Thursday, June 25, 2009

Susupan Tengahari

Pemuda Umno Kelantan Perlu Banyak Membaca

PEMUDA Umno Kelantan hari ini telah membuat satu laporan polis terhadap Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran kata-kata politiknya dalam ceramah, kononnya Umno sebagai ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin dan menyamakan Umno dengan komunis.

Laporan polis itu dibuat oleh ketuanya sendiri, Anuar Safian (eh...macam nama Annuar Musa saja), di balai Polis Kota Bharu. Katanya kira-kira 100 orang mengiringi beliau dalam membuat laporan polis itu. Kenapa sikit sangat? Selalunya yang rajin membuat laporan polis di Kelantan ialah Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), tetapi kerja laporan polis ini sudah bertukar tangan pula.

Mungkin bagi MTRK mereka tidak merasakan kenyataan Nik Aziz itu mengancam keselamatan negara dan boleh mengugat keiman orang Melayu Kelantan.

Alasan Annuar kenyataan Nik Aziz itu telah menimbulkan ketegangan dan rasa benci rakyat kepada Umno. Tuduhan Nik Aziz itu juga tidak berasas, lantas beliau meminta penjelasan berapa ramai orang Melayu yang dibunuh Umno. Nik Aziz dilaporkan mengeluarkan cemuhan itu pada satu ceramah di Manik Urai beberapa hari lalu.

Sesiapa pun boleh buat laporan polis terhadap sesiapa sahaja yang membuat kenyataan atau melakukan tindakan boleh menimbulkan ketegangan sehinggakan memudaratkan keselamatan negara. Tetapi dalam kes kenyataan (ceramah) Nik Aziz ini saya rasa ianya tidak sampai ke tahap itu dan laporan polis itu hal yang remeh dan membuang masa.

Rakyat hari ini sudah cerdik dan pandai menilai mana yang hak dan mana yang batil. Saya ras kecaman Nik Aziz ini bukan saja hari ini tetap sejak berpuluh tahun lalu. Tidak timbul kalau Nik Aziz menyamakan Umno sebagai ajaran sesat. Hal yang sama juga dilemparkan oleh orang Umno kepada Pas.

Pas itu sendiri pernah disinonimkan sebagai Parti Ajaran Sesat (PAS). Pas tidak pun mengambil apa-apa tindakan atas perbuatan yang sungguh keji itu. Jadi kalau Nik Aziz memalingkan pula kata-kata itu kepda Umno dikira dua kali lima sahaja lah. Kalau Pas sesat maka Umno juga sesat!

Pemuda Umno harus banyak membaca dan memahami sepak terang politik. Kata-kata Nik Aziz adalah kata-kata politik yang maknanya berlapis-lapis macam kueh lapis. Ia bukan kata-kata mutlak. Pemuda Umno seharusnya mengerti apa itu provokasi, hipokrasi dan sebagainya lagi.

Saya rasa kalau pemuda Umno memahami ini tidak timbul rasa kesal dan marah kepada Menteri Besar Kelantan itu. Apakah pemuda Umno tidak pernah mendengar berbagai 'fatwa' dan kenyatan politik yang dizahirkan oleh beliau selama ini? Istilah-istilah yang ganjil seperti "Tuhan mencarut", "berkawan dengan syaitan", "duit, lembu dan kain ambil tetapi jangan undi", dan sebagainya pernah keluar dari mulut Nik Aziz. Semua kata-kata itu adalah kata-kata politik yang tidak sampai merosakkan aqidah.

Misalnya kenyataan Tuhan mencarut dan berkawan dengan syaitan itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam agama. Mereka yang tidak memahami maksud atau ertinya boleh terkeliru. Menurut Enakmen Agama Islam Kelantan kata-kata seumpama itu boleh didakwa kerana ia mendatang kecederaan kepada agama. Tetapi tidak ada apa-apa tindakan ke atas Nik Aziz. Kenapa? Sebab tidak ada mana-mana ulama dan Mufti yang boleh menyanggahkan pandangannya.

Sebab itu saya kata pemuda Umno kena banyak membaca dan mengingati sejarah. Jumpa dengan veteran Umno tanya mereka apa yang Nik Aziz pernah lempar dan konotasikan terhadap Umno. Baca buku-buku mengenai Nik Aziz sejak beliau mula menerjuni diri dalam politik mulai tahun 1967 hinggalah ke hari ini. Cuba kaji kata-kata dan pemikiran serta pendekatan politiknya yang sungguh bervariasi dan menakjubkan.

Kualau kita hendak mengenali seseorang kita harus mengikuti perkembangan pemikiran dan telatah-telatahnya dalam politik. Adalah silap kalau kita menghukum seseorang itu hanya dari khabar ataupun dalam tempoh masa yang pendek.

Kesimpulannya pada saya laporan polis pemuda Umno Kelantan itu tidak membawa ke mana-mana. Ianya juga tidak perlu kerana kata-kata Nik Aziz itu hanya menyenakkan telinga sekejap sahaja. Selepas selesai pilihan raya kecil Manik Urai 14 Julai depan ia akan dilupakan. Sebaliknya laporan polis itu memberi political mileage pula kepada Nik Aziz.

Dalam politik kena bijak dan kena pandai. Kena tahu isu mana nak main dan isu mana nak disenyapkan. Sekiranya tidak bijak isu yang ditimbulkan akan memakan diri dan tidak fasal-fasal pihak lawan mendapat manfaat dan untung besar. Mengenai laporan polis itu saya tidak kira polis atau pun Majlis Agama dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) akan memanggil Nik Aziz untuk mendapat penjelasan dan keterangan darinya. Tidak fikir... [wm.kl. 2:10 pm 25/06/09]

2 comments:

rozana said...

Setuju tuan MSO, dalam UMNO yang bijak bicara politik ialah Tun Dr. Mahathir. Pemuda kena banyak lagi belajar ilmu mantik & linguistik.

Mv Agusta said...

Salam mso, pas sebelum berkuasa dahulu nampak benar keikhlasan serta maufakat. Nah, bila diuji Allah dgn kemenangan ini tampak benar PAS tak ada bezanya dgn umno. Malahan pas lebih buruk lagi bila mereka memaki lebal agama.