Sunday, June 7, 2009

Kelantan Kecundang

Ada Tiga 'Tanah Rancangan' Dalam Pas Kelantan

DALAM rangka kempen pertama untuk Husam Musa bagi memenangi salah satu kerusi Naib Presiden Pas tahun 2005 di Pusat Terbiyah Pas (Putik) di Pengkalan Chepa Kota Bharu saya mengirimkan SMS kira-kira berbunyi; “Pemimpin Pas Kelantan perlu bersatu memastikan kemenangan Husam. Kemenangan Husam penting bagi membuktikan pemimpin Kelantan bersatu untuk menghadapi pilihan raya."

Alhamdulilah mesej peribadi saya kepada mana-mana perwakilan dari Kelantan yang saya kenal, boleh makan dan minum sekali dan diajak berbincang mendapat perhatian. Husam berjaya dalam percubaan pertama itu dengan mendapat lebih 600 undi bersama Dr Hassan Ali dan Mohamad Sabu.

Apa yang nak disebutkan di sini bukan bermakna saya bisa (hebat), bila berkempen untuk Husam, dan dia menang. Tidak! Apa yang nak dikisahkan di sini ialah mengenai betapa penting para pemimpin Pas Kelantan bersatu demi menghadapi pilihan raya ke 12 tempoh hari.

Saya melihat pemilihan pada tahun itu sebagai petanda sejauh mana kekompakan kalangan pemimpin Pas Kelantan. Saya merasakan Pas tidak boleh berpecah kerana pilihan raya akan menjelma. Jadi Husam yang bertanding sebagai Naib Presiden bakal mengorak langkah ke depan adalah sangat wajar disokong sepenuhnya dari perwakilan di Kelantan.

Mungkin untuk Husam menang tidak begitu penting jika dibandingkan dengan keperluan memenangi pilihan raya umum. Kerajaan Kelantan lebih penting dari diri keorangan Husam dan sesiapa juga. Tetapi bagi saya selaku pemerhati mengira kemenangan Husam itu akan turut memberangsangkan kemenangan pada pilihan raya selepas itu.

Kenapa saya membuat mesej peribadi itu? Kerana saya lihat keadaan pemimpin baru selepas kematian ‘Tiga Abdul’ mereka sudah tidak seiya sekata lagi. Sudah ada ‘tanah-tanah rancangan’ baru dibuka. Pemimpin yang sebaya yang tidak mahu tunduk antara satu sama lain terus membuka tanah rancangan serta menunjuk ego bodoh masing-masing.

Alhamdulilah Husam menang. Apakah kemenangan itu ada persepakatan? Nampaknya ada. Bila mana hampir 70% Husam mendapt undi daripada Kelantan dan sekaligus meletakkan dia dikerusi Naib Presiden mencerminkan beliau mendapat sokongan padu dari Kelantan dan ajakan peribadi saya dipedulikan.

Lepas meraih kemenangan pertama itulah bintang Husam terus bersinar sehingga mengerdip mempesonakan semua orang di Malaya ini. Pengagungan orang kepada Husam adalah bermula dari langkah pertama tahun 2005 itu.

Mungkin perpaduan yang pernah wujud kira-kira lima tahun lepas sudah tidak ada kini. Hasil daripada perpecahan dan wujudnya ‘tanah-tanah rancangan’ sendiri menyebabkan pemimpin Pas Kelantan membawa haluan sendiri-sendiri. Situasi ini tidak memberi keuntungan kepada mereka. Hakikat ini boleh dilihat kepada keputusan pemilihan kelmarin.

Betapa tidak sembilan orang calon daripada Kelantan termasuk Husam Musa, Mohd Amar Nik Abdullah, Takiyuddin Hassan, Annur Tan Abdullah, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Abdul Halim Abdul Rahman, Apandi Mohamad, Omar Mohammad, Rosli Ibrahim semuanya kalah. Kecuali Kamaruddin Jaaffar menang jawatankuasa agung. Kamaruddin walaupun ahli Parlimen dan Bendahari Pas Kawasan Tumpat tetapi dia lebih dilihat sebagai orang Segambut Dalam, Kuala Lumpur daripada orang Kelantan.

Ertinya semua calon Kelantan kalah semuanya. Kemungkinan kalau Nik Aziz Nik Mat turut bertanding juga akan kalah. Sebenarnya dari segi pencalonan presiden, Nik Aziz sudah kalah apabila beliau tidak cukup pencalonan untuk jawatan presiden!

Apakah ini kebaikan kepada Kelantan? Dan kenapa kekalahan besar ini berlaku? Persoalan dan kejadian ini sepatutnya difikir dan direnung jauh-jauh. Mungkin jawaban awal, sebabnya ialah kerana Pas Kelantan tidak bersatu. Pas Kelantan hari ini sedar atau tidak, nafi atau menerimanya telah terbahagi kepada beberapa tiga tanah rancangan atau puak dan kumpulan.

Satu tanah rancangan dikepalai oleh Husam Musa, kedua tanah rancangan diketuai oleh Takiyuddin Hassan dan satu lagi tanah rancangan dipelopori oleh Wan Ismail Wan Jusoh. Mungkin pengasas-pengasas tanah-tanah rancangan atau kem dan blok ini bukan tepat, tetapi inilah hakikat yang berlaku di Kelantan kini atau lebih tepat selepas tumbangnya empayar tiga tungku, Tiga Abdul tahun 2001 wujud keadaan ini yang mana mereka dilihat atau disebut sebagai ketua.

Dalam pemilihan kelmarin kenapa Husam mendapat undi hampir sama dengan Mohamad Sabu. Tidak sewajarnya nilai dan pencapaian Husam yang hebat dan profesional itu diberikan sama markah dengan Mohammad Sabu yang lebih boleh dianggap sebagai aktivis parti. Faktor pertama kenapa undi Husam kurang ialah kerana beliau gagal mendapat 50% undi daripada Kelantan.

Saya yakin kalau kesemua perwakilan Kelantan solid memilih Husam beliau akan berjaya meraih sehingga 300 undi dan mengurangkan jarak dengan undi yang diperolehi Nasharudin Mat Isa sebanyak 480 undi. Pengaruh sokongan padu Kelantan juga akan menambahkan undi kepada Husam dengan menarik undi Nasharudin dan Mat Sabu. Ini sudah tentu membolehkan Husam memperolehi 400 undi.

Sudah pasti orang dari tanah rancangan Takiyuddin Hassan dan Wan Ismail tidak akan mengundi Husam. Demikian juga apa yang berlaku kepada Mohd Amar, beliau tidak mendapat undi solid. Orang dari tanah rancangan Husam tidak akan mengundinya. Kalau undi Kelantan solid, Mohd Amar akan berjaya meraih lebih 400 undi.

Makanya kesan dari perpecahan mengikut blok tanah rancangan itu menyebabkan kesemua calon ahli jawatankuasa agung kecundang. Kesemua mereka tidak mendapat undi solid dari Kelantan kerana diasingkan mengikut sentimen tanah rancangan itu. Ini satu keadaan memalu dan menyedihkan. Bahawa Kelantan ini tidak lagi boleh bangga mereka sebagai menjadi memadu Pas di peringkat pusat dengan tewas kesemua pemimpin mereka.

Kewibawaan dan keagungan pemimpin Kelantan merundum. Seandai Nik Abduh Nik Aziz tidak memenangi jawatankuasa kerja Pemuda dengan undi kedua terbanyak dan Zailah Mohd Yusuf tidak memenangi jawatan timbalan Ketua Muslimah, kehebatan Kelantan selama ini hampir berkubur.

Paling teruk ialah kekalahan Husam yang dilihat orang yang bakal menjaga maruah Pas Kelantan memberi pukulan sengit dan cukup memalukan bumi Tok Janggut. Apakah di masa akan datang pemimpin dari negeri lain pula akan mendominasi Pas? Ada tanda-tanda peralihan kubu Pas akan berlaku atau berpindah ke tempat lain. Pas Kelantan sesungguhnya tidak boleh berbangga kejayaan mereka menguasai Kelantan selama hampir 20 tahun untuk bernostalgia bahawa mereka hebat dan jaguh.

Justeru itu perkembangan ini harus dikaji. Seperti mana dikatakan tadi, ia bukan untuk memberi jawatan kepada pemimpin tertentu, tetapi lebih penting menghadapi pilihan raya dan menjaga kesejahteraan dan sejarah Pas Kelantan. Satu tindakan segera perlu dibuat untuk menyimen keretakan yang kini ‘terkabek’ kini.

Pilihan raya kecil Manek Urai pada 6 Julai nanti akan menjadi kayu pengukur sejauh mana tuan-tuan tanah dan peserta tanah rancangan akan dapat duduk sekali untuk memastikan kemenangan cemerlang Pas di Manek Urai.

