Tuesday, December 10, 2013

Kuasa sebuah buku mengenal seorang insan keturunan Jawa

REAKSI                                                                                              

Jokowi atas beca, foto dari buku tentangnya.
Bila saya membedal Naib Presiden Umno keturunan Jawa, Zahid Hamid ada orang sms menjelaskan dia juga Jawa tetapi tidak seperti Zahid. Ada juga yang memberi komen mengingatkan saya agar menulis secara baik dan berhemah serta tidak membabitkan orang Jawa. Ada yang mengingatkan agar saya mengambil wap wangian Tokguru dalam penulisan disebabkan saya kononya baik dengan tokguru.

Saya percaya mereka yang memahami penggunaan anak Jawa dalam penulisan itu tidak akan mudah terasa. Anak Jawa dalam konteks itu signifiken kepada naib presiden itu saja.

Pun begitu terima kasih atas pesan dan ingat itu. Kita dituntut untuk saling ingat mengingati. Tulisan itu juga bertujuan sama.

Dan saya jarang melupai akan keperibadian Tokguru Nik Aziz. Selalu mengambil filsafahnya termasuk; bahawa apalah ada kepada bangsa? Sama ada Jawa, Bugis, Melayu atau Orang Asli sama saja di sisi Allah. Kata Shakespeare sekuntum bunga tahi ayam itu kalau dinamakan ros sekalipun ia tetap akan berbau busuk.

Kita tinggal citra Zahid yang kini merasakan dia hebat dan boleh melemparkan tuduhan atau membuat provokasi kepada sesiapa saja. Kita doakan mudahan lonjakannya ke langit kuasa akan menemukan juga dia dengan alang-alang 'sira multha'.

Cuma kebetulan saya diberikan Allah mengenali serba sedikit manusia bernama Zahid ini. Nyalaan reformasi (1998) untuk membela keadilan dan kebenaran memberikan saya peluang mengenali hati dan budinya dari dekat. Saya sempat bersembang penuh bersemangat dengannya semasa di rumah Anwar Ibrahim. Isterinya juga ada sama. Lebih jauh dari itu pernah merancang sesuatu yang mungkin pahit untuk disebut dan tidak disukainya kini.

Bahkan sebelum meletus reformasi beliau pernah menjemput saya di rumah (Flat Wangsa Maju) dan membawa ke rumah 'agam' bapaknya di Bagan Datoh. Dan saya juga pernah ke rumahnya di Country Height di Kajang, bersembahyang dan makan.

Latar itu menunjukkan saya kenal dan berkawan dengannya. Tetapi kenapa saya nukil ini, untuk apa? Bukan untuk menunjuk-nunjuk dan mengada-ada. Iya untuk memberi gambaran saya dekat dan mesra dengannya. Maka apa yang saya perkatakan adalah dari pengamatan lama saya kepadanya. Saya sudah lama memerhati sosok ini menjadi semakin agah dan meta, dia merasakan dia sudah mengatasi segala yang lain. Tuduhan lancang beliau kepada pemimpin Pas itu adalah 'kemetaannya' yang mencabar kesabaran.

Apabila dia telah celupar mulut dan pernah mendabik dada bahawa dia anak Jawa di hadapan seorang anak Kelantan yang bermasalah dengannya, maka saya kena menjawab atas tanggungjawab sosial sebagai penulis bukan atas rasa Kelantanis. Tidak penulislah saya kalau tidak berani mengatakan dan hanya tahu nggeh semata-mata. Seorang penulis harus memiliki apa-apa juga sifat dimiliki oleh orang yang hendak ditulisnya. Kurang ajar lawannya kurang ajar.

Sudah saya katakan di sini saya tidak hendak menceritakan perihal lanjut kisah anak Jawa yang menjadi naib presiden Umno itu dan disebut-sebut pula bakal menjadi perdana menteri Malaysia? Sudah ada folio berkenaan yang tersebar. Sudah ada bisik-bisikan dan agenda ke arah itu. Semoga sahaja. Tetapi adalah sesuatu yang malang kalau Malaysia dianugerahkan orang seperti itu menjadi Perdana Menteri. Dia harus perbaiki tingkah lakunya agar menepati tatasusila orang Jawa sebenarnya kalau benar mahu menjadi orang nombor satu Umno.

Secara umum orang Jawa ada tiga sifat atau ciri-ciri khas atau karektornya yang menarik. Pertama, Narimo Ing Pandum, iaini pasrah dengan ketentuan Tuhan. Orang Jawa sangat percaya kepada qada dan qadar' dan takdir. Menyakini bahawa kehidupan ini ada yang mengatur dan tidak dapat ditentang begitu saja.

Kedua, gotong royong, orang Jawa akan hidup saling bantu membantu di antara satu sama lain. Mereka hidup secara berpasukan penuh harmonis. Sebab itu dalam institusi suku Jawa sukar untuk dipecah dengan sebarang doktrin dan aliran fahaman.

Ketiga, Ngajeni orang yang lebih tua. Orang Jawa sangat menjunjungi nilai-nilai murni dalam kehidupan. Mereka selalu menjaga perbuatan dan kata-kata, baik sesama sendiri apa lagi dengan orang luar. Mereka dianggap kelompok yang berlemah lembut dan bersopan santun, rajin dan gigih.

Apa yang dilakukan oleh naib presiden Umno keturunan Jawa itu telah melanggar adat sopan dan tatasusila nenek moyang mereka. Barang kali boleh dipertikaikan akan keaslian Jawa naib presiden ini kalau dilihat kepada karektor ataupun penampilannya yang sombong?

Buku ini mengenalkan saya siapa Jokowi.
Kembali kepada mauduk catatan ini, untuk mengisahkan seorang anak Jawa. Beliau dimaksudkan ialah Joko Widodo atau kini dimesrai dengan panggilan Jokomi, pada masa ini beliau adalah Gebenur DKI Jakarta. Jokomi telah dipilih dan dipanggungkan oleh partinya PDI-P untuk menjadi calon presiden Indonesia 2014.

Hari ini nama Jokomi sudah tersebar di seluruh Nusantara Indonesia. Dia diangan-angankan bakal menjadi presiden Indonesia 2014 menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono (SBY). Nama Jokomi teratas berbanding dengan nama beberapa calon presiden yang lain seperti Yusril Ihza Mahendra dari parti Bulan Bintang ataupun Aburizal Bakrie dari parti Golkar.

Secara jujur saya tidak mengenali nama ini. Saya menyedarinya hanya selepas membaca buku;  Jokowi for PRESIDENT INDONESIA 2014 yang saya beli semalam untuk menjadi teman tidur, setelah itu baru saya mengenali dan mengetahui siapa dia. Dia rupanya seorang yang hebat dan boleh dianggap kewujudannya satu fenomena di Indonesia.

Jokomi sudah pasti seorang anak Jawa dan berketurunan Jawa. Yang lahir di bumi Jawa asli, bukan Jawa peranakan dan tiruan. Kampungnya ialah di Kali Anyar, Solo. Dia anak si tukang kayu dan berkelulusan sebagai Insiyur. Baru berumur 52 tahun. Sebelum menjadi Gebenur DKI Jakarta dia adalah Wali Kota Solo yang juga merupakan pengusaha marmar terkenal di Indonesia.

Menarik mengikut kisah calon presiden ini. Mengesankan saya bahawa dialah anak Jawa sejati yang berlemah lembut, menghormati orang tua dan membela nasib kaumnya. Dia meskipun sudah menjadi gabenur tidak 'agah' dan 'meta'. Tidak mudah lupa daratan dan nasib asal usulnya. Tidak ada dicatat dalam buku 'memperkenalkannya' itu pernah mengeluar kata-kata kesat dan cabuk.

Zaman kecil dan remajanya sesuatu yang menarik dan seiringi dengan anak-anak kampung lain. Ia sangat menarik dan sangat sesuai kalau ia muncul sebagai pemimpin rakyat. Pemimpin yang sepertinya yang pantas untuk membela rakyat kerana ia mengetahui nasib rakyat bawahan sebenarnya. Jokomi adalah anak orang biasa-biasa dong.

Atas usaha, kegigihan dan kerajinan semamgat diwarisi dari Jawa tulen akhirnya dia berjaya menjadi seperti hari ini. Jokomi sebelum itu bukan tidak pernah gagal, pernah. Dia juga hebat dan tersebut di mana-mana saja. Jokomi juga diletakkan sebagai pemimpin popular di Indoensia setanding dengan Bapak Presiden hari ini. Jokomi juga dijoloki dengan panggilan darling media kerana kelunakan beliau dengan media massa.

Ada beberapa keistimewaan atau pun sifat kenapa beliau mudah meletup. Antaranya dia dikatakan sebagai seorang yang suka mencari masalah rakyat dengan menerjunkan diri secara mengejut ke tengah masyarakat dan selalu masuk keluar kampung tanpa kira waktu semata-mata mengenali masalah rakyat. Dia berkerja bukan sahaja di kantor tetapi di luar kantor.

Kehambaannya jelas apabila semasa menonton satu pertunjukan berkelas antarabangsa, dia hanya duduk sebaris dengan rakyat massa. Bersama anak-anak muda yang kebetulan menjadi anggota kelab Rock yang disertainya. Dia tidak menggunakan statusnya. Paling menarik anak Jawa ini juga sanggup turun ke kolong untuk melihat sendiri apa punca menyebabkan banjir berlaku di Jakarta.

Ah, banyak lagi kebaikan yang molok-molok mengenai Joko Widodo atau Jokomi ini. Sekiranya apa yang dinukilkan dalam buku susunan Gayatri Djajengminardo ini benar belaka wajar kalau beliau dipilih menjadi presiden Indonesia. Indonesia menggalas 260 juta nyawa sesungguh memerlukan seorang pemimpin semacam Jokowi ini berjiwa Marhaens seperti mana Seokarno. Kebetulan juga bekas presiden pertama Indonesia itu adalah idolanya.

Saya cadangkan di sini kepada pemain politik Malaysia baik yang berjawatan besar atau untuk mempelajari sesuatu meningkat daya kepimpinan, keunikan biasa yang ada kepada Jokowi pelajarilah kalau anda ingin popular sebagai pemimpin. Ada kepelikan dan keistimenwaan kepada anak Jawa Kali Anyar ini apa lagi kalau dibanding dengan anak Jawa Bagan Datoh. Tiru yang baik tohok yang jahat.

Apabila Jokowi mengenakan baju kotak-kotak sebagai uniform kehidupannya, - sebagai kelainan dan mahukan pembaharuan, saya teringat kepada kisah si Baju Petak-Petak Merah. Jokowi berjaya meletakkan dirinya hebat bersama uniform berkenaan, kenapa tidak dengan si Baju Petak-Petak Merah? Kalau Jokowi berjaya toh kenapa tidak dengannya?

Cari dan belilah buku ini. Nescaya setelah anda membacanya anda akan mengenali siapa dia taukeh marmar di Solo ini yang tidak pernah menerima gaji sebagai Gebenur DKI Jakarta sehingga kini. Semua gajinya didermakan kepada rumah kebajikan atau anak-anak yatim. Manakala untuk keperluan dia dan keluarga, seorang isteri dan dua anak, masih digunakan wang dari hasil kilang marmarnya itu.

Baca dan hayatinya setidak-tidaknya anda akan mengenalkan diri anda dengan membandingkan apa yang ditulis mengenai Jokowi. Kalaupun tidak untuk menjadi presiden atau PM tetapi cukup untuk menjadi penghulu atau pengerusi JKKK. Sesungguhnya cerita Jokowi, visi, semangat, kerajinan dan komitmennya sangat beruntung kalau dapat dihayatinya. [wm.kl.4:32 pm 10/12/13]
Post a Comment