Lewat petang semalam kita dikhabarkan dengan berita mendukacitakan apabila bekas Ketua Siasatan Jenayah Bukit Aman Fauzi Shaari (Dato') telah kembali ke Rahmatullah di pusat rawatan rapi (ICU) hospital Selayang. Beliau pergi dalam usia 63 tahun.
Sewaktu catatan ini dibuat urusan pengembumian jenazah beliau sedang dilakukan di Shah Alam Selangor. Al Fatihah.
Fauzi sebelum ini dilaporkan dimasuk ke hospital berkenaan dan dirawat di ICU kerana sejenis penyakit yang tidak dapat dikesan. Ramai pemimpin dan ahli Pas menziarah dan berdoa untuk kesejahteraan beliau semasa di hospital.
Fauzi nama yang indah dan insan yang dihormati. Profesyennya sebagai pegawai tinggi polis tidak memisahkan beliau dengan masyarakat umum. Malahan jawatan itu seakan tidak menjadi gap, untuk meletakkan beliau (polis) dengan orang awam di sempadan berbeza, malahan bergerak bersama demi keamanan dan ketenteraman negara.
Semasa menjadi ketua polis Dang Wangi dan ketua polis Selangor beliau juga tegas dengan masalah jenayah dan maksiat. Kesungguhannya membenteras maksiat menyebabkan beliau tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Namun tugas dan ketegasan itu satu kebanggaan pula bagi negara. Beliau tidak berkompromi atas niat membela agama dan bangsa.
Fauzi (tengah) sedang mendirikan solat. |
Bapanya, Shaari Musa adalah orang turut bertanggungjawab menubuhkan Persatuan Ulama Malaysia bersama bekas Yang di-Pertua Pas pertama Ahmad Fuad Hassan. Allahyarham menyerahkan borang kemasukan ke dalam Pas dalam satu majlis di Perak pada 29 Mei 2912 yang diterima oleh presiden Pas Abdul Hadi Awang.
Shaari dilahirkan di Batu Kurau, Perak pada 25 September 1950.
Sebagai seorang pegawai tinggi polis, pendekatan dan komitmen Shaari sebagai seorang pegawai yang patut dicontohi. Beliau mempunyai diplomasi tinggi dalam mewujudkan ketenteraman dan keadilan kepada pelanggan - rakyat. Misalnya semasa kemuncaknya reformasi tahun 1998 dan menjelang pilihan raya umum 1999 beliau adalah ketua polis Dang Wangi. Setiap minggu beliau akan berdepan dengan ribuan para demonstrasi yang menuntut keadilan dan kebenaran kerana membela pemecatan dari Umno dan kezaliman oleh Mahathir Mohamad ke Anwar Ibrahim.
Keserlahan daya diplomasi tinggi beliau sebagai anggota polis nampak disini bila mana beliau mengambil pendekatan lunak dengan para demonstrasi yang kebanyakan dengan berladum dengan emosi dan kebencian kepada polis. Beliau tidak mengambil sikap menentang tetapi menggunakan pendekatan berbaik dan berkawan. Beliau turun ke jalan raya untuk menyuraikan para demonstasi dengan salam bukannya dengan cota atau belantan.
Beliau akan bersalaman dengan para demonstrasi dan minta bersurai dengan baik setelah diberi peluang untuk melalak dan melaung beberapa ketika melepas luapan perasaan masing-masing.
Ternyata pendekatan diambil Fauzi berjaya. Diplomasi itu menyebabkan para demonstrasi menghormati dan malu kepadanya kemudian akan bersurai dengan baik. Tanyalah sesiapa yang pernah terlibat dengan demontrasi tahun 1998 akan merasai keindahan atau kemesraan Fauzi (polis) dengan para demonstrasi ini.
Beliau juga seorang mudah mesra dan berhemah dengan sesiapa saja. Perangai kepegawaian polis yang bengis, sombong tidak ada kepadanya. Saya pernah berjumpa dan berbual-bual secara peribadi dengannya. Walaupun pertama kali mendekatinya tetapi kemesraan dan layanan yang diberikan cukup istimewa, mengkagumkan. Pertemuan pertama dengannya ialah semasa hadir satu majlis di rumah ahli politik 'kaki lompat' di Taman Melawati.
Pada pertemuan ini beliau mencerita di antara peranan beliau sebagai pegawai polis agak kekok juga untuk melayani kerenah para demonstasi. Tetapi katanya beliau merasa nasib baik setiap arahan dan larangan yang disampaikan secara 'berkawan' dapat mengatasi masalah tanpa berlaku ketegangan.
Kali kedua berjumpa dengannya dan bersarapan bersama semasa Pas mengada Himpunan Hijau di Alor Star Kedah pada tahun 1 Jun 2012. Penemuan dari dekat ini menyerlahkan apa yang ditunjukkan sebelum ini. Kami makan sama-sama tanpa ada rasa kekok dan sikap gensi dari beliau sebagai bekas pegawai tinggi polis. Kehambaanya sebagai seorang pejuang Pas dan terdidik dengan agama sangat jelas.
Atas wibawa dan komitmennya dengan perjuangan Islam (Pas) menyebabkan Pas menawarkan beliau menjadi calon Parlimen di kawasan Larut Perak pada pilihan raya umum lalu. Beliau berdepan dengan calon BN, Hazmah Zainuddin. Penyertaan kali pertama dalam pilihan raya atas desakan Pas itu bagaimana pun Allahyarham gagal.
Perjuangan Allahyarham Fauzi baru masuk tahap pertama di dalam Pas, tetapi hati dan jiwanya ternyata sudah kesekian lama tertanam dalam Pas. Bagi saya jalan yang diambil itu satu pengorbanan kerana beliau sudah tentu tidak melihat apa-apa tawaran kerajaan selepas bersara, misalnya menjadi pengerusi di mana-mana agensi kerajaan.
Yang nyatanya perjuangan ayahnya menyebabkan beliau tidak terlepas dari ikut sama berada dalam 'gelong' perjuangan Islam (Pas). Sesungguhnya walaupun sekejap Allahyarham bersama Pas tetapi ia meninggalkan impak yang cukup besar. Hasratnya untuk memberi kefahaman di antara polis dengan orang politik tidak kesampaian sepenuhnya.
Semoga roh Allahyraham dicucuri rahmat. [wm.kl.11:03 am 02/12/13]
1 comment:
AlFatihah. Sangat terharu dengan kepergiannya. Beliau insan hebat. Semoga Allah menempatkan rohnya bersama mereka yg soleh dan berbakti mulia. Ami n
Post a Comment