Wednesday, November 11, 2009

Celoteh Murai 57

Politic Is The Art Of Possibilities

SEMALAM berbalah hari ini berbaik, kelmarin musuh hari ini kawan baik. Begitulah dunia politik yang dikatakan politic is the art of possibilities. Dalam dunia politik ini serba mungkin dan tidak ada yang mustahil. Murai mendengar bidalan ini sejak dari dalam persekolahan lagi. Pertama kali Murai dengan pengucapan ini keluar dari mulut arwah Datuk Mohd Asri Muda.

Kata Asri tidak ada yang mustahil dalam politik. Ertinya ia serba mungkin. Jadi kita tidak boleh berpegang kepada ajaran alias teori-teori politik. Murai sendiri ada sebuah kata-kata hikmah khas mengenai politik ini. Bagi Murai; sumpah dan janji orang politik tidak boleh dipercayai, tetapi jangan merasa aneh dengan tindakan orang politik.

Kalau ada orang politik berjanji usah ditelan bulat-bulat. Bagi Murai orang politik berjanji bukan untuk ditunaikan melainkan berkemungkinan untuk dimungkiri. Murai cukup faham falsafah ini. Dalam setengah abad usia Murai telah melalui berbagai pancaroba politik termasuk menghimpun segenap janji-janji politik. Sebab itu Murai tidak kecewa menghadapi perangai dan ulah orang politik. Sebab sudah dapat membaca niat sebelum lafaz.

Jangan sesekali rasa mustahil. Kalau hari ini kita boleh tidur sebantal esok bergaduh sampai lafaz talak tiga, dan lusa boleh bercina buta untuk berbaik kembali. Itulah dunia politik yang harus difahami. Ianya rencam dan bervariasi, berbunga-bunga dan penuh aroma. Justeru mereka yang tidak tahan akan terpesona dan akhirnya kojol dalam dunia politik.

Orang politik boleh memisahkan isteri dengan suami, kawan dengan kawan, anak dengan ayah, murid dengan guru dan sebaliknya. Sebab itu dalam menerima keyakinan orang politik kena berhati-hati, kena waspada. Kalau nak tengok sikap oportunis orang politik tengoklah perangai si buta yang angkuh dan sombong yang akan melemparkan tongkat selepas mereka selamat menyeberang jambatan. Tongkat itu akan dikenang semula bila ia ingin kembali ke belakang atau sesudah terdesak sesat di tengah jalan.

Dunia politik juga macam dunia budak-budak. Dan politik Malaysia bagi Murai macam budak main pondok-pondok. Contoh terbaru mengenai 'pergaduhan' antara Zulkefli Nordin dengan Sivarasa menerusi kenyataan akhbar. Keduanya saling kecam mengecam antara satu sama lain. Nah.. hari ini mereka telah berbaik semula. Isu cabar mencabar itu sudah pun selesai, bilamana Anwar Ibrahim campur tangan.

Murai tengok telatah dua orang ahli Parlimen ini tak ubah macam bocah-bocah di Tadika. Mereka bergaduh berebut sebiji gula-gula, tarik menarik lengan baju apabila orang tua mereka datang meleraikan, mereka berbaik dan ketawa semula. Gula-gula yang sebiji itu akan dikulum bersama, bergilir-gilir.

Makanya politik di Malaysia ini memerlukan lebih ramai lagi bapak-bapak yang tahan sabar, bijaksana dan bertolenran macam Anwar itu? Bayangkan kalau tidak ada orang seperti Anwar dalam PKR mungkin parti itu sudah bertaburan seperti cermin jatuh ke batu kerikil.

