Wednesday, July 1, 2009

Pengantar Julai

Kenali Dua Wajah Tok Guru Nik Aziz

SEJAK akhir-akhir ini Tok Guruku, Nik Abdul Aziz Nik Mat dikata dan dicercakan orang macam-macam. Seperti juga Tok Guru bercakap macam-macam, maka macam-macam juga dilemparkan orang kepadanya. Bagaimana lancangnya Tok Guruku bercakap begitulah lancangnya kata-kata dipanah ke arahnya.

Seolah-olah apa juga kata-kata, bidalan, tamsil ibarat, kiasan yang Tok Guruku pakai selama ini telah kembali semula kepadanya. Kata-kata Tok Guru menganjalkan membidasnya balik.

Sebagai seorang yang minat dengan Tok Guru sedari kecil, sebagai seorang kasih kepadanya sebagai pemimpin tentu saya merasa sedih, kesal dan terkilan atas apa yang berlaku. Saya menerima Tok Guru sebagai Tok Guru! Dan menerima beliau sebagai ahli politik yang tidak larut dalam dirinya sebagai tok guru. Tok Guru bukan ahli politik lawak atau ahli politik sekodeng! Tok Guru adalah ulama. Itulah jurus Tok Guru dalam kaca mata saya.

Di sini bukan saya hendak membela ke atas batang tubuh Tok Guru berkenaan atau ingat meralatkan kritikan saya kepada beliau akhir-akhir ini, tiak! Kritik tetap istiqamah. Tetapi apa yang hendak dikemukakan di sini (seolah-olah fatwalah) untuk sesiapa tidak mahu merasa sedih dan kesal dengan ulah Tok Guru hari ini.

Tok Guru hendaklah dilihat dari dua dimensi. Kita perlu mempunyai dua pasangan mata dalam melihat wajah dan karektor sebenar Tok Guru. Tok Guru belum sampai peringkat dapat memcahkan (tawajuh) dirinya menjadi tujuh seperti Tok Kenali, tetapi dia hanya ada dua wajah dan karektor saja.

Tok Guru Nik Aziz adalah dua dalam satu, atau satu dalam dua. Satu batang tubuhnya sebagai seorang agamawan yang tahu hukum hakam agamanya yang zuhud dengan Tuhan dan tawaduk dengan alam. Satu dimensi lagi ialah Tok Guru sebagai ahli politik. Sebagai ahli politik dia harus berpolitik bagi mengekalkan kuasa dan jawatannya. Dan diri politik ini ada kalanya kontras dengan batang tubuhnya selaku agamawan. Dia cuba mensebatikan namun tidak berhasil dan inilah menimbulkan kekecamukan.

Makanya kita tidak boleh mencampuri kedua itu sekaligus. Atau tidak boleh melihat Nik Aziz dengan dua pasangan mata sekali gus, mesti terpisah-pisah mengikut suasana dan keperluannya.

Sebagai ahli politik Tok Guru Nik Aziz memang handal, licit dan bijak. Rasanya kehandalan ini tidak terlawan oleh agamawan lain. Beliau seorang berpandangan jauh dan ‘ceka’ dalam politik. Manusia sepertinya hanya akan lahir dalam satu zaman saja. Bolehlah dianggap sebagai mujadid atau pembawa pembaharuan siasah Pas.

Pemikiran dan silat politiknya melewati zamannya. Beliau pandai memilih isu dan meletakaan dirinya atas jambangan popular.

Juterus kadang-kadang kerana terlebih berpolitik, hilang serinya sebagai agamawan. Inilah mengelirukan. Saya tidak mahu mengulas mengenai dirinya sebagai orang agama kerana itu adalah bersifat peribadi. Itu adalah sir atau makrifahnya dengan Tuhannya. Siapa yang tahu waktu bila dan di mana seseorang itu berjumpa dengan Tuhan? Tidak ada siapa yang tahu.

Tetapi sebagai orang politik dia adalah public figure. Dia hak orang ramai. Dia kepunyaan dunia di mana dunia berhak mengkritik dirinya dan beliau harus terbuka menerimanya. Kita boleh menilai atas kapasiti dia sebagai ahli politik saja dan bukan sebagai ahliLah.

Dengan menerima konsep 4C tidak ada masalah untuk beliau melakukan apa saja. Tok Guru boleh melakukan apa sahaja, walaupun lebih buruk daripada pemimpin lain lakukan. Tidak menjadi masalah dan kesalahan. Itul dihalalkan dalam politik dan itu disenangi penganutnya.

Dalam dunia politik bukan matlamat dicari tetapi keseronokan dalam berusaha untuk mendapat kuasa dan kekayaan! Sebab itu bagi saya politik tidak menjamin syurga.

Dalam catatan mengingati Tok Guru dalam masa celaru ini saya ingin nukilkan mengenai sikap dan pandangan Tok Guru terhadap Umno atau BN. Bak ini Tok Guru memang konsisten.

Kebencian dan kemarahannya keapda UBN adalah istiqamah, bukannya degil.

Sebelum ada orang menerima herdikannya kerana hendak membawa Pas berbincang mengenai unity goverment dengan UBN saya sudah mengetahui isi hati dan pendirian Tok Guru tentang UBN ini. Baginya UBN tidak boleh diterima atas alasan apa sekalipun. Saya sendiri mencari-cari sehingga ada kalanya membenci Tok Guru dalam hal ini namun tidak diketahui apakah punca dan sebab musabab secara hakikinya.

Apa yang beliau sebutkan dan diulang-ulang sampai menanah telinga mendengar ialah kerana Umno itu jahat!

Untuk menjelaskan sikap konsisten beliau ini saya masih ingat persitiwa pada malam keputusan pilihan raya umum ke-11, 2004 lalu. Saat menanti keputusan mendebarkan itu, Annuar Musa telah menghantar SMS kepada saya meminta agar cadangkan kepada Tok Guru diwujudkan kerajaan campuran Pas-Umno di Kelantan memandangkan kedua parti gagal mendapat majoriti dua pertiga.

Saya mengemukakan kepada Tok Guru cadangan itu. Tanpa kompromi dan bimbang dengan kadaan yang ada beliau menolaknya mentah-mentahnya. Antara lain katanya; (sama seperti diucapkan hari ini), "kita sudah serik dengan Umno ini." Beliau merujukkan kepada perisitwa Pas ditendang keluar dari BN tahun 1974.

Jadi dalam isu atau sikap Nik Aziz untuk berkerjasama atau bergabung dengan UBN ini, ianya konsisten dan istiqamah. Dari dulu beliau tidak mahu hingga kinilah beliau tidak mahu. Jadi dalam konteks ini saya tidak bersama mereka yang menuduh Tok Guru dengan berbagai tuduhan kesat dan melampau itu. Tok Guru tidak bersalah, dia adalah konsisten dan istiqamah dengan sikap, pendirian dan keyakinannya.

Jadi atas sifat sebagai seorang mengasihi Nik Aziz, usahlah mempersoalkan sikap beliau mengenai perkara yang satu ini. Atas perkara-perkara lain boleh dipersoalkan kerana saya tidak mendengarnya dari mula hanya mengambilnya di tengah saja. Pun begitu atas keyakinan dan semangat cintakan nusa dan bangsa saya tetap berdoa kalau-kalau suatu hari nanti Tok Guru akan ada fikir lain mengenai hal ini yang lebih positif. [jln pahang 3:20 pm 01/07/09]

Tuesday, June 30, 2009

Ulasan Isu

Peranan dan Fungsi Raja-Raja Perluas Diperluas

TERIMA kasih kepada Duli-Duli Raja-Raja Melayu kerana mengambil inisitiaf dan tanggungjawab sehingga membolehkan cadangan pindaan undang-undang berkaitan agama dan pindaan kepada Undang-Undang Keluarga Islam (Wailayah-Wilayah Persekutuan) ditanguhkan.

Sekiranya Duli-Duli Raja-Raja Melayu tidak mengambil inisiatif itu sudah pasti pindaan undang-undang itu akan dilakukan. Pindaan undang-undang itu dicadang untuk dibentang pada parlimen yang sedang berlangsung kini.

Penangguhan itu bagi membolehkan pihak kerajaan meminta pandangan kerajaan-kerajaan negeri terlebih dahulu berhubung cadangan meminda beberapa akta itu. Langkah yang diambil oleh Duli-Duli Raja-Raja Melayu itu memang bijak dan tepat pada masanya. Seharusnya kerajaan sebelum meminda apa juga akta bersabit dengan Islam dan kepentingan Melayu perlu mendapat pandangan menyeluruh dan mendalam dari kerajaan-kerajaan negeri.

Ia juga perlu diminta pandangan dari pakar-pakar perundangan Islam. Pada 22 April lalau Kabinet telah memberi tahu anak-anak kekal dalam agama asal semasa ibubapanya berkahwin walaupun ibubapanya telah menukar ke agama baru. Selain itu jemaah menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama mestilah menyelesaikan masalah-masalah peribadi terlebih dahulu.

Pemakluman kabinet itu menimbulkan kekesalan dan keresahan kalangan umat Islam negara ini. Sekiranya apa yang disebut kabinet itu dimasukkan sebahagian pindaan ia boleh menjejaskan kesucian agama Islam di negara ini. Cadangan sedemikian juga secara tidak langsung meletakkan Islam itu setaraf dengan agama-agama lain. Tindakan ini sudah tentu bertentangan dengan perlembagaan negara yang mencatatkan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Sudah tentu sekiranya Duli-Duli Raja Melayu tidak mengadakan persidangan khas membincangkan perkara itu cadangan berkenaan akan diteruskan. Melihat kepada fungsi dan tanggungjawab ini jelas institusi Raja-Raja memberi manfaat dan membela kedudukan dan memelihara Islam di negara ini.

Bayangkan sekiranya tidak ada Majlis Raja-Raja, sudah pasti umat Islam negara ini akan tergadai dan tercemar di sebalik pindaan itu. Institusi Raja-Raja ternyata menjadi sandaran terakhir kepada umat Islam negara ini bagi membela kepentingan agama mereka.

Memandangkan institusi Raja masih berperanan dan dihormati maka adalah elok kalau Duli-Duli Raja Melayu diberi peranan dan diluaskan lagi kuasa dan fungsi mereka terutamanya dalam soal berhubung kepentingan Melayu. Sekiranya perlembagaan perlu dipinda untuk memberi ruang ini kepada Raja-Raja Melayu ia boleh dipertimbangkan.

Misalnya perbahasan mengenai isu-isu berhubung Melayu yang berkecamukan hari ini barang kali juga perlu sentuhan Raja-Raja Melayu. Misalnya isu biasiswa untuk orang Melayu, kehilangan tanah rezab Melayu dan sebagainya sangat memerlukan perhatian Raja-Raja. Walaupun berbagai pihak dan NGO cuba mempertahankan hal ini namun ia umpama cuba menimba lautan saja dan mudah disinis sebagai tindakan politik perkauman.

Rasanya tidak menjadi kesalahan kalau Raja-Raja bersidang membincangkan perkara ini kerana ia adalah berhubung langsung dengan kepentingan Melayu sejajar dengan institusi Raja-Raja itu sendiri telah menjadi lambang keutuhan Melayu di negara ini sejak lebih 500 tahun lalu. Keperluan ini juga menjadi sedikit terdesak apabila parti-parti politik yang didominasi Melayu juga seakan melupai kepentingan Melayu kerana ingin menjadi juara di kalangan bukan Melayu.

Kita percaya kalau Raja-Raja Melayu memainkan peranan tidak ada siapa yang boleh mempertikaikan atas tindakan dan keputusan Raja-Raja Melayu itu. [wm.kl. 10:20 am 30/06/09]

Sesudah Subuh

Kekayaan Kelantan
Jangan Nafikan Hak Rakyat Dengan Kuasa Politik

SELALUNYA manusia jadi kreatif, rajin, sanggup menebalkan muka atau berkerja lebih masa bila dalam keadaan terdesak dan ketiadaan wang untuk hidup. Bagi mereka yang berfikiran singkat sanggup melakukan kerja-kerja keji untuk memenuhi kebutuhan hidup, termasuk mencuri, merompak, menipu dan meminta-minta, mengemis.

Apakah ini lumrah dan fiil hidup manusia? Bila waktu senang, berduit leka dan lupa untuk menoleh ke belakang. Hidup senantiasa optimis seolah kesenangan dan kebahagiaan akan berpanjang sampai ke akhirat. Kekayaan juga membuat manusia bongkak, ego dan sombong.

Apabila kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak sebanyak RM1 billion, apakah ia menunjukkan kerajaan Kelantan pada masa ini dalam situasi terdesak. Sumber kewangan Kelantan sudah tandus dan kantong perbendaharaan negeri sudah mulai susup?

Ataupun tindakan itu menandakan betapa kreatif dan cekapnya kerajaan Kelantan dalam berikhitar mencari dana untuk negeri. Atau kebijaksanaan kerajan Kelantan berfikir dalam mendapat hak-haknya ke atas kerajaan Pusat? Saya melihat begitu, tuntutan itu wajar kerana itu adalah hak kerajaan Kelantan. Sekiranya alasan tuntutan itu benar maka wajar Kelantan mendapat imbuhannya.

Alasan yang dikemukakan ada logiknya. Bagi rakyat Kelantan pasti akan menyokong seratus peratus kerana ia membawa kebaikan kepada mereka. Apa yang diucapkan pemimpin itu, itulah yang mereka pegang walaupun buktinya kabur. Kelantan boleh menerima royalti minyak sebanyak 5% seperti mana di negeri-negeri yang digezetkan sebagai negeri-negeri pengelur minyak seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak. Ketiga-tiga negeri itu menerima royalti minyak sebanyak 5% setiap tahun.

Soalnya kini apakah Kelantan telah dikelasifikasikan sebagai negeri perundustrian minyak? Pihak kerajaan Kelantan telah mengemukakan bukti, bahawa negeri itu adalah negeri yang disenaraikan dalam negeri pengeluar minyak. Pernyataan bukti itu menurut seorang Exco Kelantan ialah berdasarkan peningkatan Pengeluran Kasar Dalam Negeri (KDNK) Kelantan yang naik mendadak sehingga mencecah ke angka 22.4% di mana sebelumnya hanya 1% saja.

Kenaikan ini menurut Exo berkenaan ialah kerana Kelantan seolah-olah disenaraikan sebagai negeri industri minyak. Selain dari bukti itu menurut Exco berkenaan, beberapa plantar mencari gali minyak yang beroperasi di sekitar pantai Kelantan juga dinamakan dengan nama-nama Melayu, Kekwa, Cakrawala, Seroja, Bintang dan Lawen melambangkan ianya milik syarikat Malaysia.

Setakat ini itu saja alasan dan bukti bagi menunjukkan Kelantan sebagai negeri industri minyak. Betulkah Kelantan telah menjadi negeri perindustri minyak? Ataupun ianya dalam peringkat cadangan pihak Pusat akan memasukan Kelantan sebagai negeri minyak selepas aktiviti industri berkenaan benar-bnar wujud dan nyata di wilayah Kelantan? Yang jelasnya kini pendaratan minyak masih belum berlaku lagi di Kelantan.

Ketua Badan Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed telah membuat penjelasan berhubung dakwaan dan tuntutan kerajaan Kelantan itu. Menurut Mustapa usaha cari gali dan mengeluarkan minyak yang dilakukan sekarang ini di luar kawasan pantai Kelantan. Katanya ianya dilakukan dalam kawasan bertindih antara Malaysia dengan Thailand. Adapun tuntutan dan dakwaan Kelantan itu sebagai helah politik saja bagi memburukkan kerajaan Pusat.

Jadi katanya kerajaan Kelantan tidak berhak dan layak menerima royalti sebanyak 5% setahun.

Sebenarnya hujah yang dikemukakan oleh kerajaan Kelantan dan Mustapa itu belum muktamad. Siapa benar dan siapa tersasar tidak dapat ditentukan secara tuntas, hanya dengan berpandukan kepada kenyataan lisan dan andaian tanpa mengemukakan bukti-bukti bertulis. Tanpa bukti bertulis dari kedua pihak ia menampakkan isu royalti 5% itu sebagai isu politik semata-mata menjelang pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai nanti.

Dilihat kepada pertikaikan itu bukan senang untuk kerajaan Kelantan mendapat imbuhan itu. Kerajaan pusat telah memberi isyarat jelas bahawa mereka tidak akan akur dengan tuntutan itu. Kerajaan negeri Kelantan rasanya telah pun merasai akan kesukaran itu.

Kenyataan terbaru Exco Kelantan yang mengatakan isu itu akan diselesaikan secara diplomasi dan tindakan undang-undang menjelaskan kerajaan Kelantan faham bahawa tuntutan itu hanya sebagai angan-angan sahaja dan bukan gampang menjadi kenyataan. Apa yang disuarakan itu percubaan pertama dengan harapan manalah tahu kalau-kalau kerajaan Pusat mamai dan rasa gerun dengan gertakan politik ia akan melunasinya.

Mungkin apa diharap oleh kerajaan Kelantan dengan keadaan UBN semakin lirih sekarang ini mereka akan melayani tuntutan itu untuk tidak dilihat kejam di mata rakyat. Tuntutan itu juga lebih ke arah membuktikan sejauh mana slonga 1 Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri akan direalisasikan di Kelantan.

Namun hakikatnya bukan semudah itu. UBN telah menyedari lama sebelum ini bahawa wang dan kekayaan adalah benteng mereka mempertahankan kuasa. Kalau pun benar kerajan Kelantan berhak menerimanya ia mustahil dilaksanakan, kecuali ada arahan mahkamah. Dalam perang piski ini kerajaan pusat juga bukan cetek dalam bermain politik. Mereka juga ada perkiraan untung rugi kepada masa depan politiknya.

Cadangan untuk membincang secara diplomasi itu adalah cara terbaik. Ia satu tindakan yang sangat praktikal dan menyenangkan. Dalam hubungan ini kerajaan Kelantan boleh menggunakan alasan wang itu diperlukan untuk membantu rakyat. Sebaliknya sekiranya proses itu terpaksa menerusi undang-undang seperti mana dirancangkan ia sesuatu yang sulit. Tindakan itu juga menyebabkan kerajaan Kelantan terpaksa menghabiskan banyak wang untuk membayar peguam dan juga menanggung kos perbelanjaan proses berkenaan.

Apa yang pernah dilakukan oleh kerajaan Pas Terengganu terhadap Petronas mungkin boleh dijadikan iktibar. Kerajaan Pas Terengganu pernah membawa isu royalti minyak ke mahkamah yang berakhirnya dengan kes itu digugurkan apabila kerajaan Terengganu kembali semula ke tangan UBN.

