Wednesday, November 23, 2022

Agong perlu tegas beri perkenan kepada Anwar

 ULASAN 


Anwar tenang menanti
perintah. Foto Sinar.
SEANDAINYA saranan murni Yang diPertuan Agong dipatuhi Mahiaddin Yassin semalam, kemelut politik pasca pilihan raya umum ke-15 ini sudah pun selesai. Sudah tamat dan kita sudah pun mengetahui siapa yang akan menjadi perdana menteri. 

Tetapi keranan keengganan Mahiaddin untuk menerima saranan itu serta patuhi dengan nasihat Agong, menyebabkan kemelut terheret sampai ke saat ini berpotensi untuk memarahkan keadaan negara dan menyeksakan jiwa rakyat.

Semalam Anwar Ibrahim dan Mahiaddin Yassin diminta menghadap Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bagi menyelesaikan kemelut dan mencari jalan penyelesaian apabila semua parti tidak mendapat majoriti mudah 112 kerusi. 

Kedua-dua dipercayai diminta mempersembahkan sokongan masing-masing dan menyakinkan baginda. Kerana kedua-duanya gagal mendapat dan mengemukakan angka dan sokongan cukup menyebabkan ia tidak menyakinkan baginda, maka Al Sultan tidak memberi perkenan kepada sesiapa dan dibuka jalan penyelesaian damai.

Sehubungan itu baginda mencadangkan agar diwujudkan kerajaan perpaduan. Perkara ini dijelaskan oleh Anwar sebaik selepas beliau selesai menghadap Agong. Bercakap sambil melayani ratusan wartawan di pagar istana, Anwar menjelaskan kemungkinan akan wujud kerajaan perpaduan yang terdiri daripada semua pihak melangkau sempadanan parti politik. Ertinya kerajaan itu nanti akan disertai oleh semua kumpulan politik. Itu mesej yang dikehendaki Yang diPertuan Agong disampaikan Anwar.

Anwar nampak tenang dan sedia menerima baik dan tawakuf cadangan itu walaupun dari segi nilai demokrasi hasil pilihan raya menunjukkan dengan jelas dan nyata beliau lebih berhak. 

Beliau tidak menyebut siapa yang akan diangkat menjadi perdana menteri, malahan masih mengatakan jawatan itu kosong. Dengan menerima semangat demokrasi dan tertib demokrasi pemimpin daripada parti yang jumlah kerusi terbanyaklah patut mengepalai kerajaan. Tidak ada sesiapa boleh menafi dan mempertikaikannya kecuali mereka yang otak kemetot.

Keputusan pilihan raya 19 November 2022 lalu menunjukkan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinan Anwar mendapat kerusi tertinggi, 82 kerusi. Diikuti oleh Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Mahiaddin sebanyak 73 kerusi. Barisan Nasional (BN) yang dipimpinan Zahid Hamidi 30 kerusi. Manakala parti atau gabungan lain dibawah 10 dan ada yang tidak menang satu kerusi pun. Yang tidak menang tidak perlu diambil kira dan didebatkan di sini. 

Sayang cadangan dan saranan Agong yang murni, munasabah dan adil itu tidak dipersetujui oleh Mahiaddin. Ia ditolak mentah-mentah olehnya. Perkara ini disebut jelas oleh beliau semasa mengadakan sidang akhbar di rumahnya. Menurutnya beliau telah mengemukakan bukti jumlah kerusi yang cukup 115 kerusi tetapi tidak diterima Agong. 

Bukti itu siap dibawa untuk ditunjukkan kepada wartawan. Cara Mahiaddin itu semacam mahu mempersenda Yang diPertuan Agong yang tidak endah kepada bukti itu. 

Dalam pada itu beliau juga mengakui dan menegaskan penolakan cadangan kerajaan perpaduan bersama PH. Katanya soal kerjasama dengan PH itu sejak awal-awal lagi ditolak. Sikap Mahiaddin yang berpegang kepada pendirian asal tanpa mengira suasana dan keadaan semasa ini ia boleh dianggap angkuh. 

Sebagai orang politik beliau seharus fleksibel tahu menerima dan menyesuaikan diri dengan keadaan. Beliau tidak perlu meletakkan keutamaan diri lebih penting daripada keutamaan rakyat dan negara. Keselamatan negara lebih penting daripada melayani sahwat politik. Kerana partinya gagal mendapat majoriti beliau seharusnya menerima hakikat dan bukannya berusaha mencari sokongan secara non halal yang kemudian mahu membentuk kerjaaan dengan kerusi non halal itu. Apakah hakikat ini tidak disedarinya?

Paling menghairankan lagi apakah peranan rakannya Abdul Hadi Awang dalam soal ini. Hadi sepatutnya tidak membiarkan Mahiaddin membuas terus dengan nafsu politiknya untuk jadi perdana menteri sekali lagi walaupun partinya kurang majoriti. Hadi patut jadi penasihat bukan penghasut. Hadi patut jadi malaikat bukannya syaitan.

Aksi dan cara Mahiaddin membuat penjelasan dan penegasan itu sangat sombong dan angkuh. Ia boleh disifatkan sebagai tidak menghormati Yang diPertuan Agong. Sebenarnya sikap bekas PM ke-9 itu yang mahu jadi perdana menteri sekali lagi, tidak pelik kerana sebelum ini beliau pernah tidak patuh di atas nasihat dan saranan Yang diPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar mengadakan sidang parlimen segera selepas tamat PKP. 

Jadi tidak hairanlah kalau semalam beliau keluar dari Istana Negara tanpa memberi lambaian dan senyuman kepada wartawan (senyum memang susah daripada Mahiaddin), kerana beliau seorang yang dilihat sukar untuk berurusan dan tidak mudah bermaufakat serta seorang yang dilihat kepala panas. 

Kesanggupannya menikam Dr Mahathir Mohamad sewaktu Mahathir jadi pengerusi Bersatu dan perdana menteri, sehingga bekas anggota parlimen Langkawi iu terpaksa berundur dan meletakkan jawatan PM, juga kerana ulah dan sikap keras Mahiaddin. 

Kemelut pasca Piraum ke-15 masih belum tamat. Ia masih menjadi tanda tanya dan situasi untuk negara sangat memburuk. Segala cadangan dan saranan dikemukakan umum tampaknya sukar diterima. Kedegilan orang politik dan kekejangan sahwat politik, khasnya Mahiaddin megencatkan segalanya dan mengecewakan rakyat seluruhnya.Rakyat berdukacita atas apa yang terjadi. 

Justeru dipohonkan Yang diPertuan Agong mengambil sikap tegas yang penuh bertimbang rasa. Sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan, baginda masih tidak berpuas hati dengan bentuk sokongan yang didakwa Mahiaddin itu, baginda boleh menggunakan kuasa yang ada untuk memberi perkenan kepada Anwar Ibrahim yang realiti partinya mendapat kerusi terbesar sebagai perdana menteri. Cadangan memanggil 30 ahli parlimen Umno itu tidak pun diperlukan lagi. Cara itu sahaja boleh menghentikan kemelut hari ini. 

Untuk mengesahkan kedudukan Anwar itu dari sokongan, ia boleh dibuat dalam parlimen nanti. Parlimen akan menentukan apakah Anwar mendapat sokongan mencukupi atau tidak. Sekiranya beliau gagal mendapat vote of confident, maka saat itu silalah turun dengan terhormat. Mungkin selepas terjadinya hal seperti ini baru semua pihak akan akur, sedar, insaf dan bersedia untuk mewujudkan kerajaan perpaduan seperti mana dimaksudkan oleh Yang diPertuan Agong. 

Proses ini mungkin tidak praktikan dan membazirkan masa dan tenaga, tetapi apa boleh buat itulah sebaik-baik cara dan kaedah untuk mengajar manusia yang degil, sombong dan angkuh. [wm.kl. 9:12 am 23/11/2022]

No comments: