Thursday, June 15, 2017

Pemaafan Dr Mahathir - Anwar mecemaskan Najib

RASIONAL MASA


Anwar dulu memayungi Dr Mahathir. 
TANPA menyebut, perkara paling ditakuti Najib Razak untuk mengumumkan pilihan raya ke-14 ialah kombinasi antara Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim. Persepakatan dua orang ini menjadi suatu subjek yang menjadikan Najib termimpi-mimpi melihat nasibnya dalam pilihan raya kelak. Perkembangan kolaborasi dan pemaafan kedua insan inilah kini sedang diamati Najib.

Kalau suatu masa dahulu Umno bimbang kepada Pas dan DAP yang menjadi musuh tradisinya, tetapi kini tidak lagi. Pas sudah dapat dijinakkan oleh Najib, bahkan menjadi rakan mendokong beliau. Tinggal lagi ialah DAP, yang masih menguasai undi orang Cina yang mustahil untuk Najib memberaikannya.

Mungkin kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) tidak begitu membimbangkan Najib kerana kekuatan Amanah tidak setara dengan Pas. Begitu juga dengan wujudnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Namun kemunculan dan kesediaan Dr Mahathir untuk berjabat salam dengan Anwar benar-benar meresah dan mencemaskannya. Situasi inilah menganggui tidurnya kini. Momentum terbentuk oleh dua tokoh ini menjadikan Najib ragu-ragu untuk memanggil pilihan raya, atau tidak.

Zaman keintiman mereka
sangat menyenangkan rakyat. 
Kenapa tidak, tanpa melihat kepada kuasa sebagai PM, dan kuasa wang, orang berpengaruh di Malaysia hari ini adalah Anwar dan Dr Mahathir. Bukannya Najib. Kekuataan Najib ada pada kuasa dan wang. Tanpa kedua kuasa itu Najib tiada sesiapa pun hatta oleh orang "sinting" pedulikan dia. Penggabungan tenaga kedua mereka - Dr Mahathir - Anwar, seperti menghidupkan semula zaman kehebatan dan kegemilangan Umno 15 tahun lampau yang lenguh difikir pembangkang untuk menghancurkannya.

Sejarah telah membuktikan gandingan Dr Mahathir - Anwar bermula tahun 1982 hingga 1998 cukup kuat. Ia memberi suatu suasana yang cukup mendamaikan Umno alias kerajaan (BN) dan juga rakyat. Gabungan mereka adalah umpama gabungan aur dengan tebing saling dokong mendokong persis gandingan Tuanku Abdul Rahman degan Razak Hussein.

Dr Mahathir sendiri seakan terlepas dari segala masalah dan kebimbangan dengan adanya Anwar di sisinya sebagai pembantu. Pemergian Musa Hitam yang sebelum ini menjadi kembar siamnya, terubat dengan kehadiran Anwar.

Dan Anwar sendiri pula seperti dibayangi oleh Dr Mahatahir untuk mengambil alih kekuasaan Malaysia. Itulah apa yang didodoai dan dinyanyikan dalam melihat gabungan mereka. Negara juga berada di tahap kemajuan yang membanggakan. Sedikit demi sedikit hasil pembangunan negara mereka berdua negara dikenali dan dihormati dunia. Malaysia berada di tahap teratas di kalangan negara-negara sedang membangun. Pembangunan material dan kemanusian berjalan serentak.

Kekuatan dan keagungan Umno dan kerajan BN pimpinan mereka berdua, terbukti pada beberapa siri pilihan raya umum (Piraum) sepanjang mereka kemas berdakapan bersama. Pilihan raya 1986, 1990, 1995 memberi gambaran kekuatan dan kemantapan kerajaan. Terutamanya Dr Mahathir sendiri walaupun menghadapi tentangan daripada Tengku Razaleigh Hamzah (1987), tidak dapat dinafikan ia selamat kerana adanya "perselingkuhan politik" Anwar .

Ternyata tanpa gadingan mereka berdua, Umno selepas itu goyah, sakit dan terusan sakit. Pilihan raya selepas hubungan mereka berberai memberi kesan besar kepada Umno sehingga ia menyebabkan Umno hampir runtuh. Ia bermula pada Piraum -- pilihan raya umum tahun 1999 dan 2004, yang memuncak pada 2008 apabila lima buah negeri telah jatuh ke tangan pembangkang -- Pakatan Rakyat.

Kejatuhan UBN itu terheret ke Piraum ke-13, 2013. Akibat perenggangan mereka, Umno dan BN kehilangan majoriti di parlimen dan berada dalam kesakitan hingga kini.

