Friday, October 13, 2017

Himpunan esok penting, ujian pertama bagi PH

NOTA PAGI

Esok akan berlangsung himpunan kemuncak "Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi" bertempat di Padang Utara, Petaling Jaya. Himpunan esok bolehlah dianggap sebagai himpunan untuk menunjukkan kekuatan dan ledakan semangat di kalangan parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH).

Himpunan esok adalah pertama kali setelah wujud dengan rasminya PH menggantikan Pakatan Rakyat (PR). Sebelum ini jelajah kempen "Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi" sudah menjenguk ke seluruh negara. Seperti mana acara-acara himpunan anjuran Bersih sebelum ini, sebelum himpunan kemuncak diadakan, ia terlebih dahulu dibuat diperingkat daerah dan negeri.

Rakyat dan orang ramai sudah diajak untuk turun ke Ibu Kota esok untuk sama-sama menunjukkan semangat dan komitmen bagi mempertahankan negara yang kini dirintah oleh kerajaan Kleptokrasi, pimpinan Najib Razak. Apakah rakyat terpanggil dengan himpunan esok, atau rakyat sudah bosan dengan acara-acara seperti itu?


Justeru apakah himpunan esok akan berjaya atau sebaliknya. Kejayaan walaupun subjektif, tetapi yang pastinya jumlah kehadiran akan diambil kira. Sasaran himpunan esok sekitar 100,000 sahaja? Sekiranya himpunan esok "renggas" ia boleh mematahkan semangat rakyat yang meletakkan harapan kepada PH untuk mengambil alih pemerintah Malaysia.

Disebabkan Pas baru sahaja selesai mengadakan himpunan Fastaqim di Terengganu, maka secara tidak langsung himpunan esok sebagai lawan dan akan dijadikan perbandingan. Suka atau tidak suka, Pas masih lagi berjaya menunjukkan kekuatannya dengan rehlah Fastaqim itu. Sama ada kekuatan ditunjukkan di Fastaqim itu kerana ada bantuan mana-mana pihak termasuk Umno seperti didakwakan, itu soal lain.

Demikian juga walaupun Fastaqim tidak memberi kesan dan impak besar yang meletakkan parti itu akan berjaya menakluki Terengganu kerana yang hadirnya bukan saja rakyat Terengganu tetapi rakyat alias penyokong Pas di seluruh negara, itu perkara lain. Yang penting Pas senang dengan himpunan itu, dan ia sedikit sebanyak menggerumkan pihak lain juga.

Pas boleh menjadikan modal bahawa Hijau masih releven.

Apakah himpunan esok akan berjaya dari segi kehadirannya berbanding dengan Fastaqim itu? Di atas kertas himpunan esok tentu lebih ramai dan meriah daripada Fastaqim. Ini kerana ada empat buah parti yang bergabung bagi menjayakannya. PPBM, Amanah, DAP dan Keadilan.

Kerana himpunan esok dikendalikan oleh parti politik pembangkang seratus peratus tanpa ada gerakan bersama Ngo seperti Bersih, ia boleh dijadikan ukur kekuatan sebenar PH. PH akan menjadikan himpunan esok sebagai "peletak" aras untuk mereka mengira sokongan rakyat kepadanya. Kekuatan himpunan esok menyerlahkan kekuatan parti politik seratus peratus kerana ia tidak melibatkan entiti lain.

Disebabkan himpunan 14 Oktober esok himpunan perdana terbesar PH dengan jangkaan ia disertai oleh seluruh pemimpin PH, termasuk Dr Mahathir Mohamad, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan lain-lain ia akan dijadikan ukur kekuatan terkini PH. Paling penting kejayaan himpunan esok akan memberi gambaran bahawa PH sudah bersiap sedia untuk merempuh UBN dalam Piraum yang akan datang. [wm.kl.9:14 am 13/10/17]

No comments: