Monday, June 8, 2009

Sampah Bawah Karpet

Jangan Ada Dua Mazhab Politik Dalam Pas

SAYA tidak tahu apakah orang lain juga menyimpan perasaan seperti saya terhadap Pas. Selepas mengikuti muktamar Pas ke 55 pada 5 hingga 7 Jun di Shah Alam dan melihat ragamnya yang terpamir dalam muktamar itu, ada satu perasaan menunjal-nunjal dinding hati saya. Perasaan itulah bimbang dengan keselamatan dan masa depan Pas.

Saya nampak ada semacam arus berlawanan dalam Pas pada masa ini. Walaupun muktamar itu berjalan lancar tetapi ia ada ketengangan di sebaliknya. Apa yang jelasnya ada dua suara besar yang sedang bergelombang dan mencari ruang dalam Pas.

Walaupun Pas sebagai parti Islam dan dihormati sebagai parti yang kuat disiplin, tebal ukhwah Islamiahnya, namun kebanggan ia bukan simpulan mati untuk tidak boleh dileraikan atau akan terombak. Bukan bermakna selamanya kolam atau lautan Pas tenang dan damai. Apabila sudah ada gelombang dan angin ia tidak boleh mengelakkan dari berkocak kuat dan kolam tidak akan bisa menenangkan airnya lagi. Saat ini air akan berombak dan akan terserlahlah kejelekan dalam kolom berkenaan.

Sejarah telah pun menunjukkan Pas pernah berombak dan penah berpecah. Pas pernah menghadapi perbalahan besar yang membawa kepada kemusnahan politik penerajunya. Perpecahan itu ialah kerana perselisihan pendapat dan pemikiran penerajunya ditentang.

Ketika itu belum ada elemen luar mempengaruhi Pas atau cuba menyusup secara senyap dan memakan Pas dari dalam. Kalau semasa sesama sendiri Pas sudah boleh bergaduh apa lagi kini Pas sudah banyak dirobosi oleh pemikiran asing agenda para parasit serta sedia menerima politik Machiavelliaisme bererti makin terbukalah ruang ‘balah’ dalam Pas.

Apabila Pas dilihat parti besar, berpotensi untuk berkuasa maka ramailah orang yang gila untuk menguasai dan menjadi penerajunya. Ramailah arkitek dan tukang-tukang tilik upahan. Apa lagi muasir ini musuh Pas (Umno) benar-benar gelabah dengan sambutan hangat ke atas Pas. Umno teringin untuk melakukan apa saja bagi mengekang Pas. Tidak pelit kalau mereka juga turut sama menjadi tukang sorak.

Perpecahan paling besar pernah berlaku dalam Pas ialah pada tahun 1982. Ia berpunca apabila presiden Pas, Mohd Asri Muda ditentang oleh ahli pas sendiri. Penentangan itu yang dianggap satu kejadian memalu dan tidak beradab oleh Asri di sepanjang sejarah politiknya menyebabkan beliau keluar parti pada 23 Oktober1982. Beliau membawa bersama puaknya menubuh Hizbul Muslim (Hamim). Ironis, selepas itu Asri terus menyertai Umno yang ditentangnya.

Apakah sejarah itu tidak akan berulang? Ingatlah tiada satu sejarah besar didunia ini mati begitu saja tanpa berulang beberapa kali. Begitu juga sejarah yang perit untuk ditelan Pas itu tetap juga akan berulang bila tiba masa dan waktunya. Sejarah baru umpama jani dalam kandungan seorang ibu yang pasti akan keluar menjenguk dunia apabila tiba masanya! Fitrahnya begitu.

Justeru saya sangat walang dan cemas akan berlaku perulangan sejarah yang tragis ini di sisi Pas. Terasa tidak sanggup untuk melihatnya kerana untuk memperbetulkan keretakannya memakan masa berdekad-dekad pula.

Tanda-tanda adanya ketegangan dalam Pas semasa muktamar itu sangat jelas. Meskipun masing-masing cermat dan cuba melindungi konflit itu namun ia tetap juga terbau. Ketegangan itu terwajah di mana-mana sahaja baik semasa sidang Dewan Pemuda, Muslihat dan juga Dewan Ulama. Keadaan ini membawa hingga ke hari akhir semasa ucapan penangguhan dan penggulungan.

Yang jelas ada dua suara besar dalam Pas yang bertentangan. Pas terbahagi kepada dua bentuk pemikiran atau kepercayaan atau teori politik yang masih berbentuk awan-awanan. Maknanya Pas sedang berbalah soal apakah anak dalam kandungan itu betina atau jantan.

Satu pihak ialah mempercayai kepada pendekatan politik perundingan dengan sesiapa saja. Pendekatan ini diyakini ianya bertepatan dengan prinsip Islam itu sendiri yang bersedia berunding dengan sesiapa saja. Golongan ini tidak begitu obses kepada kuasa tetapi lebih untuk melaksanakan peranan parti sebagai gerakan Islam.

Manakala satu pihak lagi yakin Pas boleh menguasai negara ini tanpa perlu berdamai dengan Umno. Mereka percaya kedudukan musuh mereka sangat lemah jadi masa inilah musuh perlu dilanyak secukupnya. Dengan sokongan di luar sana Pas dikira mampu menjadi peneraju kerajaan negara ini. Puak ini tidak memperdulikan kepada prinsip dan dasar Pas berteraskan kepada Islam untuk keamanan semua, tetapi semata-mata melihat dan mahu menerkam kepada kuasa yang masih dalam bentuk fatamorgana.

Sebenarnya pertentangan ini bukan besar atau sukar untuk dileraikan. Keduanya mungkin betul dan mungkin salah. Dipihak yang mahukan atau membuka pintu perundingan dengan sesiapa saja berpijak dibumi nyata. Seperti mana kata presiden Pas, Abdul Hadi Awang ia adalah tuntutan Islam. Berunding itu bukan bermaksud bersetuju untuk sekongkol dengan musuh tetapi mencari jalan penyeslaian demi maslahat bersama. Apakah berunding pun tidak boleh? Ini menunjukkan Pas sebagai parti yang kejam!

Manakala dalam dunia politik yang tidak mengenal kawan dan lawan, pandangan agar Pas bergerak sendiri bersama Pakatan Rakyat tanpa epologitik kepada Umno juga betul. Anggapan Umno tidak boleh dipercayai berdasar sejarah lampau juga betul seperti mana Umno juga beranggapan demikain kepada Pas. Tetapi apakah sejarah itu perlu diprejudiskan selamanya? Di manakah hikmahnya Pas sebagai parti mengajak kepada perpaduan? Kehebatan manusia ialah memberi kesedaran kepada musuh bukannya terus mengangkat lembing kepada mereka.

Keyakinan dan omongan teaori inilah yang kini membentuk dua persimpangan dalam Pas. Sepihak mahu ke kanan manakala sepihak mahu ke kira. Sepihak mahu terus angkat pedang dan sepihak lagi mahu menurunkan pedang ke bawah. Mereka umpama dua ekor anak lembu jantan yang ditambat tali dileher dan saling tarik menarik antara satu sama lain.

Saya melihat pertelingkahan ini mudah untuk reda sekiranya tidak melibatkan personaliti yang ditaksubi , Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tetapi bila Nik Aziz jelas berada disatu pihak dan tidak berdiri ditengah-tengah menyebabkan ketegangan ini berlarutan. Apa lagi Nik Aziz memberi muka kepada satu pihak dan prejudis melampau kepada pihak lain.

Pihak yang tidak bersetuju dengan teori perpaduan berlindung di sebalik keromah Nik Aziz yang dikeramatkan. Nik Aziz yang nyata menyokong mereka. Berlaku keganjilan apabila Nik Aziz dianggap ulama menolak kepada perundingan dan perbincangan. Kedegilan Nik Aziz inilah dianggap beliau sebagai dipengaruhi oleh pihak yang menolak itu.

Dalam hal ini saya rasa Nik Aziz sudah sedikit terlajak, beliau sudah gagal mengawal dirinya sebagai Mursyidul Am Pas. Sepatutnya beliau tidak menunjukkan pertentangan beliau dengan presiden. Samada beliau perlu tegak dengan keputusannya atau sebaliknya, beliau tidak perlu menampakkan ketegangan dan perbalahan itu. Satu penyelesaian secara mesyuawarah perlu dilakukan dan penyelesaian dicapai. Ada iras-ras Nik Aziz merasakan Pas itu sebagai kepunyaan orang berjawatan Mursyidul Am.

Sebenarnya apa yang berlaku antara Nik Aziz dan Hadi itu, itulah yang ingin disaksi oleh musuh Pas. Mereka sangat suka kalau dua ulama yang berada dalam satu masjid berbalah dan bertengar dan saling lempar melempar serban atau kopiah. Mereka sudah dapat mengagakkan lama-lama kelamaan pertengkaran dan perselisihan faham itu akan mewujudkan dua mazhab dalam Pas. Inilah yang mereka tunggu dan nanti-nantikan.

Tidak dapat ditolak kalau perselisihan ini berpanjangan apa lagi ia dibumbui amarah akan wujud dua mazhab politik dalam Pas. Lebih malang lagi kewujudan dua mazhab politik akan bertukar menjadi kabilah politik. Kalau ini berlaku ia akan memarahkan Pas.

Inilah, kewujudan dua mazhab politik yang saling menyakini kepada teori omongan itulah yang membimbangkan saya. Tidak mustahil kalau kedua pihak degil ia akan wujud keadaan dua mazhab dalam Pas. Justeru sebelum keadaan menjadi lebih parah dan kronik kedua pihak harus duduk bersama. Berfikir semasak-masaknya. Jalan terbaik kedua teori omongan yang diyakini dimansuhkan untuk menenangkan keadaan. Carilah satu keyakinan atau teori baru bagi merapatkan saf dalam Pas.

Mereka yang kecundang dalam perlawanan baru-baru ini insaflah hal ini. Kekalahan mereka itu menunjukkan majoriti tidak bersedia untuk menerima pandangan mereka buat masa ini. Demi parti mereka kena akur kepada keputusan muktamar. Adalah malang kalau mereka terus mengapi-apikan agar teori mereka diterima dan teori lain ditolak. Wahal kedua teori itu masih dalam tembuni harapan. [d'kota kl. 5:45 pm 08/06/09]

10 comments:

Unknown said...

Assalammualaikum,
Memang Islam ugama perpaduan.Adil pada semua orang walaupun pada pihak lawan..Tapi Islam juga menuntut umatnya berkata benar.. bertindak benar..walaupun pahit. Jika ada yg tak betul..kata lah tak betul walaupun pada kawan rapat.Tindakan Tok Guru Nik Aziz betul..kita tak boleh nak berkerjasama dgn pencuri.. perompak..perasuah..walaupun mereka org Islam maupun org melayu selagi mereka masih lagi pencuri dan perompak. Kalau masih juga nak berkerjasama dgn org munafik maka jadi lah kita ..org2 yg subahat. Syabas Tok Guru Nik Aziz. Takbir.

Anonymous said...

saya sangat bersetuju dengan pandangan tuan. bagi saya, idea kerajaan perpaduan oleh Presiden PAS adalah satu idea yang sangat menarik untuk diperhalusi.saya sebagai budak kecil yang masih berhingus dalam politik faham dengan idea yang dilontarkan oleh presiden Pas bukannya bermakna Pas akan bergabung dengan Umno seperti yang difahami oleh calon Timbalan Presiden yang tewas baru2 ini. sementelah Nik Aziz berkata yang kita boleh berkawan dengan 'syaitan', inikan pula berkawan dan berunding dengan umno yang sebangsa dan seagama dengan kita. di sebalik itu Pas perlu berwaspada dengan kelicikan dan tipu helah Umno agar perundingan ini tidak akan merugikan dan meliberalkan parti Pas.

raibachiba said...

Saya sangat runsing melihat perbezaan pendapat yang dinyatakan secara terbuka di antara TGNA dan TGHH. Siapakah atau sayap manakah boleh mengambil peranan supaya satu perbincangan secara ilmiah tentang kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh TGHH. Jika hasil perbincangan tersebut menetapkan tidak perlu maka semua pihak perlu akur dan sebaliknya..janganlah dibiarkan perkara ini berlarutan kerana perpecahan di kalangan akar umbi susah utk disatukan..

Unknown said...

Saya berkongsi komen saya dio blog Khalid Samad.

Saya tidak pasti di sana akan diluluskan komen sebegini.

Harap-harapnya, MSO luluskan komen ini

====

Begitu ramai yang kecewa dengan keputusan suara muktamar PAS.

tapi lebih ramai yang dil luar yang kecewa.

Keputusan ini amat-amat ditakuti oleh golongan-golongan yang gopoh dalam perjuangan.

Mereka mahukan kemenangan yang cepat.

Mereka mahukan kemenangan dengan cara MP melompat parti.

Nabi Muhammad menegakkan Islam di atas runtuhan jahiliyah.

Muhammad tidak menerima pelawaan Quraisy jika semata-mata untuk menjadi PM

Bukan jawatan yang Islam ajar. Yang penting adalah perjuangan.

====
Ramai yang idamkan PAS.

Anwar idamkan PAS untuk mencapai cita-citanya menjadi PM.

UMNO pula idamkan PAS untuk mengekang cita-cita Anwar.

Apa yang pasti, PAS tidak akansanggup diperkuda Anwar demi cita-citanya yang tidak kesampaian.

Juga PAS tidak akan memungkiri janji di dalam PR semata-mata mengejar dunia.

========
Propaganda telah dimainkan untuk merosakkan imej kepimpinan ulama PAS.

Propaganda tersebut ingin mengaitkan kepimpinan ulama dengan Umno.

Maka berbunyilah dengungan "pas nak masuk umno' yang dimainkan oleh media dan blogger.

Ia adalah usaha terancang pihak yang ingin memperkudakan.

Dengan memperkudakan PAS, mereka dengan mudah mendapat sokongan PAS untuk mendakap cita-cita menguasai negara.

=====
PAS tidak akan tertipu.

PAS belajar daripada sejarah.

Sejarah telah menunjukkan telahbanayk kali jemaah islam dan para ulama diperguna untuk kemenangn nasionalis.

di mesir dan indonesia pernah berlaku.

Kini agenda sama cuba dimainkan di malaysia.

Ulama dan para profesioanl Islam berjaya mengesan perkara ini dan tidak akan membiarkan PAS diperkudakan.

=====
Perjuangan memerlukan ranjau yang berduri, bukan semudah MP melompat parti.

Kemenangan sebegitulah yang mengilhamkan Umno apa yang berlaku di Perak.

Akibat ketidaktahanan ujian dua ADUN belot.

Di Kedah dan PP pula ADUN dari parti sama turut meletak jawatan atas alasan sama.

Memalukan dan jijik sekali

Apa yang PASTI, ia tidak datang daripada PAS, tetapi PKR.

====

Tidak sabar menuju ke putrajaya, inilah akibatnya.

Mujurlah PAS sudah masak dengan semua asam garam sebegini.

Tidak pernah lagi dalam kepimpinan ulama selama 27 tahun, ADUN PAS dibeli sebegitu mudah seperti ADUN PKR.

Bang Aji said...

Salam MSO,
Syabas diucapkan. Tulisan dan kajian anta amat dihargai. Menjadi harapan semua pendokong gerakan Islam agar sebarang kekalutan yang ada dapat diselesaikan oleh semua pimpinan PAS yang telah dilantik. Semoga PAS akan teruskan agenda memperkasakan Islam untuk semua....

Anonymous said...

Salam MSO,

Saya pun tidak faham apa masalahnya berbincang (bukan untuk berkuasa) dengan UMNO. Sedangkan Rasullullah S.A.W yang kita kasihi boleh berbincang dengan kafir Quraisy Mekah, dan akhirnya ketua mereka Abu Sufian menerima Islam.

Sekiranya ada elemen dalam UMNO yang rasuah, mencuri, merompak dan sebagainya, ianya tidak mewakili seratus peratus ahli UMNO. Masih ada di kalangan ahli/pemimpin UMNO yang jujur memperjuangkan agama/bangsa dan negara, yang bagaimanapun terpaksa memilih UMNO sebagai wadah perjuangannya.

Sekiranya "munafik" itu dijadikan alasan untuk tidak berbincang dengan UMNO, lebih baiklah kita tinggalkan elemen2 munafik dalam PR (di depan cakap lain, di belakang lain) baru adil!

Asrof Gulam said...

Mula2 nampak mcm tulisan saudara unbias tapi lepas tu nahhh jarum pun masuk...wonder sama ada saudara masih ada lagi ciri professionalism dlm penulisan...mcm dah hanyut dan tengelam kepada dendam kesumat saudara. Cukup cukup lah saudara...ini masanya untuk merapat kan saf bukan nya merengangkannya.

Pr0fiL t3M4n5 said...

PAS kurang belajar dari dari kehendak semasa. PAS perlu menyedari bahawa kehadiran penyokong setengahnya bukan kerana gagasan pimpinan PAS tetapi kebencian terhadap UMNO. Kemenangan dalam PRU 12 bukan kerana kekuatan PAS tetapi kelembapan Pak Lah dan menantunya. Mereka muda yang berbondong menyokong PAS terdiri dari generasi Y yang 'technology savvy'. Kepekaan terhadap keperluan dan kehendak mereka menyebabkan PAS akan terus relevan. Tetapi jika keperluan dan kehendak mereka tidak dipenuhi, tidak mustahil PAS akan ditinggalkan. PAS sepatutnya telah berfikir supaya saf kepimpinan yang muda perlu dibariskan. Kepimpinan yang ikhlas, matang, agresif dan bertenaga perlu diberi keutamaan. Pak Lah telah membuat pengorbanan perletakan jawatan untuk kepimpinan lebih muda memegang tampok pemerintahan. Tetapi PAS masih dalam ruang lingkup lama. Bariskan pimpanan baru Ust. Idris Ahmad, Ir. Nizar, Dr. Mujahid, Salihudin Ayob, Husam Musa dan beberapa pimpinan muda lain perlu diberi peluang. Jika perlu, presiden dan MB Kelantan juga harus memberi laluan kepada pimpinan muda yang lebih bertenaga dan berwawasan besar.

zarsaza said...

salam mso.
saya mengormati tulisan tuan walaupun kadangkala ia memberi pedih kepada pr. bagi saya, majoriti tidak suka akan tulisan tuan. namun, bukanlah bermakna yg ditulis itu salah.ini bagus utk kritikan membina(self criticism.saya pasti tuan lebih arif akan susur galur politik msia sejak 80-an lagi.sepertimana pembacaan mustafa ali ke atas projek 16 september, ramai yg mengecamnya.tp itulah reality. melihat dsai adalah segala-galanya seperti juga adolf hitler di zamannya.walau apa pun yg berlaku, persepsi kini adalah pihak ubn nampak jahat,negatif dan di pihak pakatan nampak semuanya sempurna.sbb itu, baiklah kita duduk ditengah2 baru kita nmpak mana kaca dan intan.

Unknown said...

Salam, komentar yg bagus. Sesungguhnya Allah hendak menguji pejuang2 Islam yg mana benar dan belum benar. Yang mana nak menang kerana Allah dan mana nak menang kerana nak kuasa. Disana terlihat cahaya dan jalan yg luas seperti rakyat akan memenangkan kita pada PRU-13, maka dengan itu ada yg tak sabar nak capai walaupun cahaya itu adakah Allah restu sehingga terlupa kemenangan sebenar itu milik Allah. Segala kekalutan yang berlaku ini, InsyaAllah, Allah akan tunjukkan kepada kita semua. Tunggu saja.