Apa yang dapat ditafsirkan, kegagalan UBN itu adalah kerana kekuatan dan pengaruh yang ada kepada Anwar. Manakala kemenangan tipis UBN ketika itu, adalah kerana Dr Mahathir masih berfungsi untuk membawa kemenangan kepada Umno. Dr Mahatir masih menggunakan pengaruh, track record dan kradibilitinya sebagai bekas PM untuk menjaminkan kerajaan UBN kekal.

Kelemahan Umno untuk menguasai undi orang Melayu seperti sebelum ini adalah kerana kuasa atau undi orang Melayu telah terbahagi dua di antara Dr Mahathir dan Anwar apabila mereka bercerai. Kekuataan undi Melayu kira-kira 60% untuk Umno itu terbahagi dua separuh kepada Dr Mahathir dan separuh lagi Anwar. Ternyata perpecahan keduanya membawa azab buat Umno.

Itu realitinya. Nah, kali ini mereka bergabung semula. Apakah kekuatan yang dibangunkan semasa bersama dalam Umno 16 tahun dahulu tidak muncul kembali? Mungkin kerana faktor usia dan masa pengaruh mereka merosot, tetapi masih unggul sebagai orang berpengaruh. Ia dapat dilihat kepada sambutan kepada ucapan dan juga ulasan-ulasan politik yang mereka berikan. Serangan malam siang terhadap Dr Mahathir oleh media massa PB menjelaskan ketakutan itu.

Rakyat akan dapat melihat kenyataan ini pada Piraum akan datang. Tindakan pertama kali Dr Mahathir dalam sejarah hidupnya menentang bekas partinya sangat menarik. Kini dia serius bertindak menjadi musuh kepada partinya. Situasi dan perkembangan inilah yang sedang ditunggu ramai. Inilah juga kemuncak kepada politik Melayu khasnya dan Malaysia amnya. Orang ramai kini juga sedang bernostagia dengan kehebatan keduanya memimpin negara sebelum ini.

Paling mengejutkan lagi apabila beliau sedia berjabat tangan dengan Anwar berbai'ah sepakat untuk menentang kerajaan kleptkroasi pimpinan Najib. Rakyat dan pemerhati akan melihat Piraum kali ini luar biasa dan dijangka akan mengakhiri mitos dan "bidaah da'lalah" selama ini.

Keadaan dan kedudukan ini perlu difahami dan diambil kesempatan sebaik mungkin oleh semua orang. Mereka yang sudah muak, sudah tidak tahan degan cara negara diperintah oleh BN, perlu mengambil peluang atas perubahan dan takdir ini. Kerjasama Dr Mahathir - Anwar sesuatu yang ajaib yang sengaja diturunkan Allah. Peluang ini adalah pertama dan terakhir. Mungkin untuk pilihan raya seterusnya, ke-15, 16 dan 17 kedua-dua orang ini sudah tidak ada lagi, dan persepkaatan seperti ini tidak akan wujud lagi. Maka peluang ini harus diguna dan dimanfaat sebaik mungkin.

Kesanggupan Dr Mahathir menemui Anwar di mahkamah dan menjalinkan
kerjsama politik suatu takdir yang harus disyukuri.
Impian rakyat untuk melihat hasil kerjasama kedua tokoh ini sangat besar. Maka rakyat sudah tidak sabar untuk menanti detik pilihan raya. Mereka semua sedang berdoa dan bermunajat. Para penganalisa juga optimis gabungan Dr Mahathir dan Anwar ini akan memberi impak besar kepada BN dan bakal mengejut dan mengubahkan landskap siasah negara. Di luar rasional pula ada beranggap kerjasama kedua inilah menjadi kunci sakti untuk menumbangkan kerajaan UBN.

Masalah belum beres.

Cuma masih ada sedikit sahaja yang belum beres dalam saat menanti hasil kerjasama politik ini. Pada dasarnya ia diterima, tetapi soal-soal teknik nampaknya tidak mudah untuk diselesaikan. Inilah sedikit meralatkan. Ia adalah berkaitan dengan siapa harus memimpin atau diletakkan di hadapan sebagai kapten dalam gabungan antara mereka berdua menerusi Pakatan Harapan itu. Kenapa harus berebut?

Kenapa ini menjadi masalah? Kenapa ini dijadikan pertikaikan sampai mengerhanakan suasana? Ada kebenaran dan logik dalam pertikaian ini-- merebut hak dan mendapat perioriti ini. Sebahagian orang dalam PKR yang melihat Anwar adalah enjin utama yang berusaha menjatuhkan UBN, tidak mahu ia diambil alih oleh Dr Mahathir. Mereka mahukan Anwar tetap diletakkan di hadapan sebagai seri panggung.

Sementara orang yang mengesani baahwa kehadiran Dr Mahathir membawa impak dan gelombang, mahu Dr Mahathir berada di hadapan. Dalam struktur HARAPAN pula mahu Dr Mahathir dilantik menjadi pengerusinya manakala Anwar diletak sebagai penasihat. Jawatan itu menjadi pertikaian dalam melihat darjat kedua orang itu. Kenapa? Di pihak Dr Mahathir tidak ada masalah. Beliau sendiri tidak berhajat untuk memegang jawatan, tetapi hanya membawa niat hendak menyelamatkan negara atas kepercayaan Najib perlu ditumbangkan.

Kedua-duanya ada hujah. Di sebelah PKR mereka bimbang kalau Anwar tidak berada di situ, maka kemenangan nanti dikuasai oleh Dr Mahathir dengan menjadi PM. Walaupun ada janji, kalau Dr Mahathir jadi PM ia bersifat sementera (interim), namun ia tidak diyakini berdasarkan sifat dan warna politik. Tidak boleh disalahkan kerana sejarah masa lalu masih terlekat di hati. Phobia menghambat mereka.

Suatu hal yang perlu diinsafi bahawa keberadaan Dr Mahathir dan Anwar itu dalam padang politik yang serba mungkin. Kita semua faham bahawa sifat politik itu bukan rigid dan suruh-suruhnya bukan qati'. Ia boleh berubah maka kita harus berkembang menuruti jalur-jalur sifat-sifat munafiknya. Jadi kenapa soal-soal kepercayaan dan ketidakyakinan berdasar sejarah lama itu diangkat menjadi titik bengik mengusutkan keadaan?

Ia ada asas tetapi kalau asas itu dipegang nampaknya gabungan itu tidak menjadi kenyataan. Semua pihak seharusnya tidak meragui dan cuba untuk saling percayai mempercayai antara satu sama lain. Semua pihak dari atas hingga ke bawa perlu berjiwa besar dan berani. Meletakkan nekad untuk menukar kerajaan dan menjatuhkan Najib.

Menyedari keadaan.

Kembali kepada hakikat dan perkembangan semasa adalah terbaik sebagai penyelesaiannya. Hari ini Anwar terhalang untuk menjadi pengerusi atau PM dengan kedudukannya yang beliau masih belum suci dari dosa demokrasi. Akta pilihan raya tidak memungkin beliau menjadi PM, kecuali disucikan dahulu. Yang dapat menyucikan beliau ialah dengan terbentuk kerajaan pembangkang. Itu sahaja. Titik.

Beliau masih dalam penjara dan menjalani vonisnya. Nah, kalau beliau tidak di dalam, bebas seperti dahulu tidak ada siapa boleh menafikan kewibawaan dan ketanggungannya untuk menjadi pengerusi hatta PM. Bahkan itulah pun sejak lebih 15 tahun lalu dijaja, beliau jadi PM. Bakat, keistimewaan dan aura yang ada kepadanya dapat mempersatukan seluruh bangsa dan kaum negara ini melayakkan Anwar menjadi PM tidak dinafikan oleh sesiapa pun. Keadaanya ini bagaikan bulan purnama bercahaya tinggi diangkasa raya tetapi harus disedari cahaya itu tidak bisa mengering sapu tangan yang basah, melainkan cahaya mentari juga yang bisa.

Tetapi hari ini Dr Mahathir di luar orang menggerak gelombang untuk tumbangkan UBN. Kehangatan suasana untuk menjatuhkan Najib hari ini digerakkan oleh Dr Mahathir. Penubuhan PPBM itu sendiri adalah atas aspirasinya. Kesanggupan besar yang ada kepada Dr Mahathir yang perlu disyukuri dan mengejutkan pihak sana (Najib dan UBN) ialah kesediaanya untuk berkunjung menemui Anwar di mahkamah. Ini takdir yang diturunkan dan perlu direbut.

Semua orang perlu sedar dan terima hakikat ini. Mungkin gerakan dan angin untuk tumbangkan Najib lemah dan layu, kalau tidak hadirnya Dr Mahathir. Dengan terpenjaranya Anwar gelombang dan ribut menjatuhkan Najib dan UBN tidak sehebat dahulu. Arahan dari dalam penjara tidak sama dengan berdirinya beliau di luar dipentas-pentas politik. Pergerakan Anwar terhad. Kena tahu ini.

Bertolak dari hakikat ini, maka wajar kalau Dr Mahathir dinobatkan sebagai pengerusi seterusnya dicanangkan untuk jadi PM sementara. Kedudukan ini lebih baik dan diyakini umum berbanding dengan tawaran agar melantik Tengku Razaleigh sebagai PM sementara seperti berlaku dalam Piraum ke-13 dahulu. Kedudukan dan pengaruh serta apa dapat digerakkan Dr Mahathir berbeza dengan apa yang dapat dilaukan Tengku Razaleigh. Dr Mahathir ditawar jadi PM kali kedua lebih praktikal daripada apa dilakukan kepada Tengku Razaleigh itu.

Pihak tertentu tidak perlu meragui kalau Dr Mahathir dilantik menjadi PM sementara, bimbang beliau tidak akan melepaskan jawatan itu. Kenapa perlu was-was. PKR khasnya tentu ada kunci ditangannya untuk tidak membiarkan Dr Mahathir mungkir dengan janji itu. Dengan usia dan kesedaran yang berlaku, saya yakin Dr Mahathir tidak sekejam di zaman mudanya. Pintu taubat seseorang kian luas dan mendekat.

Bukankah dalam pembahagian kerusi nanti, PKR memperolehi kerusi paling banyak berbanding dengan PPBM dan lain-lain komponen. Apa lagi kalau kalau diganding dengan kerusi DAP, kedudukannya tentu PKR akan mendapat majoriti. Dalam mana-mana gabungan pun parti yang mempunyai kerusi paling banyak (majoriti) diberi keutamaan untuk mengepalai gabungan itu. Kalau Dr Mahathir cuba belut, PKR boleh menggunakan kunci dan kuasa itu?

Iya tidak perlu ditakuti. Untuk permulaan ialah Harapan perlu menang. Demi mendapat kemenangan semua pihak perlu saling percaya mempercayai. Tanpa ada sifat itu semuanya akan berkecai. Membimbangkan kalau isu penstrukturan Harapan ini tidak dapat dituntaskan, akhirnya rancangan untuk berhadapan dengan UBN secara satu sama satu dengan menggunakan satu simbol dan semangat tidak akan ke mana. Wal hasil balik asal Umno tetap juga akan menang.

Sukacita disebut mengenai pensyusunan struktur Harapan itu. Eloklah kakau dilantik Dr Mahathir sebagai pengerusi, manakala Anwar sebagai penasihat. Timbalan-timbalannya bolehlah diisi secara bersama oleh Preiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, PBBM, DAP dan Amanah. Manakala Naib-Naib oleh timbalan-timbalan presiden semua parti. Di sini tidak timbul kalau Presiden Amanah Mohamad Sabu juga berhasrat untuk menjadi timbalan presiden Harapan.

Mohamad lebih terbuka dan rasional, sementara keraguan dan kebimbangan dari kalangan pimpinan Amanah tidak perlulah ada. Mereka juga harus memahami dan tahu menilik diri sendiri agar kita tidak berangan-angan berasakan wajah kita kacak, cantik dan manis sedangkan kita belum melihat cermin hanya melihat wajah dalam bayangan air jernih sahaja. Arca dalam air jauh berbeza dengan arca dalam cermin. Kita jangan mudah berperasaan. [wm.kl.2:22 pm 15/06/17]

5 comments:

Unknown said...

Terbaik tuan
Mmg ini yg kita impikan
Umno di kuburkan
Sepatutnya benda ini di percepatkan agar gerak gempur ke pengundi di mulakan

PokAmid said...

Tuan MSO, tuan bersikap sedikit kejam kerana memberi points yg banyak tentang kehebatan DrM dan DSAI,tanpa menyebut sedikit pun kehebatan mr presideng parti agama.

Dari situ, pada anggapan saya, tuan tidak melihat sebelah mata pun kepada mr presideng itu untuk menjadi PM.

Maaf krn melawan arus terhadap tulisan tuan.

mohd sayuti omar said...

Respons kepada komen Pok Amid.. sdr mungkin tak memahami skop isu yang menjadi bahan penulisan saya. Maaf.

Unknown said...

Benar

Din said...

Pak amid, tuang presideng memang tidak layak utk jadi pm. Semasa menjadi mb tgganu apa jasa beliau yg relah sumbangkan. Utk menjadi pm track record terbaik dlm memerintah kena ada. Beliau tidak menggerakkan tgganu kearah yg lebih baik dn tidak ada idea2 baru utk menjana ekonomi utk rakyat neggeri tgganu. Maaf lah beliau tidak layak utk jd pemimpin negara yg mana ia mesti mempunyai pengalaman yg luas utk menjana ekonomi, kebajikan, keselesaan dn keharmonian kehidupan rakyat. Beliau hanya layak jadi penceramah ugama shj.. tuan amid mohon nasihat tuang presideng supaya jgn terlalu kerap ponteng sesi persidangan parlimen... mohon maaf jika tercuit rasa.. selamat berpuasa dn salam eidul fitri yg bakal menjelang..