Tuesday, December 3, 2013

Menanti penyusunan badan perhubungan Pas Kelantan

PANDANGAN KEJAUHAN                                                                          

Ahmad bebas membuat susunan.
Malam semalam Presiden Pas Abdul HAdi Awang telah mengumumkan Ahmad Yaakub sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan bersama sembilan pesuruhjaya negeri-negeri lain. Perlantikan Ahmad Yaakub sudah dijangkakan. Beliau akan mengambil alih jawatan itu dari Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memegang jawatan itu sejak tahun 1982. Kalau tidak silap Ahmad adalah Pesuruhjaya Pas Kelantan yang keempat atau kelima.

Dengan perlantikan itu Ahmad kini mempunyai kuasa penuh dalam kepimpinan Pas Kelantan. Di samping sebagai Pesuruhjaya beliau juga merupakan Yang diPertua Pas kawasan Tumpat dan timbalan ketua Dewan Ulamak Pas Pusat serta Bendahari Pas Pusat.

Sesuai dengan perlantikan itu pemerhati politik khas di kalangan Pas Kelantan sedang menumpukan kepada pembentukkan badan perhubungan Pas Kelantan. Badan perhubungan Pas bertindak menjadi Dewan Harian yang merupakan eksekutif Pas negeri Kelantan yang menjadi pengerak dan perencana hala tuju Pas dan kerajaan. Perlantikan itu juga melepaskan Ahmad Yaakub dari pengaruh dan personaliti Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin terhormat.

Walaupun Nik Aziz masih merupakan Mursyidul Am Pas, tetapi kedudukan itu dilihat tidak mempengaruhi apa-apa keputusan yang bakal dibuat Ahmad. Ahmad mempunyai kuasa penuh ke atas Pas Kelantan. Beliau boleh melakukan apa saja mengikut kehendaknya tanpa 'malu alah' atau 'seme' dengan personaliti Nik Aziz sebagai tok guru atau apa. Ahmad berkuasa penuh bukan saja terhadap kerajaan tetapi kepada parti.

Perlu bagi Ahmad merombak atau membuat pembaharuan mengikut kehendaknya terhadap badan perhubungan Pas. Beliau wajar berbuat demikin untuk tidak melihat masih terus mengguna pakai team yang dibentuk oleh Nik Aziz. Ahmad kena mengimejkan Pas dengan misi dan visinya. Umpama generasi yang diberikan amanah dan pesaka pemerintahan Ahmad wajar berbuat mengikut citarasanya. Kalau penurunan kuasa itu ibarat seorang anak jantan mengambil alih tugas menjaga bendang dari orang tuanya, maka Ahmad kena memperbaiki atau menukar beberapa perkakas tengalanya agar ia selesa dengan dirinya.

Mungkin 'nanggal', 'nayen', 'menolak' ataupun 'igu' dan 'gerap' tidak sesuai dengan Ahmad maka beliau kena mengganti dengan yang baru. Begitu juga dengan enjennya, 'lembu'. Yang penting ialah keselesaan dan bukan legasi sahaja. Tidak ada guna kalau setakat hendak diambil kerana legasi tetapi tidak keselesaan buatnya. Yang penting orang yang hendak memakai atau menggunakannya adalah Ahmad.

Badan perhubungan Pas yang ada kini adalah masih dibawah tangan atau pun penyusunan mengikut citarasa Nik Abdul Aziz Nik Mat. Timbalan Pesuruhjaya I, II, dan III sebelum ini adalah dilantik oleh Nik Aziz. Mereka ialah Ahmad (Timbalan Pesuruhjaya I), Husam Musa (Timbalan Pesuruhjaya II) dan Mohd Amar Nik Abdullah (Timbalan Pesuruhjaya III). Apabila Ahmad dilantik menjadi Pesuruhjaya, berlaku kekosongan pada timbalan pesuruhjaya I. Manakala setiausaha ialah Zulkefli Mamat, bendahari Hanifa Ahmad dan ketua penerangan Mohd Fadzli Hassan.

Sekiranya beliau merasa puas hati dengan anggota badan perhubungan yang ada kini Ahmad boleh mengekalkannya tetapi dengan mencari seorang anggota baru sebagai memenuhi ruang kosong kerana ganjakannya ke atas. Siapakah yang akan dipilih? Ahmad boleh memilih sesiapa di kalangan Yang diPertua Kawasan atau pun tokoh-tokoh yang dikira layak dan berpegalaman.

Kerana selalunya mereka yang dilantik menjadi Timbalan Pesuruhjaya adalah orang yang berpengaruh atau berpengalaman, atau memiliki keistimewaan tertentu elok kalau Ahmad menuruti tradisi berkenaan. Sebaliknya kalau beliau merasakan wajar orang muda sebagai satu suntikan, boleh saja diambil dari kalangan orang muda terutama bekas pimpinan pemuda negeri. Untuk diangkat menjadi timbalan pesuruhjaya tidak semestinya mereka berjawatan dalam Pas kawasan. Yang penting boleh memberi buah fikiran dan lincah serta hemah dalam politik. Badan perhubungan bukan badan dakwah semata-mata tetapi badan mentadbir dan siasah. Mungkin bekas tok imam dan tok siak atau orang yang pandai ceramah tidak layak!

Dari kalangan mereka yang berpengalaman dan pernah menjadi anggota badan perhubungan ada beberapa nama yang boleh difikirkan untuk menjadi timbalan pesuruhjaya jika relevan. Antaranya Omar Mohamad bekas Adun Perupuk yang juga bekas setiausaha kerja Pas ditahun 80-an.

Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bekas ahli parlimen Kota Bharu dan pada masa ini Yang diPertua Pas Kota Bharu juga bekas setiausaha badan perhubungan dan juga bekas Speaker. Abdul Fatah Haron bekas Adun Bukit Tuku kini Yang di-Pertua Pas Rantau Panjang yang juga bekas ketua penerangan. Wan Ismail Wan Jusuh bekas Adun Melor, juga merupakan bekas setiausaha badan perhubungan dan juga bekas timbalan Speaker.

Seorang lagi Takiyuddin Hassan ahli parlimen Kota Bharu yang juga bekas setiausaha dan juga bekas ketua penerangan.

Mereka itu, Omar, Wan Rahim dan Abdul Fatah ini adalah veteran yang boleh menjadi 'tok bomoh' besar didalam Pas. Kandati mereka sudah kering dengan idea tetapi mereka boleh dijadikan jambatan atau pun penawar luka kepada Pas. Mereka ini juga merupakan golongan yang tidak lagi 'bersambungan' dengan generasi terkini yang boleh dianggap ada kepentingan tertentu. Mereka agak ikhlas kepada Pas.

Dan seorang lagi yang juga boleh difikir sama ialah Mohd Zaki Ibrahim Adun Kelaboran yang juga bekas setiausaha badan perhubungan dan juga bekas ketua pemuda. Zaki adalah generasi muda yang sebenarnya masih belum banyak teruji. Kalau Ahmad merasakan perlu tenaga muda dibawa masuk, Zaki boleh difikirkan.

Seharusnya dalam penyusunan nanti Ahmad Yaakub akan melihat dari segi senioriti didalam parti dan bukan berpandukan kepada kedudukan didalam kerajaan atau lain-lain persepsi. Sekiranya senioriti parti diambil kira maka sudah pasti orang yang layak dan munasabah untuk menjadi Timbalan Pesuruhjaya I bagi mengisi tempat yang terpaksa ditinggalnya ialah Husam Musa diikuti Mohd Amar sebagai pesuruhjaya II. Lagipun urutan kedudukan sebelum ini Husam adalah dianggap berada dinombor tiga selepas Ahmad Yaakub.

Keberadaan Husam ditempat nmbor dua dalam hiaerki kepimpinan Pas Kelantan itu penting. Ia boleh menjadi gandingan mantap di antara Husam dengan Ahmad Yaakub. Cara demikian juga boleh menenangkan riak kecil politik Pas di Kelantan. Cara itu juga secara tidak langsung ia boleh merantaikan kaki Husam dari tergelecah. Paling menariknya gandingan itu merupakan kolobrasi di antara orang yang berada didalam kerajaan dengan orang yang berada di luar kerajaan. Berlaku check and balance di sini.

Bukan itu saja keperluan Husam berada di situ bagi mendekatkan Husam dengan beliau bagi memastikan bahawa tanggapan sesetengah orang yang Husam hendak disingkirkan tidak benar. Ahmad akan dilihat sebagai prihatin dan benar-benar mahu menjaga keharmonian parti dan memanfaatkan semua tenaga yang ada dalam Pas. Lebih penting Ahmad akan dilihat bertindak bijak akan menjadi biduk yang akan menangkup-kejapkan kiambang Pas. Bukan itu saja Husam juga layak dimana suka atau tidak suka beliau adalah aset Pas Kelantan.

Sekiranya Ahmad mengambil kira kedudukan didalam kerajaan untuk mengatur-susun anggota badan perhubungan sudah tentu Husam akan tertinggal kerana beliau tidak memegang apa-apa jawatan kerajaan pada masa ini. Mohd Amar pasti akan memenuhi ruang kosong yang ditinggalkan Ahmad itu. Tetapi kalau pendekatan itu diambil bermakna Ahmad senagaja meletakkan dirinya dan kepimpinan dalam keadaan tidak stabil dan kontroversi.

Selain mengambil kira kedudukan itu mungkin Ahmad juga boleh menyuluh kepada kedudukan anggota lain seperti bendahari, setiausaha dan ketua penerangan. Ahmad boleh juga mengubah kedudukan sekiranya beliau merasakan ada sesuatu yang tidak lengkap atau 'ewek' dengan anggota yang ada sekarang ini. Mereka itu juga dilantik sewaktu Tokguru Nik Aziz menjadi Pesuruhjaya. Apa yang penting Ahmad kena memilih barisan yang serasi, mantap dan jangan hanya kerana malu alah untuk mengubah apa-apa susunan anggota yang dibuat sebelum ini.

Tekanan dan saranan yang mirip ada kepentingan peribadi juga tidak perlu dihiraukan oleh Ahmad.

Kalau Ahmad boleh menyusun-aturkan semula serta menambah dan mengurangkan dekorasi di bilik Menteri Besar sebaik beliau memasuki ruang kerja itu, nah, beliau juga boleh melakukan perkara sama ke atas badan perhubungan Pas. Tidak salah malahan beliau akan dilihat sebagai seorang pemimpin ada integriti dan wisdom tersendiri. [wm.kl.6:33 am 03/12/13]

2 comments:

bat8 said...

Tuan,

Dari pemerhatian ambo tentang stail MB baru setakat ini, Timbalan Pesuruhjaya I adalah Nik Amar. Husam kekal Timbalan Pesuruhjaya II. Orang baru akan menjadi Timbalan Pesuruhjaya III.

Pun lagu manow pun ambo rasa PRU 14 nanti kerajaan kelantan akan bertukar tangan. Harap-harap ambo saloh.

Unknown said...

Salam tuan,

Tugas Ahmad Yaakub selain MB Kelantan beliau juga adalah Pesuruhjaya Pas Kelantan, Bendahari Pas Pusat, Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat disamping YDP Pas Tumpat...dikhuatiri terlalu banyak komitmen boleh mengganggu konsentrasi beliau sebagai MB