Thursday, June 23, 2016

NOW kata Abu Kassim diminta berhenti?

KENYATAAN


Sebuah
NGO pro aktif dengn isu-isu bersabit kepentingan rakyat (NOW) telah mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung laporan media mengatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamad akan meninggalkan Suruhanjaya itu 1 Ogos nanti. 

Dalam laporan itu Abu Kassim disebut memohon untuk berhenti dan permohonan beliau diterima. Kenyataan oleh KSN Ali Hamsa ini bercanggah dengan kenyataan NOW yang beranggapan penguduran Abu Kassim itu disebabkan ada unsur tekanan agar beliau berhenti. 

Berikut adalah kenyataan penuh kenyataan akhbar NOW yang dikeluarkan oleh Pengarah Eksekutifnya Rafizi Ramli.
PEMECATAN KETUA PESURUHJAYA SPRM DAN TIMBALANNYA ADALAH JELAS CAMPUR TANGAN POLITIK

National Oversight and Whistleblowers (NOW) merujuk kepada laporan akhbar hari ini yang melaporkan perletakan jawatan Tan Sri Abu Kassim Mohamed selaku Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull selaku Timbalan Pesuruhjaya SPRM sebagai secara sukarela adalah tidak tepat.

Kami berdua telah dihubungi dan berjumpa dengan seorang pegawai kanan SPRM kira-kira 5 bulan yang lalu dan beliau memaklumkan bahawa kedua-dua pimpinan tertinggi SPRM telah dipaksa meletak jawatan dan jawatan mereka akan digantikan dengan ‘orang luar’ SPRM. Kami juga dimaklumkan bahawa Pesuruhjaya dan Timbalan Persuruhjaya tidak berniat atau membuat permohonan perletakan jawatan ketika itu.

Tindakan memecat Pesuruhjaya dan Timbalan Pesuruhjaya SPRM merupakan campur tangan politik yang begitu luar biasa dalam badan SPRM, menghina kebebasan SPRM, dan tidak pernah belaku dalam sejarah negara.

Ini terbukti dengan pelucutan Tan Sri Abu Kassim daripada jawatan Pesuruhajaya SPRM tanpa sebarang sebab munasabah sedangkan beliau akan kekal berkhidmat dalam SPRM sebagai seorang pegawai khidmat biasa sehingga tahun 2020.

Jika Perdana Menteri Dato’ Seri Najib yakin beliau tidak bersalah dalam skandal 1MDB mahupun SRC International, beliau seharusnya tidak perlu berasa gusar atau takut dengan Pesuruhjaya SPRM atau kebebasan SPRM untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

NOW menyeru semua pihak termasuk Ahli-ahli Parlimen, pemimpin-pemimpin masyarakat sivil dan rakyat biasa untuk mempertahankan integriti dan kebebasan SPRM.

Antara langkah-langkah yang wajar diambil adalah seperti berikut:-

1. NOW akan memanggil satu mesyuarat tergempar pada hari Isnin (27 Jun 2016) yang melibatkan Ahli-ahli Parlimen, pemimpin-pemimpin masyarakat sivil dan NGO yang berkaitan bagi membincangkan tindakan-tindakan susulan.

2. Mendesak Ahli-ahli Parlimen terutamanya daripada parti-parti pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah untuk meletakkan jawatan sebagai tanda protes. Mereka adalah YB Dr. Tan Seng Giaw (DAP), YB Datuk Fauzi Abd Rahman (KEADILAN) dan YB Dato' Takiyuddin bin Hassan (PAS).

3. Mendesak ahli-ahli panel dalam jawatankuasa-jawatankuasa bebas SPRM seperti Lembaga Penasihat SPRM, Panel Penilaian Operasi (PPO), Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) termasuk yang baru dilantik untuk meletakkan jawatan atau yang bakal dilantik tidak menerima tawaran jawatan sebagai tanda protes.

Ini merupakan tindakan pertama kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak selepas mencapai kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar.

Pemecatan Pesuruhjaya dan Timbalan Pesuruhjaya SPRM bukan sahaja campur tangan politik yang melemahkan SPRM tetapi juga akan mengundang kerosakan yang lebih besar terhadap integriti dan ketelusan pentadbiran kerajaan.

Semua pihak harus memandang serius perkara ini dan bekerjasama bagi mempertahankan kebebasan SPRM. Manakala, parti-parti politik pembangkang seperti Pakatan Harapan dan PAS sewajarnya mencari kesepakatan dan meletakkan agenda memerangi rasuah dan ketirisan sebagai keutamaan dan dijadikan titik pertemuan usahasama.

23 JUN 2016
RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
Pengarah Eksekutif
National Oversight and Whistleblowers (NOW).
[wm.kl.2:31 pm 23/06/16]
Post a Comment