Justeru cara paling baik ialah menerusi proses diplomasi? Saya yakin kalau cara ini diguna ia akan membawa kejayaan dan lebih efektif. Kerajaan pusat rasanya tidaklah degil sangat untuk memberi hak kepada rakyat Kelantan. Adalah zalim amat kalau kerajaan Pusat untuk terus mendera rakyat Kelantan sedangkan apa yang wujud adalah hak mereka secara mutlak.

Dalam keadaan inilah saya mengenangkan kepada sesuatu yang sudah pun terlucut kini. Betapa kalau usaha mendamaikan antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri dilaksanakan, masalah ini tidak berbangkit lagi. Jika ada hubungan baik antara keduanya rakyat Kelantan akan mendapat manfaatnya. Sudah pasti tuntutan royalti 5% itu tidak perlu menerusi ruang media ataupun dibawa ke mahkamah.

Tetapi sayang, kerajaan Kelantan tampaknya lebih suka untuk terus berbalah dengan kerajaan Pusat. Kerajaan Kelantan melihat dan yakin mereka berjaya diperingkat nasional menerusi persepakatan dengan DAP dan PKR. Apa yang mereka fikir kalau Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan, mereka bukan saja bakal memperolehi royalti 5% itu tetapi hak-hak dan pendapatan lain juga yang lebih lumayan dari itu.

Kerana demikian sikap kerajaan Kelantan, maka rakyat Kelantan kena tunggu beberapa waktu lagi sebelum dapat menikmati royali minyak berkenaan. Itupun kalau tertakdir Pakatan menang dan menguasi kerajaan Persekutuan.

Bagaimana pun pada saya kedua pihak, Pas dan UBN tidak perlu menghukum rakyat dengan nafsu politik mereka. Sewajarnya dalam keadaan hari ini kalau kedua pihak mengambil pendekatan untuk membangun Kelantan secara bersama tanpa menghakiskan identiti masing-masing. Langkah ini mungkin baik bagi Pas kalau sekiranyan mereka benar-benar terdesak kini.

Sudah sampai masanya kedua pihak meletakkan kepentingan rakyat di atas segala kepentingan peribadi dan politik kepuakan. Janganlah menganiaya rakyat yang tidak berdosa kerana semata-mata ingin memenuhi nafsu politik sampai tidak tahu sempadan kehidupan dunia dan akhirat! [wm.kl. 6:15 am 30/06/09]

Sunday, June 28, 2009

Laporan Lewat

Tuan Aziz Tuan Mat Calon UBN di Manik Urai

UBN menamakan Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selantan (Kesar) Tuan Aziz Tun Mat, 39 tahun sebagai calonnya pada pilihan raya kecil Manik Urai. Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden Umno, Muhyidin Yassin di Manik Urai sekejap tadi.

Kedua parti yang berminat merebut jawatan itu telah pun mengumumkan calon masing-masing. Jumaat lalu Pas menamakan penjual ikan di pasar besar Kuala Krai Fauzi Abdullah, 50 sebagai calon mereka.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Julai depan manaka hari mengundi ialah pada 14 Julai.

Pemilihan Tuan Aziz mungkin menimbulkan masalah kepada UBN memandangkan Tuan Aziz dikatakan antara calon yang terjempit dalam kemelut masalah Umno di Kuala Krai. Tuan Aziz dikatakan bukan orang yang diretui oleh Ketua Bahagian, Ramzli Abdul Rahman.

Ramzi sebelum ini dikatakan telah mengangkat nama Naib Ketua bahagian itu Che Jalal Muda. Ada juga diperkatakan sekiranya Che Jalal atau Tuan Aziz bermasalah kemungkinan UBN akan memilih bekas Adun Mengkebang, Azizzuddin Hussein. [d'kota kl 5:10 pm 28/06/09]

Saturday, June 27, 2009

Susupan Malam

Elok Kalau Naijb Tak Layan Nik Aziz
Muzakarah, Muqabalah dan Terbaru Mujadalah... Semua Tak Jadilah...

DALAM tilikan dan renungan makrifah saya ada untungnya juga apabila kedua-dua parti orang Melayu terbesar yang menganut agama Islam, Umno dan Pas diwujudkan Allah s.w.t. atas dunia ini. Banyak yang kedua-dua parti ini sumbangkan untuk orang Melayu; berbagai-bagai dan berpetak-petak!

Paling terasa sekurang-kurangnya dengan adanya Umno dan Pas, rakyat negara ini terdedah dengan berbagai istilah siasah di dalam bahasa Arab yang diperkenalkan atau lahir dari ekoran kemelut kedua-kedua parti itu. Dalam hal ini orang Paslah yang rajin mengemukakan istilah berbahasa Arab yang sedap didengar dan indah disebut tetapi sukar untuk diimplimentasikan!

Saya sangat yakin kalau bukan kerana ada pemimpin Pas ini, perbendaharaan dan istilah Arab itu tidak akan terdengar oleh kita. Mungkin kita akan diisi dengan istilah-istilah atau akronim Inggeris yang menjadi pujaan Umno. Umno begitu jinak dengan istilah barat, manakala Pas pula sinonim dengan istilah Arab.

Saya perhatikan semua bahasa atau istilah Arab itu lahir apabila kedua-dua parti itu dalam keadaan kritikal dan takala ada cetusan usaha untuk mendamaikannya. Gara-gara keadaan itu maka lahirlah berbaga-bagai cadangan dan pendapat menyelesaikannya yang menggunakan pakai istilah Arab. Jarang dipakai istilah Inggeris kerana ia dilihat sebagai unIslamic.

Bahasa Arab atau istilah pertama untuk mendamaikan Umno dengan Pas yang yang didengari sejak lama dulu ialah perkataan MUZAKARAH. Muzakarah ini dicadang oleh pihak Pas. Maksud muzakarah ialah berbincang ataupun berunding dengan Umno bagi mencari jalan penyelesaian antara kedua-dua parti itu untuk kebaikan negara dan rakyat.

Muzakarah ini juga sering menjadi rujukan rakyat atau golongan yang mahu kedua-dua parti itu bersepakat dan duduk dalam satu saf. Mereka yang bimbang dengan persengketaan kedua-dua parti itu sangat mengharapkan akan berlaku muzakarah antara Umno dan Pas. Mereka berharap mudah-mudahan dengan muzakarah itu akan menemui idea baru dan mekanisme yang boleh mengurangkan ketegangan politik disebabkan perselisihan faham antara kedua-duanya, di mana kerana perselisihan itu merugikan rakyat dan negara.

