Monday, October 23, 2017

Pemuda Pas belajarlah berhemah seperti Tokguru Nik Aziz

SESUDAH SUBUH

Doa dibaca selepas berjaya pacak bendera.
Petang semalam segerombolan anak-anak muda parti Pas Kelantan telah "menyerang" kompleks Amanah yang terletak di Jalan Pendek Kota Bharu.

Tujuan mereka ialah untuk menaikkan bendera di sekitar bangunan berkenaan yang diistyharkan sebagai menjadi milik Pas. Tindakan itu sebagai simbolik mereka sudah berjaya merampas kubu Amanah.

Bangunan itu selama ini menjadi Pusat Khidmat Adun Pas kawasan Salor Husam Musa kemudian bertukar warna menjadi kompleks Amanah apabila Husam disingkir secara kejam daripada Pas.

Kehadiran anak-anak muda bersusuh biji jagung itu, bagai mana pun dilayan baik oleh para pemuda Amanah yang hadir mempertahankan bangunan itu yang mana bagi perkiraan mereka ia masih hak mutlak mereka. Gerombolan pemuda itu diketuai sendiri oleh ketua Pemuda Pas Kelantan, dan juga ikut sama dihadiri oleh Ketua Pemuda Pas Malaysia, anak Hadi Awang.

Hazami dan rakan mempertahankan WTG.
Sementara pemuda Amanah dan skuad gigih juangnya diketuai oleh ketuanya Hazamin Hassan.

Pencerobohan gerombolan Pas itu dibuat saat Amanah sedang berkonvensyen di Kedah. Tindakan mereka semalam sebagai mencuri peluang kerana mengira pemuda Amanah tiada kerana berkonvensyen di Kedah.

Namun perkiraan mereka silap apabila sebaik sahaja rancangan untuk menaik bendera itu ditular dalam media sosial, anak-anak muda Amanah yang berada di Kedah segera pulang dan mereka berhimpun di perkarangan Wisma Tokguru menanti kedatangan gerombolan Pemuda Pas dengan menyediakan tea dan biskut. Mereka bersangka baik.

Tiada perbalahan. Pemuda Amanah hanya mempertahankan peremis berkenaan sebagai hak mereka. Gerombolan pemuda Pas berlegar di luar dan melakukan kerja menaikkan bendera tanpa diganggu gugat.

Beberapa batang bendera berjaya dipacak di perkarangan bangunan itu tanpa berlaku apa-apa kekecuhan yang keras. Maka berkibarlah bendera bulan dengan bendera Amanah dengan aman. Ertinya tidak ada bantahan oleh Pemuda Amanah dengan perbuatan itu, mereka hanya bertahan di dalam kompleks berkenaan sahaja. Gerombolan pemuda Pas yang lebih ramai daripada Pemuda Amanah, hanya bertakbir, bersorak kemudian berdoa di luar sahaja.

Polis juga hadir sebagai persiapan bimbang berlaku sesuatu yang tidak baik. Selepas "berhoha-hoha" seketika polis menyuraikan dua kumpulan itu dengan baik.

Sesuatu mengecewakan

Apa yang terjadi itu sungguh mengecewakan. Sebenarnya kejadian itu, cuba untuk merampas bangunan itu tidak seharusnya berlaku sekiranya Pemuda Pas menjiruskan kepala dengan air kelapa muda dua tapang terlebih dahulu dan bersikap sebagai orang beragama. Tetapi sayang mereka alpa menyebabkan diri terus dikuasai nafsu dan bertindak rakus.

Seperti mana umum tahu bangunan itu kini masih dalam pertikaian mengenai hak miliknya, dan juga kejelasan proses jual belinya belum nyata. Ia tentu akan dibawa ke mahkamah untuk melalui proses keadilan. Hendak tidak hendak bila penyelesaian secara understanding, anak beranak gagal maka ia akan dibawa ke mahkamah. Semua pihak kena tunggu penyelesaian di mahkamah.

Negara ini ada undang-undang dan peraturan. Ada pendakwa dan hakim. Sepatutnya semua pihak khasnya Pemuda Pas Kelantan memahami akan hakikat ini. Ia tidak boleh bertindak secara sambrono dengan menggunakan peraturan dan undang-undang sendiri sehingga boleh merosakkan imejnya sebagai penganut parti agama.

Benar, bangunan itu telah dijual oleh pemunya, balu Allahyarham Rusli Ibrahim, tetapi ia tidak semudah itu untuk diserahkan kerana bangunan itu masih didiami. Ketelusan dan kerjernihan undang-undang dalam hal ini patut diketahui. Bukan semua boleh diatasi dengan wang ringgit atau pun kuasa, kerana kita ada undang-undang, undang-undang berada di hadapan. Wang dan kuasa sahih apabila ia digunakan dengan mengikut saluran yang betul.

Seperkara yang perlu diketahui dan mungkin ini diabaikan oleh pembeli, bahawa sebahagian bangunan itu dibina oleh Husam, sewaktu ia dijadikan Pusat Khidmatnya dan juga diperbaiki apabila ia dijadikan Wisma Tokguru. Sepatutnya pembeli harus menyelesaikan perkara ini terlebih dahulu secara baik bukannya dengan menghantar notis 30 hari. Dimana akhlak dan tradisi orang Melayu yang kita gendung selama ini, bercakap biar beradab, berkira menghitung dengan waras?

Begitu juga balu Rusli kalau dia ada hak untuk menjualnya beliau perlu memaklumkan kepada Husam sebagai penghuni secara baik dan mengikut peraturan. Menjual tanah yang sedang didiami orang bukan seperti kita menjual buah durian, bayar duit bubuh dalam supik kemudian pembeli bawa balik cekah makan. Bukan segampang itu.

Khabarnya pihak pembeli sudah memberi notis selama 30 hari untuk Husam atau Amanah "keluar" daripada bangunan itu. Tempoh itu masih belum habis, jadi tindakan gerombolan Pas semalam boleh dianggap menceroboh kerana melanggar notis itu.

Dalam melihat kejadian ini timbul pertanyaan, apakah peranan pemimpin Pas Kelantan atau orang-orang tua yang lebih cerdik daripada budak-budak itu. Apakah mereka tidak mengetahui tindakan pemuda Pas itu atau pun merestuinya dari jauh? Kalau mereka tahu tetapi tidak bertindak, mereka  bolehlah diibaratkan orang tua yang juga buta mengenai perundangan dan sudah kering dengan akhlak dan adat Melayu.

Kita percaya Husam dan Amanah tidak berkeras kalau cara pembelian dan pemilikan bangunan itu oleh Pas dibuat dengan beradab. Sebagai orang yang reti undang-undang dan menyedari diri, tentu beliau tidak akan berdegil dan menjadi rakus seperti pemuda Pas itu. Sedegil mana pun Husam dia akan lembut dan kalah dengan adat dan kesopanan.

Seharusnya pemimpin Pas khasnya Ahmad Yakob selaku Pesuruhjaya, Mohd Fadzli Hassan atau Johari Mat, kedua-duanya sebagai Naib Pesuruhjaya menasihati anak buah mereka. Tindakan tidak bertamadun pemuda Pas itu sedikit sebanyak turut mencotengkan ke muka mereka juga. Keburukan Pemuda itu akan ditafsirkan sebagai keburukan orang tua pemimpin Pas juga.

Sebagai anak muda yang berada dalam parti pernah dipimpin arqah Nik Abdul Aziz Nik Mat mereka perlu menghormati arwah. Mempelajari apa yang arwah lakukan sebelum ini dan melayani musuh politiknya. Tokguru tidak rakus, tidak sombong tetapi tenang serta senantiasa merendahkan diri.

Misalnya apa yang berlaku di kampung saya, Gual Periok, sudah 27 tahun Kemajuan Masyarakat Kemas menggunakan peremis milik kerajaan negeri sebagai sekolah Tadika, kerajaan atau Nik Aziz tidak pernah merampas atau mengusirnya. Apa lagi meminta pemuda Pas agar menaikkan bendera di peremis berkenaan.

Tokguru tidak bertindak seperti apa dilakukan Hadi Awang di Terengganu yang mengunci dan usir budak-budak Tadika sebaik seminggu memerintah.

Apakah pemuda Pas Kelantan mengikut fiil dan perangai Hadi Awang bukannya fiil dan akhlak Nik Aziz? [wm.kl. 7:43 am 23/10/17]

9 comments:

Lembayung Taqwa said...

Akhlak dalam pejuang jemaah Islam yg semakin kelaut..

Pok Li said...

Memang amat mengecewakan melihat fiil PAS sekarang, tak kiralah pemuda atau yang dah veteran. Kalau lah mereka tidak boleh menghormati undang² yang ada, bagaimana mereka mampu mentadbir negara seperti diangan²kan. Mungkin lebih teruk dari UBN? Salahkah kalau kita katakan mereka memperkudakan ugama apabila setiap kali mereka menunjukkan gedebe (atau ketololan) ianya disusuli dengan bacaan doa dan bertakbir? Astagfirullah.. Hudohnya ugama yang di terampilkan puak² ni.

Tak nampak pun Pemuda PAS ni menjuarai isu² rakyat. Bukankan lebih baik kalau mereka mengumpulkan tenaga berdemonstrasi memperjuangkan isu² 1MDB, Felda, GST dll?

Rasanya dah banyak kali Tokti menasihatkan agar MB Mat Yaacob menasihatkan dan mengawal pemuda PAS. Adakah Mat Yaacob pun berfikiran sama atau jenis PDMP jugok?

Lelakidicermin said...

agaknya pemuda parti pak lebai jenis fikiran kemetut... takkan masa mesyuarat sebelum serbu.. takde seorg pemuda parti pak lebai.. bg tahu kelakuan kita tak beradab.. notis 30 hari tak habis lagi.. takkan tak fikir kesan tindakkan kita memalukan parti lebai.. agak semua dlm keadaan hayal ketum kot... memang ngok betul parti pak lebai ni... seandai parti pak lebai menang dlm mengusir husam... tuntutan waris masih ada lagi... dengar dah jadi kes mahkamah...

Annoy said...

bapa borek anak rintik... bapa dh tutup tadika kemas... anak nak tutup pejabat amanah... kalau keladi katakan keladi... memang kamu ni anak hadi...

Unknown said...

Salam


Kesihan melihat pemuda pas,ditambah dgn ketua pemuda baharu anak hadi , Akhlak islam yg macam mana dibawa?cara nabi?cara sahabat? atau cara seprti kawan sa 355 mereka.

Fairuz said...

Politik matang katanya...

Fairuz said...

PH lawan cara gentleman. Fight di parlimen. Pas di parlimen hantar pasu bunga. Di luar parlimen bergaduh hal merepek & remeh temeh.

Ingat tak kita zaman sekolah dulu? Gaduh ejek2,rebut kerusi/meja...

Mat Safian said...

Inilah hasilnya apabila dlm kuliah pengajian agama, bila setiap ayat Al-Quran ditafsirkan dgn menggunakan contoh isu politik.

Masyarakat Islam menjadi rosak bila pendakwah menyamakan Parti dengan solat Jemaah. Kesannya, masyarakat anggap setiap tindakan parti adalah seprti tindakan agama, sedangkan parti ciptaan manusia dan solat ciptaan Allah.

Unknown said...

pas ni bangsa yg tktau adab tak tau undang2 dan taktau malu.

tak guna nk hormati mahkamah

undur ke belakang ke zaman batu, cuma pakaiannya kupiah dn jubah
perlu diganti jerami dan bertombak