Wednesday, June 28, 2017

Balaisah Gual Nibong terus imarak

CATATAN RAYA

Loding mendengar sesuatu diperkayakan oleh Dr Hallo N.
Alhamdulilah perjalanan saya untuk berhari raya pada tahun ini sudah selesai dengan selamatnya, apabila saya kini berada di rumah sesudah bertemu cucu di Sitiawan, Perak.

Sebelum itu perjalanan merentasi banjaran Titiwangsa sebanyak dua kali, dari Kuala Lumpur ke Kampung, kemudian ke Sitiawan, Perak.


Tahun ini saya beraya di kampung dan solat Aidilfitri di Balaisah peninggalan awarah datuk, Almarhum Haji Othman Yaakob r.h. Agak lama juga saya tidak berkesempatan untuk sama-sama solat raya dengan sanak saudara di kampung.

Selalunya saya akan balik ke Kelantan selepas selesai solat Raya di Kuala Lumpur untuk bertemu ibu, adik-adik dan orang kampung, kemudian akan bergegas balik ke Kuala Lumpur semula. Keadaan itu menyebabkan terlepas untuk solat raya di Balaisah. Ada juga kadang-kadang tidak pulang langsung kerana beraya di rantauan.

Saya mengimbas kenangan masa lampau.
Saat tidak "lorak" saya sengaja melewatkan untuk pulang kerana satu sebab, tidak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya berjam-jam. Diusia hujung senja ini berada dalam perangkap jem tidak begitu menyenangkan.

Namun tahun ini saya mengagahi diri untuk solat raya di kampung. Terasa sudah lama benar tidak bertakbir dan bertasbih di Balaisah penuh bersejarah dan penuh dengan kenangan masa lampau itu.

Paling bertuah juga pada tahun ini, kami berenam beradik dapat beraya di kampung secara serentak. Dapatlah bertemu, dan rumah kecil peninggalan ayah yang kini dihuni ibu bersama seorang adik perempuan yang keuzuran, riuh randah dengan suasana cucu-cucu dan cicitnya.

Kali ini kami pulang bukan sahaja membawa sebahagian anak-anak, tetapi sebahagian cucu-cucu juga. Sedar tidak sedar sudah ramai keturunan atau pun cicit dan ciat arwah atuk. Barang kali kalau semua berkesempatan pulang jumlahnya boleh mencecah lebih 100?

Alhamdulilah. Balaisah kecil yang indah menjadi mercu tanda kampung kami itu penuh sesak. Menjadi tradisi penduduk kampung kami yang berkapasiti kira-kira 60 buah rumah dengan jumlah penduduk sekitar 200 orang (pada masa ini), akan penuh bila di hari raya, baik Aidifitri maupun Aidiadha. Ruang solat yang berkeluasan kira-kira 80 kaki kali 30 kaki penuh dan padat sehingga jemaah terpaksa bersolat di luar.

Bercakap soal Balaisah ini, saya dan juga keluarga mengucapkan terima kasih kepada saudara Loding, atau Abdul Aziz Muda yang kini menjadi penggerak utama Balaisah berkenaan. Beliaulah menguruskan segala apa yang patut dan menhidupkan Balaisah berkenaan. Membaiki dan memperkemaskan mana-mana sudut atau ruang yang sudah lama. Juga mengaturkan aktiviti di Balaisah berkenaan di sepanjang bulan bahkan tahun.

Sebahagian jemaah yang hadir, anak beranak.
Kemeriah Balaisah itu bukan sahaja dihidupkan oleh penduduk kampung kami tetapi ia juga turut diimarakkan sama oleh penduduk kampung-kampung sekitar, bahkan ada yang sanggup datang berkilo meter untuk menghadiri majlis pengajian yang diadakan pada setiap Jumaat.

Kalau hendak diikutkan di kalangan kami adik beradiklah sepatutnya menjadi penghidup Balaisah berkenaan, mengambil alih daripada awah ayah yang sebelumnya mengambil alih dari arwah atuk yang merupakan pengasas kepada Balaisah berkenaan.

Tetapi selepas ayah meninggal, Balaisah itu diuruskan oleh beberapa yang lain termasuk Allahyarham Pak Muda Hassan, Ayah Su (Abdul Rahman Yusoff) dan Yusoph Abdullah serta lain-lain dimana mereka juga adalah waris warah kami juga. Namun kalau diturut dari segi tradisinya, penanggungjawab yang "utama" adalah di kalangan kami anak cucu Tok Haji Seman.

Ruang penuh terpaksa sembayang di beranda.
Nasib baik, ada Loding yang menjadi pengganti dan harapan kami. Kami hanya membantu dari jauh dengan apa-apa keperluannya. Yayasan Gual Periok (YGP) yang dibangunkan oleh abang saya adalah menjadi penyumbang utama dan tetap kepada apa-apa keperluan untuk Balaisah berkenaan.

Pada awal Syawal semalam, selepas solat Raya sempat juga saya dan abang, merakam terima kasih banyak kepada sdr Loding atas segala inisitiafnya. Secara tidak langsung kini beliaulah menjadi penanggungjawabnya. Jadi kepada mana-mana anak Gual Nibong, khasnya mereka yang pernah mencatat seribu kenangan di situ, diharap dapat membantu Loding menghidup atau memaknakan lagi Balaisah yang kita cintai itu.

Tanpa mengira di mana kita bermastautin dan berada kini, jangan sesekali kita melupai kepada Balaisah itu dan kenang dan ingatlah ia sebagai tempat kita mula mengatur langkah kehidupan dan mengenal ilmu keTuhanan. Justeru setiap orang anak Gual Nibong harus berasa sayang dan bertanggungjawab menghidupkannya seabadi hayat dikandung badan.

Kalau hendak dihimbaukan, di Balaisah itulah menjadi pusat segala aktiviti kami sekampung, dari mengaji Quran, mendengar kuliyyah agama, hinggalah dijadikan kelas tambahan (tuisyen) untuk anak-anak kampung belajar akademik.

Saya masih ingat kelas malam yang dinamakan Kelab Bimbangan Malam Gual Nibong (KBMGN), dikelolakan oleh abang saya, Ahmad Laksaman Omar, yang ketika itu berada ditingkat Enam Atas di sebuah sekolah terkemuka di Kota Bharu.

Ruang jemaah muslimat juga sesak.
Beliaulah satu-satu pelajar dari kampung kami yang berjaya menjejak kaki ke sekolah berprestaj di Kota Bharu. Jadi apabila cuti beliau akan balik dan membimbing anak-anak kampung, tempatnya di Balaisah berkenaan.Penekanan kepada pelajaran dan peri pentingnya pelajar dituntut sangat dititi beratkan kepada anak-anak kampung kami.

Beliau adalah ikon dan sumber aspirasi anak-anak kampung dan menjadi sebutan yang boleh dianggap sebagai tokoh di kampung kami. Betapa tidak hari ini beliau merupakan salah seorang ahli penal kepada sebuah badan atau forum yang dikelolakan oleh Unesco di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beranda di rumah muslimat juga penuh sesak.
Selepas beliau melanjutkan pengajian di Kolej Pertanian Serdang (UPN kini), tugasnya diambil oleh saya sekadar yang termampu. Kelas malam berkenaan sempat berjalan kira-kira 4 tahun. Balaisah itu juga menjadi markaz kami anak-anak kampung remaja untuk menyusun kegiatan kebajikan.

Berada di Balaisah itu masa solat raya itu, fikiran saya terhimbau kepada kenangan itu. Sepanjang bertakbir raya, mata saya digenagi air mata terharu sebak becampur bangga dan puas.

40 tahun lalu selepas habis kelas malam diadakan sebaik usai Isyak budak-budak lelaki ada yang tidak pulang ke rumah sebaliknya tidur di Balaisah bersama saya. Mereka akan pulang untuk ke sekolah selepas Subuh. Di hari-hari cuti mereka akan terus berada di Balaisah mengaji, belajar taranum, melakukan kerja-kerja kebajikan yang saya aturkan, memunggah air ke dalam kolah, membersih persekitaran kampung dan sebagainya.

Bukan sahaja saya, tentunya abang saya juga terkenang masa lampau. Apa lagi beliau sendiri sebelum ke Kota Bharu, Balaisah itulah menjadi rumah dan tempat tinggalknya. Beliau tinggal bersama datuk yang tinggal di serambi Balaisah sebagai rumahnya. Atuk adalah imam, guru Quran dan juga satu-satu Tok Lebai, tempat rujuk orang kampung kkhasnya dalam bidang agama. Beliaulah juga yang mengasaskan Balaisah berkenaan yang kini sudah berusia lebih 80 tahun.

Semoga sahaja Balaisah kecil nan indah peninggalan dan menjadi lambang kesatuan dan ukhwah penduduk kampung kami itu akan terus hidup dan hidup. Semoga lampu di Balaisah itu bermula dari pelita ayam kemudian bertukar ke lampu gaslin dan kini ke lampu eletrik akan terus hidup dan bersinar menerangani kampung kecil kami.

Insya-Allah saya bersama abang dan keluarga akan terus menyumbang dan memberi sokongan atas apa-apa sahaja keperluan untuk Balaisah berkenaan dan juga orang kampung. Berada jauh dari kampung bukan bermakna hubungan kami dengan balaisah itu terputus. Hubungan kerohanian tetap mengemaskan rasa cinta kepada rumah ibadat itu yang dibangunkan oleh arwah atuk itu. [wm.kl.5:29 pm 28/06/17]
Post a Comment