Muzakarah ini bermakna duduk berbincang dengan waras, berunding dengan penuh berhemah, terbuka dan penuh semangat ukhwah Islamiyah. Natijah daripada itu akhirnya membuat rumusan bagaimana mencapai jalan penyelesaian untuk kesejahteraan umat dan keamanan negara.

Paling baru istilah muzakarah ini keluar atau menjadi sebutan umum selepas pilihan raya umum ke-13 lalu apabila beberapa pemimpin Pas telah ‘bermuzakarah’ secara sulit dengan pemimpin Umno untuk mengatasi kemelut politik yang dihadapi kedua parti itu kesan pilihan raya umum lalu yang dikatakan mencemaskan!

Malangnya idea itu tidak jadi, dan pemimpin yang bercadang mengadakan muzakarah itu dimarahi dan dituduh dengan pelbagai tuduhan kononnya gilakan pangkat, membelakangkan ahli dan sebagainya. Sebahagian pemimpin Pas yang lain menentang idea berkenaan. Tentangan itu turut melibatkan Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggap pemimpin bertaraf ulama tertinggi dalam parti itu.

Mulanya Nik Aziz tidak setuju dengan cadangan atas nama muzakarah itu. Beliau lalu mencadangkan supaya Pas tidak mengadakan muzakarah, tetapi hendaklah mengadakan MUQABALAH dengan Umno. Muqabalah juga bemaksud hampir sama denga muzakarah tetapi bezanya ia dibuat tanpa ada syarat dan tanpa ada rumusan atau kata sepakat. Dalam bahasa Melayu berbincang secara lisan saja tanpa ada apa-apa komitment.

Pai mai pai mai, ekoran kemarahan dan tidak setuju Nik Aziz itu kedua-dua idea itu tidak dipakai. Dok tang tu juga! Pas tidak mengadakan muzakarah dan tidak juga mengadakan muqabalah. Orang sudah faham bila Nik Aziz menukar istilah atau term itu bermakna beliau tidak bersetuju dengan menentang cadangan agar Pas berbaik dan berbincang dengan Umno. Ternyata akhirnya bukan saja muzakarah tidak disetujui, muqabalah juga akhirnya tidak disukai.

Maka tertinggallah dua istilah itu MUZAKRAH dan MUQABALAH dalam karung geram buruk yang kemudian dicampak ke laut!

Dan hari ini terkeluar satu lagi perbendaharan baru berbahasa Arab, MUJADALAH. Ianya disebut dan dicadang oleh Nik Aziz. Mujadalah ertinya berdebat atau dalam bahasa mudah berbalas menggunakan ‘keng’ di tempat terbuka. Kalau ikut hati si pencandag itu mahu diadakan dalam televisyen.

Perkataan atau istilah itu diterbitkan apabila Nik Aziz mengajak untuk bermujadalah dengan Najib Razak selalu presiden Umno. Tujuannya sama bagi menyelesaikan kemelut Pas – Umno yang berlarutan sejak tahun 50-an dulu. Menurut Nik Aziz idea ini dicadangan ekoran Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap kenyataanya yang menuduh atau mengumpamakan Umno sebagai komunis dan sesat, seperti ajaran sesat ajaran Ayah Pin. Ternyata kenyataan Nik Aziz itu melukai hati orang Umno.

Menurut Nik Aziz mujadalah diajar oleh para Nabi dan bukan pandai-pandainya. Katanya Nabi ajar agar berdepan dengan musuh secara bersemuka. Ia bukan baru. Beliau mendomankan kepada Musa yang berdepan dengan Firaun, Nabi Ibrahim dengan Namrud dan Muhammad s.a.w. dengan Abu Jahal. Bagi orang yang faham tektikal politik dan arif dengan sepak terang politik Menteri Besar Kelantan itu tahu ke mana dan mengapa beliau tidak semena-mena ingin berdebat pula dengan Najib.

Apa yang menimbulkan kemusyilan di sini berhubung kata-kata Nik Aziz itu apakah para Nabi tidak mengajar ummahnya berbincang dan berunding secara baik jika berhadapan dengan masalah. Apakah Nabi tidak menganjurkan supaya bermuzakarah atau bermuqabalah? Dan kalau Nabi juga ada menganjurkan begitu kenapa mujadalah yang menjadi pilihan?

Bagi saya cadangan Nik Aziz itu agak sonsang dan terlewat yang tidak perlu dilayan oleh Najib. Ia juga seperti anti klimeks dalam mencari pedamaian antara Pas dengan Umno. Ini kerana baru beberapa hari saja Pas telah memansuhkan cadangan untuk membincang idea unity goverment dengan Umno yang dlihat lebih ideal. Alih-alih hari ini hendak ajak Umno berdebat pula. Bukankah kegagalan itu juga disebabkan Nik Aziz dan yang mempelawa berdebat itu juga Nik Aziz?

Apa lagi sakit dan rasa pedih Umno atas penolakan cadangan itu masih terasa tiba-tiba mereka ingin menyahut ajakan Nik Aziz itu? Cara Nik Aziz itu jelas sangat ianya bukan ikhlas dan tidak lebih daripada menjelaskan lagi kebenciannya kepada Umno.

Justeru, sekiranya Najib tidak bersedia memenuhi perlawaan itu sesuatu yang bijak. Biarlah kalaupun Nik Aziz dan penyokongnya menuduh dan memperlikan Najib pengacut tidak mengapa. Biarlah dikatakan penakut yang penting orang ramai sudah mula memahami siapakah yang melampau dan sengaja bermain dengan kata-kata untuk kepentingan politik dalam konteks ini.

Muzakarah ke, muqabalah ke atau terbaru mujadalah ke... semuanya tidak jadiLAH.. [wm.kl. 8: 15 pm 27/06/09]

Berita Malam

Fauzi Calon Pas Manik Urai

Menepati apa yang diramalkan Bendahari Pas Kawasan Kuala Krai, Fauzi Abdullah, 50 tahun dipilih sebagai calon Pas dalam pilihan raya kecil Manik Urai 14 Julai. Nama Fauzi diumumkan oleh Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat di Manik Urai malam ini. Berita lanjut menyusul esok. [d.kota kl. 12:20 t/malam 29/06/09]

Friday, June 26, 2009

Takzim Jumaat

Iya Ke Rakyat Indonesia Marahkan Kita?

KELMARIN seorang rakan lama yang kerap berulang alik ke negara jiran Indonesia kerana urusan perniagaan rumah makan (restoran) menelefon saya. Saya sudah dapat mengagak kalau beliau telefon tentu ada cerita yang hendak dikongsikan. Dia adalah sumber maklumat tidak rasmi saya dalam hal-hal tertentu.

Kalau tidak ada cerita, jangan harap kawan ini menghubungi saya. Ketika sahabat saya, (juga sahabatnya) Khairel Annuar Ujang kembali ke Rahmatulah dua tiga minggu lepas, saya menghantar SMS memaklumkan, namun tidak dibalas. Saya kira dia sudah ghaib dalam gong gendang.

Tetapi bila dia menelefon semalam bermakna dia masih ok. Masih ingat dan masih ada cerita hendak disampaikan!

Seperti dijangkakan, dia melamporkan mengenai perasaan marah rakyat Indonesia mengenai beberapa kejadian atau isu yang berlaku di negara kita membabitkan rakyatnya. Ada tiga kejadian atau isu yang menjadi perhatian rakyat Indonesia dewasa ini.

Pertama, isu pragawati Monahara Odelia Pinot (foto) yang berkahwin dengan Tengku Mohamad Fakhry Sultan Ismail Petra kemudian minggat pulang ke pangkuan keluarganya. Kedua, ialah mengenai nasib malang dialami Siti Hajar seorang pembantu rumah yang didera majikan. Ketiga, ialah mengenai tragedi bangunan runtuh di Petaling Jaya yang mengorbankan tujuh warga Indonesia. Dan keempat ialah perebutan pulau Ambalat.

Menurut kawan itu isu-isu berkenaan cukup panas di Indonesia sekarang ini. Di mana-mana ia diperkatakan. Dalam media, tv dan sebagainya isu itu menjadikan bahan bualan panas yang mengasak jiwa dan hati rakyat Indonesia membenci Malaysia. Menurut kawan itu lagi kisah Monahara itu disiarkan khusus dalam satu saluran tv swasta di sana.

Menariknya lari, katanya kisah Moanahara dan Tengku Fakhry itu juga akan dijadikan filem. Penggambaran sudah pun bermula. Thrillernya sudah ditayang dipawagam dan saluran tv tertentu di Jakarta.

Hairan juga, isu Mohanara dan bangunan runtuh itu sepatutnya tidak menimbulkan kekalutan. Kedua kejadian itu adalah takdir. Soal Monahara dan Fakhry itu soal peribadi yang tidak perlu dipertikai dan diperpanjangkan. Demikian juga dengan keruntuhan bangunan lama di Petaling Jaya itu. Ia adalah bencana yang tidak dapat dielak oleh manusia di mana sepatutnya tidak dipersoalkan dan dijadikan sebab untuk memerli rakyat Malaysia.

Sepatutnya semua insaf dan tidak membangkitkan soal itu. Seharusnya kita lebih memahami hakikatnya dan pasrah. Lagipun di sebalik perkahwinan Mohanara dengan Fakhry kemudian berakhir dengan episod minggat itu tidak diketahui bagaimana punca dan keduduk sebenarnya. Kedua pihak nampak saling tuduh menuduh dan bersedia menggunakan mahkamah untuk mendapat pembelaan dan keadilan. Jadi kes ini sepatutnya tidak diheret ke dalam hati rakyat kedua buah negara apa lagi kalau ada pihak-pihak yang cuba mengkomersialkannya. Seeloknya kita perhati dan tunggu apa yang mahkamah putuskan.

Perihal betapa sensitifnya rakyat Indonesia ini bukan perkara baru sebenarnya. Ia selalu terjadi sebelum ini. Pantang ada kasus berhubung rakyat mereka, mereka akan terasa dan cepat menyalahkan Malaysia tanpa mengetahui hujung pangkatnya. Sedihnya mereka akan memperli rakyat kita. Ada kalanya perselisihan ini berpunca dari perkara kecil saja, tetapi boleh mengheret ke kancah membimbangkan.

Saya masih ingat sewaktu belajar di Indoensia awal tahun 80-an bagaimana sepasang kekasih yang cukup intim boleh berpisah kerana isu kecil sahaja. Lelaki dari, Perak Malaysia manakala perempuan dari Medan, Indonesia. Puncanya ialah kerana berebut P Ramalee.

Ianya berlaku dalam santai sambil makan mee sut perut di Jalan Teaku Daud, di Medan. Si lelaki mengatakan P Ramlee adalah rakyat Malaysia dan seniman dari Malaysia. Manakala si perempuan pula mendakwa P Ramlee adalah rakyat Indonesia. Si lelaki mempertahankan, P Ramlee berasal di Pulau Pinang, berbangsa Aceh. Kata perempuan itu ya, Aceh itu adalah Indonesia, maka Malaysia tidak boleh sewenangnya 'mengambil' P Ramlee begitu sahaja.

Kata si lelaki Malaysia mana boleh dia adalah asli hak Malaysia, tidak ada sangkut paut dengan Indonesia. Si perempuan itu naik berang. Pertengkaran berlaku. Tiba-tiba perempuan jadi emosi 'bangat' membalikkan mangkuk mee sut perut. Habis meja basah dan bertaburan dengan mee.

Selepas itu si perempuan terus meninggalkan lelaki Malaysia itu! Terputuslah tali kasih mereka berdua.

Kisah ini adalah sekelumit kisah yang teramat kecil menggambarkan perasaan rakyat Indonesia yang kuat bersemangat patriotik dan tinggi sensitiviti kebangsaannya. Jadi kalau kisah yang kecil menyebabkan rakyat Indonesia boleh putuskan hubungan apa lagi kalau kes-kes besar yang melihat kepentingan bangsa dan negaranya makinlah ia meributkan.

Justeru, adalah elok kalau masalah-masalah kecil, personal yang disebut diatas tadi diberi penjelasan sejelas-jelasnya kepada kedua-dua rakyat negara itu agar tidak berlaku sengketa. Misalnya masalah Monahara dan Siti Hajar itu menuntut penjelasan lebih jelas dan berfakta. Dalam hal ini pihak media massa boleh memain peranan menjernihkan keadaan.

Sikap dan telatah rakyat Indonesia yang emosi mengenai isu itu tidak boleh disalahkan mereka juga. Mungkin mereka hanya mendengar laporan dan provokasi melampau sebelah pihak saja. Kalau mereka diterang duduk perkara sebenarnya rasanya sikap negatif itu tidak akan berterusan. Selalunya manusia jadi berang dan keliru bila maklumat tidak tepat! [wm.kl. 11:00 am 26/06/09]

Belasungkawa

Bapa Sallahuddin Ayub Meninggal

BAPA Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub telah kembali ke Rahmatullah tengah malam tadi. Menurut Sallahuddin yang ketika itu dalam perjalanan ke Kota Bharu menerima pemakluman daripada adiknya.

Beliau yang ketika itu sudah sampai di Raub membatalkan perjalanannya ke Kota untuk bergegas pulang ke Batu Pahat bagi menguruskan jenazah ayahnya.

Menurut Sallahuddin ayahnya sakit sejak beberapa waktu lalu akibat satu kemalangan jalan raya dan pernah dimasukkan ke ward ICU.

Jenazah akan disempurnakan selepas solat Jumaat hari ini. Tahziah diucapkan kepada Sallahuddin serta keluarganya. Semoga roh Allahyarham dicucuhi rahmat. Al Fatihah. [wm.kl. 5:38 am 26/06/09]

Thursday, June 25, 2009

Menjala Calon Manik Urai

Siapa Calon Umno di Manik Urai?

MENJELANG Jumaat ini, barang kali Pas sudah pun memutuskan calon mereka yang akan diturunkan pada pilihan raya kecil Manik Urai, 6 Julai ini. Nama calon Pas itu katanya sudah pun disebut pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas 22 Jun lalu. Namun begitu sebutan itu bukan bermakna nama itu yang menjadi pilihan muktamad.

Kali ini Pas tidak memberi mandat kepada Presiden untuk mengumumkannya. Sebaliknya Pas menyerahkan kepada Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat berbuat demikian. Sebab pilihan raya ini berlaku di Kelantan maka Pas Kelantan dilihat mempunyai autoriti penuh untuk menentukan hala tujunya sendiri. Begitulah yang lazim berlaku sebelum ini.

Apapun pada Jumaat ini Nik Aziz akan mengumumkan nama calon Pas di markas besar Pas Manik Urai. Presiden Pas, Abdul Hadi Awang akan turut sama hadir setelah desas desus mengatakan ‘pagar’ dibina untuk menghalang kehadiran Abdul Hadi sudah dirobohkan.

Kenyataan Pengarah Pilihan Raya (JPP) Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron bahawa poster presiden Pas itu akan dinaikan selepas hari penamaan calon membuka perkembangan baik. Kenyataan itu melegakan banyak pihak dalam Pas yang berkecemakukkan sebelum ini. Sebelum ini ada pemimpin Pas tertentu di Kelantan yang menghalang poster Abdul Hadi dinaikan atas alasan Pas ingin melokalisasikan piliha raya berkenaan.

Siapakah nama yang disebut dalam mesyuarat jawatan kausa Pas itu dan mungkin dipilih Pas, sila rujuk kepada tulisan (spekulasi) saya dalam blog ini sebelum ini. Nampaknya nama dan orang yang saya sebut itu, itulah juga yang menjadi pilihan dan kesukaan jawatankuasa Pas.

Berlainan dengan Umno, sehingga kini parti itu masih belum dapat memutuskan siapakah calon mereka. Mesyuarat MT Umno malam semalam juga hanya memaklumkan mereka akan mengumumkan calon itu pada Ahad ini. Mengenai calon masih belum muktamad. Ini bermakna calon Umno akan mengikuti calon Pas.

Mungkin Umno mahu melihat siapa yang akan diturunkan Pas, baru mereka akan memilih dari tiga nama yang disebut-sebutkan ketika ini.
Tiga nama yang disebut-sebut dipihak Umno pula ialah, Timbalan Ketua Umno Kuala Krai, Che Jalal Muda, Ketua Pemuda, Tuan Aziz Tuan Mat dan bekas Adun Mengkebang, Azizzuddin Hussein (foto atas). Inilah tiga nama yang dikatakan telah disenarai pendek dan sudah menjadi spekulasi media massa.

Dari kalangan Umno katanya begitu berminat kepada Tuan Aziz. Beliau mepunyai beberapa kelebihan dari segi latar belakang dan juga hubungan dengan pengundi. Sebagai pegawai Kesedar beliau dikatakan telah dikenali ramai oleh sebahagian pengundi di Manik Urai. Beliau juga tinggal dalam kawasan itu.

Bagaimana pun apa yang timbul masalah, Tuan Aziz menjadi mangsa kepada kemelut Umno kawasan Kuala Krai. Beliau dikatakan tidak sehaluan dengan Ketua Umno Kuala Krai, Ramzi Abdul Rahman sebaliknya merupakan orang kanan bekas ketua, Wan Zaid Wan Abdullah. Dia dikenali sebagai orang Wan Zaid.

Sekiranya Umno Kuala Lumpur melihat kepada petunjuk daripada ketua bahagian, sudah tentu Che Jalal akan menjadi pilihan. Begitu pun Che Jalal juga dikatakan ada masalah. Bila beliau dilihat orang Ramzi sudah pasti dia tidak akan mendapat dokongan penuhnya. Ini kerana 28 dari 42 cawangan dalam kawasan Kuala Krai menentang Ramzi dan menyokong Wan Zahid.

Perpecahan ini berlaku semasa merebut jawatan ketua bahagian yang lalu. Seandainya jumlah sokongan cawanagn ini diambil kira tentu Tuan Aziz yang akan dipilih untuk menjadi calon.

Persoalan yang memeningkan Umno ialah sekiranya Tuan Aziz yang dipilih apakah orang-orang Ramzi bersedia untuk menyokongnya? Jika diikutkan budaya dan perangai Umno sebelum ini amat mustahil pihak yang bertentangan boleh bersatu dalam menghadapi musuh. Sikap sama sa'ja masih kental dalam hati orang Umno.

Inilah delima Umno Kuala Krai dalam menentukan calon. Dan dalam delima inilah tiba-tiba muncul nama bekas Adun Mengkebang 2004, Azizzuddin Hussein disebut-sebut akan dipertaruhkan bagi mnyelesaikan masalah. Azizzuddin walaupun anak luar Manik Urai tetapi beliau mempunya beberapa kelebihan.

Ayahnya, Hussein Sulaiman dan ibunya, Kalsum Mohamad pernah menjadi Adun di Manik Urai dan Adun Temangan di mana kawasannya meliputi sebahagian kawasan pilihan raya Manik Urai.

Sejarah dan kenangan itu menyebabkan Azzizuddin dikira dapat meraih sokongan bekas penyokong atau kenalan ayah dan ibunya yang pernah berkhidmat di situ. Selain itu Azzizuddin juga antara tokoh Umno Kuala Krai yang masih meneruskan khdimatnya kepada rakyat meskipun beliau sudah tidak bergelar Yang Berhormat.

Kelebihan lain yang ada kepadanya beliau juga rapat dengan beberapa pemimpin Umno peringkat kebangsaan.

Berdasarkan suasana dan rekod itu sekiranya Umno ingin mengelakkan pertembungan dan sabotaj antara dua kumpulan bergaduh itu, pemilihan Azizzuddin dikira tepat dan dapat mengendungkan ketegangan dua pihak bersengketa itu. [wm.kl. 6:30 pm 25/06/09]

Susupan Tengahari

Pemuda Umno Kelantan Perlu Banyak Membaca

PEMUDA Umno Kelantan hari ini telah membuat satu laporan polis terhadap Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran kata-kata politiknya dalam ceramah, kononnya Umno sebagai ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin dan menyamakan Umno dengan komunis.

Laporan polis itu dibuat oleh ketuanya sendiri, Anuar Safian (eh...macam nama Annuar Musa saja), di balai Polis Kota Bharu. Katanya kira-kira 100 orang mengiringi beliau dalam membuat laporan polis itu. Kenapa sikit sangat? Selalunya yang rajin membuat laporan polis di Kelantan ialah Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), tetapi kerja laporan polis ini sudah bertukar tangan pula.

Mungkin bagi MTRK mereka tidak merasakan kenyataan Nik Aziz itu mengancam keselamatan negara dan boleh mengugat keiman orang Melayu Kelantan.

Alasan Annuar kenyataan Nik Aziz itu telah menimbulkan ketegangan dan rasa benci rakyat kepada Umno. Tuduhan Nik Aziz itu juga tidak berasas, lantas beliau meminta penjelasan berapa ramai orang Melayu yang dibunuh Umno. Nik Aziz dilaporkan mengeluarkan cemuhan itu pada satu ceramah di Manik Urai beberapa hari lalu.

Sesiapa pun boleh buat laporan polis terhadap sesiapa sahaja yang membuat kenyataan atau melakukan tindakan boleh menimbulkan ketegangan sehinggakan memudaratkan keselamatan negara. Tetapi dalam kes kenyataan (ceramah) Nik Aziz ini saya rasa ianya tidak sampai ke tahap itu dan laporan polis itu hal yang remeh dan membuang masa.

Rakyat hari ini sudah cerdik dan pandai menilai mana yang hak dan mana yang batil. Saya ras kecaman Nik Aziz ini bukan saja hari ini tetap sejak berpuluh tahun lalu. Tidak timbul kalau Nik Aziz menyamakan Umno sebagai ajaran sesat. Hal yang sama juga dilemparkan oleh orang Umno kepada Pas.

Pas itu sendiri pernah disinonimkan sebagai Parti Ajaran Sesat (PAS). Pas tidak pun mengambil apa-apa tindakan atas perbuatan yang sungguh keji itu. Jadi kalau Nik Aziz memalingkan pula kata-kata itu kepda Umno dikira dua kali lima sahaja lah. Kalau Pas sesat maka Umno juga sesat!

Pemuda Umno harus banyak membaca dan memahami sepak terang politik. Kata-kata Nik Aziz adalah kata-kata politik yang maknanya berlapis-lapis macam kueh lapis. Ia bukan kata-kata mutlak. Pemuda Umno seharusnya mengerti apa itu provokasi, hipokrasi dan sebagainya lagi.

Saya rasa kalau pemuda Umno memahami ini tidak timbul rasa kesal dan marah kepada Menteri Besar Kelantan itu. Apakah pemuda Umno tidak pernah mendengar berbagai 'fatwa' dan kenyatan politik yang dizahirkan oleh beliau selama ini? Istilah-istilah yang ganjil seperti "Tuhan mencarut", "berkawan dengan syaitan", "duit, lembu dan kain ambil tetapi jangan undi", dan sebagainya pernah keluar dari mulut Nik Aziz. Semua kata-kata itu adalah kata-kata politik yang tidak sampai merosakkan aqidah.

Misalnya kenyataan Tuhan mencarut dan berkawan dengan syaitan itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam agama. Mereka yang tidak memahami maksud atau ertinya boleh terkeliru. Menurut Enakmen Agama Islam Kelantan kata-kata seumpama itu boleh didakwa kerana ia mendatang kecederaan kepada agama. Tetapi tidak ada apa-apa tindakan ke atas Nik Aziz. Kenapa? Sebab tidak ada mana-mana ulama dan Mufti yang boleh menyanggahkan pandangannya.

Sebab itu saya kata pemuda Umno kena banyak membaca dan mengingati sejarah. Jumpa dengan veteran Umno tanya mereka apa yang Nik Aziz pernah lempar dan konotasikan terhadap Umno. Baca buku-buku mengenai Nik Aziz sejak beliau mula menerjuni diri dalam politik mulai tahun 1967 hinggalah ke hari ini. Cuba kaji kata-kata dan pemikiran serta pendekatan politiknya yang sungguh bervariasi dan menakjubkan.

Kualau kita hendak mengenali seseorang kita harus mengikuti perkembangan pemikiran dan telatah-telatahnya dalam politik. Adalah silap kalau kita menghukum seseorang itu hanya dari khabar ataupun dalam tempoh masa yang pendek.

Kesimpulannya pada saya laporan polis pemuda Umno Kelantan itu tidak membawa ke mana-mana. Ianya juga tidak perlu kerana kata-kata Nik Aziz itu hanya menyenakkan telinga sekejap sahaja. Selepas selesai pilihan raya kecil Manik Urai 14 Julai depan ia akan dilupakan. Sebaliknya laporan polis itu memberi political mileage pula kepada Nik Aziz.

Dalam politik kena bijak dan kena pandai. Kena tahu isu mana nak main dan isu mana nak disenyapkan. Sekiranya tidak bijak isu yang ditimbulkan akan memakan diri dan tidak fasal-fasal pihak lawan mendapat manfaat dan untung besar. Mengenai laporan polis itu saya tidak kira polis atau pun Majlis Agama dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) akan memanggil Nik Aziz untuk mendapat penjelasan dan keterangan darinya. Tidak fikir... [wm.kl. 2:10 pm 25/06/09]