Thursday, March 26, 2009

Dari PWTC - Analisa

Siapa Timbalan dan Naib Presiden Umno?

TUMPUAN para pemerhati dan khalayak politik kini ialah kepada pemilihan jawatan timbalan presiden Umno dan tiga orang naib presiden yang kini sedang berjalan. Pengundi untuk jawatan itu sedang berlangsung dan dijangka berakhir lewat petang ini. Keputusannya akan diketahui lewat tengah malam ini.

Pertandingan untuk jawatan timbalan presiden sengit antara Muhyuddin Yassin dan Mohamad Mohd Taib. Walaupun Mat Taib dikatakan tidak merupakan cabaran sebenar namun pandangan itu terinsut apabila seorang lagi calon dinafikan hak bertanding. Undi Mohd Ali Rustam dikatakan dan memihak kepada Mat Taib.

Kononnya undi itu ialah sebagai simpati kepada nasib Ali Rustam yang tidak dapat bertanding. Itu adalah pandangan di luar dewan Merdeka tempat berlangsungnya perhimpunan agung Umno. Saya sendiri tidak nampak penyokong Ali akan menyatakan simpati kepada Ali dengan memilih calon yang tidak munasabah untuk menjadi timbalan Najib. Rasanya perwakilan Umno masih sihat akalnya.

Lagipun Ali tidak berkempen dan mengajak penyokongnya memberi sokongan kepada Mohamad Taib. Bahkan Ali kelihatan seolah-olah tidak merasai apa-apa terhadap apa yang berlaku ke atas dirinya. Sebaliknya beliau seakan gembira dan rasa sudah terbela dengan apa yang berlaku.

Apabila Ali diberi jaminan akan terus kekal sebagai Ketua Menteri Melaka, Ali tidak kehilangan apa-apa. Jaminan itu beliau sangat berterima kasih. Justeru jaminan itu perlu dibalas dengan menumpahkan kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bagi kepada Najib. Dalam konteks ini Mohd Ali perlu menyediakan persajian kepada Najib antaranya menyatakan sokongan kepada orang pilihan Najib.

Kerana itu saya kira Muhyiddin kini dalam kedudukan selesa. Apa lagi semasa ucapan dasar Abdullah tadi beliau tidak pun memihak kepada mana-mana calon dan tidak sedikit pun mengungkit tindakan Muhyiddin yang memperkenalkan pelan peralihan kuasa dan bersungguh pula untuk menyegerakan pelan berkenaan.

Zahiriahnya Muhyiddin akan mendapat kemenangan besar untuk jawatan timbalan presiden ini.
Bagi jawatan Naib Presiden pula ada empat nama yang popular disebut-sebut di mana-mana saja. Hishamuddin Hussein, Ahmad Zahid Hamid, Khalid Nordin dan Shafei Afdal. Kerana keadaan itu menyebabkan perebutan jawatan ini sebenarnya berlaku dari kalangan empat orang ini saja.

Manakala empat orang lagi adalah calon-calon 'lesung tumbuk' yang sudah berusia dan berada di luar lingkaran spritual dan selera Umno tahun 2000 ini. Mereka itu ialah Syed Hamid Albar, Rais Yatim, Rahim Tamby Chik dan Mohd Isa Samad.

Biarpun mereka ada wibawa, berpengalaman dan intergriti seperti Syed Hamid Albar, namun arus dan gelombang yang melanda Umno kini serta penampilan golongan di bawah 50-an akan mengalpakan segala kebaikan itu. Sejauh mana sangat orang muda senang dengan perwatakan dan pemikiran orang tua? Tenguklah sebijak-bijak dan segeliga Mahathir pun mereka tolak juga.
Dalam hitungan saya sukar untuk empat orang tokoh ini menempatkan diri di kerusi naib presiden. Walaupun Abdullah ada memberi peringatan, biar ada perimbangan, tetapi peringatan yang sedikit itu akan terpana dengan keghairahan dan keyakinan para perwakilan yang ingin melihat Umno berubah.

Di antara empat nama tadi siapakah bakal tercicir? Apakah Hishamuddin Hussein Onn? Jika dilihat kepada masalah yang membelit Hishamuddin, seperti isu bahasa Melayu, (PPSMI), performance beliau sebagai ketua pemuda dan menteri pelajaran, Hishamuddinlah yang harus menangis kelak.

Tetapi kerana hubungan Hishamuddin dengan Umno begitu kukuh sebagai cicit kepada perjuang Umno menyebabkan sesetengah perwakilan merasa berdosa kalau cicit pengasas Umno itu diketepikan. Makanya Hishamuddin terselamat apa lagi abang sepupunya (Najib) sudah berada di atas yang sedikit sebanyak akan turut menjeling siapa-siapa yang dipilih perwakilan.

Menteri Agama, Zahid Hamidi sangat popular. Kelebihannya kepada pandai meletakkan diri dalam dunia apa saja. Zahid mempunyai sembilan nyawa boleh hidup di darat, di air dan di udara! Dengan kelebihan ini sepatunya beliau akan mendapat undi terbanyak. Atau setidak-tidaknya beliau harus berada setangga lebih atas dari Hishamuddin.

Yang pasti tercicirnya dari empat nama ini ialah Khalid Nordin atau Shafei Afdal? Katanya ada kesungguhan perwakilan inginkan ada wakil dari Sabah dalam Umno begitu tinggi sekali. Wakil Sabah harus ada untuk menyelamatkan Umno dan menghilangkan rasa kecewa Umno Sabah. Atas kepentingan itu Shafei akan dimenangkan walaupun dari segi keupayaan, kelayakan dan kualitinya sebagai menteri jauh lebih rendah berbanding dengan Khalid Nordin. Bagi orang Sabah sendiri seharusnya bukan Shafei yang menjadi wakil mereka namun kerana dialah panglima Najib maka dia dilihat orang yang cocok sekali.

Dikesempatan ini suka saya syorkan orang-orang yang kalah untuk jawatan Naib Presiden khasnya yang memegang jawatan menteri kabinet hendaknya turut digugurkan dari Kabinet terutamanya orang yang cair bercakap fasal undang-undang dan perlembagaan tetapi dia sendiri tidak menghormati kepada air kencingnya sendiri itu. [pwtc.kl 1:15 pm 26/03/09]

1 comment:

checkmate said...

orang yang cair bercakap fasal undang-undang dan perlembagaan tetapi dia sendiri tidak menghormati kepada air kencingnya sendiri itu

jwpnya ialah Rais Yatim..


-checkmate