Thursday, May 7, 2009

Surat Terbuka

Surat Merah Kepada Nik Abduh dan Abdul Latiff

KE MINDA adinda Nik Abduh bin Nik Abdul Aziz dan adinda Abdul Latiff bin Abdul Rahman. Keduanya didoakan semoga dalam pemeliharaan Allah di dunia hingga ke akhirat.


Ada pun kenapa kekanda mengambil pendekatan menemui adinda berdua menerusi lembaran ini ialah kerana inilah cara orang-orang dulu menyatakan hasrat yang terbuku di hati selepas ianya tidak tergamak diluahkan melalui tutur dan bicara.

Kiranya adinda berdua sudilah menatapnya sampai ke akhir, mudah-mudahan diberikan Allah s.w.t. taufik dan piala cahaya yang terang benderang untuk menyuluh jalan pemikiran dan perjuangan kita bersama khasnya ruang pemikiran adinda berdua.

Adapun tujuan kekanda menulis surat ini ialah setelah mendengar khabar dari Tanah Serendah Sekebun Bunga, negeri Tadahan Wahyu dan Serambi Makkah yang adinda berdua akan turun ke gelanggang untuk merebut jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan pada Sabtu, lusa ini.

Sama sekali kekanda bukan hendak melarang pertarungan adinda berdua. Kalau Tok Guru lagi merestuinya apalah lagi dengan kekanda! Ibarat di lautan, Tok Guru adalah gelombang kekanda hanya bueh yang berpusar di pinggiran saja. Bagi kekanda perlawanan adinda berdua tak ubah perlawanan dua adik beradik kembar yang sangat kekanda sayangi dan penuh dimanjakan. Perlawanan itu juga umpama perbalahan antara tangan kanan dan tangan kiri kekanda sendiri.

Sesungguhnya kekanda begitu menyayangi dan bangga dengan pencapaian adinda berdua dalam jelumun politik. Kebetulan pula adinda adalah anak kepada Tuan Guru – Tuan Guru yang dihormati dan disanjungi tinggi di Kelantan. Iya, nama Tok Guru Nik Abdul Aziz berada di persada dunia dan disafkan antara 100 ulama terbilang, handal dalam siasah dan bijak dalam pentadbiran.

Manakala nama Tok Guru Abdul Rahman Sungai Durian pula terkenal sebagai seorang yang hebat dan bermulut masin. Dimalui oleh kawan dan digeruni oleh lawan. Namanya mewangi hingga ke Makkah. Pendeknya kedua nama-nama hebat ini adalah bulan dan mentari kepada bumbung negeri Kelantan Serambi Makkah. Adinda berdua menjadi kejora di masa depan – imam dan murabi yang bakal memimpin jemaah!

Adinda ditadkir lahir dari benih mulia di bumi bertuah. Adinda adalah eset untuk rakyat Kelantan. Kekanda berasa begitu sayu dan sedih sekali apabila mendapat tahu adinda berdua akan turun ke dalam gelanggang untuk berlawan antara satu sama lain. Walaupun perlawanan itu bersenjatakan minda namun kesan kalah tetap ada. Bagaimana pun kekanda mengharapkan yang menang tidak akan jadi arang yang kalah tidak akan jadi abu!

Adinda Nik Abduh dan adinda Abdul Latiff, di sini kekanda tidak mahu berpihak ke mana-mana. Memotong tangan kanan bererti cacatlah tubuh kekanda. Manakala memotong tangan kiri bermakna tidak sempurnalah badan kekanda ini. Kehilangan salah satu dari adinda bermakna tidak sempurnalah jasad hina kanda sebagai insan.

Tetapi sebagai seorang kekanda yang memerhati gelagat dan perkembangan pembesaran adinda-adindanya dalam jelumun politik maka inginlah kekanda membuat sedikit teguran ataupun sekadar peringatan di senja hari. Apakah langkah yang adinda berdua ambil itu sudah difikir habis-habisan dan diperolehi menerusi solat istiqarah atau pun munajat yang panjang atau pun merujuk kepada orang tua-tua? Atau keputusan itu dibuat atas busaran nafsu adinda berdua saja?

Dalam hal ini disebabkan kekanda melihat adinda Abdul Latiff seakan mencuba melangkah bendul dengan melawan adinda Nik Abduh itu, jadi kekanda ingin bertanya dari hati ke hati apakah langkah dan keputusan itu atas perkiraan adianda Abdul Latiff sendiri? Apakah juga langkah itu dibuat setelah adinda Abdul Latiff merasa gah apabila menang sebagai YDP Kuala Krai yang baru lalu menewaskan Pak Da Him Madinah?

Pada fikiran kekanda dengan kedudukan adinda Abdul Latiff sebagai pangkat adik kepada adinda Nik Abduh, iaini selaku Naib Ketua Pemuda manakala Nik Abduh pula sebagai timbalan ketua pemuda, tidak sepatutnya Abdul Latiff melanggar Nik Abduh. Perbuatan itu tidak elok dan tidak manis dipandang orang walaupun dihalalkan oleh kanun siasah.

Nik Abduh kini sudah berusia 39 tahun. Ini bermakna dua tahun lagi Nik Abduh akan meninggal dewan pemuda dan Abdul Latiff akan mengisinya secara automatik. Apakah adinda Abdul Latiff tidak dapat bersabar dalam hal ini? Ingatlah tidak akan lari gunung dikejar hilang kabus nampaklah ia.

Beleklah buku-buku sejarah siasah Pas di Kelantan. Peralihan jawatan-jawatan ketua pemuda dimasa lalu harus juga dijadikan iktibar. Selalunya peralihan jawatan itu dilakukan secara tradisi penuh tomakminah di mana timbalan akan menjadi ketua lazimnya.

Perhatikan semasa Ustaz (Datuk) Abdul Halim Abdul Rahman menjadi ketua pemuda dulu. Apabila Abdul Halim berundur tempatnya diisi Wan Mohamad Jamil (Allayarham) yang menjadi timbalan.

Begitu juga semasa Wan Mohamad Jamil berundur tempatnya diambil oleh Mohammad Husein yang menjadi timbalan pada masa itu, jika tidak silap.

Begitu juga apabila Mohamad Hussein berundur jawatan itu diisi oleh timbalannya Ustaz Hassan Mahmood. Tetapi agak malang bagi Hassan beliau tidak dapat meneruskan tradisi itu apabila beliau dirempuh oleh Datuk Husam Musa dalam satu strategi yang cukup halus untuk merampas jawatan itu.


Perlawanan antara Husam dengan Hassan telah meninggalkan parut yang besar dalam sejarah pemuda Pas Kelantan. Luka keduanya tidak sembuh sampai ke hari ini.

Selepas Husam berundur, sekali lagi jawatan itu diisi oleh timbalannya Datuk Takiyuddin Hassan. Dan apabila Takyuddin Hassan berundur jawatan itu diisi oleh timbalannya Zulkefli Yaacob.

Seperti mana Hassan, Zulkefli juga gagal untuk meneruskan tradisi itu apabila pengisian tempat yang dikosong olehnya diisi oleh Zaki Ibrahim menerusi pertandingan. Zaki bertarung dengan Nasaruddin Daud. Kekanda masih ingat walaupun kekanda ada melarang Nasaruddin agar memberi laluan kepada Zaki, namun nasihat itu tidak didengari.

Dan kini setelah Zaki akan berundur, sepatutnya Zaki akan meninggalkan jawatan itu dengan diisi penuh tertib oleh Nik Abduh. Apa lagi katanya ada persefahaman itu sebelum ini, Nik Abduh akan memgambil tempat Zaki? Benarkah?

Dari segi umur adinda Abdul Latiff masih muda berbanding adinda Nik Abduh. Apabila adinda Abdul Latiff ingin berebut dengan Nik Abduh ia menampakkan Abdul Latiff sedikit gopoh. Dalam hal ini orang tidak akan menyalahkan adinda Nik Abduh kerana tempat itu memang diperuntukan kepadanya menurut tradisi.

Mungkin itu bukan menjadi faktor yang perlu diperhitungkan. Tetapi apakah adinda Abdul Latiff sedar kepada implikasi lain di atas perlawanan itu kelak? Di sini kekanda melihat ada dua implikasi besar yang akan disuluh dari perlawanan adinda dengan Nik Abduh dan akan mencalarkan kemurnian politik adinada.

Pertama, ia memberi kesan kepada Husam yang akan bertanding timbalan presiden. Selama ini orang melihat Husam adalah orang di belakang adinda Abdul Lattif. Banyak bukti-bukti tentang ini. Apa yang kanda bimbang jika orang beranggapan demikian ini menyebabkan akan ada tuduhan ke atas Husam mencampuri urusan pemuda nanti.

Tuduhan itu juga menyebabkan timbul rasa kurang senang di pihak adinda Abduh yang akhirnya memberi natijah buruk. Sedangkan orang juga tahu bahawa hubungan diplomasi antara Husam dengan Nik Abduh tidak begitu lendik tanpa sebab-sebab yang jelas dan nyata.


Kedua ialah, ia memberi impilikasi kepada personaliti politik adinda Abdul Latiff sendiri. Nik Abduh adalah anak kepada Tok Guru. Dalam ramai-ramai anak Tok Guru, Nik Abduhlah yang boleh dikira sebagai pewarisnya dalam politik. Walaupun Tok Guru tidak melarang dan memberi restu kepada perlawanan itu, tetapi Abdul Latiff seharusnya mempunyai mata hati yang cerah untuk membaca hati Tok Guru. Beliau seharusnya makrifah dengan politik Tok Guru.

Adinda kena faham takkan Tok Guru nak larang agar jangan melawan anaknya. Sebagai seorang pengamal politik adil dan saksama, Tok Guru sesekali tidak akan berpihak kepada darahnya sendiri. Sebalik perasaan hati kecil Tok Guru harus dijamah oleh ilusi adinda Abdul Latiff dan setiap orang yang terlibat dengan agenda perlawanan itu.

Apakah sebagai seorang ayah Tok Guru tidak akan remuk apabila ada orang hendak melawan anaknya meskipun dalam keadaan dibolehkan? Sesiapa pun akan merasa demikian. Apa lagi kalau benih yang ditanam lama itu cuba dimatikan secara beragam!

Hari ini pun Tok Guru khabarnya telah membuat kenyataan. Laporan Bernama itu seharusnya dihayati sejernih mungkin. Selami hati dan perasaan Tok Guru hingga ke dasarnya. Apabila Tok Guru menceritakan anakandanya sudah besar panjang, berilmu apakah makna semua itu? Takkan Tok Guru nak menyeru agar semua orang sokong anaknya!

Tidak mengapa kalau Tok Guru tidak betul dan Nik Abduh ada kesalahan kecil sebagai manusia biasa. Tetapi kekandan merasakan tidak salah kalau adinda Abdul Latiff mengorbankan diri dengan memberi laluan kepada Nik Abduh memimpin pemuda. Biarlah kalau pun adianda dikatakan bodoh tetapi kekanda yakin tindakan itu satu pengorbanan besar adinda dan akan dianggap sebagai hadiah kepada Tok Guru.


Akhirnya kepada adinda berdua tertakdir perlawanan tetap ada, berlawanlah dengan jantan atas nawaitu yang kudus. Untuk itu hayatilah gurindam kekanda ini sebaik mungkin;

Kita dengan tok guru, harus mengunjunginya sebelum dipanggil;
Kita dengan tok guru harus memberi sebelum dia minta;
Kita dengan tok guru mengakulah kesalahan sebelum ditanya;
Kita dengan tok guru mengalahlah meskipun kita merasakan benar;
Kita dengan tok guru biarlah kita menanti kehadirannya jangan dia menuggu kemampiran kita;

Kita dengan tok guru selamanya tidak akan menang kerana kita adalah muridnya.
Demikian akal budi dan teladan murid yang geliga kepada tok gurunya yang mursyid.

Akhirnya jika tutur bicara kekanda ini ada salah silap dan menyinggung perasaan, kekanda pohon ampun dan maaf. Salam, MOHD SAYUTI OMAR, Kuala Lumpur. [wm.kl. 8:30 pm 07/05/09]

11 comments:

Sebal said...

salam, Ana setuju and sokong dgn pendapat anta..walaupun ana tak setuju dgn tulisan NA..tapi dlm urusan hiraki pemuda pas kelantan ana ingat eloklah ust latif beri laluan..

ISC said...

Nasihat ini baik. Tapi kalau dah takdir akan bertembung juga macam Sayyidina Ali ra dengan Sayyidina Mu'awiyah ra nak buat macam mana. Orang kemudian terpaksalah redha berhadapan dengan fitnah yang tak kunjung padam bermula daripada perang Siffin itu. Bertembung itu takdir. Tak bertembung itu pun takdir juga. Kita meninggalkan takdir Allah untuk menuju kepada takdir Allah juga sebagaimana kata Sayyida Umar al-Khattab ra.

PG said...

Salam Uncle MSO
Waduh uncle..jiwang..macam surat cinta..tapi best jugak bila baca..hehe.PEACE

Panglima Perang Cyber said...

Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata kena bertandinglah..

hehehe

saya rasa bagus jika nik abduh diberikan laluan.

tetapi memandangkan pencalonan sudah dibuat maka elok juga dibiarkan pertandingan.

adat sekarang kena dibuat undian.

asal jangan guna wang sudahlah.

Puan Ainon Mohd. said...

Tuan MSO,

Teks surat Tuan adalah data Bahasa Melayu Tinggi yang sangat baik bagi dijadikan data analisis kajian teks.

Saya akan cadangkan kepada Prof. Abdullah Hassan supaya teks surat Tuan itu dijadikan bahan mengajar Bahasa Melayu Tinggi kepada pelajar-pelajarnya.

Berrkenaan apakah dua tokoh itu patut bertanding, saya fikir patut, kerana anggota-anggota PAS perlu membiasakan diri dalam budaya dalam organisasi politik yang sihat. Kalau satu pihak tarik diri, tidak ada pertandingan, hal itu tidak membiasakan ahli-ahli bawahan berfikir masak-masak, dan mereka tidak diberi peluang ikut mencorakkan peta masa hadapan organisasi.

Allah jua yang lebih mengetahui.

tabuan said...

Bertarunglah baru dikatakan anak jantan.
Bila bertarung baru menjelma suara akar umbi, yang mana akar umbi pilih
yang mana akar umbi suka.

Tahniah Nik abduh atas tulisan anda,ikhlas...

Amin Ahmad said...

biar saja pertandingan berlaku. orang PAS harus belajar menghidupkan demokrasi, belajar menangani sunnah berbeza pandangan.

kita juga boleh berhujah bahawa Nik Abduh yg wajar tak bertanding kerana pada usianya skrg, tak perlulah dia berebut, beri laluan kpd yg lebih muda.

kewajaran lain ialah tak perlulah nanti ada tuduhan bahawa Nik Abduh naik kerana org syg Tok Guru Nik Aziz. itu bukan resam politik yg baik. iman tak dpt diwarisi dari seorg ayah yg bertaqwa. kemahiran kepimpinan juga begitu.

PAS harus lebih progresif.

Unknown said...

Tahun 2003 : Ust Nik Abduh dan proksi telah mencadangkan Zamakhsari (ketika istu PSU) utk merebut jawatan KP

Tahun 2005 : Ust Nik Abduh & gangs telah mencadangkan YB Ust Nasruddin Hj Daud (ketika itu Ketua Penerangan / Naib Ketua untuk merebut jawatan KP

Tahun 2007 : Ust Nik Abduh berjaya menjawat jawatan TKP

Tahun 2009 : Tiada alasan utk sepatutnya TKP yang menjawat jawatan KP, kerana Ust Nik Abduh yang memulakan projek 'langkah bendul', bermula tahun 2003

Harap2 MSO tak bersikap berat sebelah, walaupun dia tahu hal sebenarnya.

DinDeraman said...

istiqamahlah dalam mengejar Matlamat Perjuangan, bila matlamat yang di kejar, takhta bukan lagi jadi buruan, bila takhta pula yang jadi buruan, matlamat akan tersasar dari perjuangan???

lapuria said...

Hari ini banyak yang buta matahatinya, tak dapat membaca sesuatu yang tersirat... kalau jumpa tok guru bukan main, cium tangan. lepas tu.....?? boleh keji dan jatuhkan orang kepercayaan tok guru.

H.R PuTeRa YuSoFF said...

saya seorang pembaca buku MSO.
alhamdulillah MSO masih org yang sama yg berani dan berpaksi pada kebenaran