Saturday, August 12, 2017

Pola politik Melayu tentukan kerusi Wangsa Melayu

PARLIMEN WANGSA MAJU

Shafei Abdullah, kalah.
Saya terbaca hasrat dan harapan diluahkan oleh Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan Teuku Adnan Teuku Mansor untuk menawan sekurang-kurang dua lagi kerusi parlimen dalam Wilayah Persekutuan pada pilihan raya mendatang.
Dua kerusi yang menjadi idaman dan sasaran utama untuk dirampas itu ialah Lembah Pantai dan Wangsa Maju.


Yew Teong Look, pernah menang.
Hari ini Umno Wilayah Persekutuan boleh berbangga dengan memiliki dua kerusi sahaja, Setiawangsa dan Titiwangsa, disamping Puterajaya yang dimenangi oleh Tengku Adnan. Selebihnya kerusi dalam Wilayah; Kepong, Batu, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak dimiliki oleh pembangkang, Pakatan Rakyat/Harapan.


Keinginan Umno Wilayah yang disuarakan oleh Teuku Adnan itu bukan sesuatu yang tersembunyi. Parti itu sedang membuat gerak kerja bersungguh-sungguh untuk menawan dua kerusi berkenaan. Kehilangan kerusi Lembah Pantai bagi Umno Wilayah Persekutuan samalah seperti terlepasnya Selangor kepada Pakatan Rakyat dahulu.

Perjuangan untuk merampas kedua-dua kerusi itu ia sangat penting bukan sahaja untuk menambah kerusi (majoriti) UBN dalam pilihan raya nanti, yang kini sudah dinafikan oleh oposisi, tetapi untuk memastikan kemampuan Teuku Adnan sendiri sebagai pengerusi Umno Wilayah Persekutuan dan juga selaku Setiasuaha Agung Umno Malaysia. Ia juga bagi mengembalikan maruah Umno di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Kehilangan kerusi-kerusi itu menjadi penanda bahawa Umno ditolak oleh orang-orang cerdik dan bukan penerima BR1M.

Lembah Pantai kini diwakili oleh Nurul Izzah Anwar manakala Wangsa Maju oleh Dr Tan Kee Kwong, kedua-duanya dari PKR.

Nurul Izzah sudah dua kali menang di Lembah Pantai, manakala Dr Kee Kwong baru sepenggal. Nurul Izzah mengalah dua menteri, Shahrizat Abdul Jalil (ketika itu Menteri Pembangunan Wanita dan Perpaduan) dan Raja Nong Chik Zainal Abidin, (ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan), manakala Kee Kwong mengalahkan bekas setiausaha politik Najib Razak, Shafei Abdullah.

Strategi UBN.

Umno tidak hanya berangan-angan untuk merampas kedua-dua kerusi itu sebaliknya disusuli dengan usaha dan pengaturan strategi yang kemas dan rapi. Salah satu strateginya ialah melancarkan "Operasi Anjing". Operasi ini ialah dengan memunggah pengundi dari kawasan luar di bawa masuk ke kawasan berkenaan. Operasi Anjing ini mendapat kerjasama erat daripada SPR yang disirati menerusi proses persempadanan semula kawan-kawasan pengundian.

Operasi Anjing inilah salah satu mekanisme untuk memastikan UBN kekal memerintah dan Najib Razak terus menjadi perdana menteri. Operasi ini dilakukan menerusi proses persempandanan semula kawasan-kawasan mengundi yang dicipta khas untuk menyelamatkan UBN. Inilah tugas dan peranan yang diletakkan di atas bahu Pengerusi SPR Hashim Abdullah.

Di Lembah Pantai sahaja seramai kira-kira 6,598 pengundi pos dari Bukit Aman telah dibawah masuk ke kawasan Lembah Pantai. Umno yakin dengan strategi itu akan menang dalam Piraum akan datang memandangkan dalam Piraum 13, Nurul Izzah menang dengan majoriti, 1,847 mengalahkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Raja Nong Chik. Nurul Izzah mendapat 31,008 undi manakala Raja Nong Chik 29,161.

Sementara di Wangsa Maju pula, hal yang sama berlaku, bilamana pihak PKR telah mengesan kira-kira 4,000 pengundi hantu berada di parlimen ini. Bendahari Agung PKR, Tan Yee Kew dalam satu laporan akhbar mendakwa usaha untuk memasukkan pengundi itu sedang diusahakan. Beliau mengancam perbuatan itu bersalahan dengan dengan perundangan negara.

Pengundi "hantu" yang dimaksudkan beliau itu ialah pengundi yang dibawa masuk tanpa identiti jelas seperti alamat mereka tidak terletak dalam kawasan parlimen Wangsa Maju. Dari maklumat yang tidak dapat disahkan dipercaya sebahagian mereka dipindah dari parlimen Cheras?

Sehubungan dengan itu, pihak PKR telah mengenal pasti 230 pengundi yang tidak jelas identitinya itu dan telah dibuat laporan kepada polis agar menyiasat kehadiran pengundi dianggap hantu itu. sejauh mana hasil siasatan polis dan tindakan selanjutnya masih kabur baur.

Pendedahan PKR itu seakan mereka bimbang akan kedudukan ahli parlimen Wangsa Maju yang kini disandang oleh Dr Tan Kee Kwong kerusi ini akan terlepas dalam Piraum akan datang. Dalam pilihan raya lalu Dr Tan menang dengan majoriti, 5,511 undi mengalahkan calon UBN Shafei Abdullah yang juga bekas Setiausaha Politik Najib Razak.

Tidak perlu dibimbnagi.

Sebenarnya apa yang berlaku di Wangsa Maju tidak perlu dibimbangi kerana ia ada sedikit perbezaan dengan keadaan di Lembah Pantai. PKR atau Pakatan Harapan tidak akan kalah dengan kehadiran hantu serta perselingkuhan demokrasi oleh SPR itu. Tektik atau pembawaan pengundi hantu itu tidak akan mencukupi undi untuk UBN menguasai parlimen Wangsa Maju.

Ada beberapa asas yang boleh diperkirakan untuk melihat parlimen Wangsa Maju akan terus kekal kepada Pakatan Harapan (PKR) apa lagi kalau PKR tetap menurunkan calon berbangsa Cina. Pertamanya kerana senario politik hari ini dimana orang Melayu boleh dianggap berpecah kepada tiga kumpulan apabila Pas mengambil pendekatan politik Matang dan Sejahtera untuk tidak bersama dalam pakatan pembangkang (PH). Perpecahan ini akan memberi keuntungan kepada PKR di Wangsa Maju apa kalau terus meletakkan calon Cina mengekalkan Dr Tan Chee Kwong.

Peratus pengundi di Wangsa Maju dilihat kepada rekod 2013, daripada 67,677 pengundi Melayu mengatasi peratus kaum-kaum Cina dan India dengan 53.3% diikuti Cina 35%, India 8.9% manakala lain-lain bangsa 1.4%. Perangkaan ini berbeza, khasnya peratus pengundi Cina di Lembah Pantai dengan Wangsa Maju, di Lembah Pantai peratus pengundi Cina 22.8% sahaja. Peratus pengundi Cina yang tinggi di Wangsa Maju ini dilihat memberi kelebihan kepada PKR.

Selain itu pengundi di Wangsa Maju termasuk pengundi dalam kawasan bandar yang membuat penilaian  politik dengan neraca kewarasan bukan dengan pertimbangan politik yang retorik berlandaskan dogma agama. Pengundi mahukan perubahan bukan keredhaan yang masih belum pasti. Sudah tentu mereka akan membuat penilaian secara praktikal dan waras, dan ini berpihak kepada Pakatan Harapan.

Kenapa saya kata PKR masih selamat dan tidak perlu rungsing. Tertakdir berlaku pertandingan tiga penjuru dimana Pas meletakkan calonnya, parti itu akan hanya mampu mengaut undi di kalangan Melayu sahaja. Undi Cina dan India mungkin tidak diperolehi. Tindakan Pas itu akan menyebabkan berlaku perpecahan undi Melayu dan ini memberi kesan kepada calon Melayu Pas dan Umno. Lainlah kalau Pas dan UBN bekerjasama, pengundi Melayu hanya akan berpecah dua sahaja, di antara Pakatan Harapan dengan BN. Kemungkinan undi Melayu berpihak kepada Pas-Umno boleh jadi kalau mereka bergabung.

Apabila berlaku perpecahan dalam undi Melayu, ini bermakna Pas mendapat separuh (25%) manakala UBN pula mendapat (25%). Perolehan itu tentu tidak dapat mengatasi undi Cina sebanyak 35% itu yang dianggarkan 90% daripadanya berpihak kepada Pakatan Harapan (PKR), calon Cina.

Selain perhitungan itu ada faktor lain yang meletakkan calon PKR atau Dr Tan Kee Kwong akan kekal di Wangsa Maju. Ini sekiranya Umno terus menurunkan Shafei Abdullah. Meletakkan Shafei sebagai calon ia seolah-olah UBN akan memberi kemenangan percuma kepada Dr Tan Kee Kwong di Wangsa Maju.

Shafei gagal mendapat mendapat separuh undi Melayu dalam pilihan raya lalu. Penolakan undi Melayu kepada Shafei itu disebabkan beberapa faktor semasa termasuk suasana politik negara. Selain itu faktor peribadi Shafei juga menjadi penyebab kenapa beliau tidak mendapat undi Melayu. Walaupun Shafei ketua Umno Wangsa Maju tetapi masih ramai orang Melayu, tidak berparti mengenalinya. Ini kerana sikap dan cara beliau berpolitik enggan turun ke bawah.

Shafei mungkin hanya dikenali dengan melihat gambar gergasinya yang dipasang ditepi-tepi jalan, bergandingan dengan Najib Razak. Mereka yang telah jeluak melihat wajah Najib secara automatik akan memejam mata untuk memangkah Shafei. Shafei juga dilihat jauh dengan rakyat bawahan bila mana beliau jarang berkumpul dengan orang ramai dalam majlis-majlis sosial seperti hari raya, membersihkan kawasan dan sebagainya.

Sebagai contohnya boleh dikatakan setiap tahun pendudukan di taman kediaman saya mengadakan majlis hari raya atau rumah terbuka. Kerap tahun juga diadakan gotong royong membersih kawasan. Tidak sekalipun saya tidak nampak kelibatnya hadir dalam majlis-majlis berkenaan. Sebaliknya yang selalu kerap datang beramah mesra dengan penduduk ialah bekas wakil rakyat Yew Teong Look.

Mungkin UBN boleh menggugat Dr Tan Kee Kwong dalam pilihan raya akan datang sekiranya UBN menyerahkan semula kerusi parlimen Wangsa Maju kepada MCA dengan meletakkan Teong Look sebagai calon. Soalnya apakah Umno sedia menyerahkan semula kerusi itu kepada MCA selepas diambilnya pada tahun 2013?

Kesimpulannya PKR atau Pakatan Harapan tidak perlu risau dengan kedudukan kerusi Wangsa Maju. Kerusi ini akan tetap dimenangi PH selagi ia meletakkan calon Cina berwibawa dan selagi mana pula Melayu berpecah dan berantakan sesama sendiri. Pola politik Melayu menentukan ke mana kerusi ini.  [wm.kl.9:06 am 12/08/17]

No comments: