau tidak, selagi budi bicara itu tidak melanggar peraturan dan undang-undang.

Saya simpati dengan pegawai-pegawai polis yang dipertanggungjawabkan mengendalikan saya selama ini kerana mereka menjadi serba salah apabila setiap tindakan mereka akan mengundang kritikan (“damn if they do, damn if they don’t”). Jika mereka menggari saya, penyokong pembangkang akan memarahi mereka. Jika mereka tidak menggari saya, besar kemungkinan mereka terpaksa menjawab kepada pimpinan tertinggi polis menjelaskan kenapa mereka tidak menggari.

Akhirnya mereka cuba mencari jalan terbaik dengan mengarahkan saya meletakkan tangan di belakang sambil dipegang oleh mereka yang pada pandangan mereka merupakan budi bicara mereka yang adil kepada semua.

Saya telah ditahan banyak kali dan telah berurusan dengan ramai pegawai polis dari pangkat konstabel hingga ke SACII (Senior Assistant Commissioner) sejak tahun 2012. Saya menghormati mereka dan menghargai penghormatan dan layanan yang mereka berikan kepada saya selama ini setiap kali saya di dalam tahanan. Saya dilayan secara professional dan berhemah baik di lokap sehingga ke bilik soalsiasat sehingga ke lokap mahkamah.

Anggota polis adalah rakyat biasa seperti kita yang boleh menilai baik buruk seseorang pemimpin. Mereka juga tersepit seperti rakyat biasa tetapi tertakluk kepada arahan pihak atasan.

Oleh yang demikian, seperti mana negara kini bermasalah kerana kepimpinan tertingginya tempang, saya juga merasakan sebarang kritikan itu perlulah disasarkan kepada kepimpinan tertinggi polis seperti Ketua Polis Negara dan bukannya anggota biasa yang cuba sedaya upaya melaksanakan kerja mereka secara professional.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil yang dipertanggungjawab menyiasat kes saya di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) baru-baru ini di atas sikap professional dan budi bicara mereka. Ucapan terima kasih juga kepada semua kakitangan Lokap Bersepadu Jinjang yang professional dan berhemah semasa mengendalikan tahanan saya di sana. Saya yakin masa depan negara adalah cerah jika sikap professional sebegini diteruskan.

Saya juga berharap Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak mengulangi apa-apa kenyataan yang memberi gambaran saya berbohong atau berlakon mengenai peristiwa gari yang dipolitikkan sebelum ini. Jika beliau mengulanginya, maka saya akan rujuk perkara itu kepada peguam-peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN [wm.kl.8:20 pm 09/04/16]


1 comment:

Unknown said...

salam tuan hj mso
ketua poklih patut rasa malu kerana memesongkan fakta tapi apa buleh buat dia memang jenis tak reti malu.