Tuesday, April 5, 2016

Sebelum ditangkap Rafizi sudah bersedia

TERKINI

Rafizi berucap pada Kongres Rakyat.
Polis ada hak mengikut kuasa dan undang-undang yang ada kepadanya untuk menangkap dan menyiasat Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli. Rafizi sendiri juga bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

Sebelum ini berbagai tindakan dikenakan ke atasnya, termasuk laporan polis ekoran keberanian dan kelantangan membongkar penyelewengan demi penyelewengan membabitkan pemimpin kerajaan.

Sebelum ini pun beliau sudah beberapa kali "dijemput" polis.

Namun beliau tetap dengan tugas dan tanggungjawabnya. Rafizi tidak sedikit pun terkesan dengan apa yang yang diterimanya. Beliau seolah seronok bermain dengan ombak perjuangan. Rafizi adalah penjelmaan Hang Nadim moden yang perlu dibanggakan.

Bahkan pernah dalam satu percakapan dengannya, beliau membayangkan ada usaha untuk memenjarakannya dan melucutkan kedudukan sebagai ahli parlimen.

Petang ini, sebaik keluar dari Parlimen, Rafizi ditangkap dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana dikatakan mendedahkan dokumen yang diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi. Apakah penahanan Rafizi hari ini sebagai pemulaan untuk menyekat dan menghentikan kelantangan ahli parlimen berkenaan? Atau pun memberi isyarat kepada pemuka-pemuka lain agar berwaspada?

Saya rasa tidak. Sebagai anak muda berjiwa Jebat yang telah mempersiapkan dirinya untuk menjadi pejuang rakyat, beliau sudah bersedia segala-gala baik dari segi mental dan fizikal. Sebelum mencecah kaki ke air dia sudah tentu menyukat dalam atau tohor lautan yang bakal diharunginya.

Rafizi bukan seperti sesetengah lelaki lain yang rapuh dan teruja dengan upah. Dia pun boleh mencari senang kalau dia mahu dengan menghentikan segala kritikan dan pendedahannya yang menyakitkan hati Najib Razak dan Rosmah.

Kalau dia bersedia berbuat begitu tentu dia akan diraikan. Tetapi tidak begitu dengan Rafizi. Semangat dan kecekalan yang ada kepada pemimpin ulungnya yang juga mentornya, Anwar Ibrahim mungkin menjadi azimat kepadanya.

Keberanian, ketegasan dan keulitan Anwar telah memasuk ke dalam dirinya. Rafizi adalah juga bayangan Anwar.

Tahan dan siasatlah Rafizi. Cuma apa yang diharapkan semoga pihak berkuasa berlaku adil terhadapnya. Jangan pula sejarah akan mencatat sesuatu yang kotor kerana ia mencemarkan nama baik negara dan pemimpin pada periode ini.

Kita tidak mahu peristiwa malang dan sedih yang pernah menimpa bekas TPM Anwar Ibrahim pada tahun 1997 dahulu akan berulang kembali. Anwar yang tangannya bergari ditumbuk sehingga lebam biji mata. Masihkah kita ingat? [wm.kl.8:09 pm 05/04/16]
Post a Comment