Thursday, October 26, 2017

Menanti bajet Najib esok

ULASAN PETANG

Semua rakyat Malaysia yang "mukalaf", (baca yang tahu berfikir dan peka) kini sedang menunggu pembentangan Bajet 2018 oleh Najib Razak petang esok.

Dalam penantian itu semua orang berharap semoga bajet tahun depan akan memberi kebaikan dan keuntungan kepada diri masing-masing.

Diharap akan adalah baksi dan inisiatif diumumkan Najib nanti. Al maklumlah dewasa ini rakyat tertekan dengan bebanan kos sara hidup yang berat. Tekanan ini bukan lagi khayalan, tetapi suatu realiti. Semua barang naik mencanak, ikan kembung pun sudah mencecah RM20 sekilo. Ikan selayang yang dahulu sesuai untuk dijadikan makanan "tompok" kini dimakan sendiri oleh tuannya.


Ternyata cukai GST yang sebelum ini dinyanyikan sebagai cukai tidak membebankan rakyat, kononnya dengan pelaksanaan cukai itu harga barangan turun, ternyata bohong dan "belawak bangar". Menteri yang membuat kenyataan itu juga sudah tidak tahu di mana hendak sorot muka bulatnya. Apakah dia masih berada dalam kabinet atau pun sudah dihantar menjadi Duta?

Disebabkan Pakatan Harapan telah membentangkan bajetnya dengan menawarkan 10 subjek menarik, maka orang ramai menanti-nanti untuk membuat perbandingan. Apakah bajet kerajaan nanti lebih baik daripada bajet PH, yang akan melepaskan leher rakyat dari bebanan dan kesengsaraan. Itulah yang diharapkan.

Tidak kisah apa digelar bajet Najib nanti, apakah ia Bajet Pilihan raya, bajet gula-gula atau apa, yang penting rakyat mahu lihat suatu bajet yang adil, saksama dan dapat meringankan bebanan yang ditanggung kini.

PH dalam bajet yang dibentangnya di luar parlimen kelmarin menawar 10 perkara utama. Perkara utama ini juga akan dijadikan atau dimasukan dalam manifesto pakatan berkenaan. Perkara itu ialah:

1. Menghapuskan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
2. Pendidikan percuma yaitu membantu penghapusan hutan Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) dan pendidikan percuma untuk rakyat.
3. Pelaksanaan gaji minima RM1,500 di seluruh negara.
4. Rumah mampu milik untuk semua rakyat memiliki rumah.
5. Menghapuskan rasuah.
6. Menghapuskan campur tangan politik dalam Felda.
7. Menghapuskan tol dengan membeli balik syarikat konsensi.
8. Menaikkan royalti minyak Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sebanyak 20%.
9. Bagi golongan wanita diberikan cuti bersalin sebanyak 120 hari dan paras gaji yang setara dengan pekerja lelaki.
10. Menyediakan dana khas pembangunan bagi Sabah dan Sarawak sebanyak RM75 billion.

Jika diperhatikan bajet PH itu satu tawaran istimewa yang ditunggu-tunggu oleh rakyat. Misalnya mengenai penghapusan GST dan penghapusan PTPTN itu sangat membebankan. Walaupun tawaran itu sukar dilaksanakan, tetapi rakyat dapat berasakan bahawa PH lebih prihatin dan memahami akan kesengsaraan hidup rakyat kini. 

Apakah bajet BN nanti akan menjawab dan "melanda" (menghapus) segala tawaran itu? Maksudnya tawarannya lebih indah dan realistik.

Beberapa jurucakap kerajaan termasuk menteri, pakar ekonomi bertaraf tukang bodek kerajaan telah menempelak bajet PH itu sebagai tidak realistik dan ada yang berpendapat ia adalah cakap-cakap kosong. Lebih parah lagi ada yang mengatakan kalau PH benar-benar melaksanakan bajet itu ia boleh membawa kepada kemuflisan kepada negara. Mereka lupa bahawa dasar pengurusan kewangan Najib kini dan ketirisan sudah menghampirkan negara ke lubang maut bernama muflis?

Rakyat tidak peduli apakah negara akan muflis dengan bajet itu. Apa yang rakyat mahu ialah untuk melepaskan leher mereka dengan segala macam bebanan dan jerat yang melingkari diri mereka  sekarang ini. Sekiranya bajet Najib esok tidak dapat menandingi atau tidak lebih indah daripada bajet PH ia memberi kesan besar kepada BN dalam pilihan raya kelak.

Walaupun ada rakyat yang rasional dan memahami masalah negara kini dengan realistik, namun mereka akan teruja juga dengan tawaran-tawaran penyelesaian masalah negara seperti mana terkandung dalam bajet PH itu. 10 tawaran itu menempati kehendak dan idaman rakyat.

Justeru saya mengira, mungkin esok akan ada kejutan daripada Najib sekaligus membalas dan membidas bajet PH itu. Menteri MITI, Mustapa Mohamed sudah membayangkan bajet 2018 ada sedikit kelainan dimana ia dinamakan "bajet fesyen baru". Kita mahu tengok apakah fesyen baru dimaksudkan itu, atau pun yang baru ialah istilah dan terma digunakan sedang hakikatnya sama sahaja.

Kita tunggu bajet Najib dan BN. Dan jika bajet PH relatif baik, sama-sama kita memberi mandat kepada PH dalam pilihan raya nanti untuk memerintah bagi membolehkan ia melaksanakan segala tawaran-tawaran itu serentak melucutkan leher kita dari ikatan tali sengsara ciptaan kerajaan kleptokrasi Najib itu. [wm.kl.3:14 pm 26/10/17]

No comments: