Wednesday, June 14, 2017

Dalam menanti hari kemenangan

SEBUAH PANDANGAN 


Ahmad Yakob
Mohd Amar Nik Abdullah
Beberapa hari sahaja lagi kita semua akan menyambut hari kemenangan, Idul Fitri. Kemenangan itu kita berhak sambut selepas kita berjaya menjalani ibadat puasa Ramadhan. Alhamdulilah. Semangat Ramadhan dan Nuzul Quran, terzahirnya Quran masih meruap dalam sanubari kita semua. Bertuah kita dilahirkan dalam benih Islam dan menjadi Islam, yang imannya utuh sampai kini. Mudah-mudahan sahaja iman kita utuh dan ampuh hingga terpisahnya nyawa dengan jasad.



Besar makna dan ertinya kepada kita dengan terlafaznya Quran. Pasti tanpa petunjuk benar itu, hudan mutaqqim kita semua akan sesat barat, Quran adalah penyuluh kalan hidup kita. Lampu atau obor "way of live". Sejauh manakh kita menggunakan Quran sebagai panduan, ikut dan akur kepada perintah, syariat Muhammad s.a.w. menerusi mujizatnya itu?

Wan Abdul Rahim
Husam Musa
Banyak hikmah, rahmat dan juga tujuan Quran dizahirkan. Fungsinya tertuju khusus kepada mereka yang beriman dan mahu bertaqwa kepada Allah.

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Aallah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah, 2:2)

Ayat ini menjelaskan Quran itu untuk mereka yang beriman, percayakan kepada Allah dan Rasul-Nya. Yang tidak beriman dan tidak percaya tidak tertanggung amanah Quran ke atas pundak mereka. Maksudnya Quran tidak terpakai buat mereka. Makanya sekiranya kita menolak, atau menyeleweng tiada guna kita mengaku beriman. Ba'iah kita baik di alam ruh atau alam realiti automatik terbatal. Orang begitulah yang diibaratkan sebagai bueh-bueh di permukaan lautan.

Peranan dan tujuan Quran diturunkan juga untuk membawa, menghijrahkan manusia dari alam gelap ke alam cerah. Membawa manusia ke jalan lurus lagi benar.

يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

“Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya, dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”
(Surah al-Ma’idah, 5:16)

Selain untuk dijadikan panduan dan nasihat, Quran adalah cermin dan sejarah untuk diingat dan dikenang serta diprtaktikkan dalam hidup agar kita tidak mudah kehilangan kompas hidup dan memahami erti hidup ini sebenar-benarnya.

هَٰذَا بَلَاغٌ لِّلنَّاسِ وَلِيُنذَرُوا بِهِ وَلِيَعْلَمُوا أَنَّمَا هُوَ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ وَلِيَذَّكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

“(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi peringatan dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.”
(Surah Ibrahim, 14:52)

Itulah antara tujuan dan fungsi Quran, hikmah dan rahmatnya. Masih banyak lagi peranan dan tujuannya kitab suci itu diturunkan ke atas muka bumi ini. Jika kita senantiasa menyakininya nescaya tidak berlaku kesesatan, kesakitan, perbalahan, berkecamukan, kedukacitaan di antara sesama sendiri.

Justeru, saya ingin mengembalikan pertanyaan ini kepada kita semua, dalam saat menanti ketibaan hari kemenangan Idul Fitri tidak beberapa hari lagi. Pertanyaan ini tertuju khusus kepada manusia atau makhluk politik khasnya di Kelantan dan amnya di Malaysia. Kebanyakannya, para pemain politik di Kelantan mereka adalah rakan-rakan dan sahabat saya sejak berpuluh tahun lalu. Yang mana antara mereka ada yang saya kenal persis.

Yang ingin saya tanya sejauh mana kita semua berpegang kepada ayat-ayat mujizat Rasulullah itu dalam kita melayar perjalanan hidup ini dalam semua aspek khasnya bersiasah.

Perang dalam Pas.

Selama Tok Guru Nik Aziz Nik Mat (Allahyarham) masih ada keadaan dan suasana politik dalam Pas di Kelantan tenang dan aman. Tiada pergolakan yang melaut dan kelihatan secara nyata. Secara zahiriahnya  ianya masih terkawal. Ikatan persaudaraan dan ukhwah juga masih terkawal dan dijaga dengan baik. Malanfnya selepas ketiadaan beliau, suasana berubah, arah bertukar.

Bagaimana pun sebaik Tokguru tiada telah meletus perang saudara politik di Kelantan. Kejadian ini sangat mengaib dan menghairankan. Seolah-olah tidak ada iktiar dan penawar dengan pemergian sang murabi itu sehinggakan ia menunggang langgangkan suasana dan keadaan Pas. Pas menjadi berpecah dan berantakan sesama sendiri. Pas ibarat kaca terhempas ke batu keras.Quran yang dipegang selama ini tertanggal dari genggaman?

Kenapa berlaku perang saudara dalam Pas yang jika dihalusinya ia meletus kerana berlaku perebutan takhta. Sejarah lampau yang meranap istana dan melemahkan sebuah empyar tidak banyak bezanya dengan apa yang berlaku di Kelantan. Tampaknya sejarah hitam itu turut menyinggahi Kelantan.

Pas yang memerintah Kelantan kini sudah memasuki tahun ke 27 adalah pesaka peninggalan Nik Aziz. Seharusnya dan menjadi sunah dalam Islam pesaka harus dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang berhak. Kalau diibaratkan Pas dan kerajaan Kelantan itu pusaka, maka ia harus dibagai sama rata dengan penuh keadilan. Malangnya apa diharap dan seharus berlaku itu tidak terjadi demikian. Berlaku perebutan dan pembahagian harta pesaka yang tidak adil di kalangan "anak-anak" yakni ahli Pas. Mereka gagal bermaufakat, walhal apa sepatutnya mereka sepakat mempertahankan kerajaan Kelantan kerana itulah simbol kesetiaan dan kasih sayang kepada perjuangan Nik Aziz.

Kerana mengalpa sunnah dan kewajiban itu maka terjadilah sesuatu yang memahitkan lidah hidup itu. Pas menjadi bentarakan. Mungkin kerana asakan nafsu dan juga jolokan musuh, material dan juga adu domba musuh, Umno. Tanpa menyalah sesiapa, menunding jari antara satu sama lain, kedua pihak harus bertanya dengan jujur ke dalam hati mereka. Apakah yang mereka tindak dan putuskan itu sekarang ini benar?

Satu keputusan yang dibuat secara istikharah sebagai mana diamalkan oleh Nik Aziz atau diajarkan oleh para Nabi? Dua permasalahan di sini, yang tidak mungkin atau pun perlu disoalkan lagi kenapa ia terjadi, tetapi masih boleh diungkitkan sebagai mendapat ruang penyelesaian. Apakah keputusan menubuhkan Parti Amanah Negara itu benar, dan apakah sikap menentang Amanah itu juga benar? Dalam tilikan para "biologis politik" inilah menjadi punca kepada kekemelutan politik di Kelantan kini sehingga ia memperlihatkan kerajaan Pas Kelantan mungkin boleh karam.

Dengan mengambil semangat Nuzul Quran mengutip segala pengajaran dan peringatan daripadanya, dan dalam merasai wap dan menghidu setanggi hari kemenangan, -- Idul Fitri mari kita bertanya dengan ikhlas terhadapa apa yang dilakukan sebelum ini?

Walaupun ia sudah besar "memborak", ibarat kapal sudah pecah sebahagiannya, semua pihak sudah menuduh, saling kata mengatakan di antara satu sama lain, sampai keluar perkataan dan bahasa kesat dan keji, tetapi yang ternyata mentari masih belum naik di sebelah Timur. Ertinya khiamat masih belum berlaku. Kiamat politik kepada orang politik akan berlaku sesudah tibanya pilihan raya umum (Piraum) ke-14. Nah Piraum masih belum datang.

Makanya selagi mentari belum muncul di ufur Timur, pintu taubat masih terbuka. Ayuh, Pas, Amanah dan "anak-anak" (mereka yang mendokong) Nik Aziz semua, bertaubatlah membetulkan diri dan nawaitu. Quran ditangan masing-masing. Bacalah dan beramallah dengannya, dan marilah kita menyambut hari kemenangan dengan jaya dan penuh bererti.

Pas sudah sedar.

Hari ini Pas Kelantan perlahan-lahan sudah dapat merasakan hakikat yang harus dihadapi parti itu. Bahawa ia bukan senang untuk mempertahankan legasi Tokguru dengan bersendirian. Demikian juga di pihak Amanah, sudah mengakui bukan mudah, malahan amat sukar untuk mereka mempertahankan legasi Tokguru, menyelamatkan kerajaan Kelantan agar tidak berpindah tangan. Ertinya kedua pihak mengakui.

Alhamdulilah kesedaran sudah mula berbunga. Mungkin ia datang bersama berkat Ramadhan. Ada Malaikat yang meniupkan keinsafan ke dalam dada para pemimpinnya. Apabila Pas masih mengharapkan rakan yang sama-sama membantu kemenangan di Kelantan tempoh hari selama ini agar kekal berada dalam kerajaan Kelantan, itu tandanya kesedaran baik di pihak Pas.

Hari ini Pas tidak mahu lantikan politik dari PKR meninggalkan jawatan mereka. Walaupun hubungan diplomatiknya sudah putus tetapi Pas Kelantan tidak sedia memaksa dan mengambil keputusan agar ahli PKR meninggalkan jawatan mereka. Apa ertinya ini? Ini bererti Pas mulai merasai kegerunan untuk bersendirian. Pas dapat merasakan kesepian itu bagaikan hantu yang sedang mengusik ilusinya sendiri.

Seperti mana saya katanya, itu tindakan baik yang seharusnya dijunjung tinggi. Tetapi sedikit songsang bagi Pas, kenapa ia harus berkawan hanya dengan kawan yang kecil. Dimanakah "bisa" dan bijaksana dengan berpaut di ranting sedangkan dahan besar sedia menanti? Pas seharusnya berpaut di dahan dan ranting juga.

Amanah sudah lama membuka pintu hati dan harapan, malahan sejak awal perwujudannya menawarkan diri kerjasama dengan Pas Kelantan dan memberi jaminan untuk mempertahankan kerajaan peninggalan Tokguru. Bahkan seperti mana sebut Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah beliau tidak mahu kewujudan Amanah menjadi sejahat Berjasa tahun 1978 yang bertindak menjadi "syaitan" membantu Umno tumbangkan kerajaan Pas. Dari segi tawarikhnya, kerajaan Kelantan juga milik Amanah kerana ia dibangunkan oleh para pemimpin Amanah termasuk Husam Musa.

Malangnya tawaran itu ditolak mentah-mentah dengan rakus oleh Pas. Bahkan Mohd Amar Nik Abdullah tergamak mengatakan Amanah sebagai parti pengkhianat. Ironis lagi katanya, jika Pas kalah nanti dosanya akan ditanggung oleh Amanah. Penolakan itu mungkin dalam hisab para pemimpin Pas bahawa Amanah tidak mampu untuk surive dan bersaing dengan Pas di Kelantan memandangkan ia parti baharu di mana parti baharu selalunya akan dirujuk jangka hayatnya kepada Berjasa, Hamim dan Semangat 46.

Tidak juga boleh dipersalahkan rasa jengkil Mohd Amar itu. Dalam emosi meluap, wajar kalau beliau dan Pas berasa marah. Apa lagi keburukan kerajaan Kelantan didedahkan kepada umum yang tidak sepatutnya dilakukan segeram itu. Sekaligus sesiapa pun akan marah. Namun dalam permainan politik bukan begitu. Sikap membakar kelambu marahkan nyamuk bukan bijaksana. Pas boleh marah, tetapi dalam masa sama bukan menjauhkan diri daripada serpihan dan compingan asalnya tetapi mencari jalan untuk berbaik. Itu politik kerjasama.

Hari ini syukur Pas seperti sudah nampak akan masalah yang ada di hadapannya. Bahawa ia bukan senang untuk mempertahankan kerajaan Kelantan dalam kesendiriannya. Sikap lunak dan baiknya dengan PKR menunjukkan 'maknawi" itu.

Apakah perubahan sikap dan pendirian Pas itu setelah melihat, ada gelombang berlaku di Kelantan yang digerakkan oleh Amanah yang kini bersama PBBM. Mungkin. Kemelaratan pengaruh Amanah kian terasa apabila Husam Musa akhirnya memilih Amanah sebagai wadah selepas beliau dipecat kejam daripada Pas. Perkembangan Amanah itu nampaknya diperhati dan dinilai oleh pemimpin Pas. Tentunya panji-panji sang Oren yang berkibar di mana-mana sudut dan penjuru di negeri Cik Siti Wan Kembang itu tertimpa ke dalam retina mata Pas.

Amanah dan PBBM juga lemah.

Saya hendak berkata jujur di sini, dalam tilikan saya, Amanah dan PPBM masih belum berdaya untuk mempertahankan kerajaan Kelantan secara sendirian. Parti itu masih belum kuat. Rakyat yang mengharapkan kepada Amanah, akhirnya menyebabkan Umno akan memngambil alih kerajaan Kelantan. Sekiranya maksud Cikgu Rahim ingin mempertahakan maruah Tokguru dengan partinya itu ia tidak berdaya. Begitu juga dengan Pas, walaupun realitinya masih mengatasi pengaruh Amanah namun tanpa pakatan dan kerjasama ia sukar mempertahankan kerajaan Kelantan.

Kerajaan negeri Kelantan dapat dipertahankan sekiranya ada perpaduan dan kerjasama antara kedua pihak.

Nah, apabila semua pihak sudah menginsafi musibah itu, kenapa tidak sahaja mereka berpadu antara satu sama lain. Tidak ada sesiapa yang rugi kalau pun membahagikan harta pesaka secara adil. Harta itu tetap akan menjadi milik mereka kerana pembahagian itu dikalangan adik beradik bukannya orang asing. Selagi adik beradik berada di bawah satu bumbung, maka keteguhan pesaka itu akan kekal seperti asalnya.

Hari ini walaupun Amanah tidak mendapat bahagian yang sama rata, disebabkan berlaku penyelewengan dan rasa tamak, tetapi sedikit sebanyak ia memiliki harta peninggalan itu. Begitu juga degan adik beradik yang lain termasuk PKR, atau pun anak-anak angkat dalam Pas seperti pengundi luar dan orang atas pagar. Mereka juga ada harta atau kuasa itu. Jika kuasa itu diibarat sehelai daun, atau sebuah peta sebahagian besarnya di dalam tangan Pas, secebis dalam Amanah dan secebis lain bertaburan.

Kalau ia tidak disatukan cebisan itu akan berselerak, dan Pas yang memegang bahagian besar daun itu pun ia tetap tidak akan wujud sebagai sebuah daun yang ideal.  Kesyumulan daun (kuasa) itu akan wujud apabila ianya disatukan. Jika ia diibartkan kepada peta yang melakarnya tersimpannya khanzah atau harta karon, tanpa penyatuan peta besar itu dengan cebisannya, ia tidak akan dapat menunjukkan jalan atau lokasi simpanan harta karon berkenaan. Tanpa penyatuan semuanya akan terlepas.

Mentari masih belum naik di bahagian Timur walaupun tanda-tandanya sudah ada. Mentari itu akan naik sebaik sahaja tarikh Piraum diumumkam. Sebelum tarikh itu menjelma elok semua pihak maufakat untuk duduk bersama menyatukan serpihan-serpihan daun itu. Pengekalan kerajaan Kelantan itulah tandanya kesetiaan kepada Nik Aziz.

Empat orang yang saya terakan wajah mereka dalam catatan ini; Ahmad Yakob, Mohd Amar Nik Abdullah, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Husam Musa harus mengatur langkah untuk berahlan wasalan. Semoga langkah mereka akan bergerak ke garis lurus untuk sama-sama merebut kemenangan hakikat pada hari kemenangan nanti. Iya mungkin mustahil kerana keegoisan politik itu sangat tinggi, tetapi itulah harapan masyarakat banyak di Kelantan . [wm.kl.12:18 t/hari 14/06/17]

2 comments:

myhiararki said...

Sepatutnya saranan seperti ini,dari awal lagi,sekarang sudah terlambat nasi dan jadi bubur

Ridzuwan said...

Akhlak pemimpin pas semasa perselisihan pendapat amatlah buruk, dengan cerca maki, sindiran, gelaran menghina... malah mengkafir seolah tiada pernah ada hubungan adik beradik. Pemimpin taksub itu perlu bersara dahulu sebelum memulakan era baru.. pemimpin itu telah obsolet.