Dalam hal ini rasanya sudah sampai kalau Nik Aziz memansuhkan tanah-tanah rancangan berkelompok itu dan satukan mereka dalam satu geran besar atau bubuh dalam satu kandang. Mereka perlu dijinakkan untuk menghadapi pilihan raya ke 13 kelak. Nik Aziz perlu segera menyatukan tanah rancangan itu dan jangan biarkan mereka menyelesaikan sendiri atas kepercayaan bahawa mereka sudah cerdik, bijak ataupun tahu mengolah diri.

Sebenarnya tuan-tuan tanah rancangan itu perlu ditarbiah terus oleh Tok Guru. [wm.kl. 9:00 am 07/06/09]

5 comments:

Atan said...

Salam,
Ada unsur assobiyyah dalam komen Tuan MSO. Tidak harus demikian. Kelantan tidak istimewa daripada Kedah, Johor tidak istimewa daripada Kelantan, dan begitulah seterusya. Kalau berlandaskan Islam, kita pilihlah ikut merit.

Kekalahan Husam dan Mat Sabu senang untuk disimpulkan - ahli memahukan dua regu yang di atas itu ulama. Sebab itu jugalah Nik Abduh dapat undi kedua tertinggi, kerana ada cermin keulamakan dalam dirinya.

Kedua, Husam kalah, seperti kata Mustafa Ali dan Tuan MSO, beliau berkempen berlebihan. Mohd Sabu turut dikempenkan dalam beberapa blog.

Walau apa-apa pun, rapatkan saf semula selepas ini. Demokrasi memang demikian sifatnya. Seharusnya dalam PAS, jangan letakkan cita-cita peibadi sebagai matlamat utama perjuangan. Ahli akan menyampah.

Syabas kepada YB Ustaz Nasharuddin, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim, YB Salahudin, dan YB Mahfuz dan 17 yang lain. Terpilih ke jawatan itu bukan bermakna tuan-tuan boleh menunjukkan kehebatan tetapi tuan-tuan terbeban dengan amanah.

2 kali 5 said...

saya bersetuju dengan atan.

kekuatan dan kelemahan pas secara amnya adalah disebabkan SEMANGAT KENEGERIAN / KEMELAYUAN terutamanya negeri di pantai timur(kelantan,terengganu dan pahang) serta negeri majoriti melayu(kedah).

namun sayangnya semangat ini telah disalahgunakan oleh pas sendiri seperti yang berlaku di perak. lihat sahaja peratusan undi melayu kepada nizar di bukit gantang walaupun nizar menang dalam pilihanraya tersebut.

pas harus berubah.jangan beranggapan yang pas masih 'mulia' seperti dulu. itu hanya perasaan syok sendiri.

serupasekala said...

Sabtu Jun 6, 2009
Husam menang tipis Timbalan Presiden PAS

Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK

SHAH ALAM: Datuk Paduka Husam Musa dipercayai menang tipis jawatan Timbalan Presiden PAS dalam persaingan tiga penjuru.

Berdasarkan maklumat keputusan tidak rasmi yang diperoleh setakat 9 pagi tadi, Naib Presiden PAS itu mendapat 543 undi sekaligus menewaskan penyandang jawatan tersebut iaitu Nasharudin Mat Isa yang memperoleh 388 undi dan juga Mohamad Sabu yang hanya memperoleh 188 undi.

Husam menang dengan perbezaan 65 undi.

Berada di tempat kedua ialah Nasharudin yang menyandang jawatan itu sejak 2005.

Ketika ditemui, wakil dan pembantu ketiga-tiga calon berkenaan enggan berkata apa-apa tetapi difahamkan perbezaan undi Husam dan Nasharudin sangat kecil.

"Kami difahamkan perbezaan undi sangat kecil," kata satu sumber kepada mStar Online.

SAYA TAK FAHAM MACAM MANA BERITA INI BOLEH DIKELUARKAN OLEH MSTAR ONLINE.

aqilfarihin said...

aku salah sorang org yg cukup frust sbb husam kalah...& 2 lg org kuat TGNA kalah...apa sudah jadi..aku stuju ngan mso dlm bab ni!!kenapa jd gini!kelantan xdok wakil...teruk tul

Anis said...

Stedy la Pak Sayuti...sumer tekaaan dan gerak politik pak sayuti mengena!!!. Husam hebat,tetapi perwakilan PAS bukan picisan seperti UBN yang mudah di proksi dengan wang dan janji...mereka peka dan relatif terhadap parti bukan kepada individu.....tepat sangat pandangan pak sayuti....bila lagi nak keluarkan buku yang tajam setajam buku talkin untuk mahathir???