Sunday, November 1, 2009

Gembira Ahad

Annuar Musa Dan Bolasepak

SEHARI sebelum berlangsungnya perlawanan separuh akhir piala Malaysia antara Kelantan dengan Perlis saya minum kopi dengan dua orang kawan. Seorang merupakan ahli Umno tegar yang sama bahagian dengan Presiden Bola Sepak Kelantan, Annuar Musa. Manakala seorang lagi bekas pengurus bank yang merupakan seorang yang sangat alergik bila mendengar nama Annuar.

Perbualan atau pertemuan dengan mereka berdua ini adalah pertemuan biasa atau rutin menghabiskan masa malam sebelum berihat. Pertemuan ini diisi dengan bual bicara topik-topik politik semasa. Sesekali terpacul juga balada Manohara Odelia Pinot.

Perbualan kami selalunya menekan kepada politik Umno dan Pas Kelantan. Sedikit-sedikit ditambah dengan ulasan terhadap pemuka-pemuka politik Kelantan tidak kira dari Umno ataupun Pas yang mengandungi berbagai rasa, warna dan bau!

Malam itu banyak juga yang kami bualkan. Kira-kira tiga jam kami melangguk di kedai itu. Habis tiga cawan tea dan semangkuk seorang laksa Penang.

Apa yang menarik perhatian dalam perbualan itu dan rasanya elok kalau dicatat di sinilah mengenai kemampuan Annuar Musa membawa bola sepak Kelantan ke persada hari ini. Sentuhan Annuar Musa terhadap bola sepak nampaknya membawa sinar dan semangat baru. Beliau benar-benar mengembalikan maruah Tok Janggut dalam arena bola sepak.

Betapa tidak hampir 40 tahun pasukan Kelantan gagal untuk bergaya di perlawanan akhir. Dan kejayaan Kelantan menewaskan Perlis, 5 -1 dan sekaligus membawa Kelantan ke pelawanan akhir 7 November depan adalah satu sejarah untuk bola sepak Kelantan dan kejayaan manis buat presidennya itu.

Menilai kejayaan demi kejayaan diraih pasukan bola sepak Kelantan, menyebabkan kawan saya mengira Annuar Musa lebih sesuai dan serasi untuk jadi presiden bola sepak Kelantan (Kafa). "Nampaknya beliau lebih berjaya menguruskan bola sepak daripada politik Kelantan," begitulah ujar kawan itu.

Saya mengangguk-angguk selamba mendengar kenyataan itu sambil menghirup kopi. Apa lagi pada sorenya seorang kawan blogger juga menyatakan hal yang sama. Kata blogger yang kini bermukim di Kuala Terengganu itu; "Kenapa Annuar berjaya dalam bola sepak ialah kerana kesungguhan beliau untuk membawa kejayaan kepada Kelantan."

"Demo tengok semasa kecoh penjualan tikit di Stadium Sultan Mohamad ke - IV dua hari lepas, dia turun sendiri dan jual tikit di kaunter. Kalaulah dia buat begitu dalam politik, maksudnya dia bagikan projek dan duit kepada rakyat, tentu rakyat Kelantan akan menyokongnya dan kawe yakin Umno akan menang," kata blogger itu sedikit menyinis.

Saya bertanya buat-buat tidak tahu, maksudnya? "Herannya dalam politik dia tidak buat begitu. Dapat duit dia makan seorang. Bagi juga tapi... ala kadar sahaja kepada pengundi," jelas kawan itu semacam dia nampak apa yang Annuar lalukan. Saya tidak berhasrat untuk membongkarnya petang itu mungkin dilain kali boleh ditulis mengenai tuduhan kawan itu.

Bila saya hubungkaitkan pandangan blogger itu dengan kata-kata ahli Umno yang sebahagian dengan Annuar itu, ada benarnya. Tetapi saya tidak mahu mengiyakan tuduhan teman blogger itu. Tetapi yang jelasnya apabila Annuar memimpin Kafa, sukan bola sepak Kelantan naik mencanak. Kejayaan pasukan Kelantan ini tidak boleh dinafikan ia adalah atas kesungguhan, inisiatif dan pengurusnya yang kemas dan cekap.

Tetapi kenapa dalam politik Kelantan beliau gagal? Bukan saja gagal membawa Umno untuk tawan Kelantan, tetapi untuk dirinya sendiri juga Annuar seakan hilang formula. Sudah tiga kali Annuar kalah. Ketiga-tiga di kerusi parlimen Ketereh atau Peringat, dalam kubang tempat beliau dilahirkan sendiri.

Dalam pilihan raya 1990 beliau kalah kepada Mohamad Sabu, orang Pulau Pinang. Dalam tahun 1999 kalah pula kepada Mohamad Mustafa seorang ustaz. Dan kali ketiga kalah pula kepada Abdul Aziz Kadir anak didiknya sendiri semasa Aziz dalam Umno.

Melihat perjalanan hidup Annuar dalam politiknya sesuatu yang menghairankan. Apakah orang Kelantan tidak tahu menilai kebolehan Annuar? Ataupun ada sesuatu yang melekat ditubuh Annuar sehingga ianya mengeluarkan aura tidak menyenangkan. Secara ikhlas, bagi saya jika hendak dibandingkan kualiti tokoh-tokoh Umno Kelantan yang ada hari ini, semuanya tidak dapat menandingi di segi wibawa dan kehebatan personaliti sebagai seorang ahli politik yang ada kepada bekas Pengerusi Umno Kelantan itu. Selain daripada memiliki daya pidato yang menarik, Annuar juga berani, berprinsip dan ada ketegasan dalam membuat keputusan. Cara bekerja beliau juga bersistematik dan berpandangan jauh.

Barangkali benarlah kata orang, kamu hebat dalam satu-satu bidang tidak bermakna kamu tahu dalam bidang lain. Dalam tempoh tidak sampai lima tahun Annuar memegang Kafa ia telah menyerlahkan kejayaan membanggakan. Sebaliknya dalam politik beliau masih lagi mencari formula bagaimana hendak bangunkan politik Umno Kelantan.

Pun begitu secara peribadi Annuar sudah dapat berbangga. Kerana beliaulah satu-satu tokoh Umno Kelantan yang dilantik menjadi menteri dalam usia dibawah 35 tahun. Annuar pernah menjadi menteri. Hampir semua jawatan politik telah dipegangnya, kecuali Exco dan Menteri Besar. Annuar secara peribadi juga harus berbangga atas pencapaiannya itu yang dilihat beliau hanya anak seorang tok lebai Bukit Marak.

"Kawan yakin Kelantan boleh masuk akhir. Dan kalau Kelantan berjaya jadi johan nanti, eloklah kalau dia berhenti terus politik dan tumpukan kepada bola sepak. Biarlah dia berhenti dalam keadaan orang menyebut namanya atas kejayaan bola Kelantan," ujar kawan itu setelah mendengar saya mengulas mengenai kelebihan dan kekurangan yang ada kepada Annuar.

Minta kawan itu lagi Annuar lepaslah ketua bahagian Ketereh kepada kawannya Alwi Che Amat. "Demo tolong royaklah ke dia," suruh kawan itu mengharapkan saya menyampai pandangannya.

Saya menerima alasan kawan itu. Ada baiknya kalau Annuar bercadang untuk bersara dalam politik. Tetapi untuk Annuar berhenti bukan senang. Darah yang mengalir dalam tubuhnya lebih dimerahi politik daripada bolasepak. Bola sepak itu pun pada tilikkan saya satu perlarian sementara untuk beliau menghilangkan rasa kecewa. Dalam masa sama beliau bercadang untuk menggilap dirinya dengan bolasepak. Nah... hari ini gilapan itu makin bersinar pula maka makin sukar kalau Annuar hendak palang namanya dari buku politik.

Betapa tidak bila beliau sudah dapat membawa Kelantan menjadi johan ia adalah satu kejayaan besar bagi Kelantan dan dirinya sendiri. Sejarah akan mencatat bahawa Kelantan berjaya memasuki akhir selepas 40 tahun dan (kalau jadi johan), setelah beliau memimpin Kafa.

"Apakah dengan kejayaan itu rakyat Kelantan boleh menafikan ilmu, kehebatan dan aura kepimpinan yang ada kepada Annuar Musa?' Jawab saya tidak. Jadi harapan kawan saya untuk melihat Annuar Musa meninggalkan Ketua Bahagian Umno Ketereh satu harapan yang sukar dilaksanakan. Justeru apa yang paling baik, kawan saya kena membantu Annuar Musa untuk memulihkan imej politik Annuar di Kelantan bersama politiknya sendiri.

Dalam perhatian saya tanpa bias, berbanding dengan tokoh-tokoh yang ada kini ternyata Annuar jauh lebih baik. Cuma apa yang menjadi masalah kepada Annuar dan juga orang lain menyebabkan rakyat tidak nampak kehebatannya kerana bintang kejora milik Annuar tidak dapat menguakkan sinar kerana ianya dilindungan bulan purnama. Ketokohan si bulan purnama itu begitu hebat dan agung. Tengoklah kalau si bulan purnama itu sudah terkeluar dari orbit politik, bintang kejora atau bintang-bintang lain akan mula menerbitkan sinar.

Sebenarnya Annuar sendiri sedang menanti bulan purnama menutup cahayanya untuk bangkit kembali! [wm.kl. 10:30 am 01/11/09]

2 comments:

Mohd Najib Hashim said...

Buleh berhenti.Tapi kalu nbuar berhenti nok cari pitih mano naok bangunkan bola kalate.....

Unknown said...

tahniah kepada team bola kelate... menang atau kalah tak jadi hal... pasal kawe boleh tumpang cuti... hehehe

semoga selepas ini kerajaan negeri tidak lagi 'menganyinkan' KAFA dgn memberi sumbangan RM10.00 seperti dlm bajet tahun lepas.