II

Murai ada terdengar dalam berita di radio tengah hari tadi si Salentia ada mencadang supaya Kemeterian Belia dan Sukan buat akta khas untuk kawal penonton bola sepak yang liar dan samseng. Aduh... bijkasana dan berpandangan jauhnya si Salentia ini. Syabas diucapkan kepadanya atas cadangan itu. Jarang wakil rakyat bergeliga macamnya.
Cuma yang Murai sikit musykil ialah kenapa Salentia tidak mengemukakan cadangan untuk mewujudkan akta bagi menghalang mana-mana wakil rakyat yang lompat parti. Bagi Murai undang-undang atau akta ini lebih afdal daripada nak kawal penyokong bola sepak itu. Eloklah kalau Salentia memikirkan perkara lebih utama daripada pekara remeh temeh seperti cadangan mewujudkan akta kawal penyokongnya. Bagi Murai yang perlu dikawal wakil rakyat seperti Salentia berbanding dengan penyokong liar. Untuk masa akan datang berfikirlah perkara-perkara yang aulia dan penting jangan menghabiskan air liur di parlimen saja.

Murai: Senatiasa nampak gajah dan kuman depan mata.

3 comments:

ANAFAKIR said...

Orang politik belum tentu 'cerdik' mungkin mereka bijak tapi belum tentu bijaksana.Mereka mungkin lulusan tetapi belum tentu ilmuan.Mereka mungkin hebat berpidato tetapi belum tentu bijak mengatur.Mereka mungkin bijak sebagai penyokong tetapi belum tentu mahir memimpin.Bijak pidato dan berhujah belum tentu hebat menjadi pemimpin yang dihormati.

Ramai pemimpin hari ini cuma hebat berpidato, berkarisma menarik rakyat terbanyak untuk mendengar pidatonya tetapi belum tentu mereka bijak dan intelektual untuk mengurus sebuah organisasi...terlalu banyak contoh ahli politik hari ini yang mempunyai kelulusan yang hebat dari universiti yang juga hebat tetapi mereka tidak 'bijak' mengurus diri mereka sendiri daripada terlibat dengan pelbagai kontroversi dan masalah yang mungkin mengakibatkan parti yang dinaungi berada dalam kekusutan.Entah apa nak jadi dengan ahli politik hari ini, tidak putus-putus 'mencuri publisiti' murahan.Sepatutnya dengan amanah yang ada sebagai YB, tunaikanlah tanggungjawab yang diberi oleh rakyat bukannya menjaga tepi kain pihak lain.Sepatutnya setiap YB harus bijak mengelak dari terjebak dengan sebarang isu atau masalah yang boleh memudaratkan parti, nama baik diri sendiri serta keluarga.

Dari jauh, saya dapati majoriti YB yang ada rupa-rupanya ijazah sahaja yang hebat tetapi kualiti kepimpinan masih kelas ketiga.Rakyat yang mengundi lebih bijak dan bernas membantu menyelesaikan masalah parti.Teks ucapan disediakan oleh orang lain,banyak keputusan dipengaruhi oleh orang lain, tindak-tanduk juga banyak bergantung kepada 'perunding imej' percuma...

Kalau nak jadi pemimpin biarlah benar-benar bersedia dari aspek jiwa, mental, jasmani dan rohani.Punya prinsip dan pendirian yang sentiasa tegas, istiqamah dan tidak berkompromi dengan sebarang perkara yang bercanggah dengan agama.Berani gagal, berani berubah dan berani untuk ditegur.Pemimpin ni sebenarnya hamba rakyat bukannya menunjuk pandai dengan rakyat...andai cuba memandai-mandai berlebihan, kelak akan tersungkur dalam pilihanraya.

Sekian mohon mencadangkan.

sementoi said...

Orang-orang politik dengan orang-orang main wrestling dalam WWE tu tak banyak bezanya. Sekejap A tag-team degan B, belasah si C. Sekejap lagi A bergaduh dengan B. Tiba-tiba Si C pulak datang bantu Si B untuk lanyak Si A. Pening-pening....

Yang jadi mangkuk hayun-nya penonton-penonton la.

zeme said...

Salam Tuan Hj MSO,

Pluto pernah berkata, "politic is about what u want it, when u want it, how u want to get it.." dan benarlah seperti yang bermain dalam dunia politik "there are no permanent friends or permanent enemies, there are only permanent interests..".

Wasalam.