SAYA sering ditanya oleh rakan-rakan media sosial (medsos) khasnya dari kalangan anak muda, parti mana yang hendak sokong dalam pilihan raya akan datang. Saya faham kenapa mereka mengajukan demikian kerana mereka tidak begitu arif dengan "fiil rupa" parti politik. Mereka orang baru yang mengikuti perkembangan politik lewat medsos.
Pertanyaan sebegitu juga tidak terkecuali datang daripada mereka yang berparti, dan ada yang memegang jawatan diperingkat cawangan, bahagian atau kawasan. Ini sedikit memelikkan saya kenapa sampai begitu sekali. Apakah mereka menyertai parti dahulu dibuat bukan atas kesedaran atau ketaakulan sendiri, sebaliknya kerana ikut-ikutan atau pun disuruh menyertai parti politik?
Telatah golongan pertama itu tidak menghairankan kerana mereka orang baru. Tetapi golongan kedua itu agak pelik sedikit. Kenapa mereka bertanyakan saya, walhal mereka setengah adalah pejuang parti, bahkan ada yang terbabit sebagai pengasas parti berkenaan.





