Husam merasmi konvensyen Amanah ke II. |
Tema itu, mendukung satu tanggungjawab yang perlu dipikulkan oleh semua orang bernama pemimpin dan mereka yang ingin menjadi pemimpin.
Tema itu sejagat bukan hak milik Amanah bersendiran tetapi ia tertanggung sama ke atas semua badan-badan atau organisasi rakyat yang lain.
Menariknya pemilihan tema itu bertepatan dengan apa yang digalas oleh Amanah Kelantan kini yang diharap rakyat untuk menjadi kerajaan baru di Kelantan apabila kerajaan Pas berusia 27 tahun dilihat tidak relevan lagi kerana ia tergelecah dari landasan asasnya. Apa yang berlaku di Kelantan kini wujud suasana transisi -- atau mood untuk mengalih kerajaan.
Barisan pemimpin dan def jemputan. |
Jadi adalah tepat kalau Amanah diharap menjadi kerajaan mengambil tanggungjawab itu. Tema yang diangkat itu memberi peringatan (nasihat) kepada seluruh ahli dan pendukungnya tentang tanggungjawab besar itu. Justeru ahli Amanah dan pemimpinnya perlu menghiasi diri dengan semangat itu.
Kerana tema itu bersifat sejagat dan ia terkena ke atas seluruh organ dan individu menjadi pemimpin, maka pihak kerajaan juga perlu mencuri nasihat dari konvensyen itu untuk memuhasabah diri.
Muslimat juga menghadiri konvensyen. |
Terimalah intipati konvensyen untuk kebaikan semua orang demi Kelantan.
Tajuk yang terbuka dan bersifat universial itu sekaligus menggambarkan perjuangan Amanah itu bukan dalam mangkuk bubur sahaja, tetapi ia meluas seperti sebuah kawah kehidupan. Amanah telah meletakkan dirinya sebagai sebuah wadah besar untuk mempertanggungjawabkan amanah kepada rakyat Kelantan.
Pemilihan tema itu dan fokus diberikan bolehlah disifatkan sifat amanah dan jujur itu adalah paksi dan roh perjuangan Amanah. Peranan itu bakal menjadikan Amanah sebagai sebuah parti lebih bertanggungjawab dalam memperjuangkan hak rakyat.
Naib presiden Amanah Malaysia, Husam Musa telah merasmikan konvensyen berkenaan dalam suasana penuh bersemangat dan gemilang. Sewaktu berucap beliau yang juga Penasihat Amanah Kelantan menghuraikan tanggungjawab memikul Amanah rakyat bukan sembarangan atau sekadar retorik. Ia adalah perintah yang jelas dituntut dalam Islam dan disuruh oleh Allah dimana setiap pemimpin wajib melaksanakannya.
Tanpa pelaksanaan tanggungjawab itu kemenangan yang diberikan rakyat sia sia-saja.
Untuk menjelaskan peri pentingnya perintah Allah dan kepentingan (kewajiban) melaksanakan amanah yang dipikulnya, Husam menurunkan ayat 58 dalam surah an Nissa' dalam ucapannya yang bermaksud;
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (4: 58)
Berpandukan kepada firman itulah betapa prinsip menjunjung dan memikul amanah itu penting. Setiap orang yang diberi kuasa, mempunyai jawatan, dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya sampai ke raja perlu menjaga Amanah rakyat dan jujur untuk melaksanakan apa yang digagaskan dalam wadah perjuangannya.
"Saya sebagai wakil rakyat kena jaga Amanah, sebagai badan perhubungan Pas dulu kena jaga Amanah. Begitu juga dengan Menteri Besar, Exco, penghulu, hakim, polis dan Raja juga semua kena jaga amanah rakyat, kerana amanah adalah tanggungjawab pemimpin," tekan Husam.
Firman Allah itu menjelaskan dengan terang dan tegas betapa pentingnya amanah rakyat itu dijaga dan bukan perkara yang boleh dimain-mainkan.
Bagaimana pun katanya malang kerajaan Kelantan yang ada hari ini seakan mengabaikan aspek ini menyebabkan ia dipertikaikan oleh rakyat akhirnya menyebabkan integriti kerajaan berslogan Membangun Bersama Islam sudah mulai dipertikaikan.
Husam menyebut dua perkara yang kerajaan Pas Kelantan hari ini gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya kepada rakyat. Perkara ini fatal.
Pertama, berhubung dengan masalah dihadapi oleh guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK), yang mana mereka masih lagi dibelenggu masalah, mengenai status penjawatan, kenaikan gaji dan pangkat serta kebajikan.
Katanya sudah lama perkara ini berlaku tetapi masih belum dapat diselesaikan sampai sekarang. Beliau pernah membangkitkan hal ini betapa masalah dihadapi guru-guru YIK perkara serius tetapi pihak berkenaan semacam buat endah tidak endah.
Suatu masa katanya isu ini sudah hendak diselesaikan, dimana satu perjumpaan dengan Exco berkenaan dengan guru-guru YIK diadakan, tetapi masih juga tidak ada penyelesaian. Menyedari masalah ini serius beliau memberi jaminan sekiranya Pakatan Harapan memerintah Kelantan nanti, isu atau masalah guru-guru YIK ini akan diberi keutamaan.
Husam menempelak, kewangan bukan menjadi masalah kepada YIK untuk menyelesaikan masalah ini kalau mereka yang bertanggungjawab dan menguasi Yayasan itu ada idea untuk mengatasinya.
Perkara kedua, menurut Husam yang menggambarkan kerajaan Kelantan mengabaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikulnya ialah apa yang sedang berlaku dalam projek pembangunan sosial ekonomi rakyat, syarikat Ladang Rakyat.
Menurutnya Ladang Rakyat yang diwujudkan dengan matlamat untuk membantu rakyat miskin tidak mencapai sasarannya apabila ia diuruskan secara tidak profesional menyebabkan empat daripada lima syarikat Ladang Rakyat telah ditutup kerana mengalami kerugian.
Beliau juga kesal dengan cara projek itu dilaksanakan dimana ia tidak menguntungkan kerajaan dan rakyat sebaliknya menglabakan syarikat persendirian yang diberikan pajakan tanah untuk mengendali ladang-ladang berkenaan.
Beliau memberi contoh bagaimana pajakan tanah kepada syarikat bernilai hanya RM200 setahun, dimana nilai ini jauh lebih rendah daripada sepatutnya. Disebabkan nilai pajakan sangat rendah menyebabkan pendapatan Ladang Rakyat yang dijangka RM110 juta setahun hanya dapat dipunggut RM10 juta sahaja dalam setahun.
Dalam kesempatan itu juga Husam menjelaskan mengenai serangan terhadap beliau berhubung kerugian Ladang Rakyat oleh pihak Pas Kelantan yang cuba mengaitkan dirinya dengan Ladang Rakyat kononnya beliau semasa menjadi ahli lembaga pengarah syarikat Ladang Rakyat tidak menghadiri mesyuarat.
Secara jujur beliau mengakui dakwaan, beliau memang tidak hadir mesyuarat selepas konsep asal Ladang Rakyat yang diilhamkannya tidak lagi diikuti. Menurut konsep asalnya tanah untuk dibangunkan Ladang Rakyat diberikan kepada syarikat milik kerajaan, bukannya milik persendirian. Setelah konsep itu tidak diikuti beliau tidak lagi menghadirinya kerana tidak mahu "tercalar" dengan apa yang dilakukan itu.
Selain dari dua contoh itu menunjukkan kegagalan kerajaan Kelantan dalam memikul tanggungjawab dan menjaga amanah rakyat, masih ada lagi beberapa aspsek lain yang menunjukkan kerajaan Kelantan kini tidak cakna kepada amanah rakyat. Ini termasuk juga macam mana Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK), katanya dikuasai oleh puak "Putar Rangas" untuk mengikis kekayaan KPK untuk diri sendiri.
Beliau melahirkan keyakinan rakyat Kelantan akan hidup lebih selesa dan negeri jadi bertambah maju sekirnya Pakatan Harapan diberi mandat untuk mentadbir Kelantan dalam pilihan raya nanti kerana prinsip atau asas pentadbiran Pakatan nanti ialah menjunjung dan menjaga amanah rakyat.
Konvensyen itu disertai kira-kira 200 peserta terdiri dari barisan kepimpinan Amanah Kelantan, Pengerusi Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, timbalan Muhammad Hussein dan lain-lain. Setiausaha Ahmad Kelantan Rushdan Mustapa bertindak sebagai pengarah konvesnyen. Kejayaan Amanah Kelantan mengadakan konvensyen itu jelas menunjukkan perkembangan parti baru itu semakin mendapat sambutan.
Lebih bererti lahi konvensyen itu turut sama dihadiri oleh pemimpin parti-parti konponen Pakatan Harapan, antaranya Pengerusi PKR Kelantan Abd Aziz Kadir, Mohd Sobree Sahfei selaku ketua sekretrait Pakatan Harapan Kelantan yang juga mewakili PPBM Kelantan serta wakil DAP.
[wm.kl.12/08/17] * Foto dari Fb sdr Rushdan Mustafa.
No comments:
Post a Comment