Showing posts with label Polimek agamawan. Show all posts
Showing posts with label Polimek agamawan. Show all posts

Saturday, March 6, 2010

Pelita Senja

Harussani dan Ahmad Awang
Kitab Sama Cuma Tafsiran Berbeza

BANYAK sudah orang mengulas mengenai polemik antara Mufti Perak, Harussani Zakaria dengan Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang. Konkulsi kepada polmik itu bergantung kepada kecenderongan si yang menulis. Kalau mereka itu orang Umno totok dia akan membela Harussani habis-habisan. Manakala kalau dia pro Pakatan atau orang Pas dia akan mempertahankan Ahmad Awang hingga ke titisan darah terakhir.

Macam-macam yang didengar berhubung perkara itu. Harussani terkena kecaman yang kuat dan padu. Sebilangan orang Pas melepaskan geram kepadanya. Ada yang minta supaya Harussani menukar gelanggang. Ahmad Awang sendiri menulis panjang lebar menjelaskan duduk perkara sebenar sambil menafikan dakwaan Harussani di dalam blognya. Semacam ada pembohongan yang dinyatakan oleh mufti itu bagi Ahmad Awang.

Jangan cari siapa benar dan siapa salah dalam soal ini. Ia sudah jadi sejarah. Mauduk yang hendak digapai di sebalik polemik itu sudah pun berlalu. Letaklah kedua-duanya dalam keadaan benar dari sudut dan peranan masing-masing. Ahmad harus menghormati Harussani sebagai mufti manakala Harussani kena hormat Ahmad sebagai ahli siasah.

Manakala kepada orang ramai, yang perlu tengok ialah isu menyebabkan timbul perbalahan mulut antara kedua mereka. Saya yakin atas sifat ilmuan kedua mereka saling hormat menghormati. Darah mereka masih merah dan nur Islam masih terpancar di dahi masing-masing. Warna itu tidak akan kabur sampai ke bila pun. Harussani hormat Ahmad, Ahmad hormat Harussani. Mereka tidak dapat lari jauh kerana sumber hukum dan rujukan mereka sama, al-Quran dan al-Hadtih. Cuma yang berbezanya kaedah mentafsir saja.

Tidak ada pertentangan akidah dari kalangan mereka yang berpegang kepada sumber yang sama melainkan keliru mengenai pemahamannya. Itupun bukan atas perkara pokok tetapi furuk saja atau mengenai keadah melaksanakannya. Kalau umpama hendak tangkap ikan Harussani mahu menggunakan jala dengan menaiki bot, manakala Ahamd pula mahu menggunakan pancing dengan menggunakan perahu.

Perbalahan itu bertolak dari isu, Harussani mahukan Pas berkerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan di Perak selepas pilihan raya umum lagi. Kata Harussani kalau Pas setuju bekerjasama dengan Umno, Perak akan mempunyai kerajaan yang dibentuk oleh Melayu seratus peratus buat pertama kalinya dalam sejarah negeri itu.

Sejarah inilah yang hendak dicipta dan dikenang oleh Harussani untuk Perak sekurang-kurangannya. Maka itulah dia bersusah payah ke Kota Baru dalam hujan untuk bertemu Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menyampai maksud dan cita-citanya. Usaha Harussani ini sewajarnya dihargai kalau semua orang berniat baik.

Sebaliknya Ahmad Awang menolak cadangan itu atas alasan Pas sudah membuat perjanjian awal dengan PKR dan DAP untuk menubuhkan kerajaan menerusi Pakatan Rakyat. Justeru Ahmad tidak boleh menerima pelawaan Harussani kerana beliau takut dikatakan mungkir janji. Sistem "whip" parti menghalangnya.

Bagi saya tindakan Ahmad itu betul kerana itulah janjinya yang tidak termaklum oleh Harussani.
Cuma di sini saya rasa Ahmad Awang tidak melihat apa yang sedang berlaku waktu itu dalam konteks politik dan masa depan orang Melayu. Beliau juga terlalu akur dengan hukum dan tatacara politik yang didalamnya ada ramuan tolakansur, ada ramuan diplomasi sehingga melupai kemungkinan ia dimungkiri secara bijaksana.

Politik sekular boleh menerima dan menolak apa saja. Politik tidak terikat dengan kerigidan hukum agama. Saya berani berkata berlandaskan demikian rupa politik tidak berdosa kalau Ahmad dan Pas Perak jiaklau mereka memungkiri janji yang diperkatakan Ahmad itu.

Kerana itu saya percaya alasan Ahmad Awang itu hanya alasan politik saja bukan perkara yang qatei (mutlak). Apakah memungkiri janji dalam politik ia berdosa besar. Dan apakah tidak ada pelanggaran janji politik dilakukan Pas selama ini yang mana Ahmad Awang adalah salah seorang ahli majlis syuranya? Bolehkah Ahmad memberi jaminan?

Makanya bila Ahmad menggunakan alasan untuk tidak mungkir janji demi menolak cadangan Harussani itu adalah kurang tepat. Saya lebih suka kalau Ahamd menggunakan alasan demi kepentingan politik Pas dan Pakatan di masa depan. Misalnya kalau Pas memungkiri janji menyebabkan kepercayaan DAP dan PKR kepada Pas tidak ada lagi di masa depan. Dalam konteks ini pentingnya kepercayaan sokongan orang Cina. Ini penting untuk jangka panjang bagi parti politik Ahmad. Sebab Umno sendiri pun pernah mengkhianti Pas.

Lagipun persetiaan Pas dengan DAP atau orang Cina bukan saja perlu dalam konteks Perak. Pakatan yang mengangan-angankan untuk memerintah Malaysia, bagi mewujudan Malaysia baru memerlukan persepaduan antara mereka secara lebih luas. Kerana itu Ahmad menolak Umno dan menerima DAP kerana mengharapkan kerajaan lebih besar. Sejarah yang ingin dilakari Ahmad ialah membentuk kerajaan Malaysia bukan saja setakat kerajaan Melayu tulen di Perak! Apa lagi Ahmad yakin bahawa Anwar akan menjadi PM.

Untuk masa depan alasan kenapa Ahmad pertahankan janjinya itu penting. Tetapi soalnya apakah ianya wajar ketika itu? Seperti mana kata Harussani kalau jadi penggabungan Pas dengan Umno satu sejarah tercipta terbentuknya kerajaan Melayu di Perak. Dari segi politik Perak Pas tidak rugi kalau mereka menerima cadangan Harussani itu. Sebab seperti mana kata Harussaani kerusi MB akan diberikan kepada Pas.

Namun atas pengalaman lalu dan kerencaman sejarah politik saya tidak mengira kedudukan itu akan kekal sampai akhirnya. Ini yang mungki dianalisa Ahmad. Apa lagi sejarah kemungkiran politik sering berlaku dari satu masa ke satu masa. Apakah Ahmad Awang kahsyaf dalam hal ini dapat membaca apa yang akan berlaku; bahawa kalau pun Pas jadi MB dengan membentuk kerajaan bersama Umno ia juga tidak kekal, seperti mana tidak kekalnya Nizar Jamaluddin sebagai MB sesudah Pas berpakat dengan DAP dan PKR?

Kesimpulannya mengenai perkara ini, kedua pihak ada hujah dan alasan. Justeru keduanya boleh dianggap betul dan boleh dikatakan salah pada masanya dan ketika itu dan ketika akan datang. Keputusan dan polemik mereka itu tetap akan dirakam dan dibicarakan oleh sejarah.

Sementara di luar melihat senario itu tidak memihak kepada Harussani sebab beliau bukan politician. Beliau adalah Mufti. Di luar orang melihat Mufti tidak wajar campur tangan dalam politik apa lagi secara berlebihan. Namun kalau kita dinginkan kepala, kita dapat merasakan tindakan Harussani itu adalah tepat dengan tangungjawabnya sebagai Mufti untuk menyatukan Melayu dan memperkuatkan Islam.

Bagi Harussani beliau menerima Umno dan Pas satu bangsa dan satu agama. Tinggal lagi belum ada titik tolak besar untuk mereka berangkat menuju ke gunung penggabungan. Jadi bagi saya tidak salah kalau beliau memainkan peranan untuk membentuk gunung perpaduan Melayu seperti mana disebutkan itu.

Akhirnya semua pihak hendaklah memaafkan Harussani kalau Shaibul samaah itu melakukan kesilapan dari birai mata politik dan juga memaafkan Ahmad Awang kalau beliau tersilap membaca maksud tersirat terhadap pelawaan Harssani itu sehingga Perak dan orang Melayu tidak berpelung mencipta sejarah membentuk kerajaan Melayu 100 peratus. [wm.kl 6:00 pm 06/03/10]