ULAS PRK
Dua pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar (SuberKuaka) yang kini sudah hampir ke kemuncak sepatutnya memberi makna dan signifiken penting khususnya kepada pembangkang. Kedua-dua pilihan raya itu adalah peluang terbaik untuk pembangkang menunjukkan keanggunan dan menyerlahkan potensi mereka bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 kelak.
Apa lagi kemenangan BN di kedua kerusi itu dengan majoriti kecil, dan ia pula berlaku dalam suasana Umno dalam bergolak dan presiden Umno yang juga Perdana Menteri sedang diserang bermati-matiannya, peluang pembangkang agak cerah. Dalam pilihan raya umum lalu, di kerusi Sungai Besar BN menang menerusi calonnya Noriah Kasnon hanya dengan majoriti 399 undi, menewaskan calon Pas.
Manakala di Kuala Kangsar pula calon BN, Wan Mohammad Khair-il menang dengan majoriti 1082 menewaskan calon Pas dan seorang calon Bebas, Kamilia Ibrahim yang juga bekas pimpinan tertinggi Wanita Umno. Kemenangan itu bolehlah dianggap tipis.
Bagaimana pun sayang disebabkan "debek" (dangkal) dalam berpolitik di kalangan pembangkang, peluang keemasan dan baik yang terbuka itu tidak direbut sebaik mungkin. Kerana ego dan syok sendiri serta mabuk sanjungan, apa yang berlaku kini ia seakan memberi kemenangan percuma kepada BN bagi mengekalkan bilangan kerusi di Parlimen. Bukankah lebih baik, pembangkang tidak mendaftar diri bertanding, agar pilihan raya itu tidak diteruskan dan ia boleh menyelamatkan wang rakyat?
Sebagai penyandang di kedua-dua kerusi itu sudah pasti BN mahu mengekalkan kerusi berkenaan, kalau boleh dengan majoriti lebih atau sama dengan apa diraih dalam pilihan raya umum lalu.
Dalam pilihan raya lalu, di Sungai Besar BN menang dengan majoriti 399, manakala di Kuala Kangsar 1082 undi. Kemenangan itu dianggap sebagai tipis dan pembangkang hanya kekurangan antara 199 hingga 542 undui sahaja. Tetapi ketipisan itu tidak menjadi perkara besar dalam politik yang mengambil kira soal kelebihan nombor dan angka. BN tetap juga diistyharkan sebagai pemenang mutlak tanpa lagi dilihat kepada majoritinya.
BN jelas mempunyai matlamat dan iltizam tinggi menyertai pilihan raya itu. Mereka mahu mempertahankan kedua-dua kerusi itu. Maruah mereka terletak di kerusi berkenaan. Sekiranya BN menang, bermakna BN masih dapat menjaga maruah dan moralnya. BN boleh mendabit dada bahawa kedudukan parti itu masih tidak tergugat apa-apa.
Yang penting sekali bagi Najib Razak, beiau akan menggunakan kemenangan itu sebagai modal kononnya dia masih berwibawa dan rakyat masih menyokongnya. Kecaman, cemuhan yang dilemparkan ke atasnya tidak memberi bekas. Segala macam isu membabitkan dirinya 1MDB, dana RM2.6 juta dan sebagainya tidak berkesan. Dan lebih dahsyat lagi Najib akan menjadikan kemenangan itu sebagai pengeras semangat untuk beliau terus menjadi perdana menteri.
Najib dan BN tidak akan peduli apakah kemenangan itu hakikatnya benar kerana Najib masih disukai dan disokong oleh rakyat atau tidak. Sebab-sebab lain menyumbangkan kemenangan itu seperti pengundi simpati kepada calon BN, Mastura yang kehilangan suami, ataupun Budiman calonnya di Sungai Besar yang dipilih kerana personalitinya, atau kerana perpecahan oposisi, tidak akan dikira. Ia langsung tidak akan ditimbulkan sebagai faktor kemenangan BN.
Apa yang akan diguna pakai ialah kemenangan itu kerana kepimpinan dan kehebatan Najib. Tunggulah ulasan-ulasan yang disiarkan oleh media PB selepas ini. Dan kemenangan itu nanti Najib boleh menempelak dan sambil menyanyi lagu Hindustan pagi dan petang kepada pembangkang dan juga individu yang marah kepadanya dan bekerja keras siang malam untuk menjatuhkannya, seperti Dr Mahathir Mohamad dan kuncu-kuncunya.
Bagi BN jelas misinya dalam pilihan raya itu. Dan ia cukup penting dan signifiken. Justeru BN bermati-matian memastikan akan kedua-dua kerusi itu kekal menjadi miliknya dan angka di Parlimen tidak berubah.
Apakah pula misi dan tujuan pembangkang, (rujuk kepada Amanah dan Pas) menyertai pilihan raya itu. Untuk menatang apa? (Maaf kasar sikit). Umum sudah membuat kesimpulan awal-awal lagi, apabila kedua-dua parti ini tidak dapat mencapai kata sepakat, maka pilihan raya itu dilihat sebagai kelam kabutdan tidak teratur.
Maka ia tidak mencerminkan sebuah pemilihan sebenar; pertarungan di antara kerajaan dengan pembangkang. Pilihan raya itu bukan pertarungan secara sepadu di antara oposisi dengan parti kerajaan? Sebaliknya pilihan raya itu dilihat sebuah pilihan raya yang pincang dan ganjil belum pernah terjadi sebelum ini.
Kegagalan oposisi sepakat menghadapi pilihan raya itu sesuatu yang dikesal dan cukup mengilan rakyat di luar sana. Mereka yang berada di atas pagar serta tidak senang dengan pentadbiran Najib, yang mengimpikan sebuah perubahan total dalam sistem pentadbiran, berhajat memberi mesej menerusi pilihan raya itu, mungkin akan menarik semula niat mereka. Kesannya sama ada mereka tidak keluar mengundi atau memberi kepercayaan semula kepada parti pimpinan Najib.
Walaupun ada usaha untuk mencari titik temu di kalangan pembangkang, tetapi gagal. Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sampai ke saat akhir beruasaha bagi mengelak berlaku pertadingan tiga penjuru bertujuan mengendurkan pertelingkahan Pas dengan Amanah, namun gagal. Kegagalan itu pada saat mereka harus bersatu sekaligus menunjukkan kerendahan standard atau nilai politik pembangkang. Ia sangat rendah kalaupun tidak jatuh ke peringkat haprak. Kegagalan itu juga menggambarkan ketidakupayaa Azmin menjadi pendamai.
Pas dan Amanah saling salah menyalah antara satu sama lain. Pas kata Amanah tidak perlu bertanding kerana ia parti baharu. Kesungguhan Amanah untuk ikut sertai sama dakwa Pas ialah sebagai hendak mensabotaj undinya. Pas dalam memegang ketamakannya untuk bertanding di kedua-dua kerusi itu menjadikan alasan kedua kerusi itu sebagai kerusi tradisinya (tradisi kalah) untuk tidak berkongsi dengan Amanah maupun PKR.
Begitu juga pihak Amanah, menuduh ketamakan Pas bertanding di kedua-dua kerusi dan enggan menerima formula dikemukakan, sebagai helah atau startegi untuk memberi kemenangan kepada BN? Pandangan atau dakwaan ini agak ganjil, tetapi ada kebenarannya? Dan tuduhan Amanah itu juga menyakitkan Pas kerana menunjukkan kemunafikan politik Pas.
Pencatur dan pemerhati politik sepakat, mengatakan BN akan menang mudah apabila berlaku pertandingan tiga penjuru. Mereka mengira pembangkang mungkin akan menang di salah satu kerusi kalau ada persepakatan. Tetapi itu tidak menjadi. Jalan tengah yang dikemukakan bagi melinangkan keadaan, (perbalahan Pas dengan Amanah), agar PKR diberi laluan juga tidak diterima. Saya sendiri mengemukakan cadangan rasional agar Sungai Besar diberikan kepada PKR, Kuala Kangsar kepada Pas dan Amanah tidak perlu menyibuk diri bertanding.
Bila terjadi apa yang terjadi kini, - pembangkang berlawan sesama sendiri, maka pilihan raya itu berjalan dalam keadaan "gila, dedir", tidak profesional dan tidak mencerminkan kejituan pembangkang. Maka pilihan raya itu jadilah sebuah pilihan raya olok-olok atau main-main sahaja. Ia tidak akan memberi apa-apa signifiken dan erti kepada pembangkang. Bagi Pas kalau ia gagal meraih 60 hingga 70 peratus undi yang diperolehi dalam pilihan raya lalu, ia menunjukkan keburukkan parti berkenaan. Bulan akan seban di masa akan datang.
Manakala Amanah pula tidak menerima kesan seburuk Pas. Parti itu tidak akan mengalami apa-apa kerugian dan rasa malu. Baginya cukup kalau dapat mengutip 10 hingga 20 peratus undi dari keseluruhan jumlah yang keluar mengundi. Sebagai parti baharu yang mula membina tapak, ia sudah dianggap satu kejayaan. Pilihan raya itu termasuk juga di Sarawak lalu, adalah langkah sebagai melatih dan mensesuaikan diri dengan suasana berpilihan raya. Walaupun mereka yang memimpin Amanah adalah tokoh-tokoh berpengalaman dalam berpilihan raya, tetapi penglibatan mereka dalam pilihan raya bersama sebuah parti (Amanah) adalah pertama kali.
Ramai yang membuat kesimpulan berdasarkan tiada persefahaman pembangkang itu, meletakkan Pas akan mengalami kerugian. Rata-rata orang menyifatkan Pas akan rugi.Tetapi tidak begitu dalam hemat politik saya. Kerana kalau benar Pas bertanding untuk memberi kemenangan kepada BN, Pas harus bangga dengan kekalahannya nanti kerana dapat mengekalkan kerusi itu kepada kawan baharu mereka, Umno. Langkah diambil oleh Pas itu mungkin itulah "taawun" yang disebut-sebut sebelum ini. Erti "taawun" yang kabur dan mengelirukan itu diterjemahkan dalam dua PRK itu.
Dalam mencari keredahaan Allah, Pas tidak kesal dengan kekalahan. Sebab yang menang itu adalah calon Islam dan Melayu. Dalam teori politik Pas, bukan sangat partinya (diri) yang menang, tetapi kalau orang lain yang membawa aspirasi dan semangat sama menang, cukup. Inilah dikatakan politik matang dan sedarhana yang dicanag-cangkulkan Pas hari ini. Kepimpinan baru Pas ada formula dan stail tersendiri yang memusykilkan kita semua.
Dengan kemenangan besar BN nanti, semisalnya memperolehi majoriti melebihi apa yang dipungut dalam pilihan raya umum lalu, bolehlah Pas membuat persiapan untuk mengadakan Muktamar khas bagi mencari kata putus atau memberi taaruf kepada ahli ke arah kerjasama sepenuhnya dengan Umno. Umno pula kena berterima kasih dan menjunjung tinggi jasa dan budi Pas itu.
Soalnya sekarang apakah hadiah atau ghanimah yang harus BN berikan kepada Pas. Masakan pengorbanan besar Pas itu tidak dinilai oleh Umno dan diserahkan soal pahala dan rahmat daripada Allah semata-mata. Apakah Pas tidak mahu hadiah material di dunia ini? Keredhaan Allah lebih indah dan manis jika disertai dengan baksis duniawi.
Makanya BN khasnya Umno kena berbuat sesuatu. Sekiranya pengorbanan besar Pas itu tidak dilayan sebaiknya, maka sia-sialah Pas mengambil strategi politik hari ini seperti di Sungai Besar dan Kuala Kangsar itu. Janganlah hendaknya masa depas hanyut dalam sungai dan akan terdampar di kuala, kerana kalau itu berlaku Pas memerlukan berdekad tahun pula untuk bangkit. Sejarah selalunya berulang cuma manusia yang melupainya menyebabkan sering kali terpatut ular sama dalam lubang yang sama.
Saya cukup yakin Najib tidak akan mengsia-siakan Pas kerana beliau tahu yang menjadi penyelamatnya kini ialah Pas dan pemimpinnya. Makanya Pas perlu dianugerahkan medal yang bernilai tinggi.
Kerana begitulah rupa pilihan raya kecil itu menjadikan saya tidak ada angin untuk turun meninjaunya dari dekat. Keserabutan dan kebencian kepada cara orang Melayu berpolitik sudah mulai berputik dalam hati. Bentuk kempen, menghina antara satu sama lain, kata mengatakan dan pembangkitan isu-isu remeh bersifat sampah, politik menggelar, membena slogan cabuk dan mempertikai warna meloyak selera politik saya yang sudah tua ini.
Setelah kita melalui 12 kali pilihan raya umum dan ratusan pilihan raya kecil seharus perkara begitu tidak berlaku lagi. Tokoh-tokoh politik atau orang menjadi pemimpin seharusnya memimpin orang muda yang belum mengerti "maknayat" politik, berpolitik dengan penuh kematangan. Bukan tidak boleh bercanda, tetapi jangan sampai melampau.
Bagi saya pilihan raya di Sungai Besar dan Kuala Kangsar itu, tidak lebih daripada kegiatan menjual beras basah secara timbang dan juga pelelolongan ikan busuk yang lewat didaratkan. [wm.kl.12:07 t/hari 15/06/16]
2 comments:
Ya. Saya berkongsi perasaan yang sama.
Ternyata politik orang kita masih ditakuk purba. Ego & Nafsu mengatasi segalanya
Cina dah tak suka undi PAS, mcm mana PAS nak menang. 30 % pengundi ada lah Cina, jika mereka menyukong Amanah dan 20 % Melayu sokong Amanah, Insya Allah Amanah akan menang, Allah Hu Akhbar !!!!
Post a Comment