Thursday, March 19, 2020

Covid-19 adalah manifesto kerajaan Perikatan Nasional

EKORAN pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gabungan; Pas, Umno, Bersatu dan serpihan Keadilan, ada orang mempersoalkan kononnya kerajaan itu tidak ada matlamat dan tujuan jelas melainkan ia untuk memuaskan hati individu tertentu dalam perikatan itu sahaja.

Ada yang lebih vokal lagi kerajaan PH perlu ditumbang dan kerajaan baru dibentuk untuk menyelamatkan individu tertentu yang kemungkinan terhukum di bawah kerajaan PH.

Justeru mereka mempersoal dan bertanya, apakah manifesto atau tawaran alternatif kerajaan PN itu kepada rakyat?

Mereka menzahirkan rasa hairan macam mana sebuah kerajaan tanpa manifesto. Sebenarnya kalau kita memahami yang pembentukan kerajaan itu secara undemocratic, (secara pintu belakang) walaupun tidak bertentangan dengan semangat perlembagaan, maka ia tidak perlu pun manifesto.

Manifesto adalah janji-janji dan ikrar lisan untuk ditawarkan kepada rakyat agar menyokong parti berkenaan. Manifesto dikemukakan sewaktu kempen sebelum mengundi. Disebabkan PN tidak menyertai pilihan raya umum yang memberi kesempatan kepada rakyat untuk menilai tawaran-tawaran mereka, maka PN tidak terikat dengan keperluan itu.

Jika pun kalau boleh dikatakan manifesto PN ialah untuk mewujudkan kerajaan berteraskan Melayu dan secara tidak langsung untuk menyingkirkan DAP daripada kerajaan. Hasrat dan maksud itulah maka kerajaan PH yang dipersepsikan didalangi DAP dijatuhkan dan diganti dengan kerajaan PN.

Pun begitu, kerajaan PN ada tugas besar sebaik sahaja ia dibentuk. Tugas dan tanggungjawab itu sangat memerlukan kerjasama rakyat umum untuk menjayakannya. Tugas dan tanggungjawab itu lebih global ia berlaku tidak semena-mena. Ia adalah untuk hadapi wabak Covid-19 yang menyerang seluruh dunia waktu ini.

Covid-19 kini telah membunuh dua rakyat negara ini sementara seramai 790 sudah dikesan dihinggapi virus berkenaan, setakat 18 Mac, 2020.

Nah, PN boleh menjadikan Covid-19 sebagai agenda atau manifesto utamanya untuk dijayakan. Tugas dan tanggungjawab ini sangat besar. Bahkan ia lebih besar daripada manifesto PH dahulu yang berjanji untuk laksanakan reform dengan nekad melakukan perubahan 100 perkara dalam 100 hari.

Salah satu segmen dalam "manifesto" (Covid-19) itu yang ditekan agar dipatuhi kini ialah langkah mengurangkan pergerakan, dengan berada di rumah. Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah digerakkan untuk menangani virus berkenaan. Kelmarin perdana menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan larangan pergerakan selama dua minggu bermula 18 Mac hingga 31 Mac.

Muhyiddin menerusi perutusan khas, bukan mengumumkan pembaharuan kerajaan, tetapi merayu agar rakyat mengurangkan pergerakan dan berada dalam rumah selama dua minggu sejak kelmarin.

Untuk berehat di rumah Muhyiddin tidak lupa menyarankan bagi mengelakkan boring berada di rumah beliau suruh tonton televisyen atau layan saluran HBO. Molek juga kalau tv berbayar seperti Astro menayangkan filem-filem menarik secara percuma dalam tempoh dua minggu itu, dan ia juga sebagai komitmen saluran tv berbayar itu untuk membendung Covid-19.

Menjadi tanggungjawab Muhyiddin dan anggota kabinetnya agar "manifesto" itu dilaksanakan dengan jayanya. Bayangkan apa kata kalau wabak yang kian mengganas dan gagal dibendung oleh kerajaan PN hari ini, ia meletakkan kedudukan kerajaan itu khasnya perdana menteri Menteri Muhyiddin Yassin dalam keadaan runcing. Sebagai pemimpin beliau kena mengambil responsibility terhadapnya.

Walaupun wabak itu perlu ditangani oleh seluruh rakyat Malaysia tetapi kerana kebetulan Muhyiddin dan kerajaan PN adalah parti memerintah kini mereka kena bertanggungjawab.

Jadi Covid-19 adalah merupakan "manifesto" bertaraf global PN untuk dilaksanakan, atau pun ditawarkan kepada rakyat untuk sama-sama bertanggungjawab membendungnya. Kerana manifesto itu ada kaitan dengan nyawa manusia maka kita semua hendaklah sama-sama menjaya hasrat tertera dalam "manifesto" itu.

Mulai sekarang berhentilah menuduh yang kerajaan PN tidak ada manifesto ataupun mengemukakan apa-apa cadangan untuk digubal manifesto kerana Covid-19 boleh diubahsuaikan menjadi manifesto.

Ada seorang menteri memberitahu dasar baru kerajaan PN akan digubal memandangkan ia dibentuk tanpa membentangkan apa-apa manifesto. Sebenarnya penggubalan itu tidak perlu dalam keadaan sekarang. Apa yang baik arah dan pandu rakyat menumpukan kepada Covid-19. Paling molek dan professional kerajaan perlu mengajak sama oposisi untuk berganding bahu menjayakan "manifesto" berkenaan.

Sekiranya wabak ini dapat dibendung dan jumlah yang maut berkurangan, kerajaan PN perlu mendapat kreditnya nanti. Kejayaan dan keselamatan negara ini secara tidak langsung memberi kelabaan kepada kerajaan PN. Apa yang tertakdir seolah-olah peristiwa kudeta 25 Februari lalu itu disengaja Allah untuk memberi tanggungjawab ini kepada kerajaan supremasi Melayu itu. [wm.kl.1:00 pm 19/03/2020]

No comments: