Tuesday, January 16, 2018

Jangan kecut dengan kajian, Johor miliki barisan kepimpinan berwibawa

TENGOK JOHOR

Barisan pemimpin Melayu Johor tawaran terbaik
PENYOKONG Pakatan Harapan (PH) di Johor khususnya tidak perlu mengambil kira sangat dengan dapatan satu kajian berkaitan sokongan terhadap PH di kalangan orang Melayu luar bandar di negeri itu yang menolak PH.

Menurut kajian itu 85% Melayu luar bandar di Johor tidak menyokong Pakatan Harapan?

Kajian itu dijalankan oleh penganalisis Wan Saiful Wan Jan diterbitkan oleh Iseas Institut Yusof Ishak Singapura.


Kajian itu dilakukan terhadap 1,100 responden yang dibuat melalui telefon. Menurut kesimpulan kajian itu faktor kenapa Melayu menolak PH ialah kerana DAP. Kononnya orang Melayu berat hati untuk memilih PH kerana bimbang DAP akan jadi lebih berpengaruh. Kesan daripada berpengaruhnya DAP kononnya menjadikan mereka akan terpinggir.


Melayu luar bandar Johor yang tentunya tidak begitu memahami politik, cemas dan bimbang mereka akan menjadi seperti nasib Melayu di Singapura yang terpinggir berada di bawah pemerintahan PAP, yakni dianggap sebagai parti induk DAP di Malaysia. Kononnya DAP sedang mengatur agenda untuk menguasai Malaysia setelah bertapak di Pulau Pinang.

Sekiranya kajian tersebut boleh dipercayai dan mempengaruhi pemikiran orang Melayu ia memberi natijah kempen menakut-nakutkan orang Melayu dengan politik DAP yang didoktrinkan oleh Umno berjaya. Sudah lama Umno memainkan sentimen bangsa untuk mengikat sokongan Melayu abadi kepadanya. Salah satu cara ialah dengan menakut-nakutkan rakyat menggunakan DAP. Menjual DAP sebagai parti Komunis yang akan merampas kuasa Melayu di negara ini dan mengancam kedaulatan Islam.

Sebenarnya tanggapan demikian sangat dangkal. Sekiranya apa yang didakyah itu benar, masakan kerajaan terus membenarkan DAP bergerak sebagai sebuah parti politik. Kalau ia bahaya kepada kuasa Melayu sudah pasti kerajaan akan mengharamkan parti chauvenis itu seperti mana British mengharamkan Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu.

Pengharaman parti itu nanti menyebabkan DAP akan berkubur. Soalnya kenapa kerajaan tidak mengharamkan DAP? Penulis sendiri sudah beberapa kali menyaran DAP diharamkan sekiranya dakwaan dan prejudis terhadapnya benar. Pengharaman DAP adalah satu tindakan paling berkesan.

Tidak relevan

Kajian itu dibuat pada bulan Mei dan Jun tahun lalu di mana ia mungkin tidak relevan lagi untuk masa sekarang kerana iklim dan senario politik kini sudah banyak berubah. Justeru ada sudut-sudut tertentu dapatan dan kesimpulan kajian itu boleh ditolak. Aliran sokongan dan harapan orang Melayu Johor kepada PH pula semakin positif. Ini dapat dilihat kepada kemeriahan majlis anjuran PH di negeri itu.

Salah satu faktor kenapa dapatan kajian itu sudah tidak relevan,  ialah semasa kajian itu dijalankan, PH masih belum mengumumkan calon Perdana Menteri mereka. Orang masih berteka teki siapakah bakal diangkat jadi PM. Hatta nama Lim Kit Siang juga dijual oleh pedagang dan barua politik Umno sebagai PM.

Kini PH sudah pun menobatkan nama Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi PM sekali lagi sekiranya pakatan itu berjaya. Serentak itu juga ditonjolkan nama Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri. Pengangkatan kedua-dua nama itu sebagai orang nombor satu dan nombor dua negara menamatkan spekulasi dan polemik mengenai watak PM. Sudah tentu kalau diadakan kajian semula, keputusannya berubah.

Penamaan Dr Mahathir sebagai PM memberi markah kepada PH dan menambahkan keyakinan rakyat kepada PH untuk menjadi alternatif kepada BN. Rakyat lebih yakin dan percaya bukan kerana Dr Mahathir berada di luar penjara, tetapi kerana track record beliau yang pernah menjadi PM selama 22 tahun. Tidak itu sahaja, kesepaduan dan semangat untuk menumbangkan Najib Razak dipamerkan komponen PH sungguh mengkagumkan. Konvensyen PH yang lalu adalah mercu tanda kekuatan pakatan pembangkang kali ini.

Sebenarnya orang Melayu di Johor tidak perlu cuak dengan DAP seperti mana didakyah oleh Umno sebagai parti pengkhianat. Pemikiran yang waras dapat menolak dakyah itu tanpa berhitung panjang. Tidak pun perlu mengungkit kejadian-kejadian silam seperti 13 Mei atau peristiwa Natrah di Singapura untuk dijadikan asas kepada kebejatan DAP. Sejarah sendiri mengetahui ada elemen-elemen rekaan dalam tragedi berkenaan atau diberi pentafsiran melampau yang mempunyai motif tertentu.

Hakikat perlu disedari di Johor DAP bertanding 13 kerusi DUN sahaja daripada 56 kerusi. Sekiranya DAP menang parti itu tidak mampu menubuhkan kerajaan. Sekiranya PH menang, sudah tentu ia merupakan kerajaan bersama parti Amanah, PKR dan PBBM. Kuasa DAP dalam kerajaan nanti tidak akan mampu bergerak jauh seperti ditakuti itu kerana ia dibayangi dan dibatasi oleh tiga buah parti itu.

Kewujudan PBBM yang membawa semangat Umno perlu diyakini dan dialu-alukan. PBBM mahu menyelamatkan ahli Umno agar terus kekal dalam perjuangan membela bangsa dan negara yang kini dimusnahkan oleh Najib Razak. Begitu juga keberadaan Amanah yang menciplak perjuangan Pas dan meletakkan parti itu lebih realistik menjadi dinding kebal untuk Melayu dan Islam. PKR pula menjadi penyatuan semua bangsa dalam satu wadah lebih harmonis dan bersatu jiwa.

Ketiga-tiga parti ini bukan parti berteras dan bersemangat keCinaan seperti dimomokan itu, yang sudah tentu akan menjamin dan penyelamat kepada hak-hak dan kedudukan orang Melayu.

Sebenarnya banyak lagi untuk orang Melayu Johor tidak perlu takut tanpa tentu fasal dengan DAP. DAP tidak akan menang bersendirian. Senario di Johor juga berbeza dengan senario di Pulau Pinang di mana kedudukan dan kuasa politik Melayu dan Cina 50 : 50. Di Johor orang Cina hanya dominan di beberapa buah kawasan sahaja. Institusi Raja berperlembagaan yang wujud di Johor, malahan dianggap sebagai institusi beraja yang berani dan tegas adalah benteng teruntuh. Johor sangat berbeza dengan Pulau Pinang.

Justeru tidak perlu takut dengan momokan tidak berasas itu.

Masyarakat Johor khasnya Melayu perlu sedar bahawa Johor diharap menjadi pengubah senario politik negara. Sebagai rakyat dikenali dengan panggilan "bangsa" seharusnya rakyat Johor meneruskan sejarah ke depannya, berani bertindak. Orang Johor sewajarnya terus menjadi peneroka pengubah zaman termasuk juga pemerintah usang negara.

Sudah sekian lama orang Melayu Johor menjadi hamba kepada Umno menjadikan negeri itu sebagai kubu. Sepatutnya orang Melayu Johor dapat menilai apakah beza dan kelebihannya berbanding dengan negeri-negeri lain. Kejayaan orang Johor mengubah Johor dengan menumbangkan Umno akan memberi manfaat kepada negeri-negeri lain juga.

Tiada apa yang boleh dibanggakan mereka, melainkan berasa "agah" (sombong) kerana bersempadanan dengan Singapura. Orang Johor suka kalau mereka dianggap jiran Singapura yang rakyatnya memiliki kebanggan menumpang kemajuan di Singapura sedangkan negeri sendiri tidak banyak berubah.

Sewajarnya setelah mengenali Umno selama lebih 60 tahun, orang Melayu Johor tidak hanya perlu berpuas hati menjadi negeri kubu Umno. Penubuhan Umno di Istana Abu Bakar tidak memberi banyak keuntungan kepada Melayu Johor melainkan ianya boleh dibangga dalam buku sejarah sahaja. Perkapita rakyat Johor sangat ketara berbanding dengan perkapita rakyat Singapura.

Sekali lagi dinyatakan tidak apa perlu orang Melayu takut dan cemas dengan dakyah kononnya DAP akan berkuasa. Seperkara lagi perlu diingat dengan ada pemimpin seperti Muhyiddin Yassin bekas Timbalan Presiden Umno, Sallahuddin Ayub bekas Niab Presiden Pas serta pemimpin-pemimpin Melayu lain seperti Hassan Abdul Karim, ia boleh membawa Johor beredar dari sangsara kini yang dicipta oleh Umno. Muhyiddin misalnya tindakannya meninggal Umno walaupun dikedudukan orang nombor dua negara, menunjukkan kesedaran dan keinsafan beliau, melihat betapa bobraknya Umno.

Muhyiddin keluar bukan untuk dirinya, tetapi untuk bangsa Johor juga. Begitu juga kesediaan Salahuddin Ayub, yang kini timbalan Presiden Amanah serta Aminolhuda Hassan selaku Pengerusi Amanah Johor, kesediaan mereka berjabat tangan bersama Muhyiddin dan beriringan langkah dengan PKR dan DAP, adalah demi Johor. Mereka bersatu bukan atas matlamat apa, melainkan untuk membebaskan Johor dari sengsara lampau.

Sebenarnya rakyat Johor khasnya Melayu mempunyai waktu terbaik memiliki pemimpin yang berjiwa rakyat, berintegriti dan bakal berbudi kepada mereka. Kesangsaraan mereka hadapi yang dihadiahkan Umno kerana mempertahankan negeri itu sejak 60 tahun lalu akan terbela oleh mereka ini. Jadi peluang ini hendaklah jangan disia-siakan.

Usah percaya kononnya Johor akan terlepas kepada Cina kerana itu adalah mitos khurafah yang dicipta Umno untuk menghalalkan rakyat Johor kekal dalam tirani sangsara sang kleptokrasi tidak berhati perut. Secara tersembunyi juga agenda besar PH ialah untuk menyelamatkan Johor dari tergadai kepada kuasa asing yang kini digadai atas nama pembangunan yang kononnya bijaksana oleh kleptokrasi. [mw.kl.10:23 am 16/01/18]

5 comments:

mahligaiseni said...

Beberapa perkara dalam kajian seumpama itu boleh dijadikan panduan oleh Pakatan Harapan, namun kalau perkara yang berbentuk provokasi, abaikan sahaja. Tidak sukar untuk kita membezakan antara perkara yang tulus dengan perkara yang berprovokasi. Di sinilah pentingnya kebijaksanaan dalam membaca sesuatu naratif.

Unknown said...

Harap rakyat johor & malaysia bijak memilih pemimpin yg bole mengutamakan rakyat..

aminsihat said...

Betul,betul,betul. PENYOKONG Pakatan Harapan tidak perlu mengambil kira sangat dengan dapatan satu kajian berkaitan sokongan terhadap PH di kalangan orang Melayu luar bandar di negeri itu yang menolak PH.

Pemimpin-pemimpin dan penyokong PH hanya perlu mengambil kiri dengan kajian yang mengatakan PH lebih terkehadapan berbanding dengan BN, apatah lagi PAS.

Asrul Sani said...

Jika begitu halnya, pelik benar Melayu Bangsa Johor ni....China DAP dia orang takut....China Tanah Besar yang datang berduyun-duyun membeli hartanah di negara itu mereka selamba sahaja.

Orang Melayu masih ramai bilangan mereka di Johor, bagaimana mereka bisa jadi terpinggir.....kecuali jika mereka sendiri tidak mahu berubah dan malas mengejar kemajuan. Mereka takut jadi Melayu di Singapura. Pernahkah mereka melihat taraf hidup Melayu di Singapura yang jauh lebih baik dari orang Melayu di Johor. Sesungguhnya Melayu yang hidup di luar negara (Australia, Canada Britain, Amerika) jauh lebih baik keadaannya dari kita yang hidup di tanah air sendiri kerana pemimpin kita HAPRAK dan gagal memimpin bangsa.

ZulJB said...

Senario politik semasa memperlihatkan kaum Cina bersepakat menyokong DAP yang memungkinkan DAP menang kesemua 13 kerusi DUN yang ditandingi di Johor. Bagi membentuk kerajaan, Pakatan Harapan perlukan hanya 16 lagi kerusi DUN yang sama ada dimenangi oleh BERSATU, AMANAH atau PKR.
Umum mengetahui ada calon ADUN daripada PKR terdiri daripada kaum Cina dan India. Andaikata 16 kerusi yang dimenangi itu 2 daripadanya melibatkan calon ADUN yang bukan Melayu maka ADUN Melayu adalah 14 orang berbanding ADUN selain Melayu berjumlah 15 orang.
Ini sebenarnya yang ditakuti oleh masyarakat Melayu Johor.
Penulis seharusnya peka isu ini dan turut dibincangkan dalam penulisan di atas. Sokongan kepada mana-mana blok politik seharusnya bersifat lebih telus agar tidak terikut dengan penulisan blogger pro kerajaan yang saya sifatkan tidak profesional dimana isu besar seperti korupsi 1MDB pun dipinggirkan.