Wednesday, August 16, 2017

Keadilan di Kelantan macam Kokiok yang terpisah kepala dengan tubuh

STOP PRESS

Dengan mengambil perhatian kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Keadilan Kelantan Ab Aziz Kadir hari ini yang menerima keputusan Biro Politik parti itu agar beliau dan anggota Keadilan kekal dengan jawatan dalam kerajaan Kelantan, saya mengira elok kalau Pakatan Harapan (PH) mengambil ketetapan tegas sama ada untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu atau pun membuat satu sikap tegas.

Bagi PH tidak fasal-fasal lagi untuk terus bersama dengan Keadilan kerana parti itu sudah tidak menunjukkan semangat untuk bersama. Kenyataan yang dibuat oleh Aziz itu jelas bahawa parti itu dan ahlinya di Kelantan lebih mementingkan kepuasan mereka daripada kepuasan rakan komponen PH. Mereka sudah hilang nilai setiakawan.

Ab Aziz Kadir
Sikap "cocoh jilat" Keadilan itu bukan satu sikap mulia dalam politik, walaupun politik itu bersikap rencam. Bukan sekali rakan dalam PH terutama Amanah dan DAP, memerhati sikap Keadilan yang tidak selari dengan semangat PH dan menimbulkan persoalan. Sikap ditunjukkan Keadilan itu juga semacam mereka tidak yakin dengan keupayaan PH.

Mungkin pandangan saya ini berat untuk dilaksanakan dan bersifat tidak bijak politik. Namun yang pentingnya PH tidak perlu bermain tarik tali terlalu lama kerana akhirnya yang boleh memedihkan jari jemari dan telapak tangan. Politik ada kalanya perlu kepada "ding dong ding", adakalanya memerlukan ketegasan.

Sikap PKR Kelantan bagi saya bukan suatu kebijaksanaan tetapi sikap yang boleh memberi kemarahan kepada orang ramai. Ia boleh melemahkan PH sendiri dalam bergerak untuk memperkasakan PH itu. Sikap PKR itu menjejaskan kerja PH untuk menguruskan jentera pilihan raya dan menyusunkan organisasi PH di semua peringkat di Kelantan.

Memadangkan pilihan raya sudah hampir tiba Pakatan Harapan tidak perlu menyelesaikan masalah dibikin Keadilan itu kerana ia semacam "Kokiok" (white ant) yang sudah terpisah kepala dengan tubuh saja. Tubuhnya sudah hilang ke mana yang terlekat di betis hanya kepala saja. Pakatan Harapan harus bergerak ke depan dengan penuh yakin dan geserkan kepala "Kokiok" tu. Apa dilakukan oleh PKR di Kelantan, semacam sengaja menaruh ulat bulu di kaki dan mahu melihat rakan Pakatan Harapan mengelupur kegelian. Walhal perbuatannya mencemarkan dan menyebabkan musuh Pas akan ketawa bergerekek.

Kenyataan dikeluar oleh Ab Aziz hari ini, juga seakan merombak semula simpulan PH yang dilihat sudah mulai mahu kejap sebelum ini. Kalau sebelum ini Aziz kelihatan waspada untuk mendekati podium Pakatan Harapan, tetapi akhir-akhirnya dia sudah berani mendekatinya.

Perkembangan itu disambut baik oleh rakyat yang mahu melihat Pakatan Harapan menjadi juara baharu di Kelantan. Dan Pas sendiri yang sebelum ini "agah" dan sombong juga mula sudah sedikit mengendur. Tiada kenyataan-kenyataan keras dan bengis lagi dikeluarkan. Ini kerana Pas sudah mula menyedari kekuatan yang ada kepada dirinya dan sudah merasai langit tinggi dan rendah.

Namun kenyataan Aziz hari ini seakan mengembalikan semula keadaan kepada sebelum ini yang celaru dan membimbangkan. Bagi orang atau parti yang tiada pendirian tegas begitu tidak boleh dijadikan rakan dalam sebuah pasukan.

Jadi moleklah kalau Pakatan mengambil perhatian dan meneliti buruk baik kenyataan Ab Aziz itu. Pakatan tidak perlu bersibuk dengan Keadilan lagi. Dan Keadilan sendiri juga bebas untuk membuat keputasan kontradik dengan kehendak umum. Sebagai sebuah parti yang berdaftar dan tidak terikat dengan sesiapa parti itu berhak membuat keputusannya sendiri. Apapun sikap diambil akan dihormati dengan syarat tidak bersikap cocoh jilat.

Betapa kata Husam Musa, walaupun Keadilan dianggap kecil dan kurang berpengaruh di Kelantan namun melihat Keadilan ada nilainya sendiri. Dalam satu ucapan beliau tidak mudah menolak Keadilan walaupun parti itu seakan masih belum membuat ketetapan.

Bagi saya kenyataan Aziz itu bukan setakat menyinggung, PH sebaliknya mempersendakan kepercayaan yang diberikan oleh PH kepadanya.

Mungkin kalau PKR tiada ia boleh menjejaskan kekuatan PH. Tetapi dengan menyimapan duri dalam daging, atau membiarkan kepala Kokiahk mengetik betis menyebabkan seluruh anggota berdenyut. Selama mana ditahan akhirnya ia perlu dicabut juga. Jadi kepala Kokiak Keadilan itu perlu dibuang segera.  [wm.kl.5:10 pm 16/08/17]

Dibawah disertakan kenyataan dikeluarkan oleh Ab Aziz Kadir.

KENYATAAN MEDIA
MPN KELANTAN
16 OGOS 2017

Saya dan wakil Majlis Pimpinan Negeri Kelantan (MPN) termasuk Ketua Angkatan Muda dan Ketua Wanita telah hadir dalam Mesyuarat Biro Politik Pusat pada 15 Ogos 2017. Biro Politik telah dimaklumkan dan diberikan penjelasan mengenai senario politik semasa di Negeri Kelantan.

Biro Politik Pusat mengambil maklum dengan maklumbalas yang telah dikemukakan oleh saya dan bersetuju dengan perkara-perkara berikut :

- Saya, Haji Ab. Aziz bin Ab. Kadir dikekalkan sebagai Pengerusi MPN Kelantan.

- Lantikan politik kepada anggota KEADILAN oleh Kerajaan Negeri Kelantan dikekalkan atas alasan Menteri Besar Negeri Kelantan telah mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan masih memerlukan kerjasama KEADILAN dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Saya mengucapkan terima kasih kepada YB Presiden KEADILAN dan Biro Politik Pusat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk terus memimpin MPN Negeri Kelantan.

Saya bersama MPN Negeri Kelantan akan terus komited untuk memperkukuh kedudukan KEADILAN di Negeri Kelantan khususnya dalam menghadapi PRU-14.

HAJI AB AZIZ BIN AB KADIR
Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.

7 comments:

kluangman said...

Keputusan PKR Kelantan selari dengan dasar politik Selangor yang masih mengekalkan kerjasama dengan PAS.

Sehingga jika PAS buat hal atau kecoh, kerjasama di Kelantan dan Selangor perlu dikekalkan dalam suasana menang menang dan berkemungkinan diserap kesemua negeri dalam ertikata mengelak kepada tiga penjuru.

aminsihat said...

Macam rasa nak berguling - guling bila membaca kenyataan media Hj Ab Aziz, Pengerusi MPN Kelantan, jelas kenyataan yang dikeluarkan ini telah menunjukkan bahawa PKR adalah sebuah parti yang bercelaru. Masih terngiang - ngiang lagi dipinggir telinga kenyataan ayat - ayat yang membanggakan diri apabila PKR Kelantan didesak agar melepaskan jawatan lantikan Politik mereka serta merta.

Arahan rasmi itu dikeluarkan sendiri oleh Wan Azizah selepas selesai Biro Politik PKR bermesyuarat sebagai tindak balas terhadap keputusan yang telah diumumkan oleh PAS sebelum ini.

Malah pada ketika itu, ramai pemimpin Pakatan terutamanya dari kalangan PAN dan DAP yang tampil menyindir pucuk pimpinan PAS sebagai sebuah parti yang tidak bermaruah. Mereka mendakwa PKR jauh lebih berintegriti dan bermaruah dari PAS kerana bersedia untuk melepaskan jawatan lantikan selepas memutuskan hubungan kerjasama diantara mereka.

Rupanya PKR sebenarnya parti yang sangat tidak bermaruah dan di pimpin oleh seorang wanita yang berotak celaru.

aminsihat said...

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin pun telah menyuarakan hasratnya untuk tidak lagi bertanding dalam PRU 14 kerana telah hilang keyakinan terhadap partinya PKR.

Arnab Jingga said...

nampaknya pkr akan jadi duri dlm daging PH. Amanah, DAP mestilah berhati2 dgn pkr. mesti bersedia untuk bertanding tanpa pkr.

org Islam dinasihatkan agar berhati2 supaya tidak dipatuk dua kali dilubang yang sama. tp nampaknya pkr memang menempah ini.

dlm tahaluf siyasi dulu pas tetap letak calon2 mrk dikerusi2 pkr yg memenangkan umno.

nak kena lg ke pkr ni?

AF Global said...

Licik permainan org itu, beliau dan tim nya ligat ke hulu ke hilir mutaakhir ini..

mahligai seni said...

Kadangkala terfikir saya akan kenyataan-kenyataan media yang dilakukan oleh Cikgu Bard. Hmmmm, payahnya. Okey, Pakatan Harapan perlu melangkah dengan hanya bergerak menggunakan Amanah, DAP, dan PPBM. Mungkin PSRM boleh disekalilkan. Buat masa ini, anggaplah PKR hanya sebagai suatu KEMUNGKINAN. Keadaan ini mungkin TIDAK MENCUKUPI bagi Pakatan Harapan menumbangkan UMNO/BN pada PRU 14, namun sekurang-kurangnya kita dapat suatu gabungan yang mantap untuk bergerak lebih jauh. Mungkin sasaran kita yang realistik ialah menang pada PRU 15, itu pun kalau negara kita belum BANGKRAP!

The Sh said...

Pkr parti tiada hala tuju. Parti jaga periuk nasi pemimpin mcm azmin ali.