Showing posts with label Royalti Minyak - Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Royalti Minyak - Kelantan. Show all posts

Friday, March 19, 2010

Melurus Simpang - Isu Royalti Minyak

Royalti: Elok Kalau Lantik Tengku Razaleigh Jadi Orang Tengah

SEMALAM telah berlangsung dialog berhubung tuntutan royalti minyak di Kuala Terengganu. Dialog berkenaan dihostkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Majlis berkenaan ada kesenimbungan usaha kerajaan Kelantan untuk mendapat royalti minyak. Ia diperluaskan kepada rakyat Terengganu. Majlis di Kuala Terengganu itu memulakan siri road show tuntutan royalti minyak yang masih belum tuntas kini.

Selepas ini ada ura-ura mengatakan majlis sama akan diadakan di Johor. Khabarnya Musa Hitam juga akan turut sama hadir menjelaskan perkara berkenaan. Apakah Musa akan hadir? Semalam menurut seorang penonton Astro Awani memberi tahu saya bahawa Musa ada mengatakan royalti minyak perlu diberi.

Tidak jelas pula beri kepada siapa, tetapi maksud yang disampaikan kepada saya menerusi SMS, Musa mahukan royalti minyak diberikan ataupun dilunasi. Saya mengambil faham beri itu ialah kepada Kelantan atau negeri yang berhak menerimanya atas persetujuan asal iaitu bayaran tunai sebanyak 5 peratus.

Kalau benar Musa akan hadir dalam majlis bersama Tengku Razaleigh yang dijadual akan diadakan di Batu Pahat, Johor ia membuka senario baru. Kenapa Musa tiba-tiba teringin untuk membela hak rakyat Kelantan? Apakah Musa dalam usia di hujung senaja beliau mahu dilihat sebagai negarawan yang ulung yang tidak terikat dengan paradigma lama Umno Kelantan?

Kita berharap dan doakan biarlah jadi. Mungkin kalau Musa Hitam turut memberi pandangan dan menjelaskan perkara sebenar ia boleh melemahkan jiwa pemimpin Umno lain yang cuba menafikan hak rakyat Kelantan itu. Tentu Najib Razak dan Muhyiddin Yassin mendengarnya. Musa adalah orang tua dan guru mereka.

Semua orang mengetahui Musa Hitam adalah seorang ultra Melayu yang mengambil berat soal hidup mati bangsa Melayu. Setidak-tidaknya kalau Musa bercakap atas nama Melayu memang benar beliau hendak membela Melayu dan bukan menjadikan plaform Melayu untuk kepentingan politik seperti sesetengah pihak lain yang hanya mahu menjadikan Melayu sebagai terompah atau kuda kepang saja.

Ada orang tubuh NGO Melayu kononnya untuk perjuang Melayu, tetapi peliknya bila rakyat menuntut hak mereka agar royalti diberikan, ketua NGO berkenaan menentang pula habis-habisan. Inilah yang dimaksudkan menggunakan landasan Melayu untuk melindungi tembolok.

Dalam pada itu di sini saya suka menarik perhatian terhadap pandagan Tengku Razaleigh Hamzah di Kuala Terengganu malam tadi yang mengatakan langkah kerajaan Kelantan membawa isu tuntutan ke mahkamah tidak menyelesaikan masalah. Saya sangat bersetuj dengan pandangan itu. Sebelum ini saya sudah melahirkan keraguan membawa kes itu ke mahkamah sebagai tidak bijak dan dapat mengusaikan masalah.

Keadilan menerusi mahkamah tidak dapat menyelesaikan tuntutan berkenaan. Contohnya mengenai usaha kerajaan Pas Terengganu membawa isu wang ehsan ke mahkamah tidak mendatangkan apa-apa hasil. Manakala Tengku Razaleigh memberi contoh mengenai tindakan kerajaan Pakatan membawa kes kerajaan mereka yang hilang ke mahkamah. Apa kesudahannya, bolak balik, bolak balik wal hasil kerajaan Pakatan terlepas juga.

Mungkin dalam hal itu Pakatan menang moral, tetapi kerajaannya tetap hilang melayang. Kata orang Pakatan Perak masih bersorak merasakan mereka menang sedangkan kerajaanya sudah pun dibolot UBN. Jadi Tengku Razaleigh merasakan kalau isu royalti minyak dibawa ke mahkamah, bolak balik itulah juga akan berlaku. Kelantan menang tetapi hasil royalti minyak sudah disapu oleh UBN. Kalau keadaan ini berlaku ianya tidak memberi apa-apa makna kerana bagi rakyat ialah hasilnya bukan gamat gempiranya.

April depan kata Awang Adek Hussein wang ehsan itu mula dibahagikan. Ertinya rakyat sudah dapat menikmati wang berkenaan menerusi tangan Umno. Sedikit sebanyak Umno mendapat markah dan dilihat berbudi oleh rakyat Kelantan walaupun menerusi wang yang dirompak dari karung kerajaan Kelantan.

Lantaran itu jalan terbaik pada pandangan Tengku Razaleigh Hamzah itu, ialah dengan cara berunding. Beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk mendapat haknya itu. Beliau sendiri menawarkan diri untuk menjadi orang orang dalam hal ini.

Tawaran itu kena pada tempat memandangkan beliaulah yang terlibat dari awal lagi dengan penubuhan Petronas. Lagipun semacam ada niat dan keseriusan Tengku Razaleigh Hamzah untuk membantu rakyat Kelantan mendapatkan haknya itu. Mungkin beliau merasa berdosa kerana selama menjadi pemimpin utama Umno Kelantan dulu beliaulah yang juga berkeras agar royalti minyak disekat.

Jadi sebagai untuk menebus dosanya atas kesalahan lampau itu, maka beliau tanpa mempedulikan general order partinya ikut sama pemimpin Pas menutut royalti minyak untuk Kelantan.

Saya lebih yakin kalau kerajaan Kelantan bertolak ansur dan membuka pintu perundingan royalti itu akan diperolehi. Kalau tidak semuanya, mungkin separuh akan dapat dirasai oleh Pas.

Rasanya itu lebih bererti daripada Pas langsung tidak boleh menjamah wang royalti berkenaan.

Dalam hal ini elok juga kerajaan Kelantan berbincang dan menerima pandangan semua pihak dalam menyelesaikannya dan bukan saja diserahkan kepada satu orang. Maklum sahajalah kalau diserahkan kepada satu orang sejauh mana sangat kemampuannya. Sebijak-bijak seorang manusia akhirnya ia akan dapat ditewas juga oleh seribu yang bodoh. Kata orang tua dari satu lebih baik dua, dari dua lebih baik tiga dan begitulah seterusnya ramai itu lebih baik daripada satu kecualikan kalau kita hendak berkhayal tidak boleh ramai-ramai eloklah seorang-orang! [wm.kl. 5:20 pm 19/03/10]