Sunday, June 18, 2017

Muhammad setuju PM sementara Dr M atau Wan Azizah

PENDAPAT

Bekas Menteri Besar Selangor Muhammad Muhammad Taib (foto) turut sama memberi komenter berkaitan siapa perlu menjawat jawatan perdana menteri sekiranya Harapan menang dalam pilihan raya kelak. Pandangannya munasabah dan secocok dengan pandangan kebanyakan pemerhati bebas lain.

Beliau berpendapat secara umumnya jawatan itu (PM) boleh diserahkan kepada dua tokoh dalam Harapan, Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi PPBM) dan Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR).

Muhammad memberi alasan kedua-duanya memang layak untuk menjawat jawatan itu berpandukan kepada kredibiliti mereka yang mampu jadi pendamai keadaan serta menyatupadukan komponen Harapan untuk meraih undi dalam pilihan raya yang akan datang.


Ketepatan mereka berdua diangkat menjadi PM, Dr Mahathir pernah menjawat jawatan itu selama 22 tahun dan telah berjaya menunjukkan kemampuannya merubah negara, sementara Dr Wan Azizah pula beliau diidam-idamkan oleh PKR dan rakyat.

Cadangan beliau itu juga dengan merujuk kepada sejarah lampau yang pernah ditempuhi oleh PM pertama Tuanku Abdul Rahman Putera dan juga melihat apa yang berlaku di Britian.

Katanya Tunku Abdul Rahman dipilih untuk menjadi perdana menteri kerana kebolehan beliau dan mempunyai daya untuk menyatukan orang Melayu yang ada kepadanya pada masa itu.

"Tunku Abdul Rahman pernah dipilih selaku pemimpin 'Melayu Nombor 1' sebab kebolehan dan daya tarik beliau untuk menyatukan orang-orang Melayu disamping hubungan baik beliau dengan penjajah Inggeris," demikian tegas Muhammad.

Hal yang sama juga katanya berlaku di Britain di mana Winston Churchill berperanan besar selaku Perdana Menteri Britain semasa Perang Dunia ke 2, tetapi apabila rakyat Britain mula menolak beliau setelah tamatnya Perang Dunia ke 2 beliau berundur.

Dalam pada itu beliau yang juga bekas Naib Presiden Umno, berpendapat kedua-dua tokoh itu (Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah) hanya menjadi PM sementara sebelum ia diserahkan kepada Anwar Ibrahim yang lebih berhak.

Tegas beliau, "pada hakikatnya Anwar adalah tokoh paling layak untuk diberi tugas untuk melakukan reformasi di negara ini," tekannya dalam kenyataan rengkas kepada saya sambil berhujah kerana Anwar mempunyai track record dalam pejuangannya membela rakyat. Muhammad melihat Anwar seorang yang serius serta penuh iltizam dalam perjuangannya membela rakyat dan mahu mengubah keadaan negara yang ada sekarang terutamanya mengenai kepincangan pentadbiran.

Muhammad juga menerusi kenyataan rengkas itu menyinggung mengenai permasalahan menimpa negara waktu kini. Katanya apa yang penting sekarang ini bukan mengilai pembangunan mega tetapi soal kredibiliti yang penting demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya rakyat memberi mandat kepada kerajaan untuk mentadbir dengan penuh integriti bukannya disalah gunakan. Beliau juga menyebut mengenai isu yang meledak kini tentang dakwaan dibuat oleh DoJ yang sangat memberi kesan buruk (damaging) kepada negara.

"Kenyataan-kenyataan terbaru DoJ (Departmen of Justice) Amerika Syarikat yang sangat "damaging" sering menggemparkan namun sering diambil enteng oleh pihak berkuasa," katanya.

Justeru beliau berharap dalam pilihan raya akan datang rakyat akan menggunakan kuasanya untuk memilih kerajaan yang baik.

Menyentuh mengenai Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, beliau yakin Anwar yang juga sahabatnya itu dapat membawa Reformasi - a total change di dalam bidang pentadbiran negara ini.

Dalam pada itu beliau tidak lupa mengingatkan sama ada Dr Mahathir atau Dr Wan Azizah jadi PM, kedudukan Anwar hendaklah jelas. Apa mungkin dimaksud beliau, Anwar hendaklah dijamin akan mengambil alih kedudukan itu selepas ini kerana Anwarlah tokoh paling tepat. [wm.kl.6:33 pm 18/06/17]

3 comments:

Ismail bin Abd Rahim said...

Kalau Bersatu & Pkr berbalah mengenai calon PM, Datuk Husam sebagai PM pun Ok jgk. Lagi pun almarhum TGNA dah endorse beliau spt ucapannya: "Husam bukan sahaja Allah Ta'ala buat untuk Kelantan, tapi Malaysia, dia budak cerdik, pengalaman banyak dan pemikiran jauh ke depan".

azhar rangkuti said...

Perkukuhkan Harapan untuk menumbangkan BN jauh lebih aula'

Helmi said...

Setuju sgt2 bro
Datuk husam yang terbaik