Monday, October 3, 2022

Apabila Zahid sudah berlunak dengan Pas

RENCANA

DALAM riuh randah dakwaan Umno mempunyai kekuatan untuk kembali berkuasa sehinggakan mendesak agar parlimen dibubarkan, tiba-tiba presidennya Ahmad Zahid Hamidi berubah sikap menjadi lunak dengan Pas secara tiba-tiba. Mimpi apa yang menjolok tidur ahli parlimen Bagan Datuk itu.  

Dalam kenyataan terbarunya selepas, memberi tiga syarat kepada Pas untuk kembali berta'wun dengan Umno, Zahid berkata, kerjasama Pas dengan Umno perlu berlandaskan kepada semangat asal seperti mana yang ditanda-tangani dalam piagam Muafakat Nasional (MN).

Kenyataan ini berupa jaminan Zahid itu dilihat cuba cover kenyataan kerasnya sebelum ini yang memberikan Pas tiga syarat, yakitu perlu memutuskan hubungan dengan Bersatu, melupai Perikatan Nasional (PN) serta membuat ikrar meninggalkan PN sekiranya ingin bekerjasama dengan Umno. 

Kenapa Zahid kembali lunak dengan Pas selepas mengenakan syarat? Apakah apa yang dilakukan  sebelum ini semua sandiwara untuk melalaikan pembangkang semata-mata? Atau pun Zahid sudah mengira politik Pas yang "klu klek" macam ikan keli dalam besen itu tidak boleh dipercayai yang kemudiannya yakin Pas akan meninggalkan Bersatu kerana parti itu tidak mempunyai kekuatan seperti Umno? 

Perubahan sikap Zahid itu disambut oleh Annuar Musa individu yang berterusan mengaturkan kerjasama Umno dengan Pas itu, perlu difikir dan dianalisa kembali. Annuar Musa yang sudah merasakan dia akan dinafikan bertanding di Ketereh sekiranya Umno tidak jadi berkerjasama dengan Pas cepat-cepat menyambut dan memuji kenyatan terbaru Zahid itu. Sekali lagi Annuar mempamerkan kelicitan politiknya. 

Katanya, kenyatan dan sikap Zahid itu sebagai membawa sinar dan harapan baru yang perlu disambut Umno dan Pas kerana Umno dan Pas adalah dua parti teras dan tunjang yang membina negara bangsa.

Tambah ahli parlimen Ketereh itu, cita-cita perjuangan kedua dua parti itu lahir dari rahim dan kandungan politik yang sama. Beliau juga menekankan permuafakatan antara keduanya mampu memperkasakan perjuangan dan menyelamatkan watan dan ummah.

Sekiranya kenyataan Zahid itu ikhlas, menunjukkan beliau sudah menyedari hakikat yang ada dalam Umno kini. Beliau mungkin dapat melihat dengan nyata, realiti kekuatan sebenar Umno yang dijual dan dijaja oleh para peraih murahannya siang malam hanyalah lagu menyedapkan hati semata-mata. 

Sebenarnya Umno tidak mempunyai kekuatan seperti mana didakwa itu melainkan ia hanya propagnada dan provokasi semata-mata.

Ada benar juga apa dinyatakan oleh bekas Ketua Pemuda Umno Rahim Tamby Chik yang membuat analisa Umno hanya mampu memenangi tidak lebih 50 kerusi sahaja. Angka yang diunjurkan oleh Rahim itu tidak menggembirakan Umno dan mungkin kerana itu Zahid segera muhasabah kembali Umno perlu bantuan daripada Pas.

Zahid sangat menyedari dari aspek kebijakan dan intelegen berpolitik Rahim lebih handal daripadanya.

Memang perkiraan awal kalau Umno bekerjasama dengan Pas, mereka dengan mudah menguasai undi di kawasan Melayu yang keseluruhan mempunyai 80 kerusi. Jumlah kerusi itu adalah asas (fundamental) untuk Umno kembali berkuasa dengan harapan ada tambahan dan sokongan kerusi di Sabah dan di Sarawak. 

Tanpa memiliki kerusi itu Umno hanya boleh bermimpi disiang hari sahaja.

Kenyataan terbaru Zahid itu yang dilihat lebih lunak, seakan bersedia untuk menerima huluran semula salam persahabatan daripada Pas. Dan kalau ia berlaku juga, ia bukan atas keikhlasan sebaliknya atas langkah untuk mengelakkan Umno kembali menjadi dagang dalam pilihan raya akan datang. 

Persoalan yang akan timbul selepas ini, apakah kerajsama MN itu akan membabitkan sama Bersatu? Perlu diingat bahawa usaha Pas merapatkan Umno dengan Bersatu tidak pernah berhenti. Pas telah menjadi mediator yang cukup sabar dalam hal ini sehingga sedia berkorban dan sanggup digelar apapun hatta menjadi si isteri siang hari dan gundik di malam hari.

Pas dalam hal ini parti yang sanggup berkorban dan sedia merosakkan imejnya sendiri sebagai parti Islam. Pas sebagai sebuah organ politik yang sudah arif dengan politik Machiavelli -  matlamat  menghalalkan cara, tidak perlu merasa malu dan terhina dengan peranan yang dimainkan itu. Apa yang lebih penting kalau ia berjaya merapatkan hubungan Umno - Bersatu kemudian berkolaborasi dalam pilihan ratya ia satu kejayaan buat Pas. 

Pas dilihat hina dan jijik ketika ini, tetapi ia akan dijulang dan diangkat sebagai penghubung silaturahim terbilang sekiranya Piraum ke-14 dimenang bergaya oleh Umno-Bersatu dan Pas.

Sekiranya impian itu terlaksana dan menjadi kenyataan, bahawa Pas akan berkolaborasi dengan Umno, ia bakal menerbitkan suasana politik menarik, apabila Bersatu yang ditinggalkan itu akan merangkak mencari kawan baharu pula.  [wm.kl. 11:22 am 03/10/2022]

No comments: