Thursday, April 7, 2016

Janganlah gemparkan Kelantan dengan kisah Adun lompat

JENGOK KELANTAN 

Sudah lama saya dengar dan dihebuhkan kononnya ada beberapa orang Adun daripada Pas di Kelantan bersedia untuk tidak bersama parti mereka. Mereka dikatakan akan meninggalkan parti. Angkanya pula bervariasi ada, kata tujuh (7) orang ada kata sembilan (9) dan paling ramai sekali 10 orang. Mereka ini, kalau bertindak meninggalkan Pas menyebabkan kerajaan Pas Kelantan boleh jatuh "berdebak".

Kedudukan Pas kini 32 kerusi dicampur dengan PKR satu, jadi 33. Jika ditolak Umno 12 kerusi tinggal 21. Dengan jumlah itu ia boleh menyebabkan kerajaan Pas Kelantan tumbang, jika benar 10 Adun berpaling tadah tadi bergabung dengan Umno kerana Pas tidak lagi mendapat majoriti di Dun Kelantan.

Kalau yang 10 itu bergabung dengan Umno 12, ia menjadi 22 kerusi. Angka ini akan menjadi selesa kalau wakil tunggal PKR ikut sama bergabung, menjadikan 32 orang.

Jumlah ini sama banyak dengan kerusi yang diperolehi Pas pada pilihan raya 2008 semasa Nik Abdul Aziz Nik Mat meimpin Pas Kelantan. Kerana kedudukan itu boleh mengubah senario politik di Kelantan lah, maka desas desus kononnya ada wakil rakyat Pas hendak lari itu menjadi kecoh dan menjadi topik bualan kedai kopi popular di Kelantan. Tetapi praktikalnya tidak semudah teori yang diutarakan.

Berdasarkan senario tadilah sebulan lepas ada seorang yang nakal bercakap dengan saya memberi cadangan agar wakil rakyat Pas yang dikatakan hendak lari itu agar berpakat dengan Umno. Kalau mereka berpakat dengan Umno, kerajaan pimpinan Ahmad Yakob dan Mohd Amar Nik Abdullah hari ini akan tumbang?

Orang mencadangkan itu sekiranya ia menjadi kenyataan mahukan Husam Musa jadi MB Kelantan. Baginya hanya Husam sesuai menjadi MB Kelantan dan dapat melakukan perubahan di Kelantan. Dia sendiri sanggup berunding dengan Umno atas kapasitinya yang baik dan intim dengan pemimpin Umno.

Saya tidak berminat dengan cadangan itu bukan sahaja ia tidak pratikal, tetapi bukan satu aksi politik yang tidak jantan dan bermaruah. Husam juga saya rasa tidak setuju, kalau hendak jadi MB sampai kena bergabung dengan Umno. Sudah lama dia menentang Umno tiba\-tiba hendak bergabung? Nanti beliau juga akan dianggap seperti Mohd Amar dan Haji Hadi.

Berkata lagi orang yang mencadangkan itu, semua itu adalah atas kepentingan rakyat Kelantan. Demi itu pun saya tetap berbeza pendapat dalam soal ini. Kalau benar untuk kepentingan rakyat Kelantan semua pihak kena bersikap pro. Sesiapa yang diberi mandat oleh rakyat hendaklah disokong tanpa apa-apa "ogehan", lainlah kalau kerajaan itu mendatangkan kerosakan teruk kepada negara bangsa. Berlaku kemungkaran dan kezaliman melampau.

Hari ini Pas diberi kuasa, maka semua orang kena sokong Pas termasuk Umno, Husam dan juga yang dikatakan sembilan orang itu perlu utuh sokong Pas. Cara ini lebih "albab" bagi saya daripada kita cuba mengambil kesempatan dan menganggu proses kerajaan melaksanakan mandat diberikan rakyat lima tahun sekali.

Berbalik kepada desas desus mengenai ada Adun Pas hendak tinggalkan Pas itu, saya hendak tanya untuk apa kalau mereka berbuat demikian? Kononnya mereka tidak senang dengan perkembangan Pas di Kelantan hari ini, cara Mohd Amar menguasai parti dan menguruskan Kerajaan menjadi puncanya.

Kalau benar begitu (saya tidak percaya), soalnya, ke mana mereka hendak pergi? Pas Kelantan tidak pun mengusik mereka, jadi untuk apa mereka hendak tinggalkan harakah mereka? Takkan hendak main lompat katak-katak di musim panas ini. Mereka bukan species Salentia. Jadi kepada saya desas desus itu hanya gimik semata-mata. Ia sebagai satu modal oleh orang yang kering modal bagi memulakan perniagaan. Pas Kelantan khasnya Ahmad Yakob tidak perlu gusar.

Sehingga kini pun tidak ada mana-mana Adun Pas, termasuk mereka yang dikaitkan dengan Husam yang melanggar peraturan atau Pekeliling yang dikeluarkan. Kalau pun ada hanya seorang sahaja Husam. Itu pun subjektif. Semuanya akur dan patut. Program besar parti semua hadir.

Ada juga spekulasi kononnya kalau Husam dipecat daripada Pas mereka akan keluar parti. Kenapa harus dikaitkan dengan Husam? Apakah mereka yang digolongkan hendak tinggalkan Pas itu adalah orang-orang Husam? Bila pula Husam ada mempunyai orang-orangnya? Husam tidak pernah membina dan membentuk klik di Kelantan. Husam hidup secara bersendirian.

Kalaulah mereka orang Husam, pembelaan kepada Husam bukan menunggu Husam dibuang daripada Pas. Mereka harus membela hari ini lagi, tidak tunggu sampai kalau Husam dibakar ia menjadi hangus. Sesuatu yang sudah menjadi arang tidak ada apa-apa guna lagi.

Sehingga ini tidak ada apa-apa komentar pun daripada Adun-Adun yang kata menyokong Husam itu. Itulah saya katakan cerita yang dihebuhkan itu tidak ada. Hanya mereka dijadikan cerita untuk menggemparkan politik Kelantan sahaja dan dalam masa sama cuba menjauh dan menimbulkan masalah kepada Husam dengan Pas. Kenapa begitu? Sepatutnya berusaha merapat dan memadukan semula Husam dengan Pas.

Cadangan yang dikemukakan oleh Adun Pulai Chndong Zulkifli Mamat semasa berucap dalam Dun Kelantan baru-baru ini sesuatu yang bagus. Beliau cadangkan pihak kerajaan (MB dan TMB dan Exco) mengadakan perjumpaan dengan kesemua wakil rakyat Pas. Dalam perjumpaan itu dibincangkan segala masalah berbangkit. Tujuannya agar apa-apa masalah bersabit kerajaan dikemukakan langsung kepada kerajaan dan bukannya bercakap di luar.

Bagi saya cadangan itu sesuatu yang perlu disegerakan dan perlu disambut semua pihak.

Kesimpulannya pada firasat saya, Adun yang disebut-sebut itu tidak akan meninggalkan Pas, mereka akan tetap bersama Pas sampai ke akhirnya. Mereka juga tidak akan cuba memperolok-olokkan parti mereka, semisalnya mereka memberi kata dua, sekiranya mereka tidak dicalonkan mereka akan tinggal parti. Kita masih percaya kepada mereka sebagai ahli Pas yang ada tersisa akidah dan hormat.

Dan juga tidak tersaul dek akal macam mana mereka sanggup meninggalkan Pas sedangkan orang yang dikatakan "bos" mereka masih bersama Pas. Husam masih Pas dan tidak pun diambil apa-apa tindakan. Bahkan Pas Kelantan sendiri tidak ada masalah dengan Husam kecuali seorang dua yang baru kenal alif, ba, tha politik, sangat peringus dengan Husam. Tetek begik begitu biasalah.

Jadi cerita-cerita lompat melompat ini bertujuan untuk menggemparkan keadaan sahaja. Ia langsung tidak berasas. Hentikanlah. Cuba kita bermain politik dengan penuh "albab", kerana apa yang kita paparkan akan menjadi ikutan dan cakap dikemudian hari. [wm.kl.7:20 pm 07/04/16] 

No comments: