Monday, November 21, 2022

Menanti titah Yang diPertuan Agong

SUSUPAN PAGI

Raja Abdullah Ri'ayatuddin
Al Mustafa Billah Shah
PAGI ini dijangka Anwar Ibrahim akan menghadap Yang diPertuan Agong untuk mempersembahkan jumlah kerusi yang menyokongnya bagi dinobat sebagai perdana menteri. Beliau akan membawa nama-nama atau 82 kerusi yang diperolehi PH. Bersama itu Zahid Hamidi juga akan hadir sama untuk menyatakan sokongan daripada Umno (BN) berjumlah 30 kerusi bagi mengenapkan jumlah diperlukan 112 kerusi. Maklumat terkini katanya Zahid dan Anwar akan berada di suatu tempat untuk bergerak ke Istana Negara secara serentak. 

Dengan sokongan BN itu Anwar mempunyai sokongan mencukupi 112 kerusi. 

Persoalan kini, timbul pula berita boleh mengganggu jiwa apabila 20 daripada 30 ahli parlimen Umno itu tidak menyatakan persetujuan dengan keputusan Zahid itu membawa BN menyokong PH itu. Ada individu tertentu telah mengeluarkan kenyataan bercanggah atau menentang Zahid. Sebagai tindakan penentangan itu dikatakan mereka telah membuat SD mengatakan sokongan kepada Mahiaddin Yassin.

Apakah pengakuan Mahiaddin yang beliau memiliki SD datangnya daripada kumpulan 20 ahli parlimen Umno itu? Tindakan atau sikap diambil kumpulan 20 itu bertentangan dengan semangat dan aspirasi parti. Mereka akan dituduh sebagai pengkhianat kerana tidak akur dan setia kepada parti. 

Dalam situasi getir begini sesuatu yang malang apabila saki baki pengkhianat dalam kejadian kudeta di Sheraton masih wujud. 

Mahiaddin Yassin yang mendapat sokongan daripada GPS dan GRS mendakwa beliau juga telah mendapat cukup kerusi, apabila ada sokongan daripada 20 ahli parlimen Umno berupa saki baki atau keturunan pengkhianat Sherton tersebut. 

Persoalanya apakah SD dibuat oleh 20 orang ahli parlimen Umno valid atau sahih, kerana sebelum ini mereka telah pun membuat aku janji dan memberi mandat kepada Zahid selaku presiden parti menentukan apa-apa keputusan dan arah tuju parti sekiranya BN tidak mendapat kerusi mencukupi.

Realitinya, Umno jauh daripada mendapat kerusi mencukupi apabila hanya menang 30 kerusi sahaja. 

Katanya aku janji itu dibuat atau ditanda tangani oleh semua ahli parlimen Umno itu, semasa menerima watikah untuk bertanding daripada Zahid. Ketika itu semua calon-calon Umno diminta berbuat demikian, kecuali Tengku Razaleigh Hamzah seorang?

Ada bayangan aku janji itu tidak valid atau diterima sebagai sokongan mutlak daripada ahli parlimen daripada Umno itu, apabila tiba-tiba Speaker Azhar Harun diuar-uarkan katanya telah meminta semua ahli parlimen membuat SD kononnya untuk mengesahkan sokongan mereka. Untuk apa lagi SD daripada ahli parlimen Umno jika aku janji yang dibuat itu akan diterima pakai. 

Dan wajarkah serta berhakkah Azhar membuat arahan itu sedang ahli parlimen termasuk daripada Umno itu masih belum mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen. Selagi mereka tidak mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen, bermakna mereka bukan berada dalam "peremis" speaker? Lantaran itu tidak perlu dan kena dengan tindakan Azhar itu bertindak diluar bidang kuasanya.  

Apakah dalam menentukan kesahihan sokongan ini, Yang diPertuan Agong akan mengulangi amalan sebelum ini dimana baginda akan menemui dan bersemuka dengan setiap orang wakil rakyat bagi menyata dan membuktikan sokongan? Apakah akan berlaku sekali lagi upcara dan "pesta" menghadap sebegitu seperti tahun lepas? 

Sekiranya keadaan itu berlaku ini bererti aku janji yang diberikan oleh 30 ahli parlimen Umno kepada Zahid itu tidak diterima pakai. Sekiranya upacara menghadap seakan-akan pesta itu berulang kembali ia memberi gambaran keputusan dibuat rakyat menerusi pilihan raya tidak memberi apa-apa makna. 

Cara dan perilaku itu seolah-olah tidak menghormati keputusan rakyat. Ini menggambarkan sebarang kemelut membabitkan perebutan kuasa tidak dapat diatasi dengan mengadakan pilihan raya sebaliknya perlu ditindakkan dengan kebijaksaan dan kehemahan kuasa.

Padahal semangat dan tujuan diadakan pilihan raya bagi memulangkan mandat kepada rakyat untuk ditentukan, tetapi kalau urusan penobatan seorang perdana menteri akhirnya diminta dibuat atau ditentukan oleh ahli parlimen yang diselubungi dengan pelbagai kepentingan, tanpa berladaskan aspirasi rakyat, ia seakan-akan tidak membawa apa-apa makna dan keperluan mengadakan pilihan raya. 

Jika ini terjadi sesuatu yang parah akan berlaku. Anwar Ibrahim sudah pasti menghadapi kemungkinan tidak mendapat perkenan untuk untuk dinobatkan sebagai perdana menteri kerana tidak mencukupi sokongan. Hakikat Anwar mempunyai jumlah kerusi terbayak 82 kerusi berbanding dengan tempat kedua PN 73 kerusi, tidak terpakai dan dipedulikan langsung.

Natijah daripada kemalangan ini nanti menjadikan rakyat sebak, kecewa, marah dan dukacita. Gumpulan dan bauran perasaan itu semua menjadikan kerajaan yang dibentuk oleh perdana menteri selain daripada Anwar nanti selepas usai Piraum ia merupakan kerajaan yang tidak didokongi oleh rakyat secara mutlak.

Keadaan itulah menyebabkan ada sesetengah rakyat merasakan mereka ditipu secara hidup-hidup dan kuasa mereka tidak membawa apa-apa signifikan dalam pembentukan kerajaan nanti. Raja Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu mempertimbang dan memperhatikan perkara ini sedalam-dalamnya. Kita tidak mahu sejarah sedih, duka dan hitam negara senarainya menjadi kian panjang. Menanti titah Yang diPertuan Agong. [wm.kl. 7:51 am 21/11/2022]

No comments: