Siapa Setiausaha Agung, Bendahari dan
Ketua Penerangan Baru Pas?
SELEPAS muktamar selesai membuat pilihan barisan kepimpinan baru PAS pada Sabtu lalu, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang kini 'pening-pening' kepala untuk melantik beberapa orang pegawai yang akan membantunya dan barisan kepimpinan baru itu.
Pegawai-pegawai yang dimaksudkan ialah Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan.
Ketiga-tiga jawatan ini adalah tanggungjawab jawatankuasa kerja pusat dan presiden dilihat sebagai berkuasa melantiknya. Selain itu beberapa jawatankuasa tambahan juga akan dilantik bagi memperkuatkan lagi jawatankuasa atau barisan kempinan Pas.
Khabarnya malam ini Dewan Harian akan bersidang buat pertama kali. Presiden akan membentang nama-nama pegawai yang akan dilantik untuk penilaian bersama. Biasanya tiga pegawai penting yang menjadi nadi kepada jemaah ini dipilih dari kalangan ahli jawatankuasa agung.
Mana-mana ahli yang tidak termasuk dalam ahli jawatankuasa agung akan dilantik terlebih dahulu sebelum ianya diendorsekan perlantikannya oleh jawatankuasa kerja Pas pusat.
Sekarang ini sudah berlaku lobi melobi untuk diisikan ke jawatan berkenaan. Lobi ini perkara biasa tetapi kurang manis bagi jemaah seperti Pas. Pelobian ini seolah-olah mereka meminta jawatan untuk orang tertentu. Sedang dalam Islam jawatan diberikan kepada mereka yang layak baik dari segi tubuh badan ataupun fikh syariah.
Lebih malangnya lagi pelobi untuk jawatan ini dilakukan sendiri oleh dua naib presiden.
Mahfuz Omar telah mencadangkan supaya Mohamad Sabu dan Husam Musa diberi tempat dalam Dewan Harian. Ianya disokong penuh penuh oleh Sallahudin Ayub. Tindakan kedua-dua naib presiden ini menampakkan sangat mereka adalah dari kumpulan yang menyokong calon presiden yang tewas itu.
Sebenarnya adalah elok kalau Pas memberi perhatian dan tidak mencicirkan peranan kedua-dua calon presiden yang kalah itu dan juga calon-calon lain. Tetapi apabila ianya dilobi sendiri oleh naib presiden ianya kurang elok dan menampakkan kedua naib presiden itu tidak profesional dan masih kelihatan sebagai budak suruhan!
Biarlah kerja-kerja melobi ini dilakukan agen atau broker bertaraf kaki lima yang berbuat demikian. Baik Mahfuz atau Sallahudin tidak payah melobi di media massa. Mereka adalah anggota Dewan Harian yang boleh bercakap dengan presiden. Apakah mereka terlupa dan belum sedar bahawa mereka bukan lagi belaci kepada mana-mana tokoh tetapi mereka adalah naib presiden yang dipiliholeh para muktamar?
Jika dipadankan dalam Umno mereka setaraf dengan Ahmad Zaid Hamidi dan Shafei Afdal. Tidak terdengar pun semasa presiden Umno nak lantik pegawai parti dua naib presiden Umno itu bercakap melobi mana-mana calon. Walaupun Umno banyak buruk tetapi perangai yang baik harus ditiru oleh naib-naib presiden Pas.
Inilah bahananya kalau kita begitu mesra media pantang lihat wartawan atau surat khabar terus untuk bercakap tanpa menyedari kapasiti diri dan menjaga martabat diri. Misalnya dalam mesyuarat Dewan Harian malam ini, Mahfuz dan Sallahudin boleh mengemukakan kedua nama calon yang kalah itu untuk dipertimbangkan apa-apa jawatan sesuai.
Mereka sudah ada saluran langsung dengan presiden dan anggota Dewan Harian lain kenapa tidak dinantikan kesempatan itu untuk mengemukakan nama kedua mereka itu? Selepas itu terserah untuk presiden membuat pemilihan. Kerana sebagai presiden Abdul Hadi tetap mempunyai kuasa prerogatif mengenai perlantikan itu.
Harus juga diingat bukan sahaja dua calon naib presiden yang kalah mempunyai pengaruh dan merupakan permata yang berkilau, tetapi calon-calon lain juga. Mujahid Yusuf Rawa, Mohd Amar Nik Abdullah yang tewas di kerusi naib presiden juga adalah permata yang akan berkilau kalau dikilat dan dikiwi. Malahan mereka ini mungkin akan lebih cerah dan suci dari batu yang ada sekarang ini.
Begitu juga dengan calon-calon ahli jawatankuasa kerja, seperti Khalid Samad, Abdul Halim Abdul Rahman, Annuar Tan Abdullah dan lain-lain mereka juga ada kualiti dan kelebihan tersendiri. Jangan hanya nampak mereka yang senantiasa 'berbagar' di hadapan muka saja.
Dalam perkembangan lain beberapa nama sudah disebut untuk diisikan menjadi Setiausaha Agung, Bendahari dan juga Ketua Penerangan. Kamaruddin Jaaffar dikatakan tidak lagi bersedia untuk dilantik menjadi setiausaha agung kerana isterinya sakit. Kesihatan isterinya harus diberikan keutamaan daripada jemaah. Selama ini pun beliau banyak mengorbankan masa untuk Pas sehingga terabai rumah tangganya.
Sebagai mengganti Kamaruddin, ada dua nama disebut; Mustafa Ali dan Takiyuddin Hassan, yang juga Setiasuaha Badan Perhubungan Pas Kelantan. Mustafa adalah tokoh veteran yang masih aktif dan banyak memberi sumbangan kepada parti. Takiyuddin yang juga Exco kerajaan Kelantan khabarnya bersedia untuk meninggalkan kerusi Exco sekiranya dilantik menjadi Setiausaha Agung bagi menumpukan perhatian kepada jawatan itu.
Satu nama lagi ialah Idris Ahmad. Bagaimana pun nama Idris mungkin tidak sesuai untuk jawatan Setiausaha Agung, sebaliknya lebih wajar kalau dilantik menjadi Ketua Penerangan. Ada juga yang mengira Ketua Penerangan diberikan kepada Mohammad Sabu memandangkan beliau rajin turun ke bawah dan sesuai dengan karektornya sebagai penceramah popular.
Jawatan Bendahari yang kini disandang oleh Dr Hatta Ramli juga akan ditukar ke penjawat baru. Nama yang disebut-sebut untuk memegang jawatan Bendahari ialah Hassan Ali. Bagaimana pun adalah wajar juga kalau Bendahari diserahkan kepada calon timbalan presiden yang kalah, Husam Musa memandangkan beliau ligat dan arif dalam mencari wang untuk tabung parti.
Selain nama-nama itu, nama Mohamad Nizar Jamaluddin, bekas MB Perak juga boleh dipertimbangkan untuk dilantik memenuhi mana-mana jawatan utama memandangkan karismatik dan populariti beliau dari kalangan pengundi di muktamar.
Kedudukan siapa bakal mengisi jawatan-jawatan itu serta perlantikan beberapa ahli jawatankuasa kerja tambahan akan diumumkan esok selepas jawatankuasa kerja mengadakan mesyuaratnya yang pertama. [wm.kl. 10:55 am 10/06/09]
5 comments:
nampaknya mso kuat kena hentam oleh orang-orang yang mengatakan mereka tahu walhal mereka tak tahu.
dalam blog pinkturtle digelarnya abg sebagai pelesit. nampak sangat mereka tidak tahu siapa abang sebenarnya.
kalau abg tulis A dikatakan diupah oleh UBN. Kalau tulis B dipuji melambung2. kalau tegur B maki hamum yang dapat. Kalau analisis B, pelesit diberi...
jauh melayar, meramal hala..jangan gulana dek ombak kecil ini..teruskan penulisan abg..dia tak suka, sy lagi suka...
Tidak salah meletakkan Saudara Husam dan Mohd Sabu didalam pentadbiran PAS kerana diketahui umum dan terbukti mereka sememangnya mampu dan berkebolehan untuk bekerja dan memberikan idea-idea didalam perjuangan PAS itu sendiri.
TGHH seharusnya melihat kemasukan kedua-dua mereka didalam barisan pentadbiran parti sebagai 'check and balance' sekiranya beliau tidak dapat bekerjasama dengan golongan professional ataupun dari kumpulan yang disebut 'erdogan' ini .
PAS perlu diketuai oleh ulamak yang professional, yang berkebolehan didalam bidang agama dan juga berkemampuan untuk mentadbir negara secara professional sekiranya diberikan peluang oleh ALLAH untuk menjadi pemerintah dibumi Malaysia ini. Tetapi sekiranya barisan pimpinan pas hanya terdiri dari golongan ulama adalah lebih baik didalam masa yang sama PAS turut meletakkan golongan professional didalam pentadbiran semasa disamping memberikan satu isyarat atau harapan dari kalangan bukan islam untuk terus berjuang bersama-sama dengan PAS.
PAS perlu dilihat sebagai sebuah parti yang 'up-to-date' dengan idea-idea, teknologi dan pendekatan baru yang dihasilkan dari pemikiran-pemikiran ahli professional disamping adab, susila, tingkah laku dan pendekatan bersih serta sifat pembimbing yang selari dengan sifat ulama itu sendiri.
wallahu aklam
melantik husam amt merbahaya bagi harokah islamiyyah kerana husam setelah kalah, terang2 menyatakan akan membina pas mengikut ideanya sendiri. tiada sifat indhibati kata warga harokah islamiyyah.
tapi pas parti politik, lantaklah apa nak jadi!
aku menunggu jamaah islamiyyah sebenar di malaysia!
saya pada mulanya kagum dengan Husam Musa, tetapi melihatkan cara beliau berkempen dan bercakap seolah-olah dirinya begitu hebat, menampakkan tiada rasa hormat kepada orang lain termasuk TGHH dan Ustaz Haron Din, adalah tidak sesuai untuk dia berganding dengan presiden..
Masa Depan Politik Husam
Alhamdulillah, Muktamar PAS ke 55 telah berakhir dengan jayanya dan merupakan penganjuran muktamar yang paling hebat setakat ini. Tetapi yang lebih utama, Allah telah menyelamatkan PAS daripada anasir-anasir yang bakal merosakkan PAS dan Kepimpinan Ulama PAS tetap terpelihara.
Pada pemilihan kali ini, Dato' Husam Musa telah tewas dalam percubaan pertamanya untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PAS daripada penyandang jawatan tersebut YB Ust Nasharudin Mat Isa. Beliau hanya mendapat 281 undi berbanding Ust Nasharudin yang berjaya mendapat 480 undi. Manakala Sdr Mohamad Sabu mendapat 261 undi. Sebaik sahaja diumumkan tewas, Husam kelihatan tidak dapat mengawal emosi apabila cuba untuk turun daripada pentas utama selepas bersalaman dengan Ust Nasharudin. Nasib baik Dato' Mustafa Ali yang berada di situ bertindak cepat untuk melarangnya berbuat demikian.
bersambung di : http://muktamarpas.blogspot.com/
Post a Comment