Sunday, February 12, 2012

Selepas Subuh

Anak Tumpat Bergulai Kawah,
Bertemu Mata Pemimpin


Malam tadi warga Tumpat yang berada di lembah Kelang telah berhimpun dalam satu majlis Temu Mata dengan para pemimpin Tumpat terdiri dari wakil rakyat Parlimen dan Dun bertempat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gombak, di Taman Melawati Hulu Kelang.

Kira-kira 400 orang hadir. Dalam majlis itu anak-anak Tumpat selain dijamu dengan masakan gulai kawah yang menjadi resipi kesukaan rakyat Kelantan didendangkan dengan persembahan dikit barat serta disulami dengan acara cabutan nombor bertuah.

Mereka juga bersalaman dan bertemu mata dengan wakil rakyat kesayangan masing-masing. Semua wakil rakyat Pas hadir, Kamaruddin Jaafar, Ahmad Yaacob, Che Abdullah Nawi dan Zaki Ibrahim.

Penyelia Dun Pengkalan Kubur Ustaz Rosdi dan Ketua Cabang PKR Tumpat Shahrom yang disebut-sebut akan bertanding di Pengkalan Kubur juga hadir sama.

Sambutan meriah dalam majlis itu menandakan warga Tumpat di perantau terus memberi sokongan dan dokongan kepada kerajaan yang ada hari ini.

Kehadiran itu disambut dengan penuh kegembiraan dan ramah mesra oleh para pimpinan Pas Tumpat.

Ahmad Yaacob Adun Pasir Pekan yang juga TMB Kelantan semasa memberi ucapan alu-aluan berterima kasih atas sokongan dan komitmen anak-anak Tumpat di perantauan berharap sokongan sedemikian berterusan.

Katanya sokongan rakyat Kelantan seluruh diperlukan untuk mempertahankan kerajaan Pas Kelantan.

"Kita perlu sokong kerana kerajaan Kelantan adalah kerajaan yang hendak membangun Islam," ujarnya. Beliau menarik perhatian sekiranya Kelantan jatuh ke tangan Umno sudah pasti cici-ciri keIslaman dan pembangunan Islam yang ada hari ini akan hilang.

"Seperti mana kata Tok Guru Nik Aziz, kalau Umno menang, judi akan dibuka semula, riba akan berlaku semula sedangkan apa yang ada di Kelantan hari ini mendapat pujian ramai dan menempati pentadbrian sebuah negara Islam," ujarnya.

Kamaruddin Jaafar yang turut memberi ucapan alu-alu dengan memberi gambaran Kelantan sebuah negeri yang hebat dan rakyatnya berani melakukan perubahan sejak awal lagi.

Katanya, hari ini kita bercakap fasal Arab Spring kebangkitan rakyat menjatuhkan kerajaan diktator seperti di Mesir, Libya dan sebagainya, sebenarnya rakyat Kelantan juga telah melakukan Arab Spring beberapa kali tahun 1959, 1990 dan 2008.

"Jadi Arab Spring ini menandakan keberanian dan keterbukaan rakyat Kelantan yang sekaligus Kelantan menjadi pemandu perubahan untuk negeri-negeri lain di Malaysia ini," ujarnya.

Turut sama memberi ucapan ringkas ialah Adun Wakaf Baru yang juga Exco Kelantan Che Abdullah Nawi dan Adun Kelaburan Zaki Ibrahim yang juga timbalan Speaker.

Majlis Temu Mata itu adalah siri majlis pertemuan anak-anak Kelantan dari seluruh jajahan di Kelantan di mana ianya dikendalikan oleh Persatuan Anak Kelantan Di Perantau (Perakan).

Beberapa jajahan telah pun mengadakan majlis pertemuan masing-masing, hari ini bertempat di Taman Bolton Seri Gombak akan berlangsung majlis pertemuan anak-anak Kelantan dari jajahan Pasir Puteh dan Bachok.

Selepas ini akan menyusul pula majlis pertemuan anak-anak Kelantan dari Jajahan Pasir Mas dan Gua Musang yang dikira sebagai penutup siri pertemuan ini dan kelewatan majlis temu mata untuk jajahan ini adalah kelemahan pimpinan di jajahan berkenaan. [wm.kl.10:36 am 12/02/12]

No comments: