RENUNGAN SENJA
Ustaz Abdul Basit Abdul Rahman meminta agar Majlis Fatawa Kebangsaan atau Majlis Agama Negeri-Negeri mengeluarkan garis panduan khas berhubung tindakan sesetengah orang yang membesar-besarkan hari sambutan agama lain termasuk dengan mengucap selamat atau pun mengadakan majlis sempena hari kebesaran agama-agama berkenaan.
Ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Pondok Sungai Durian tidak lama lalu, Abdul Basit menarik perhatian ada kecenderongan orang Islam ikut sama meraikan hari kelahiran Nabi Isa a.s. atau pun hari Natal atau Krismas.
Menurutnya ini terjadi tanpa disedari apabila ada orang Islam menerima ucapan selamat Krismas daripada rakan yang bertujuan untuk bergurau ataupun kerana jahil mengenai implikasi membesarkan hari kelahiran Nabi Isa itu.
"Nabi Isa adalah juga nabi yang kita kena percayai, tetapi konsep penerimaan kita dengan orang Kristian berbeza dimana mereka menerima Isa atau al Maseh sebagai Tuhan, dan ternyata ini salah," jelasnya dengan nada kesal.
Dalam pada itu menurutnya ada sesetengah orang Islam sengaja mencari tarikh sempena hari-hari kebesaran agama Kristian, atau Hindu dan Budha untuk mengadakan hari perkahwinan anak-anak atau majlis aqikah cucu cicit kerana kebetulan pada hari itu adalah cuti umum.
Hal ini katanya perlu dielakkan kerana mengadakan majlis pada hari-hari kebesaran agama itu ia memberi kesan tidak baik dan menyebabkan secara tidak langsung kita turut meraikannya dan boleh merosakkan akidah.
Dalam hubungan ini gesa Abdul Basit pihak berkuasa termasuk jawatan Fatawa Kebangsaan perlu mengadakan garis panduan khas atau mengeluarkan fatwa khas mengenai hal ini agar umat Islam tidak bersubahat membesarkan hari-hari kebesaran agama lain dimana hukumnya haram. [wm.kl.6:05 pm 25/12/13]
1 comment:
Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam.
Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Keputusan
Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut :
1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
Contohnya :
i - Menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.
2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.
Contohnya:
i. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama.
ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya
iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa.
iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.
3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.
Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Contohnya:
i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan.
ii. Berpakaian yang menjolok mata.
iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan.
iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.
4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh“menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.
Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.
Contohnya:
i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam.
ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam.
iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam.
iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
5. Pihak penganjur dan orang ramai dimintmendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Isla.
Post a Comment