Showing posts with label Jiwa PKR. Show all posts
Showing posts with label Jiwa PKR. Show all posts

Wednesday, March 3, 2010

Menghimpit Sukma

Bara PKR Masih Terus Menyala

APABILA berurutan ahli parlimen PKR bertindak meninggalkan parti sedikit sebanyak ia memberi kesan psikologis kepada ahli-ahli dan penyokongnya. Penyokong yang setia dan meletakkan harapan besar kepada pemimpin mereka, kecewa dengan tindakan itu. Apa lagi penyokong yang menjadi pengundi merasakan sokongan dan pengorbanan mereka sia-sia saja. Tidak mustahil kalau ada penyokong yang tidak kuat semangat akan menangis dan pengsan dengan apa yang berlaku sehari dua ini. Nampaknya UBN berjaya mengkucar kacirkan keadaan!

Kenapa tidak, betapa dalam pilihan raya umum lalu, merelah yang bekerja keras untuk memastikan kemenangan. Mereka para penyokong marhainlah yang mrenyingsing lengan baju dan seluar atau kadang kala terpaksa beradu lengan dan keng dengan lawan demi mempertahankan maruah parti dan menjamin kemenangan calon PKR termasuk yang hari ini sudah 'tungging punggung' kepada mereka.

Penyokong PKR maupun Pas dan DAP tidak semewah penyokong atau pekerja parti UBN. Mereka tidak mendapat apa-apa imbuhan dan kalau dapat pun tidak sebanyak pekerja dan penyokong UBN. Kalau penyokong UBN dapat 'jabil' duit tetapi mereka hanya dapat supik air sirap dan sebutir karipat sejuk saja.

Malahan ada yang berkorban mengeluarkan wang ringgit sendiri menyediakan pelbagai postar ataupun logistik kempen yang lain. Mereka bukan menerima tetapi mereka banyak memberi dan menghabiskan harta sendiri.

Mereka lakukan itu semua itu ialah kerana sayang dan kasih mereka kepada pemimpin. Mereka meletakkan harapan tinggi. Hasrat untuk melihat sinar baru yang membawa satu negara baru berkobar dalam jiwa mereka. Kerana itu mereka sanggup berhabis, sedia letih dan rela penat tidak peduli.

Makanya apabila pemimpin yang mereka sangkutkan harapan tiba-tiba 'teweng', dan munafik, siapa yang tidak marah! Semua akan marah dan benci. Ianya sungguh mengilankan mereka.

Tidak mustahil ada yang berputus asa dan hilang kepercayaan kepada politik lagi. Nun jauh di kampung sana para penyokong marhain merasakan mereka tertipu. Mereka fikir UBN adalah harimau yang mengganas, tetapi rupa-rupanya PKR (setengah pemimpinya) adalah buaya darat yang sedia membahan pemangsa lain hidup-hidup. Mereka ini lebih kejam dari pemakan bangkai.

Apa yang hendak saya jelas dan tegaskan di sini, apa yang berlaku itu perkara biasa dalam dunia politik yang menerima pakai rukun 4C. Pengkhianatan kepada parti atau perjuangan adalah lumrah. Ia bukan saja berlaku dalam PKR tetapi dalam parti-parti lain. Cuma kebetulan PKR parti baru yang belum mantap maka mudah ia digoyangkan. Ia bukan saja di zaman IT ini tetapi di zaman pasca purbalakala dulu pun begitu juga.

Kita semua tentu ingat dengan watak-watak jahat dan bajingan dalam sejarah Melayu. Watak-watak seperti Patih Karmawijawa, Datuk Mendaliar, Deraman dan sebagainya sebenarnya masih hidup dalam masyarakat Melayu dan politiknya. Kalau mereka itu adalah tukang fitnah nombor wahid dan pengkhianat perjuangan dan kerajaan di zamannya, maka anak cucu cicit mereka masih juga ada di dunia ini dan terus membawa sifat celaka keturunannya itu.

Makanya jangan teruja dengan itu semua. Betapa pun kita berhati-hati namun mereka akan mampu juga menyelinap masuk ke dalam rumah kita dengan berbagai tektik yang mengelirukan kita. Mereka akan menyamar dengan berbagai watak dan peribadi yang sama sekali menyebabkan kita tidak menduga akan niat busuknya.

Jadi kepada penyokong PKR jangan teruja dengan apa yang berlaku itu. Ia bukan berakhirnya segala-gala. Api perjuangan masih membara dan akan terus menyala kalau di antara penyokong terus meniupnya dan tidak mudah berputus asa. Dua tiga kerat pengkhianat itu akan berlalu begitu saja ditelan angin. Percaya dan yakinlah kebatilan itu akan kalah juga bagaimana licit dan hebat mereka dan kebenaran itu akan menang.

Bagi saya, saya menyifatkan penghijrahan keluar dua tiga orang ahli parlimen PKR dan ahlinya yang lain umpama sampah yang sedang hanyut ke hulu sungai dengan sendiri. Selepas sampai ini hanyut sungai itu akan bersih, ceria dan airnya akan jernih. Selepas itu ikan-ikan akan hidup segar dan sungai berkenaan juga akan terus menjadi daya tarikan mempersonakan dunia luar. Sungai bernama PKR itu juga akan sihat. Begitulah.

Jika kita pandai mencari hikmah Allah di sebalik apa yang menimpa PKR itu kita akan menemui apa maknwinya. Dengan apa yang berlaku itu ia mengujui kekuatan mental dan jiwa para penyokongnya. Apakah dengan ujian kejiwaan yang kecil itu kita sudah mengaku kalah? Ingat Keadilan menghadapi ujian lebih besar sebelum ini tetapi mereka berjaya melawan dan menentangnya.

Jadi masakan dengan hanya dua atau tiga orang meninggalkan Keadilan dan mereka pun bukan pemimpin yang memegang panji Keadilan, maka penyokong sudah lemah dan goyah! Perjuangan Keadilan dan Keadilan hidup kerana memakai roh kehebatan Anwar sebagai pemimpin. Jadi selagi Anwar masih ada dan berfungsi selama itulah perjuangan Keadilan hidup.

Kehebatan dan pamor Anwar tidak boleh dinafikan ia masih merupakan ancaman besar kepada UBN dan para pemimpinnya. Sekiranya Anwar sudah tidak ada pamor dan kekuatan lagi, serangan ke atas beliau dan PKR tidak sehebat hari ini. Sejauh mana kehebatan serangan itu maka setinggi itulah kehebatan yang ada kepada Keadilan. Penyokong PKR juga tidak perlu risau kerana dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran ini Anwar bukan berseorang. Beliau disokong oleh Pas dan DAP.

Ingatlah kemenangan di dalam perjuangan bukan semata-mata kerana kita berjaya mendapat kuasa, tetapi kemenangan sebenar bila kita dapat mempertahankan prinsip dan matlamat perjuangan kita itu ! Apakah kita sudah memperolehinya!
[jln phg 8:00 pm 03/03/10]