Tuesday, June 23, 2009

Silau Ke Dalam

Bagaimana Peruntukan Kepada JPN Diagihkan?

SEBENARNYA saya malas untuk menulis fasal ini, nanti timbul prangsaka lain pula. Tetapi apabila lebih daripada tiga orang mengadu atau tepatnya lagi memperkatakan menyebabkan saya ingin menyinggungnya di sini dengan harapan ada yang memperbetulkan jika maklumat ini silap.

“Enta cubalah timbulkan sikit hal ini dalam blog enta, bukan apa untuk kebaikan bersama,” begitulah kata salah seorang YDP Kawasan di Kelantan beberapa hari lalu.

Ekoran itu saya bertanya kepada salah seorang ahli jawatankuasa sebuah kawasan mengenai isu ini apabila kebetulan terserampak di Kuala Lumpur kelmarin. Katanya, “elok kalau enta tulislah sikit, biar semua sedar dan kalau ia nampak nak ada penyelewengan akan diperbetulkan bila didedahkan,” begitulah katanya bila ditanya hal ini kepadanya.

Isunya ialah mengenai peruntukan sejumlah wang yang disalurkan oleh Pas Kelantan kepada Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN). Tujuan peruntukan ini ialah untuk digunakan bagi apa-apa perbelanjaan kegiatan berhubung dengan hal ehwal pilihan raya, memperkuat jentera pilihan raya, mesyuarat pilihan raya dan sebagainya.

Wang ini dibawah tanggungjawab JPN seratus peratus. JPNlah juga dikatakan akan mengagihkan wang ini kepada jentera peringkat kawasan dan juga menampung perbelanjaan apa-apa kegiatan berhubung dengan pilihan raya misalnya bagi kursus pilihan raya, pemantapan pilihan raya, pemantau dan sebagainya.

Begitu juga sekiranya ada berlaku pilihan raya kecil di mana-mana saja, wang yang disalurkan oleh JPN untuk tujuan perbelanjaan dan menampung tabung pilihan raya yang diusahakan oleh Pas kawasan. Dan wang inilah juga dibelanjakan untuk menghantar pegawainya ke luar negara bagi meninjau proses pilihan raya di sesebuah negara.

Bagaimana pun pengagihan wang ini dikatakan kurang adil dan kurang saksama. Jentera pilihan raya Pas kawasan yang sepatut menerima agihan ini dikatakan tidak mendapat habuah seperti yang sepatutnya. Inilah yang menjadi isu dan menimbulkan rungutan sekurang-kurang dua YDP Kawasan dan dua orang ahli jawatankuasa kawasan dari kawasan berlainan kepada saya.

JPN Pas ini wujud di setiap negeri. Tetapi mungkin JPN di negeri lain tidak mempunyai peruntukan besar memandangkan mereka tidak memegang kerajaan negeri atau baru memegangnya menyebabkan sumber kewangannya terhad. Kelantan yang telah menguasi negeri selama hampir 20 tahun dikatakan mempunyai peruntukan yang banyak.

Apa yang difahamkan Badan Perhubungan Pas Kelantan baru-baru ini telah meluluskan peruntukan untuk JPN bernilai mencecah jutaan ringgit. Jumlah itu bukan sedikit. Persoalanya kemanakah wang ini diagih dan bagaimana ianya disalurkan. Sehingga kini difahamkan pengagihan kepada jentera pilihan raya kawasan tidak sekata.

Ada kawasan yang memperolehi banyak dan ada yang sedikit. Bukan itu saja cara wang itu dibelanjakan juga menimbulkan keraguan. Sehubungan itu ada pihak yang meminta agar wang ini diodit ataupun dipantau. Ia tidak boleh diserahkan bulat-bulat ke dalam akaun JPN dan terserah kepada mereka untuk membelanjakan wang berkenaan.

Adalah elok kalau Pesuruhjaya Pas Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta odit membuat pengoditan ke atas penggunaan wang berkenaan. Ataupun meminta supaya penyata kewangan dibentangkan dalam perhubungan untuk maklumat ahli perhubungan.

Mungkin kalau ada penyata kewangan atau butiran mengenai perbelanjaannya ia tidak akan menimbulan pertikaian yang mungkin boleh membawa persepsi yang lebih buruk lagi. Sebelum hal ini terdedah secara meluas elok kalau JPN Kelantan mengambil inisiatif memperbetul dan menjelaskan hal ini. [wm.kl. 10:30 pm 23/06/09]

2 comments:

Perawi said...

ada peruntukkan pd pembangkang ke? pelik

mso.im said...

Saya sengaja publish komen di atas untuk menjelaskan kekeliruan dan salah faham. Peruntukan kepada Jabatan Pilihanraya Pas (JPN) itu bukan diperuntukan oleh SPR atau kerajaan Pusat atau kerajaan negeri tetapi oleh Pas Kelantan. Sila baca baik-baik dan memahaminya dengan teliti. Kesilapan beginilah yang boleh membawa kekeliruan. Salam.